Showing posts with label Moto GP. Show all posts
Showing posts with label Moto GP. Show all posts

Friday, July 10, 2009

‘Kami sahut cabaran’



CERIA...Shahrol (kiri) menyemarakkan semangat Iskandar (dua kiri),
Elly (tengah), Zulfahmi (dua kanan) dan Farid
selepas sidang media memperkenalkan pelumba yang
akan menyertai MotoGP di Sepang.




EMPAT pelumba tempatan yang terpilih secara wildcard untuk membawa cabaran Malaysia di Grand Prix MotoGP di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC), Oktober depan, mahu mencabar kelibat handalan dunia dengan mempamer aksi terbaik di depan penyokong tempatan.

Elly Idzlianizar Ilias, Md Iskandar Raduan, Mohd Farid Ahmad dan Mohd Zulfahmi Khairuddin, terpilih daripada seramai 17 pelumba Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas dan dua daripada Super Siri Malaysia Bikerz Mags 150cc terbabit dalam program pemilihan itu.

Elly dan Iskandar, pelumba Expert beraksi bersama Petronas Sprinta Ah Hong serta Petronas Sprinta Raceline manakala Farid dan Zulfahmi, pelumba Novis Modenas Yuzy Pachi, akan terus berentap bagi mencari siapa paling layak berada pada petak perlumbaan 125cc di Sepang, nanti.

Elly, 25, berkata pemilihan itu memberi semangat baru kepadanya untuk mengembangkan karier ke tahap lebih tinggi pada masa depan.





“Peluang seperti ini sudah pasti menjadi impian mana-mana pelumba dan saya tidak mahu melepaskannya (membawa cabaran Malaysia). Saingan seperti ini memerlukan mentaliti yang tepat, tahap kecergasan tinggi dan mencabar kerana jentera digunakan lebih pantas berbanding Cub Prix,” kata Elly, juara Expert di Kluang dan Melaka musim ini.


Iskandar, 24, pula berkata, banyak kriteria Grand Prix yang perlu dipelajari, tapi tidak akan mengabaikan aspek kecergasan.

“Saya tidak sabar-sabar mahu mencuba jentera Aprilia spesifikasi lumba digunakan pada latihan minggu depan. Buat masa ini, tahap kecergasan perlu ditingkatkan kerana jentera GP lebih mudah mendapatkan kepantasan diharapkan jika pelumba cergas,” katanya yang pernah muncul Wira epg 2005.

Farid, 21, berkata, dia mahu membalas kepercayaan diberikan jurulatih, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.

“Tiga bulan dari sekarang, segala-galanya penting. Saya terharu dipilih memacu jentera GP dan saya mahu memberi aksi terbaik dan mendapatkan tempat bertarung di grid lumba dunia. Piawaian kompetitif menjadikan seseorang pelumba lebih matang,” kata Farid.

Pelumba termuda daripada kuartet itu, Zulfahmi, 18, mahu serius terhadap prospek berlumba dalam kategori 125cc dunia di Sepang.

“Ini bukan peluang mudah dan datang sekali, sama ada melakukannya atau tidak. Diberi pilihan, saya tidak mahu mensia-siakannya dan mengharumkan nama Malaysia di pentas lumba antarabangsa,” kata Zulfahmi.

Sementara itu, Shahrol Yuzy berkata, motosikal digunakan memerlukan sentuhan pelumba berbakat untuk mengendalikannya.

Tuesday, July 7, 2009

Pedrosa raih kemenangan sulung


PEDROSA (tengah) meraikan kemenangannya bersama Rossi (kiri) dan Lorenzo pada perlumbaan GP Amerika Syarikat semalam.


LAGUNA SECA, California - Pelumba Honda, Dani Pedrosa menjuarai perlumbaan MotoGP pada Grand Prix (GP) Amerika Syarikat awal pagi semalam.

Ia merupakan kemenangan pertama pelumba dari Sepanyol itu bagi kempen musim ini.

Pedrosa berjaya menahan asakan lewat daripada juara dunia yang juga pendahulu kejuaraan musim ini, Valentino Rossi.

Rossi dari Itali yang merupakan juara MotoGP dunia lima kali kini melebarkan penguasaannya pada senarai pungutan mata dengan berkelebihan sembilan mata setelah menamatkan perlumbaan di hadapan pesaing terdekatnya, Jorge Lorenzo yang juga rakan sepasukannya dalam Yamaha.

Lorenzo dari Sepanyol yang bermula dari petak utama biarpun mengalami kemalangan yang mengakibatkan tulang lehernya terkeluar ketika sesi kelayakan Sabtu lalu dilihat terus berani mengekori Rossi tetapi terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Rossi menamatkan perlumbaan dengan masa 0.344 saat di belakang Pedrosa manakala Lorenzo kurang 1.582 saat. Penunggang Ducati, Casey Stoner menduduki tempat keempat.

"Saya berkedudukan selesa, memecut dengan baik dan pada pusingan terakhir saya masih dapat berlumba dengan tenang.

"Saya lihat perkataan dua saat ketika saya melalui pusingan terakhir dan pada selekoh terakhir saya nampak motosikal Rossi. Mujur ia pusingan terakhir dan saya terus menang perlumbaan," kata Pedrosa.

Sementara itu, Rossi berkata, dia telah memberikan sepenuh cabaran dan perlu memikirkan risiko jika dia terus mengasak Pedrosa.

"Litar ini cukup berisiko dan saya tidak cukup pantas untuk memintas Pedrosa. Saya menuruni bukit pada pusingan terakhir seperti orang gila dan akhirnya menamatkan perlumbaan di belakangnya," katanya. - Reuters