Showing posts with label SUV. Show all posts
Showing posts with label SUV. Show all posts

Thursday, March 25, 2010

HONDA CR-V makin mengagumkan


CR-V yang terbaru kini didatangkan dengan beg udara sisi dengan OPDS (Sistem Pengesan Kedudukan Penghuni Kenderaan) untuk pemandu dan penumpang hadapan.

DENGAN purata jualan sebanyak 350 unit sebulan, Honda CR-V tidak ragu-ragu lagi menakluki takhta kenderaan utiliti sport (SUV) paling diminati di negara ini. Atas faktor yang sama, Honda Malaysia pada 11 Mac lalu, memperkenalkan model CR-V baru yang didatangkan dengan ciri-ciri perubahan yang terbaru.

Direka bentuk untuk pemandu dengan gaya hidup kota yang aktif, tidak kira lelaki mahupun wanita, model CR-V baru ini telah dipertingkatkan (facelifted) secara terperinci untuk mencerminkan fungsi penggunaan dan keceriaan sebuah SUV.

Ketika CR-V dilancarkan pada tahun 1995, ia telah mewujudkan sebuah segmen pasaran yang baru, satu kategori khusus yang tidak pernah wujud sebelum itu.

Menembusi pasaran dan diterima ramai sebagai sebuah kenderaan yang unggul sama ada untuk golongan profesional mahupun mereka yang cenderung kepada aktiviti luar rumah, CR-V telah pun melalui tiga pusingan revolusi.

Sejak pelancarannya pada tahun 2007 di Malaysia, Generasi Ketiga CR-V telah berjaya dijual sebanyak 13,000 unit. Sejak itu ia menjadi model kenderaan yang terunggul dengan penguasaan pasaran kira-kira 30 peratus dalam segmen pasaran kenderaan SUV.

Di samping tahap kegunaan dan ruang simpanannya kenderaan premium yang sporty ini diketahui ramai dapat memberikan tahap keselesaan dan pemanduan dinamik yang setaraf kenderaan jenis sedan. CR-V turut menjanjikan kawalan sepenuhnya bagi para pemandu apabila dikendalikan daripada kedudukan memandu yang tinggi pusat pandangannya.

Dengan enjin 2.0 liter i-VTEC berkuasa 150 kuasa kuda (Kawalan Injap Pembolehubah Masa Pintar dan Kawalan Penggerakan Elektronik), digandingkan dengan transmisi automatik lima kelajuan, CR-V baru kini memperkenalkan ciri-ciri keselamatan yang terkini, gaya luaran yang baru dan keselesaan pemanduan yang ditingkatkan.

CR-V yang terbaru kini didatangkan dengan beg udara sisi dengan OPDS (Sistem Pengesan Kedudukan Penghuni Kenderaan) untuk pemandu dan penumpang hadapan, kenderaan SUV pertama dalam kelasnya untuk memperkenalkan peningkatan sedemikian. Ia menaikkan lagi taraf keselamatan SUV dalam segmen ini kepada satu tahap yang lebih tinggi.

Turut dilengkapi dengan sistem Bantuan Penstabilan Kenderaan (VSA), CR-V kini menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih stabil dan mantap.

Memperkenalkan gaya luaran yang lebih sofistikated, CR-V baru kini menampilkan reka bentuk baru untuk hud, penghadang depan bahagian atas dan bawah, memberikannya suatu cita rasa kota yang baru. Manakala lengkungan dan garisan-garisan yang lebih halus direka untuk meningkatkan keseluruhan aerodinamik kenderaan memberikannya kecekapan bahan api yang lebih baik. Lampu kabus yang baru pula meningkatkan lagi pencahayaan waktu malam.

Dengan penampilan yang lebih garang dari dahulu, jeriji depan dan bingkai aloi rim yang direka bentuk semula serta penghadang yang distruktur semula, mencerminkan kekuatan dalaman dan karisma yang lebih tinggi. Kini, dengan pemasangan kanta pemantulan yang baru, jarak penglihatan keseluruhan pemandu telah berjaya dipertingkatkan.

Pada bahagian belakang kenderaan, CR-V kini didatangkan dengan 4 sensor pengesan, menawarkan lebih sensitiviti dalam mengesan halangan, menjadikan pengunduran ke belakang lebih selamat dan terjamin.

Bergaya di bahagian luarannya, dengan mutu pengemasan penuh keselesaan di bahagian dalam, ruang dalaman CR-V baru kini dihiasi dengan fabrik baru bersama dengan tempat rehat lengan yang lebih luas. Ia kini turut menawarkan port USB.

Urban Titanium, suatu warna baru dalam pilihan warna yang ditawarkan, dapat memberikan suatu kesan rugged kepada kenderaan yang 'sporty ini. Warna-warna lain yang ditawarkan adalah Alabaster Silver, Polish Metal, Crystal Black dan Taffeta White.

Harga atas jalannya RM2,000 lebih daripada model sebelum ini dan kini berharga RM149,980 seunit bersama insurans.

Saturday, November 7, 2009

Ford Escape 2.3 XLT bergaya di bandar


Ford Escape 2.3 XLT

SEKALI anda memandu sebuah kereta yang menyediakan kedudukan tinggi seperti kenderaan utiliti sports (SUV) atau trak pikap atau kenderaan pelbagai guna (MPV), agak sukar untuk beralih kembali kepada kereta sedan. Inilah manifestasi pemilikan sebuah SUV. Inilah juga yang dirasai bila memiliki Ford Escape 2.3 XLT.

