Showing posts with label world Race. Show all posts
Showing posts with label world Race. Show all posts

Friday, February 19, 2010

Lotus mampu mencabar – Fairuz


PEMANDU negara, Fairuz Fauzy menguji jentera baru Lotus F1, T127 buat kali pertama di Litar Jerez, Sepanyol kelmarin. – Lotus F1




















KUALA LUMPUR – Walaupun berdepan beberapa masalah kecil pada hari pertama sesi ujian di Litar Jerez kelmarin, namun pasukan Formula Satu negara, Lotus F1 yakin mereka mampu memberi cabaran kompetitif.

Pemandu negara, Fairuz Fauzy, yang menguji jentera Lotus Cosworth T127 buat kali pertama percaya, kereta mereka memerlukan sedikit masa lagi untuk ditingkatkan.

“Selepas menguji jentera Lotus F1 semalam, maklum balas yang saya peroleh.. kereta kami mampu menyerlah dan meningkat sedikit masa lagi.



“Saya melihat Lotus F1 punya potensi dan mampu menjadi salah satu pasukan yang kompetitif pada persaingan nanti," kata Fairuz, yang juga pemandu uji pasukan ketika dihubungi Utusan Malaysia di London, semalam.

Menurut Fauzi lagi, perlumbaan musim ini, yang akan bermula di Bahrain pada 12 Mac depan berbeza dengan perlumbaan sebelumnya kerana sebahagian besar pasukan membariskan pemandu baru.

"Perlumbaan kali ini nyata berbeza kerana saya melihat semua pasukan mampu memberikan persaingan. Insya-Allah, kami juga mampu berada di tahap yang diingini kerana usaha untuk mempertingkatkan jentera Lotus F1 akan dilakukan sedikit masa lagi," jelasnya.

Begitupun Fauzi mengakui, untuk menjadi sebuah pasukan yang disegani ia tidak datang dengan pakej yang singkat dan cepat.

“Anda tidak boleh menang dengan hanya turun sekali, ia memerlukan masa. Masa untuk menambah keyakinan kepada pasukan dan masa untuk menambah kelebihan yang ada pada pasukan,” jelasnya.

Dalam sesi ujian kelmarin, Fairuz melengkapkan pemanduan sejauh 300 kilometer untuk memperoleh Lesen Super daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA). ).

Ujian awal berdepan masalah kecil seperti ketiadaan stereng berkuasa elektronik, Fairuz mampu menyudahkan 76 pusingan pemanduan.

“Pemanduan semalam agar sukar memandangkan jentera kita masih belum mempunyai power steering (stereng berkuasa elektronik).

“Saya fikir kalau ada alat tersebut, pemanduan akan menjadi lebih lancar dan jentera akan lebih ringan

“Walaupun pemanduan agar sukar secara fizikal, namun saya boleh katakan ia berjalan dengan baik,’’ katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknikal Lotus F1, Mike Gascoyne berkata, isu stereng akan diatasi hari ini dan pasukan itu kini sibuk mempersiapkan jentera bagi ujian kedua.

"Dengan jentera yang tiada masalah besar dalam isu daya tahan dan hanya beberapa gangguan timbul seperti masalah enjin cepat panas , selebihnya jentera meluncur tanpa masalah,” kata Gascoyne.

Pemandu utama pasukan dari Finland, Heikki Kovalainen akan mengambil alih tugas pada dua hari uji pandu berikutnya, diikuti Jarno Trulli dari Itali esok. yang hebat,” katanya.

Fauzi akan melakukan ujian sekali lagi di Litar Barcelona, minggu depan.

Saturday, October 17, 2009

Taman Tema Ferrari


GAMBARAN Taman Tema Ferrari di Abu Dhabi yang akan dibuka pada 2010.

APABILA siap sepenuhnya tahun depan, Taman Tema Ferrari (Ferrari World) yang dibina di Pulau Yas, Abu Dhabi, Emeriyah Arab Bersatu (UAE) akan menjadi taman teman terbesar di dunia.

Taman tema yang dibina dengan kos AS$40juta (RM132juta) itu dilengkapi lebih daripada 20 jenis permainan berteknologi tinggi termasuk rollercoaster paling laju di dunia.

Di bawah lengkungan berkembar bumbung yang menyamai bentuk kereta klasik Ferrari itu adalah taman tema tertutup yang juga terbesar di dunia.

Tarikan paling istimewa adalah permainan simulasi lumba Formula Satu (F1) yang memberikan pelawat pengalaman seperti berlumba di litar-litar terkemuka F1.

Ferrari World dilengkapi dengan segala keseronokan untuk percutian seisi keluarga. Antara kemudahan yang tersedia adalah enam buah restoran, pusat hiburan dan kedai cenderahati yang menjual barangan Ferrari.

Pengarah Pemasaran Ferrari World, Nadine Traboulsi berkata, pembinaan taman tema itu kini siap 90 peratus dan dijangka beroperasi sepenuhnya tahun depan.

"Kita memerlukan tiga bulan untuk melakukan persediaan dan memberi latihan kepada beribu-ribu kaki tangan yang bertugas di situ,"katanya.

Turut dibangunkan di kawasan berhampiran adalah Taman Teman Warner Brothers dan tujuh hotel yang dihubungkan dengan Ferrari World.

Saturday, September 26, 2009

RM168 juta untuk F1 1Malaysia


MODEL kereta pasukan F1 1Malaysia.

