Thursday, December 1, 2011

HIN at KL Honda

Honda - Hot Import Nights Kuala Lumpur 2011


REZA (kiri) dan Pengurus Kanan Honda-HIN KL 2011, Irwan Asri Mohd. Nor bergambar bersama tiga buah kereta berkuasa tinggi yang mengambil bahagian.


MAHUKAN sesuatu yang berbeza berbanding pertunjukan kereta yang ada di Malaysia selama ini? Pastikan anda hadirkan diri ke acara pemotoran sebenar yang bakal berlangsung pada 17 dan 18 Disember depan.

Bertempat di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor acara yang diberi nama Honda - Hot Import Nights Kuala Lumpur 2011 (Honda-HIN KL 2011) itu sememangnya lokasi terbaik untuk semua peminat tegar kereta, komuniti kelab kereta, kaki modifikasi dan mereka yang terlibat dalam perniagaanaftermarket tidak kira sama ada anda datang dari Malaysia, Singapura atau Indonesia.

Dianjurkan buat julung-julung kalinya di Malaysia, Honda Malaysia bertindak selaku penaja utama pertunjukan gaya hidup automotif yang dianggap paling besar di Malaysia itu.

"Honda-HIN KL 2011 bermatlamat menyediakan platform buat peminat automotif untuk berjumpa, bersosial dan berkongsi keghairahan terhadap kereta di bawah satu bumbung. Pada masa yang sama, mereka juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuklah konsert mini oleh rocker popular, Awie.

"Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penaja, terutama Honda Malaysia kerana menjadikan acara ini satu realiti. Kami juga berharap Honda-HIN KL 2011 akan memberikan sumbangan signifikan kepada industri automotif di Malaysia, lebih-lebih lagi dalam aspek modifikasi kenderaan dan industri hilirannya," kata Pengerusi dan Penganjur Honda-HIN KL 2011, Reza Aliwarga

Acara pada hujung minggu itu menjanjikan para pengunjung dengan kecanggihan modifikasi automotif, prestasi, pertandingan dan banyak lagi aktiviti lain. Mereka boleh mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan seperti modifikasi kereta, Dynowars, HIN Sound & Style Quality (SQ) dan Sound Pressure Level (SPL), pertandingan audio kereta, HIN Breakers Championship serta RC Drift Battle.

Bagi memberikan penilaian yang terbaik dan telus, juri-juri Honda-HIN KL 2011 didatangkan khas dari Amerika Syarikat (AS), Australia, Thailand dan Malaysia.

"Pengunjung turut dihiburkan oleh DJ-DJ antarabangsa, penari Glow-Go, selain acara Miss Honda-HIN KL 2011 dan pertunjukan fesyen oleh Now Modeling Malaysia," tambah Reza.

Melibatkan lebih 200 pempamer, Reza optimis Honda-HIN KL 2011 mampu menarik sekitar 25,000 orang pengunjung. Sasaran itu dibuat berikutan sambutan hangat terhadap acara sama yang dilangsungkan di Indonesia.

HIN dimulakan di Australia pada tahun 1996 dan dikenali sebagai Auto Salon. Selepas beberapa tahun, acara itu memperoleh memontum dan dikembangkan ke Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia.

Jadi, jangan lupa hadirkan diri anda ke Honda-HIN KL 2011. Tiket masuk cuma RM20 dan boleh dibeli di kaunter tiket yang terletak di bahagian luar stadium pada kedua-dua hari berkenaan. Maklumat lanjut, sila hubungi talian 03-9171 5458 atau layari laman web: www.hin.com.my

No comments: