Showing posts with label fikir fikirkan. Show all posts
Showing posts with label fikir fikirkan. Show all posts

Tuesday, August 24, 2010

Letupan Mercun di seberang Baroh Kuala Terengganu.



Terkejut jugak aku dengar berita ni,sebab sebelum tu aku ada lepak kat
depan masjid Tok ku Paloh dekat offis kontraktor...
Masjid ni berdekatan dengan kg seberang baroh.
Masjid ni di depan kg ni plak di belakang.
Lepas aku blah 20 minit jek menda ni berlaku.
Aku plak keesokannya baru tahu berita ni hehe

Sunday, June 20, 2010

Loghat Negeri


Ini bukan kelas bahasa untuk menceritakan loghat loghat sesebuah negeri. Hari ini penceritaan lain sedikit dari selalu selalu. Loghat boleh dikatakan sebagai bahasa asas sesebuah negeri seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan lain lain negeri.

He he dah lama dah entri ni aku dok save tak update update, adalah dekat dengan seminggu. Ok macam ni, Hal ni bukan lah melibatkan aku tapi hasil pemerhatian aku macam tulah. (kaji selidik sendiri). Aku tidak memihak mana mana pihak.

Sekarang ni aku dah kerja di sekitar Kuala Terengganu, jadi dari loghat ke Kelantanan ke keTerengganuan plak. Tu bukan masalah bagi aku sebab dua dua bahasa aku boleh bertutur.Yang jadi masalahnya, penerimaan orang sekitar Kuala Terengganu dengan orang yang loghat Setiu dan Besut tidak menampakkan keserasian. Tapi bukan semua orang ok, sesetengah sahaja. Bila dua loghat ni cuba masuk daerah K.Tganu akan dipanggil ORANG BARAT, pelik bukan. Setahu aku orang barat adalah untuk orang Thailand jek, kalo diikut dari Negeri Kelantan lah.

Untuk pengetahuan semua, negeri Terengganu ni ada dua loghat iaitu pada sebelah Besut dan Setiu dieleknya Kelantan dan di daerah K.Terengganu hingga ke Kemaman dieleknya Terengganu.Pada masa dulu mengikut cerita orang orang tua, pernah terjadi pergaduhan besar melibatkan Besut dan K.Terengganu, Betul ke tidak Wallahuaklam.

Mungkin bagi anda semua benda ni bukanlah isu besar, tapi kalo dikira dari segi politik ia banyak mempengaruhinya. Anda pasti ingat dulu Dato Idris Jusoh pernah menerajui negeri Terengganu sepenggal dan diubah suai kepada Dato Mohd said. Bila pertukaran ini dibuat banyak projek projek yang telah diluluskan sebelum ni terhenti. Aku tak nak komen dari segi lain dan aku jugak tak menyebelahi mana mana pihak sebab aku tak sokong Umno. Tapi sebagai rakyat Terengganu yang sejati, aku cukup terkilan dengan pembangunan daerah Setiu dan Besut. Cukup dianak tirikan.

Dulu dibawah pimpinan Dato Wan Mokhtar macam tu jugak. Sepanjang pemerintahan Dato Idris banyak jugaklah perubahan dilakukan di kedua dua daerah ni. Jertih dah hampir jadi bandar, Setiu plak banyak jalanraya dilebarkan.Kuala Terengganu pula apa kurangnya dengan Masjid Kristalnya (sekadar beberapa projek yang aku ingat).

Jadi apa kena mengena dengan loghat, sebab benda ni lah penerimaan orang K.Terengganu kepada orang Besut dan Setiu tak mendapat sambutan. Sekarang ni dah takda orang berpengaruh di dua dua daerah ni .Tak macam negeri Kelantan, bila isu melibatkan rakyat Kelantan, Umno dan pembangkang akan bersatu lebih lebih lagi melibatkan isu royalti minyak. Tengok no plate kereta negeri dia lah, jauh tinggalkan terengganu, sebab orang Terengganu tak bersatu. Kelantan semangat kenegeriaan dia kuat tak macam Terengganu dah jadi dua puak yang tak berbeza walaupun dari negeri yang sama.

Ok lah taknak komen lebih lebih sebab takut jadi isu plak mana tau kan. Bersatulah wahai rakyat Terengganu demi masa depan negerimu. Bangunkanlah negeri mu, Jangan pilih kasih.

Thursday, February 18, 2010

Taktik penyeludup petrol di sempadan.

Bukan mudah banteras penyeludupan secara total.

UBAH SUAI tangki biasanya dilakukan pengusaha bengkel di Hat Yai.


SEORANG lelaki tempatan, dikenali sebagai Din, sedang minum kopi di sebuah gerai di Padang Besar, Perlis, dekat sempadan Malaysia-Thailand ketika dihampiri krew Jurnal.