PASUKAN Formula Satu (F1) 1Malaysia (1MF1T) akan mempunyai modal permulaan sebanyak RM168 juta manakala bajet tahunan pasukan dianggarkan mencecah RM308 juta.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam, Proton Holdings Bhd. akan memberi lesen jenama Lotusnya kepada 1MF1T.

Lesen kerjasama itu termasuk pelbagai faedah bagi Lotus dan juga Proton membabitkan perpindahan teknologi, hak pemasaran dan peluang pekerjaan, kedua-duanya dalam pasukan F1 negara di pusat tek- nikal kumpulan di Sepang dan pangkalan satelitnya di Norfolk, United Kingdom.

1MF1T merupakan projek yang dibiayai swasta dan dimiliki bersama oleh Tune Group, Kumpulan Naza dan Litespeed UK.

Tune Group dimiliki bersama oleh Ketua Pasukan 1MF1T, Datuk Seri Tony Fernandes dan Pengarah 1MF1T, Datuk Kamarudin Meranun.

Pengarah 1MF1T lain ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin dan Zahri Ismail dari 1Malaysia F1 Sdn. Bhd.

Kerajaan tidak memegang sebarang ekuiti dalam projek tersebut, sama ada secara langsung atau tidak langsung menerusi mana-mana syarikat berkaitan kerajaan.

Pasukan itu akan bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) untuk membantu merealisasikan aspirasi mewujudkan kelas modal insan berintensifkan pe- ngetahuan dan teknologi tinggi bagi negara.

Composites Technology Research Malaysia (CTRM), pakar pengeluar bahan komposit utama, juga akan menjadi sebahagian daripada projek itu.

Perancangan sedang berjalan lancar untuk membangunkan pusat teknikal, penyelidikan dan pembangunan serta pembuatan Pasukan F1 1Malaysia di kawasan seluas lapan hektar di Litar Antarabangsa Sepang.

Fernandes menyifatkan pasukan itu sebagai suatu pencapaian luar biasa bagi semua rakyat Malaysia.

"Negara-negara lain berusaha keras membida peluang ini tetapi Malaysia menerusi usaha padu dan kekuatan dalam semangat sebenar 1Malaysia, berjaya meraihnya.

"Ini akan menjadi peluang terbaik bagi korporat Malaysia untuk berkongsi impian ini yang akhirnya menjadi satu kenyataan," katanya.

Fernandes berkata, projek itu akan membantu Malaysia menggerakkan rantaian nilai dengan memberi penekanan kepada inovasi dan teknologi.

"Setelah terlibat dengan dunia F1, kami sangat teruja Malaysia memiliki pasukan F1 sendiri dan faedah besar yang bakal diraih negara dari- padanya," katanya.

Fernandes juga berkata, pasukan itu gembira dapat bekerjasama dengan Proton yang membolehkan kedua-duanya menumpukan kepada perniagaan terasnya dan dalam masa yang sama saling berkongsi fae- dah daripada kerjasama tersebut.

"Saya juga amat gembira bahawa hubungan kami dengan CTRM dan SIC, dengan UTM dan UTP semakin kukuh setiap hari. Ia suatu penghor- matan besar untuk bekerjasama dengan institusi yang memartabatkan semangat wawasan 1Malaysia Perdana Menteri," katanya.

Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir pula berkata, syarikat tersebut amat teruja dan menyokong inisiatif Malaysia itu.

"Menerusi perjanjian pelesenan antara Lotus dan pasukan itu, perkaitan jenama akan memberi faedah kepada Lotus dan juga Proton dan pastinya akan meningkatkan kesedaran jenama global," katanya

Monday, September 7, 2009

Penantian Fisichella berakhir


DETIK gemilang Fisichella ketika meraikan kejayaannya di podium selepas menduduki tempat kedua pada perlumbaan GP Belgium minggu lalu.

PEMANDU Itali, Giancarlo Fisichella telah memulakan kariernya sebagai pemandu Formula Satu (F1) pada tahun 1996 bersama pasukan Minardi.

Ketika itu usianya baru 23 tahun dan pastinya menjadi impian seseorang pemandu dari Itali untuk cuba mempamerkan prestasi terbaik supaya dipikat pasukan ternama dari negara tersebut iaitu Ferrari.

Namun, Fisichella langsung tidak berkesempatan mencapai impiannya itu kerana selepas semusim bersama Minardi, dia berhijrah ke pasukan Jordan (1997), Benetton (1998-2001), Jordan (2002-2003), Sauber (2004), Renault (2005-2007) dan Force India (2008-2009).

Bagaimanapun, nasib Fisichella berubah sekelip mata setelah berjaya meraih petak utama pada perlumbaan Grand Prix (GP) Belgium dua minggu lalu disusuli kejayaan menduduki tempat kedua di belakang pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen pada perlumbaan sebenar sehari kemudian.

Ia sekali gus memberikan mata sulung buat pasukan Force India dalam sejarah F1 dan pada masa yang sama membuka mata Ferrari untuk menagih khidmatnya.

Ferrari begitu terdesak mencari pemandu kedua berkualiti untuk digandingkan dengan Raikkonen pada baki saingan musim ini selepas Luca Badoer yang menggantikan Felipe Massa yang cedera gagal memenuhi kehendak pasukan.

Akhirnya minggu lalu, Ferrari mengumumkan Fisichella sebagai pemandu kedua mereka untuk baki saingan musim ini menggantikan Badoer dan dia turut menjadi pemandu simpanan Ferrari untuk musim 2010.

Pada masa yang sama, Force India bersetuju untuk melepaskan Fisichella meskipun kontraknya belum berakhir.

Bagi Fisichella, dia langsung tidak menjangka untuk melalui satu transformasi besar pada ketika usianya yang kini sudah mencecah 36 tahun.

"Peluang ini akhirnya hadir juga selepas 14 tahun. Saya pernah menguji jentera Ferrari 412 T2 di Fiorano pada 27 September 1995.

"Saya masih tidak percaya bahawa peluang untuk menyertai Ferrari masih terbuka. Saya rasa seperti mimpi menjadi kenyataan kerana setiap pelumba Itali pasti mempunyai cita-cita untuk memandu jentera F1 Ferrari.

"Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pasukan Ferrari dan juga pengerusinya, Luca di Montezemolo kerana merealisasikan impian saya ini.

"Sepanjang minggu lalu, beberapa perkara menarik telah berlaku dalam hidup saya termasuk berjaya meraih petak utama dan juga mendapat tempat kedua di Litar Spa.

"Kini saya dipanggil pula oleh Ferrari untuk memandu jentera mereka pada baki lima perlumbaan musim ini bermula dengan GP Itali di Litar Monza pada 13 September ini," kata Fisichella selepas diumumkan sebagai pemandu Ferrari minggu lalu.

Bagi ketua pasukan Ferrari, Stefano Domenicali, pemilihan Fisichella itu dibuat selepas dia berfikir panjang lebar dan akhir- nya mahu pemandu Itali tersebut menjalin- kan hubungan jangka panjang dengan pasu- kannya.

"Kami memilih Fisichella kerana berpendapat dia mampu memberikan sumbangan bermakna dari segi kutipan mata pada baki perlumbaan musim ini," kata Domenicali.

Pemilihan Fisichella itu sekali gus mengu- burkan terus impian Badoer, juga seorang pemandu Itali yang terpaksa diketepikan selepas dia gagal menyinar dalam dua perlumbaan yang dilaluinya.

"Saya hanya mahu katakan, saya minta maaf kepada Badoer. Saya tahu betapa anda juga mengintai peluang berlumba di Litar Monza dengan menggunakan jentera Ferrari."

Mengimbas pencapaiannya sepanjang 14 tahun berlumba dalam perlumbaan F1, Fisichella sebenarnya hanya berjaya memena- ngi tiga perlumbaan iaitu di GP Brazil 2003, GP Australia 2005 dan GP Malaysia pada 2006.

Dia juga telah menjejak podium sebanyak 19 kali dan empat kali menduduki petak utama selepas beraksi dalam 226 perlumbaan.

Sepanjang 14 tahun itu juga, prestasi terbaiknya hadir ketika Fisichella memandu untuk pasukan Renault apabila berjaya menduduki tempat kelima keseluruhan pada musim 2005 dan tempat keempat keseluruhan pada musim 2006.

Fisichella mempunyai dua cahaya mata iaitu Carlotta dan Christopher hasil perkongsian hidup dengan pasangannya, Luna Castellani.

Sunday, August 23, 2009

Hamilton garang



VALENCIA - Juara dunia, Lewis Hamilton (gambar) mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Eropah semalam, sekali gus bakal memulakan perlumbaan akhir di petak pertama hari ini.

Pemandu McLaren berusia 24 tahun itu meraih petak pertama buat pertama kali musim ini dan yang ke-14 dalam kariernya selepas mencatat masa terpantas 1 minit, 39.498 saat di litar jalan raya Valencia.

Rakan sepasukannya, Heikki Kovalainen dari Finland pula mencatat masa kedua terpantas dengan catatan 1:39.532s.

"Kejayaan ini memang cukup menggembirakan saya dan seluruh pasukan terutama Kovalainen," kata Hamilton.

"Kami memang ingin memberikan prestasi terbaik dalam setiap perlumbaan dan sudah lama kami mengidam untuk menguasai sesi kelayakan bagi memulakan perlumbaan di petak pertama dan kedua.

"Kejayaan ini membuktikan bahawa McLaren kini sudah kembali selepas berdepan dengan pelbagai kesukaran di awal musim."

Untuk rekod, kali terakhir Hamilton meraih petak hadapan ialah pada GP China di Shanghai tahun lepas.

Kini, dia mempunyai keyakinan untuk kembali memberi saingan secara kompetitif khususnya kepada pasukan Brawn GP dan Red Bull yang mendominasi di awal musim.

"Sudah jelas kami memang cukup kompetitif," tambah Hamilton yang meraih kejuaraan pertamanya musim ini pada GP Hungary bulan lepas.

"Semua krew kami juga menjalankan tugas mereka dengan cemerlang."

Pemandu Brawn GP, Rubens Barrichello bakal memulakan aksi di petak ketiga selepas mencatat masa 1:39.563s dihadapan pemandu Red Bull, Sebastian Vettel dan pendahulu keseluruhan yang juga rakan sepasukannya, Jenson Button.

Pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen di tempat keenam tetapi rakan sepasukannya, Luca Badoer yang menggantikan Felipe Massa bakal bermula di petak terakhir. - Reuters

Jangan terburu-buru - Barrichello



VALENCIA - Pemandu Brazil, Rubens Barrichello mendesak agar rakan senegaranya, Felipe Massa tidak terlalu terburu-buru untuk kembali beraksi dalam perlumbaan Formula Satu (F1).



Terdahulu, Massa terpaksa menjalani pembedahan selepas mengalami keretakan tempurung kepala berikutan kemalangan yang dialaminya pada Grand Prix (GP) Hungary bulan lepas.

Pemandu Ferrari itu bagaimanapun mendedahkan dia mungkin akan kembali beraksi pada GP Brazil, Oktober depan.

Namun, Barrichello berkata, Massa memerlukan masa yang lebih panjang untuk benar-benar bersedia untuk kembali memandu jentera F1 meskipun proses pemulihannya berjalan lancar.

"Sebagai kawan, memang saya boleh katakan dia sudah bersedia untuk kembali berlumba," kata pemandu Brawn GP itu.

"Masih terdapat kesan jahitan di kepala tetapi dia sudah bersedia.

"Namun jika melihat dari sudut perubatan pula, saya rasa dia perlu bersabar dan menunggu masa yang lebih sesuai untuk kembali.

"Dia juga tidak boleh menjalani latihan berat dan saya yakin, dia perlu memandu jentera go-kart sebelum kembali dalam F1.

"Disebabkan itu, saya tidak pasti sama ada dia mampu bersedia untuk beraksi di Brazil nanti."

Ketiadaan Massa menyaksikan Luca Badoer menggantikannya pada GP Eropah.

Tuesday, August 18, 2009

Massa makin pulih

LONDON - Pemandu Ferrari, Felipe Massa semakin pulih daripada kecederaan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh ketua pasukan Ferrari, Stefano Domenicali yang melawat Massa di rumahnya di Sao Paulo, Brazil kelmarin.

Terdahulu, Massa terpaksa menjalani pembedahan akibat keretakan tempurung kepala selepas terkena serpihan besi yang melayang dari kereta pemandu Brawn GP, Rubens Bar- richello pada perlumbaan GP Hungary bulan lalu.

Massa agak bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan yang lebih serius di baha- gian kepala.

"Keadaan Felipe sudah sema- kin bagus dan semuanya berjalan dengan baik. Saya gembira melihatkan situasi Felipe ketika ini," kata Domenicalli kelmarin.

Selepas menjalani pembedahan, Massa terpaksa berada di hospital di Budapest, Hungary selama seminggu.

Dalam masa tiga hari pertama di hospital berkenaan, pemandu kelahiran Brazil itu diletakkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat koma.

Selepas menjalani beberapa ujian perubatan, dia dibenarkan keluar dari hospital dan mene- rima rawatan di rumahnya di Sao Paulo.

"Felipe masih perlu menjalani beberapa ujian perubatan dan dia kini dalam proses pemuli- han.

"Buat masa ini, kami semua harus bersabar dan tidak perlu tergopoh-gapah," tambah Domenicali.

Domenicali turut memaklumkan bahawa tiada tarikh tertentu yang ditetapkan untuk Massa kembali berlumba dan tempatnya pada GP Eropah minggu ini akan diambil alih oleh pemandu uji Ferrari, Luca Badoer.

Badoer merupakan pemandu uji Ferrari sejak sembilan tahun lalu dan pemandu Itali itu telah beraksi dalam 48 perlumbaan GP.

Kali terakhir dia berlumba ketika mewakili pasukan Minardi pada 1999.

Renault dapat kebenaran berlumba

PARIS - Renault berjaya dalam rayuannya untuk beraksi pada perlumbaan kereta Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Eropah.

Semalam, Mahkamah Rayuan Antarabangsa Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) memutuskan bahawa pasukan yang berpangkalan di Perancis itu dibenarkan beraksi pada GP Eropah di Litar Valencia hujung minggu ini.

Terdahulu, Renault benar- benar berharap agar pemandunya, Fernando Alonso dapat beraksi di hadapan penyokongnya sendiri.

Bulan lalu, FIA selaku badan induk sukan pemotoran dunia telah menggantung Renault daripada menyertai perlumbaan GP Eropah.

Ia disebabkan kegagalan pasukan itu mematuhi aspek keselamatan pada GP Hun- gary lalu.

Dalam insiden tersebut, pengelola perlumbaan mendapati Renault dengan sengaja membenarkan Alonso meneruskan perlumbaan meskipun menyedari salah satu skru tayar depan jentera pemandu Sepanyol itu longgar.

Ekoran itu, Persekutuan Pemotoran Perancis telah mengemukakan rayuan bagi membolehkan Renault dibenarkan beraksi pada GP Eropah hujung minggu ini.

Pada sesi perbicaraan semalam, Renault diwakili pengarah kejuruteraan, Pat Symonds dan pengarah teknikal- nya, Bob Bell.

Pengarah perlumbaan F1, Charlie Whitting pula mewakili FIA.

"Kami gembira kerana semua yang dirancang dapat berjalan dengan lancar.

"Rayuan ini bukan semata- mata untuk menegakkan kebenaran tetapi ia lebih kepada perjuangan kami musim ini," kata Symonds. - Agensi

Saturday, August 15, 2009

GP Malaysia dapat 'lampu hijau'


PERLUMBAAN GP Malaysia di Litar Sepang akan dilangsungkan sejam lebih awal musim depan.

LONDON - Ketua Eksekutif Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone memberi 'lampu hijau' kepada penganjur Grand Prix (GP) Malaysia untuk memulakan perlumbaan tahun depan sejam lebih awal berbanding tahun ini.

Buat pertama kali, perlumbaan GP Malaysia tahun ini bermula pukul 5 petang waktu tempatan, berbanding 2 petang pada tahun-tahun sebelumnya.

Begitupun, timbul masalah apabila perlumbaan terpaksa dihentikan selepas 32 pusingan berikutan hujan lebat dan keadaan yang semakin gelap.

Bagi mengelak insiden yang sama berulang, penganjur GP Malaysia, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) membuat permohonan agar perlumbaan tahun depan diadakan sejam lebih awal dan ia telah dipersetujui oleh Ec- clestone.

