Showing posts with label mampu milik. Show all posts
Showing posts with label mampu milik. Show all posts

Saturday, March 6, 2010

Emas bawa Proton ke pentas dunia


Proton Emas yang merupakan model konsep utama Proton.
















SELEPAS 25 tahun, Proton Holdings Berhad (Proton) melakar satu lagi sejarah penting buat negara melalui kelahiran tiga buah kereta konsep yang bakal melonjak jenama kebangsaan itu ke persada dunia.

Detik penuh bersejarah itu turut disaksikan oleh ribuan pelawat yang berkunjung di Pameran Motor Antarabangsa Geneva (IGMS) di Geneva, Switzerland.

Yang pasti, kemunculan tiga jentera kecil molek itu turut mencuri perhatian umum dan meletakkan Proton sebaris dengan pengeluar daripada jenama terkenal dan mewah.

Kejayaan terbaru itu membukitkan kesungguhan Proton untuk bersaing di peringkat global dan bukannya sekadar menghasilkan kenderaan untuk pasaran tempatan.

Proton Emas, Emas Country dan Emas-3 adalah model konsep keluaran Proton bersama anak syarikatnya, Lotus yang direka oleh firma automotif terkemuka Itali iaitu Italdesign Giugiaro.

Emas yang menggunakan akronim "Eco Mobility Advance Solution" adalah kereta konsep hibrid yang dijangka berada di pasaran menjelang tahun 2012.

Ketiga-tiga konsep berkenaan dibangunkan di atas platform yang sama tetapi mempunyai konfigurasi berbeza dari aspek penjanaan kuasa dengan tumpuan khusus terhadap aplikasi teknologi hibrid.

Emas adalah jentera hibrid dengan kerangka atau casis rekaan khas yang menggunakan enjin endothermic di depan khusus untuk mengecas bateri ion litium yang menghasilkan janaan kuasa elektrik dan bateri di belakang.

Sistem enjin Lotus Range Extender menggunakan enjin tiga silinder sesondol tunggal empat injap dengan jumlah berat hanya 56 kilogram yang dioptimumkan dengan dua nilai rpm. Dengan kuasa itu, Emas mempunyai jumlah 107 Nm tork pada kelajuan 2,500rpm.

Emas adalah model utama lima pintu dengan empat tempat duduk. Emas Country pula adalah jenis hatchback yang memiliki gaya kenderaan utili sukan (SUV) dan suspensi tinggi dengan lima tempat duduk manakala Emas-3 mempunyai tiga pintu 3+1 tempat duduk dan sesuai untuk pemanduan bandar.

Maklumat awal menyatakan Emas Country dan Emas-3 akan dibangun berasaskan teknologi hibrid plug-in selain pemasangan enjin konvensional yang digerakkan bahan api petrol, etanol, metanol dan gas asli.

Kesemua model Emas berkuasa 1.2 liter dengan 51 kuasa kuda direka untuk beroperasi dalam kelajuan rpm tertentu sahaja, bersesuaian dengan kapasiti kereta hibrid.

Dengan berukuran hanya tiga meter panjang, ketiga-tiga kereta konsep tersebut bagaimanapun direka khusus untuk memaksimumkan ruang dan pada masa sama mengekalkan konsep kereta kompak berciri kontemporari.

Bahagian dalaman kenderaan ini juga boleh dibanggakan. Semuanya disusun kemas dan dengan kepelbagaian butang fungsi.

Emas dilengkapi dua monitor yang memaparkan maklumat berkaitan sistem hibrid di sebelah kanan manakala monitor di sebelah kiri menyajikan kepuasan multimedia seperti akses Internet dan paparan penyambungan peralatan elektronik.

Begitu juga dengan reka bentuknya. Walaupun dibina dengan rekaan bumbung tinggi, Emas sebenarnya 36 sentimeter lebih rendah daripada Proton Savvy. Majalah Autocar UK semasa memaparkan imej Emas buat kali pertama menggunakan istilah supermini di dalam ulasannya.