Model ini sebenarnya mempunyai beberapa varian dengan Ford bijak menyediakan pilihan untuk pemanduan di Eropah dengan Asia. Atas faktor itu, model menggunakan enjin V6 yang dirasakan kapasiti enjin agak terlalu besar untuk pasaran Malaysia (bermakna cukai jalan tinggi!). Maka varian 2.3 XLT diperkenalkan semula dan ia sebenarnya telah dipertontonkan pada Pameran Motor Tokyo 2007 dengan slogan Konsep Pengembaran Ford Escape. Ia berbeza dengan model Escape untuk pasaran Amerika Syarikat yang rupanya lebih kepada trak.

Ford Escape 2.3 XLT yang diimport sepenuhnya dipertingkatkan dengan pelbagai ciri dan rekaan menarik yang memberi wajah baru lebih kontemporari kepada gaya unik yang menggabungkan pemanduan dan pengendalian seperti kereta dan keupayaan SUV sebenar.

Ford Escape 2.3 XLT baru memenangi Anugerah Kereta Terbaik bagi kategori SUV Petrol Terbaik di Pameran Kereta Antarabangsa Bangkok 2009 baru-baru ini. Model baru ini juga dinamakan sebagai SUV Terbaik (Gasolin) oleh Top Gear Indonesia.

Menggunakan kuasa enjin petrol Ford yang terbukti, VVT (Pemasaan Injap Boleh Ubah) Duratec 146 PS (107 kW) 2.3 liter, digandingkan dengan transmisi automatik 4 kelajuan, Escape baru berharga RM134,837 di Semenanjung Malaysia dan RM138,337 di Sabah dan Sarawak (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.)

Escape baru berwajah segar, menerapkan elemen penting DNA reka bentuk Ford dan perwatakan baru yang terasa lebih anggun dan lebih dinamik. Namun ia mengekalkan kekuatan dan keteguhan yang menjadi teras jenama Escape dan membezakannya daripada kenderaan lain dalam segmennya.

Terdapat banyak perubahan kepada reka bentuk luar Escape. Wajah depan baru, dapra baru, bampar baru dan pintu but baru, ditambah ciri-ciri reka bentuk SUV Ford yang kompak dan digemari, termasuk lampu kabus depan dan lampu besar baru, roda aloi, kemasan gril, lengkung roda, lapik pintu, lampu pintu but dan lampu belakang.

Paling menonjol antara begitu banyak perubahan kepada Escape baru ialah reka bentuk bahagian depan serba baru dengan elemen yang membentuk ciri-ciri utama DNA rekaan Ford. Wajah baru Escape diserlahkan oleh jeriji Ford berpalang tiga, dengan kemasan krom, digabungkan dengan simbol bujur Ford yang lebih besar dan lebih gah, untuk mencipta visual yang pasti melambang dan memperlihatkan identitinya.

Satu lagi ciri DNA Ford ialah jeriji bawah Escape berbentuk trapezium telangkup yang mencerminkan kuasa dan prestasi. Jaringan ceruk terbahagi dua oleh rasuk bampar hitam. Bahagian tepi bawah ditutupi spoiler dagu sama warna dengan badan.

Reka bentuk depan Escape baru dipadankan dengan reka bentuk hood baru dengan dua 'kubah kuasa' terbaik yang mencerminkan kekuatan. Reka bentuk hood baru mengukuhkan gaya depan yang kemas dan diserasikan dengan sudut gril pencakar. Lampu besar baru berbentuk melekap dan lampu kabus jenis projektor melengkapkan wajah Escape baru.

Lampu besar baru dengan kening melintang memberikan penampilan yang anggun dan aerodinamik. Kedudukan lampu yang melekap dipadankan dengan bentuk gril dan diselarikan ke dalam bentuk hood dan fender. Rangka lampu besar dwisinaran ini juga menempatkan lampu isyarat, yang boleh dilihat dengan jelas dari sudut lebih lebar.

Lampu kabus gaya projektor, yang termasuk ke dalam bamper depan baru berwarna hitam, meneruskan kesan melekap. Reka bentuk ini memberikan sentuhan yang menjadikan Escape baru tampak lebih lebar dan lebih teguh.

Profil Escape baru mencerminkan ciri-ciri keanggunan seperti kereta dan keupayaan dinamik - di atas jalan dan di luar jalan. Dari tepi ia menampakkan ciri-ciri lebih besar, lengkung roda lebih agresif, roda baru 16 inci dan beberapa sentuhan reka bentuk yang istimewa.

Tiga warna baru yang menarik telah diperkenalkan untuk Escape baru - Moondust Silver, Mica Black, dan Tonic (biru pucat).

Escape baru membezakan dirinya daripada pesaing dalam segmennya dengan keupayaan SUV sebenar. Ia mempunyai jarak pelepasan dari tanah paling tinggi dalam kelasnya - 200mm depan dan 242mm belakang. Ini dengan jelas menunjukkan binaannya untuk kembara.

Enjin Duratec Ford 2.3 liter dengan empat silinder memberikan kuasa responsif dan penjimatan ekonomi yang setanding. Enjin suntikan bahan api ini ditarafkan pada 107kW kuasa penuh pada 6000rpm. Kuasa terjahan maksimum ialah 196Nm pada 4000rpm. Kadar penggunaan minyak 10.5 liter setiap 100km memberikan penjimatan minyak yang memberi kelebihan kepada Escape XLT.

Kapasiti tundaan tidak berubah pada 750kg tanpa brek, dan meningkat kepada 1000kg dengan brek. Escape baru dilengkapi gantungan depan topang MacPherson dan gantungan belakang berbilang sambungan, ditambah brek cakera depan dan belakang. Ia menggunakan tayar 215/70R16.

Ford Escape 2.3 XLT baru yang diimport sepenuhnya disertakan waranti standard 3 tahun /100,000km, yang mana dahulu.