"Kami akan memulakan perlumbaan GP Malaysia tahun depan sejam lebih awal," kata Ec- clestone kepada akhbar Today.

Begitupun, Ecclestone tetap mempertahankan keputusannya untuk mengadakan perlumbaan di Asia lewat petang atau pada waktu malam bagi menarik lebih ramai penonton televisyen di Eropah.

"Sambutan penonton televi- syen di Eropah tidak begitu memuaskan tetapi kami telah mengambil langkah dengan mengadaklan perlumbaan malam di Singapura dan juga perlumbaan lewat petang di negara-negara Asia yang lain," tambah Ecclestone.

"Begitupun, timbul sedikit masalah pada perlumbaan di Australia dan Malaysia.

Namun, jika diadakan sedikit awal, mungkin kita mampu untuk mengatasi masalah yang timbul apabila hujan.

"Secara keseluruhannya, saya tetap percaya, apa yang kami lakukan ini memberi kelebihan buat penganjur dan penonton."

Friday, August 14, 2009

Nelson Piquet 'serang' bos Renault




LONDON - Bekas pemandu Renault, Nelson Piquet (gambar) terus mengkritik pengurusnya, Flavio Briatore selepas dia dipecat minggu lepas.

Piquet percaya, sekiranya Briatore yang juga ketua Renault terus menguruskan kariernya, masa depannya dalam F1 akan musnah.

"Pada pandangannya (Briatore), seseorang pengurus itu hanyalah individu yang yang menerima 20 peratus daripada pendapatan pemandu tetapi bagi saya, pengurus harus cuba melakukan yang terbaik untuk mendapatkan kontrak yang bagus," kata Piquet.

Dia dipecat daripada Renault selepas gagal meraih sebarang mata musim ini dan tempatnya akan diganti oleh pemandu simpanan, Romain Grosjean.

Dalam pada itu, Piquet juga berpendapat, jika dia terus terikat dengan kontrak bersama Briatore, dia pasti tidak akan mempunyai peluangnya untuk kembali dalam F1 tahun depan atau tahun seterusnya.

"Flavio tidak pernah memainkan peranan untuk membantu saya terus beraksi dalam F1," tambah Piquet. - Agensi

Webber mampu bergelar juara




LONDON - Bekas juara dunia tiga kali, Jack Brabham percaya, pemandu Red Bull, Mark Web- ber mampu untuk menjuarai perlumbaan F1 musim ini.

Webber kini menduduki tempat kedua keseluru- han dengan ketinggalan 18.5 mata di belakang pemandu Brawn GP, Jenson Button.


Begitupun, Brabham melahirkan keyakinan bahawa Webber mampu terus bangkit, sekali gus menewaskan Button dalam baki tujuh perlumbaan musim ini.

"Saya percaya Mark Webber mampu untuk beraksi dengan lebih baik dan menjadi juara dunia musim ini sekiranya dia terus diberikan jentera yang pantas," kata bekas pemandu Australia berusia 83 tahun itu kelmarin.

"Sungguh menakjubkan apabila melihat Webber berada di kalangan pemandu terbaik dunia. Dia telah menjalankan tugasnya dengan cemerlang.

"Saya memang sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada Webber dan ternyata sokongan kami ini tidak sia-sia."

Webber meraih kemenangan pertamanya dalam F1 pada GP Jerman bulan lepas, sekali gus menjadi pemandu Australia ketiga yang berjaya menduduki podium teratas bagi mengikut jejak Brab- ham dan Alan Jones. - Agensi

Schumi tak putus asa




LONDON - Bekas juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher (gambar) tidak menolak kemungkinan untuk kembali beraksi dalam perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.

Terdahulu, Schumacher menarik balik keputusannya untuk membuat penampilan semula pada Grand Prix (GP) Eropah di Valencia, 23 Ogos ini dengan alasan kecederaan leher yang dialami Februari lalu masih belum pulih sepenuhnya.

Namun kelmarin, pemandu Jerman itu menjelaskan, tidak mustahil untuk dia memandu jentera Ferrari dalam perlumbaan F1 musim ini sekiranya tahap kecederaannya bertambah baik.

"Hanya terdapat satu cara sahaja untuk memastikan sama ada saya sudah bersedia untuk memandu jentera F1," kata Schumacher yang bersara pada penghujung musim 2006.

"Saya harus mencuba sendiri memandu jentera ini dalam perlumbaan. Sebelum ini, telah banyak kali saya beraksi secara simulasi dan saya juga telah cuba memandu dalam sesi ujian, namun semuanya tidak sama dengan perlumbaan sebenar.

"Saya harus beraksi sendiri untuk melihat sama ada leher saya mampu untuk menahan tekanan yang dirasai dalam perlumbaan.

"Begitupun, saya tidak ingin membuat sebarang keputusan pada ketika ini. Lebih baik kita tunggu dan lihat.

"Apa yang pasti, saya memang kecewa tidak dapat membantu Ferrari di Valencia. Saya tidak berminat untuk beraksi sepenuh masa dalam F1 tetapi saya hanya ingin membantu Ferrari ketika mereka berada dalam kesusahan."

Selepas Schumacher membatalkan hasrat untuk membuat penampilan semula di Valencia, Ferrari kini memilih pemandu veteran, Luca Badoer sebagai pengganti Felipe Massa.

Massa terpaksa direhatkan selepas menjalani pembedahan tempurung kepala akibat kemalangan yang dialaminya pada GP Hungary lalu.

Thursday, August 13, 2009

GP Singapura kekal lama


PERLUMBAAN GP Singapura mencipta sejarah tersendiri apabila dilangsungkan pada waktu malam.