Din, berusia 30-an, mengaku sering membantu warga Thailand menyeludup petrol dan diesel bersubsidi di sempadan Malaysia-Thailand itu.

Menurut Din, dia akan mengisi penuh minyak keretanya di stesen minyak sebelum dipindahkan ke tangki kereta warga Thailand yang menunggu di tempat tersorok dan jauh daripada pandangan orang ramai. Kerana kerjanya itu, Din akan dibayar upah.

"Setiap kali mengisi penuh petrol ke dalam tangki kereta yang berkapasiti 40 liter, saya akan mendapat upah bersih sebanyak RM10 daripada kumpulan penyeludup itu," katanya.

"Cukuplah untuk beli rokok dan berseronok di Padang Besar," tambahnya.

Din memberitahu, petrol daripada tangki keretanya dikeluarkan menggunakan getah paip sebelum diisi semula ke dalam tangki kenderaan rakyat asing itu.

Boleh dikatakan itulah aktiviti harian Din selepas kerajaan hanya membenarkan kenderaan asing mengisi tidak lebih 20 liter bahan bakar itu di stesen minyak yang berada di dalam lingkungan 50 kilometer dari sempadan negara.

Nilai harga pasaran ketika ini iaitu RM1.80 seliter bagi petrol di Malaysia berbanding RM3.50 di negara jiran itu menyebabkan warga asing itu berlumba-lumba mendapatkan bekalan dari Malaysia.

Trak pikap

Sama ada aktiviti tersebut dilakukan rakyat Thailand sendiri yang mahu mengambil kesempatan harga murah itu di negara ini, rakyat tempatan juga tidak terkecuali bersekongkol melakukan aktiviti penyeludupan ke negara jiran itu.

Menurut Komandan Unit Pencegahan dan Penyeludupan (UPP) Perlis, Deputi Supritendan Zakaria Abdul Rahman, sepanjang tahun lalu hampir 50 kes berjaya dikesan pihaknya membabitkan penyeludupan diesel dan petrol.

"Dianggarkan sebanyak 16,259 liter diesel bernilai RM29,051 dan petrol 5,925 liter berharga RM10,697 diseludup tahun lalu.

"Pada bulan Januari lalu pula, hampir 10 kes membabitkan penggunaan kenderaan yang digunakan penyeludup," katanya.

Zakaria menjelaskan, antara taktik penyeludup ialah menggunakan kereta pikap Thailand yang diubahsuai bagi menempatkan tangki tambahan.

"Ada kereta pikap yang kami tahan mempunyai 10 buah tangki tambahan di bahagian belakang serta bawah kenderaan itu sehingga mampu menampung 1,000 liter petrol.

"Biasanya penyeludup jenis itu mempunyai banyak wang untuk membeli kereta pikap.

"Bagi yang mungkin baru hendak berjinak-jinak, mereka akan mengubahsuai motosikal supaya tangkinya lebih besar dan dapat diisi sehingga 40 liter minyak berbanding lima atau 10 liter bagi tangki standard," ujarnya.



Dokumen palsu

Kos bagi melakukan pengubahsuaian tangki itu ialah antara RM3,000 hingga RM5,000 bagi kereta pikap dan RM500 untuk motosikal.

"Mereka biasanya menggunakan khidmat mekanik di Hat Yai dan Songkhla, pomen di Malaysia tidak berminat melakukannya kerana bimbang dikesan pihak berkuasa," ujar Zakaria.

Taktik penyeludupan melalui pengubahsuaian tangki tambahan, biasanya dilakukan kenderaan asing.

Modus operandi penyeludup tempatan pula, mereka sering memilih taktik mengisytiharkan dokumen palsu dengan menggunakan lori bagi membawa keluar bahan bakar bersubsidi ke negara jiran.

Katanya lagi, setakat ini tiada kejadian buruk berlaku dalam usaha pihak berkuasa membanteras penyeludupan.

"Kalau ada pun hanya aksi kejar-mengejar namun akhirnya mereka akan meninggalkan kenderaan dan melarikan diri," katanya.

Selain itu, penyeludup hanya mengharapkan tuah dan kelekaan pihak berkuasa semasa bertugas di pintu sempadan.

Terdapat dua pintu sempadan di Perlis iaitu Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar dan Pos Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Wang Kelian.

"Biasanya mereka akan mengambil kesempatan pada kesibukan di pintu sempadan yang hendak ditutup seperti di ICQ Wang Kelian pada pukul 6 petang manakala di CIQ Padang Besar pada pukul 10 malam bagi melepasi kawalan.

Merayu

"Pada waktu berkenaan, trafik kenderaan akan banyak sehingga menyebabkan kesesakan.

"Adakalanya bagi melancarkan lalu-lintas, pihak berkuasa terlepas pandang kereta penyeludup atau melakukan pemeriksaan biasa sahaja.