Pelancaran ketiga-tiga kereta konsep itu disempurnakan bekas Perdana Menteri yang juga pengasas dan Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada hari pertama Pameran Motor Antarabangsa Geneva Ke-80, baru-baru ini.

Dr. Mahathir berkata, Proton, Lotus dan Italdesign sedang dalam proses memuktamadkan reka bentuk sebelum dijangka dikeluarkan untuk pasaran dalam tempoh dua tahun lagi.

Turut sama Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Pengerusi Proton, Datuk Mohd. Nazmi Mohd. Salleh; Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir dan Pengerusi Italdesign Giugiaro, Fabrizio Giugiaro.

Sementara itu, Syed Zainal Abidin yang hadir menyaksikan pelancaran bersejarah itu berkata, Proton memerlukan tempoh antara 17 hingga 24 bulan untuk memasukkan kereta itu ke pasaran.

Giugiaro pula menyifatkan konsep itu sebagai kereta hari ini yang memiliki rekaan masa depan.

"Kita tidak mahu Emas dipanggil kereta konsep sebaliknya ia adalah satu konsep untuk kereta-kereta masa depan,"ujarnya.

Wednesday, March 3, 2010

Naza Kompak

COMEL...Picanto disasarkan kepada golongan wanita urban.
COMEL...Picanto disasarkan kepada golongan wanita urban.


BESAR...ruang barang mampu memuatkan barang peribadi atau beg dengan selesa. MUDAH...kedudukan unit penghawa dingin. KEMAS...papan pemuka kemas dan menarik. LUAS...kerusi penumpang belakang luas dan selesa. JIMAT...enjin SOHC 12 injap dengan 63 hp menawarkan penjimatan minyak.
Bentuknya lebih kecil berbanding model Picanto menjadikannya comel dan sesuai untuk pemanduan di kota.

Malah, ketika pelancarannya pada Oktober tahun lalu, model ini disasarkan kepada golongan wanita bekerja di bandar besar yang sering dihimpit kesesakan jalan raya dan ruang parkir terhad.

Lampu hadapan berbentuk bujur telur, gril lebih besar manakala lampu belakang bulat selain lampu isyarat dan mengundur berkongsi perumah sama.

Spoiler belakang, lampu isyarat membelok pada cermin sisi dan rim aloi bersaiz 15 inci menambahkan lagi rupa sporty model ini walaupun slogannya lebih kepada si jelita.

Imej kompak yang ada tidak terasa ketika menerjah ke ruang dalaman yang dihias dengan latar warna gelap.

Kerusi dengan fabrik gelap juga menjadikan ruang tampak bersih manakala susun atur butang kawalan pada papan pemuka yang sedikit nampak kemas.

Paling menarik, terdapat konsol terbuka dan tertutup di penumpang hadapan membolehkan pelbagai barangan diletakkan dengan sempurna.

Ruang lega kaki dan kepala bagi pemandu dan penumpang cukup selesa sama ada di hadapan atau belakang.

Ruang menyimpan barang juga luas dan jika mahu ruang lebih besar, baringkan saja kerusi belakang.

Ciri hiburan diambil kira apabila Picanto ini dibekalkan pemain cakera padat (CD) tunggal dilengkapi dengan port USB.

Gaya urban terserlah melalui cermin sisi dengan kawalan elektronik dan tingkap berkuasa untuk semua pintu.

Picanto dijana enjin 1.1L dengan transmisi automatik empat kelajuan bersama butang 'Over Drive' menjadikannya jentera seronok dipandu.

Dengan kuasa kuda setinggi 63hp pada 5,500 rpm dan tork 96Nm pada 2,800 rpm, Picanto menawarkan pemanduan ideal sebagai kereta urban.

Reaksi pedal sangat responsif dan kereta meluncur laju sebaik ditekan menjadikannya model mantap kegunaan di bandar yang memiliki banyak lampu isyarat.