LONDON - Pemilik Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone memberi jaminan bahawa perlumbaan Grand Prix (GP) Singapura akan kekal dalam kalendar sukan berprestij itu untuk tempoh yang lama.

GP Singapura yang dilangsungkan buat pertama kali tahun lalu telah mencipta sejarah tersendiri apabila muncul perlumbaan pertama dalam sukan F1 yang dilangsungkan pada waktu malam.

Untuk rekod, perlumbaan yang berlangsung di litar jalan raya di Teluk Marina itu mempunyai kontrak selama lima tahun menerusi perjanjian antara Formula One Management (FOM) dan Ecclestone.

"Kami tidak akan membiarkan perlumbaan ini (GP Singapura) terkeluar daripada sukan F1... itu yang pasti," jelas Ecclestone kepada Today Online.

"Selagi mana negara Singapura itu wujud, maka selagi itu kami (perlumbaan F1) akan berada di sana.

"Saya boleh katakan bahawa semua pasukan dan pemandu gembira dengan perlumbaan tersebut. Saya juga tidak pernah melihat destinasi perlumbaan sehebat di Singapura.

"Apabila kamu pergi ke negara itu, kamu benar-benar akan menemui destinasi terbaik dan tempat itu adalah lokasi yang indah buat semua orang."

Sementara itu, perlumbaan F1 telah mengalami perubahan ketara apabila beberapa venue baru diperkenalkan termasuklah Singapura yang menggantikan beberapa lokasi utama di Eropah.

"Kita mahukan perubahan baru dalam sukan ini dan ia bukan semata-mata kerana faktor perniagaan," tambah Ecclestone. - Agensi

Impian peminat punah angkara Schumacher



LONDON - Keputusan Michael Schumacher (gambar) untuk tidak beraksi dalam perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini telah 'menghancurkan' impian sukan berprestij itu.

Demikian komen daripada bekas pemilik pasukan F1 Jordan, Eddie Jordan mengenai tindakan pemandu Jerman itu yang menarik balik keputusannya untuk kembali ke F1 ekoran masalah kesihatan.

Menurut Jordan yang pernah mengetuai pasukan Jordan dari tahun 1991 hingga 2005, tindakan itu adalah sesuatu yang sukar diterima oleh seluruh peminat F1 yang begitu dahagakan aksi Schumacher.

Sebelum ini, Schumacher yang juga juara dunia tujuh kali bersetuju untuk membuat penampilan bersama bekas pasukannya, Ferrari bagi menggantikan tempat Felipe Massa yang mengalami kecederaan pada GP Hungary lalu.

Namun, legenda F1 itu menarik balik keputusannya itu selepas gagal pulih sepenuhnya daripada kecederaan leher ekoran terlibat dalam kemalangan motosikal Februari lalu.

"Lance Armstrong (legenda lumba basikal) tidak akan kembali beraksi dalam Jelajah Perancis jika dia tidak pulih 100 peratus. Begitu jugalah situasi yang dialami Schumacher," jelas Jordan kepada agensi TalkSport.

"Begitupun, saya terkejut kerana dia (Schumi) mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan ini (tidak beraksi).

"Dia mungkin masa memiliki kepantasan pemanduan, tetapi saya rasa dia tidak memiliki cukup kemampuan untuk beraksi selama dua jam di litar perlumbaan.

"Mungkin ini adalah satu khabar buruk buat semua peminat F1 yang merasakan bahawa semangat mereka telah hilang." - Agensi

Monday, August 10, 2009

Helmet F1 berkualiti - Burti


HELMET yang dipakai Massa hanya mengalami kerosakan kecil walaupun pemandu itu terlibat dalam kemalangan serius pada aksi kelayakan GP Hungary bulan lalu.

LONDON - Bekas pemandu F1, Luciano Burti memberi kredit kepada FIA serta pengeluar kerana berjaya mencipta helmet yang lebih selamat.

Bekas pemandu Brazil berusia 34 tahun itu pernah mengalami kemalangan serius di Spa Francorchamps pada 2001, insiden hampir sama seperti yang terjadi kepada pemandu Ferrari, Felipe Massa pada GP Hungary bulan lepas.

Massa terpaksa menjalani pembedahan akibat keretakan tempurung kepala selepas terkena serpihan besi yang melayang dari kereta pemandu Brawn GP, Rubens Barrichello.

Begitupun menurut Burti, Massa cukup bernasib baik kerana menggunakan helmet yang lebih bermutu berbanding yang pernah digunakannya lapan tahun lepas.

"Selepas kemalangan yang melibatkan Massa di Hungaroring, saya dapat lihat evolusi helmet yang terjadi sejak saya mengalami kemalangan di Belgium pada 2001 lalu," kata Burti.

"Jika helmet yang saya gunakan dulu diperbuat daripada gentian karbon seperti sekarang, pasti saya tidak mengalami kecederaan yang lebih teruk.

"Ini menunjukkan usaha positif telah dilakukan oleh FIA serta pengeluar helmet bagi memastikan keselamatan pemandu."

Burti berada di Budapest ketika Massa mengalami kemalangan tersebut dan dilaporkan merupakan antara individu terawal yang melawat rakan senegaranya itu di hospital.

Friday, August 7, 2009

Usaha selamatkan BMW Sauber gagal?



MASA depan BMW Sauber
dalam perlumbaan F1 masih
tidak menentu.

LONDON - Masa depan BMW Sauber dalam perlumbaan Formula Satu (F1) masih menjadi tanda tanya selepas usaha pertama menyelamatkan pasukan itu menemui jalan buntu.