"Hendak membanteras penyeludupan secara total bukan mudah. Kalau dikira nisbah, tiga daripada 10 buah kereta penyeludup terlepas. Ia mungkin disebabkan kelalaian manusia," ujarnya.

Aktiviti penyeludupan petrol mula dikesan UPP Perlis sejak tahun 2000 apabila harga minyak antarabangsa melambung dan bertambah teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada tahun 2008, apabila Malaysia menaikkan harga petrol kepada RM2.40 seliter, harga bahan bakar itu di Thailand naik hingga RM7.


KURANG teliti menyebabkan ada penyeludup dapat melepasi pemeriksaan sempadan di Padang Besar.

"Rampasan petrol seludup pada tahun 2008 sahaja mencecah lebih RM3 juta," kata Zakaria.

Cerita Zakaria, apabila ditangkap, para penyeludup sering merayu agar mereka dilepaskan kerana mendakwa terpaksa melakukan aktiviti haram itu disebabkan kesempitan hidup.

Selain itu, faktor pendidikan menyukarkan mereka mencari pekerjaan sah yang lebih baik. Justeru cara mudahnya ialah dengan melakukan aktiviti penyeludupan.

"Lagipun aktiviti penyeludupan ini bukan baru. Ia merupakan pekerjaan tradisi yang telah dilakukan sejak wujud sempadan antara kedua-dua negara. Namun, seingat saya, tidak banyak antara mereka ini menjadi kaya-raya," ujar Zakaria.

Saturday, May 23, 2009

Memandu dengan tabiat negatif

Ramai orang kerap meletakkan kesalahan tragedi kemalangan jalan raya kerana pelbagai faktor persekitaran, sedangkan sebahagian besarnya adalah berpunca daripada diri sendiri.




TAHUKAH anda bahawa kebanyakan pemandu hari ini hanya menggunakan separuh daripada kemahiran mereka semasa memandu di jalan raya?

Usah terkejut, kerana itu adalah realiti. Dorongan itu terjadi berikutan naluri semula jadi manusia yang memberi input salah tentang apa yang sepatutnya dilakukan semasa memandu.

Menggunakan telefon bimbit, menaip teks khidmat pesanan ringkas (SMS), membetulkan siaran radio dan juga mencari arah menerusi sistem navigasi ketika kereta sedang bergerak. Malah ada yang boleh makan, minum serta bersolek ketika memandu.

Memandu memang tidak sukar lebih lagi kenderaan moden yang dilengkapi dengan pelbagai ciri contohnya kenderaan automatik.

Kini, jurutera GM di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa universiti di Jepun sedang merancang mengurangkan keterlibatan manusia dalam mengendalikan kenderaan.


RISIKO kemalangan dapat dielakkan jika pemandu mempraktikkan kemahiran memandu yang sepenuhnya ketika di atas jalan raya.


Mereka cuba menjadikan sistem automasi berfungsi sepenuhnya. Daripada lebuh raya yang membolehkan kereta dipandu tanpa memegang stereng, hinggalah ujian pergerakan mekanikal yang diintegrasikan bersama sistem GPS. Desakan itu timbul berikutan sebahagian besar faktor kemalangan yang berlaku berpunca daripada kesilapan manusia.

Secara relatifnya, semua orang dewasa boleh memandu. Namun, apa yang membezakan pemandu yang cekap dan sebaliknya adalah corak pemanduan. Cekap, bukan semestinya anda seorang pelumba litar atau pemandu ujian seperti Tiff Needell atau Quentin Willson.

Kecekapan pemanduan berdasarkan naluri dan keupayaan mengesan sesuatu kecelakaan beberapa saat sebelum ia berlaku. Perbezaan jumlah saat itu kadangkala menentukan sama ada anda mampu atau tidak menyerap kemalangan, mengelak kemalangan atau terus sahaja menghentam dengan momentum penuh.

Kurang kosentrasi

Kesilapan yang sering berpunca daripada manusia adalah kurangnya konsentrasi semasa memandu. Jika anda menggunakan telefon bimbit dengan kit bebas tangan sekalipun, sebenarnya tumpuan memandu kini terbahagi kepada dua situasi yang berbeza.

Malah, beberapa kajian mendapati konsentrasi memandu boleh hilang sehingga 70 peratus ketika berbual menerusi talian, tidak kira sama ada menggunakan kit bebas tangan atau sebaliknya.


MEMANDU sambil menaip SMS, menggunakan GPRS malah bersolek adalah kecuaian umum yang selalu kita lakukan.


Pernahkah anda terlepas memasuki simpang jalan kerana sibuk berbual dengan rakan sebelah? Ini adalah contoh jelas mengenai konsentrasi yang terganggu.