Ciri kendaliannya sangat baik dan mudah dengan bantuan stereng berkuasa serta sistem suspensi lembut memastikan setiap penumpang berasa selesa sepanjang perjalanan.

Dua beg udara SRS untuk pemandu dan penumpang hadapan sudah cukup memadai bagi jentera kompak ini.Harga ditawarkan ialah RM46,800 dan ia pilihan berbaloi.

SPESIFIKASI
Kia Picanto EX 1.1L
Enjin: 1,088cc SOHC empat silinder 12 injap
Kuasa maksimum: 63hp pada 5,500rpm
Tork maksimum: 96Nm pada 2,800rpm
Transmisi: Automatik empat kelajuan dengan 'Over Drive.'
Harga: RM46,800
Tayar yang dicadangkan
Formula D01
175/50R15 75H

Saturday, November 7, 2009

Pakej serba baru Picanto

Dikenali sebagai Kia Morning di tanah kelahirannya Korea Selatan, Naza Kia Sdn. Bhd. kini mengetengahkan model terbaru Picanto yang sarat dengan pelbagai pembaharuan.



HARUS diakui pasaran kereta kompak di mana-mana negara pun di dunia ini jarang sekali gagal. Sedia maklum bahawa penerimaan pengguna terhadap jentera sebegitu banyak disumbang oleh praktikalitinya dari segi penjimatan bahan api dan saiznya yang kecil.

Sebab itulah apabila Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) memperkenalkan kereta kompak pertamanya Kancil pada tahun 1994, ia sangat berjaya. Ia kemudian diikuti oleh beberapa model lain seperti Kelisa dan terkini, Viva.


METER analog yang turut disertai dengan paparan maklumat digital.

Menyedari potensi tersebut, ramai pihak ingin turut serta. Namun, berikutan pelbagai kekangan dan syarat yang semua sudah sedia maklum, jenama dari Jepun lain yang juga ada menghasilkan jentera kompak tidak boleh dipasarkan di sini. Kalau boleh pun, ia akan ditawarkan pada harga yang kompetitif dan mustahil.

Alternatifnya, pengguna mula mengalihkan perhatian kepada beberapa pemain kecil lain seperti Chery dari China. Malah, Chevrolet serta Hyundai juga pernah mencuba nasib menerusi model masing-masing iaitu Spark dan Atos (kini, i10).


MENYEDIAKAN ruang meletak botol minuman untuk kegunaan pemandu.

Namun, tiada satu pun yang benar-benar dapat menggugat populariti model keluaran Perodua. Malah, Proton melalui model Savvy pun nampaknya kecundang dalam perlumbaan tersebut.

Keadaan itu bagaimanapun sedikit berubah pada tahun 2004 apabila model yang dikenali sebagai Picanto menjengah pasaran. Sejak itu, model yang dibina berasaskan model Hyundai Getz (dipendekkan) mendapat sambutan positif oleh mereka yang inginkan sebuah kereta kompak bukan keluaran tempatan.


MENGAMBIL warna hitam sebagai latar utama ruang dalaman.

Buktinya, sebanyak 12,000 unit berjaya dijual di Malaysia. Dua tahun kemudian, nama Picanto ditukar kepada Naza Suria. Ternyata langkah pihak Naza Kia Sdn. Bhd. (NKSB) memperkenalkan model terlaris Kia itu satu tindakan yang bijak. Ia mungkin bersandarkan kepada angka jualan Picanto yang mencecah lebih 900,000 unit di seluruh dunia.

Kini, ia hadir dalam pakej serba baru. Mahu menarik minat lebih ramai pembeli, model yang mengambil kembali nama Picanto itu menerima perubahan dari aspek dalaman dan luarannya.

Paling ketara adalah bahagian hadapan dengan rekaan lampu utama, bumper dan gril radiator yang baru. Tidak terkecuali, lampu belakangnya juga telah ditukar dan dipadankan bersama spoiler pada bahagian atasnya. Cermin sisinya juga menjadi perumah kepada lampu isyarat untuk membelok.