Pengasas yang juga pemegang 20 peratus saham dalam pasukan itu, Peter Sauber serta ketua pasukan, Mario Theissen dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan pegawai ekse- kutif BMW baru-baru ini.

Tujuannya ialah mengenai cadangan mengambil alih penguru- san pasukan tersebut bagi memastikan BMW Sauber yang beroperasi di Hinwil itu dapat terus beraksi tahun depan.

Begitupun, perbincangan tersebut dilaporkan menemui jalan buntu meskipun selepas tarikh akhir untuk Perjanjian Concorde berakhir 5 Ogos lalu.

"Kami telah cuba melakukan pelbagai usaha dalam masa yang singkat ini tetapi kami masih tidak menemui jalan penyelesaian," kata Thei- ssen.

Sauber menjual kepentingan dalam pasukan Sauber F1 kepada BMW pada tahun 2005 dan sejak itu, pasukan terbabit dikenali sebagai BMW Sauber.

Dalam pada itu, Sauber turut mendedahkan terdapat beberapa pelabur yang berpotensi untuk membantu meneruskan impian mereka beraksi dalam F1 tahun depan.

Sementara itu, bekas juara dunia, Nelson Piquet yang juga bapa kepada pemandu Renault yang baru digugurkan, Nelson Piquet Jr turut dikaitkan sebagai indivi- du yang akan bekerjasama untuk menyelamatkan masa depan BMW Sauber pada perlumbaan tahun depan. - Agensi

Thursday, August 6, 2009

'Schumi mampu julang Ferrari'


SCHUMACHER bakal menjadi inspirasi kepada kebangkitan Ferrari pada perlumbaan F1 musim ini.

LONDON - Bernie Eccle- stone yakin Michael Schuma- cher mampu menghadiahkan kejayaan pertama buat Ferrari pada perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.

Pemilik F1 itu memanggil semula Schumacher untuk perlumbaan itu walaupun dia telah bersara pada tahun 2006.

Schumacher disenaraikan dalam pasukan Ferrari bagi kempen musim ini selepas pemandu Brazil, Felipe Massa terpaksa berehat panjang akibat kecede- raan.

Berdasarkan laporan terkini, pemandu Jerman itu dijangka membuat penampilan sulungnya musim ini pada Grand Prix (GP) Eropah di Valencia pertengahan bulan ini.

Namun, Ecclestone meramalkan, kehadiran Schuma- cher dalam pasukan Ferrari akan memberi impak besar kepada pasukan dari Itali itu, sekali gus membuka peluang mereka untuk meraih kemenangan sulung musim ini.

"Saya dapat rasa Michael akan memenanginya lagi. Jika ada sesiapa yang boleh melakukannya, Michael juga boleh.

"Dia tidak pernah bosan dan tidak akan merasa bosan lagi sekarang.

"Saya rasa dia akan beri pengajaran kepada satu atau dua pemandu dan saya juga mahu lihat dia terus memandu dalam saingan musim ini.

"Apa pun, kita tunggu dan lihat saja apa yang berlaku. Dia mungkin akan membuat keputusan yang penting." - Agensi

Monday, August 3, 2009

Penampilan Schumi dinanti-nanti



LOMPATAN LEGENDA... Kehadiran Schumacher bakal memberi impak besar kepada perlumbaan F1 musim ini.

PERLUMBAAN kereta Formula Satu (F1) musim ini bagaikan sudah hilang serinya.

Politik dalaman yang melanda Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) 'menghiasi' aksi di luar litar sementara kemalangan ngeri terus menghangatkan lagi derita perlumbaan paling berprestij itu.

Selepas gelora dalaman FIA senyap seketika, insiden kemalangan ngeri menyusul yang hampir meragut nyawa pemandu Ferrari, Felipe Massa pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Hungary Sabtu lalu.

Tiga hari selepas itu, peminat perlumbaan berprestij itu dikejutkan dengan pengumuman BMW Sauber yang akan menarik diri daripada sukan F1 pada penghujung musim 2009.

Begitupun, kurang 24 jam selepas episod sedih yang 'dijelmakan' BMW Sauber itu, peminat fanatik F1 kembali ceria.

Semuanya gara-gara kenyataan daripada bekas juara dunia tujuh kali yang juga legenda F1, Michael Schumacher yang berhasrat untuk kembali ke litar perlumbaan.

Schumacher, 40, yang telah bersara daripada sukan itu pada tahun 2006 diumumkan akan kembali beraksi di litar F1 bermula pada Grand Prix (GP) Eropah bulan depan.

Menariknya, penampilan legenda Jerman itu adalah bersama pasukan Ferrari, pasukan yang telah menghadiahkan lima kejuaraan dunia kepadanya bermula dari tahun 2000 hingga 2004.

Apa yang pasti, ia merupakan hadiah paling istimewa buat seluruh peminat Schumacher yang masih setia mengikuti perkembangannya sejak penampilan sulung pada tahun 1991.

Schumacher akan menggantikan Massa bermula pada GP Eropah di Valencia pada 23 Ogos ini selepas pemandu Brazil itu dijangka mengambil masa agak lama untuk kembali pulih selepas menjalani pembedahan tempurung kepala.

"Pasukan Ferrari-Marlboro bercadang untuk memberi pe luang kepada Michael Schumacher menggunakan kereta Felipe Massa sehingga pemandu Brazil itu kembali bersaing," jelas kenyataan pasukan dari Itali itu.

"Michael Schumacher juga mengesahkan dia boleh beraksi dan dalam beberapa hari ini, dia akan mengikuti program khas sebagai persiapan menghadapi GP Eropah."