Konsentrasi bukan sahaja melibatkan mata. Ia berkaitan dengan naluri dan keupayaan deria lain untuk berinteraksi bersama sewaktu memandu.

Tali pinggang keledar

Ingat, secanggih manapun kenderaan ia tidak akan berfungsi menyelamatkan pemandu jika anda mengabaikan fakta keselamatan yang telah disediakan secara asas. Setiap komponen perlu berhubung untuk memastikan setiap satunya berfungsi menyelamatkan pemandu ketika kemalangan.

Beg udara, jika pengeluar kenderaan memasang 30 unit sekalipun tidak akan berguna sekiranya tali pinggang keledar tidak dipakai.

Tragedi kemalangan Mercedes Puteri Diana pada tahun 1998 adalah antara contoh komponen semudah tali pinggang keledar mampu menyelamatkan nyawa.


PIHAK berkuasa memperkenalkan peraturan baru memakai tali pinggang keledar untuk penumpang belakang, tetapi berapa ramai yang mematuhinya?


Daripada empat orang yang berada di dalam kereta, Puteri Diana, Dodi Al Fayed dan pemandu-Henri Paul hanya Trevor rees-Jones (pengawal peribadi Dody Fayed) yang terselamat dalam kejadian tersebut.

Sebabnya, hanya Jones yang memakai tali pinggang keledar. Ringkasnya, untuk menjadi seorang pemandu yang cekap, semuanya harus bermula daripada asas. Pakai tali pinggang keselamatan, tidak kira anda duduk di barisan mana sekalipun.

Kerusi, cermin belakang dan titik buta

Sebaik melabuhkan punggung ke kerusi kenderaan, perkara utama yang perlu dilakukan adalah melaras tempat duduk mengikut kedudukan yang sesuai dan selesa. Selesa bukan bermaksud dalam kedudukan seperti di kerusi malas.

Selesa maksudnya anda mempunyai genggaman stereng yang kemas, jarak kaki menekan kesemua pedal yang betul, selain ketinggian sesuai dengan tahap penglihatan depan serta kedudukan stereng yang sepatutnya.

Kemudian, laraskan ketiga-tiga cermin pandang belakang agar mendapat sudut pandangan yang sesuai. Cermin kiri dan kanan perlu berada dalam posisi yang memberi perspektif pandangan secukupnya dan meminimumkan titik buta.

Hidupkan suis penghawa dingin, audio dan laras sistem navigasi, sebelum memakai tali pinggang keledar dengan kemas. Sekarang anda sudah bersedia untuk memandu.


MELARASKAN kedudukan kerusi agar selesa bukan bermaksud bersandar seperti di kerusi malas.


Pemandu yang cekap juga bermaksud pemandu mengawal kereta dan bukannya kereta yang mengawal pemandu. Kawalan terletak 100 peratus pada tubuh badan anda dan gunakan sebaiknya segala fungsi yang ada pada kereta.

Jangan lupa memberikan isyarat membelok untuk keluar masuk simpang dan menukar lorong. Jangan lupa menggunakan cermin pandang belakang yang anda laras tadi sebelum menukar sebarang haluan kenderaan.

Kelajuan mengikut situasi

Latih diri untuk menduga apa yang berlaku dan akan berlaku di hadapan anda. Bayangkan perspektif pemanduan melebihi sempadan. Di hadapan anda mungkin sebuah kereta Perodua Kancil dan ingat, bukan hanya Kancil sahaja yang perlu anda perhatikan. Jangkakan juga dua atau tiga kenderaan di hadapan anda.

Ketika melalui selekoh yang panjang atau jalan berbukit, pandu dalam kelajuan yang sesuai agar anda mempunyai masa secukupnya untuk membrek sekiranya terdapat halangan di hadapan.

Kelajuan yang sesuai bukan bermaksud 20km/sejam di jalan yang berkelebaran 15 kaki. Anda mungkin dilanggar dari belakang jika memandu terlalu perlahan. Kelajuan yang sesuai juga adalah berdasarkan situasi dan cuaca.


HIDUPKAN lampu signal jika membelok sewaktu pemanduan.


Jalan berbukit juga antara faktor yang sering menyebabkan kemalangan. Ia berikutan titik buta yang terjadi akibat halangan geografi.

Sekarang, anda sudah mendapat perspektif betul bagaimana seharusnya memandu dengan cara yang selamat.

Ingat, jika semua orang di jalan raya mengamalkan corak pemanduan serupa, akhirnya jalan raya akan menjadi tempat yang lebih selamat.

Bertoleransi sesama pemandu. Anda tidak perlu membayar cukai jalan berganda kerana mengangkat tangan meminta maaf sekiranya membuat silap.

Tiada siapa yang sempurna semasa memandu, namun akhirnya anda akan menjadi semakin cekap jika mengamalkan corak pemanduan yang betul. Bukankah itu bagus untuk kita semua?