Schumacher membuat penampilan pertama dalam perlumbaan F1 pada GP Belgium 1991 apabila menjadi pemandu gantian bagi pasukan Jordan.

Begitupun, dengan bakat luar biasanya, Schumacher tidak mengambil masa yang lama untuk 'diikat' Flavio Briatore bagi menyertai Bennetton.

Kejuaraan pertamanya selaku pemandu F1 hadir pada GP Belgium sebelum merangkul dua gelaran dunia pada tahun 1994 dan 1995.

Setahun kemudian, Schumacher menyertai Ferrari dan meraih kejuaraan dunia lima kali berturut-turut bermula pada tahun 2000 hingga 2004.

Sepanjang kariernya juga, Schumacher berjaya meraih 91 kemenangan selain merekodkan 68 kedudukan petak hadapan.

Schumacher juga boleh mendabik dada, apabila dia menjadi satu-satunya pemandu yang memenangi 13 perlumbaan dalam satu musim.

"Michael (Schumacher) adalah salah seorang daripada pencabar terhebat dalam sukan ini dan dia adalah legenda. Bagi saya, ia akan menjadi hebat apabila dapat berlumba bersamanya," jelas juara dunia 2008, Lewis Hamilton.

"Peminat seluruh dunia juga akan menyaksikan penampilan semula Michael di litar pada GP Eropah nanti.

"Mereka bukan hanya mahu melihat penampilan semula pemandu itu, tetapi bagi saya, ia adalah satu penghargaan dan penghormatan apabila dapat berlumba bersamanya," tambah Hamilton.

Sementara itu, bekas juara dunia yang juga rakan sepasukan Schumacher, Kimi Raikkonen mengakui dia sudah tidak sabar untuk bekerjasama dengan pemandu Jerman itu.

"Sekiranya ia benar berlaku, saya sangat gembira untuk bergandingan dengannya walaupun ia mungkin tidak banyak memberi kesan terhadap prestasi saya," kata Raikkonen yang muncul juara F1 pada 2007. - Agensi

Button pemandu emas Brawn GP


BUTTON dapat kepercayaan
untuk kekal
dalam pasukan Brawn GP musim depan.

LONDON - "Jenson Button 99 peratus akan kekal bersama kami"

Demikian tegas ketua pasukan Brawn GP, Ross Brawn mengenai masa depan Button pada perlumbaan Formula Satu (F1) tahun depan.

"Saya tidak katakan seratus peratus, tetapi kedudukan Jenson dalam pasukan ini cukup selesa," jelasnya kepada agensi Auto Bild.

Namun, Brawn sedar bahawa harga Button selepas ini pasti meningkat jika pemandu Britain itu mengekalkan kedudukannya selaku pendahulu keseluruhan, sekali gus muncul juara dunia.

"Seperti biasa, saya akan tawarkan dia sejumlah wang yang besar kerana dia merupakan calon juara dunia," tambah Brawn.

Mengulas mengenai senarai penuh pemandu Brawn GP musim depan, Brawn enggan mengesahkannya, namun dia cukup senang untuk mengekalkan Button dengan Rubens Barrichello.

Brawn juga mengakui beliau cukup senang bekerjasama dengan pengedar enjin pasukan mereka.

"Saya harap, kami akan terus bekerjasama dengan Mercedes untuk beberapa tahun akan datang," tambahnya. - Agensi

Sauber selamatkan pasukan BMW Sauber?



IMBAS KEMBALI... Sauber (tengah) bergambar bersama
pemandu pasukan Sauber Petronas pada tahun 2002.

LONDON - Peter Sauber bertekad untuk membuat penampilan semula dalam perlumbaan Formula Satu (F1) sebagai pemilik dan ketua pasukan.

Dia juga berjanji akan cuba menyelamatkan pasukan yang berpangkalan di Hinwil itu untuk kekal dalam F1 sejak ditubuhkan pada tahun 1993.

Sauber, 65, dan berasal dari Switzerland menjual kepentingan dalam pasukan Sauber F1 kepada syarikat pengeluar kereta Jerman pada tahun 2005.

Sejak itu, pasukan tersebut dikenali dengan nama BMW Sauber dan membuat penampilan sulung pada tahun 2006.

Namun, Sauber mengakui keputusan BMW untuk menarik diri daripada kempen Formula Satu (F1) hujung tahun ini adalah sesuatu yang mengejutkan.

"Satu perkara yang jelas, saya akan melakukan apa yang termampu untuk menyelamatkan bekas pasukan saya ini," jelas Sauber kepada Auto Bild.

Begitupun, Sauber yang mempunyai 20 peratus kepentingan dalam pasukan BMW Sauber mengakui ia (selamatkan BMW Sauber) bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan.

"Saya tidak mempunyai keajaiban dan saya sendiri tidak tahu berapa lama saya boleh mengetuai pasukan ini di kawasan pit," ujarnya.

"Saya akan bagi tahu mereka bahawa saya akan menghubungi semua kenalan saya, tetapi ia masih belum memberi jaminan.

"Saya akui saya hanya boleh menjadi konsultan, dan hanya BMW di Munich yang mampu memutuskan bagaimana proses ini berlaku."

Ahad lalu, BMW Sauber secara rasmi mengumumkan penarikan diri daripada perlumbaan F1 bermula hujung tahun ini.

Menurut kenyataan pasukan itu, keputusan penarikkan diri itu adalah untuk menyalurkan bajet yang mereka miliki kepada pembangunan sektor lain. - Agensi