Picanto menggunakan warna hitam untuk bahagian kokpitnya. Menggunakan material yang lebih berkualiti, ruang dalamnya tidak mengecewakan. Meter analognya dilatari dengan lampu berwarna oren. Ia turut dilengkapi dengan paparan ikon yang akan menyala sekiranya pintu tidak ditutup kemas dan sebagainya.

Unit audio 1 DIN berjenama Clarion itu bukan sekadar boleh memainkan cakera padat. Dengan ciri pemacu USB binaan dalam, anda hanya perlu mengisi slot itu dengan pemain MP3 atau pemacu storan (thumb drive) untuk mendengar semua lagu kegemaran.


NKSB yakin Picanto berupaya menarik minat para pengguna terutama golongan wanita muda yang berkerjaya.

Keselamatan pemandu dan penumpang tidak diabaikan. Picanto dilengkapi dengan beg udara berkembar. Sistem keselamatan aktif pula terdiri daripada brek cakera pada roda hadapan dan brek jenis gelendong pada roda belakang yang hadir sebagai ciri standard.

Ketua Pegawai Eksekutif Naza Kia Sdn. Bhd., SM Nasarudin SM Nasimuddin menyatakan, pihaknya mensasarkan jualan sebanyak 500 unit Picanto sebulan dan 6,000 unit pada tahun 2010.

"Picanto merupakan alternatif yang menarik dalam segmen A. Menggunakan enjin bersesaran 1.1 liter dan dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan, ia pasti memenuhi keperluan pemanduan di bandar.

"Bagi mengukuhkan lagi jenama Kia di Malaysia, kami akan memperkenalkan lebih banyak model lain termasuk Forte," katanya.

Harga yang ditawarkan untuk model LS adalah RM44,500 seunit dan RM46,800 bagi model EX dengan spesifikasi lebih tinggi. Anda boleh memilih empat warna iaitu putih, hitam, merah dan perak.

Picanto yang dipasang tempatan (CKD) di kilang Naza di Gurun, Kedah itu turut dieksport ke Thailand dan Indonesia.

Tuesday, November 3, 2009

Myvi edisi terhad


JIKA sedang mencari-cari kenderaan yang sesuai, Perodua Myvi edisi khas yang dikeluarkan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) minggu lalu adalah pilihan terbaik.

Perodua Myvi Edisi Eksklusif 1.3L hanya dikeluarkan 5,000 unit dan menawarkan pelbagai perubahan luaran dan dalaman menarik.

Pengarah Urusan Perodua, Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar, berkata jentera itu dikeluarkan khas sebagai penghargaan kepada orang ramai yang memberi sokongan sehingga ia model itu paling laris di pasaran selama lima tahun berturut-turut.

"Edisi Eksklusif Myvi ini dikeluarkan untuk peminat model Myvi yang mahukan gaya dan kemewahan, tanpa harga premium yang dikaitkan dengan kereta eksklusif.

"Hanya 5,000 unit ditawarkan berdasarkan kepada siapa cepat dia dapat," katanya.

Edisi Eksklusif Myvi ditawarkan dengan tiga warna menarik iaitu hitam ebony, putih ivory dan kelabu medallion.

Model berkenaan didatangkan dengan rim aloi 14 inci, skirt sisi, pemegang pintu krom manakala ruang dalamannya disaluti tempat duduk, panel sisi dan stereng daripada kulit hitam sporty dan pemain cakera 'Double Din' bersama pemain USB.

Malah, sistem audio dibekalkan dengan teknologi Bluetooth sebagai kit alternatif bebas tangan telefon bimbit.

Perodua Myvi Edisi Eksklusif dijana enjin 1.3L DVVT DOHC 16 injap yang menghamburkan kuasa maksimum setinggi 89 hp pada 6,000 rpm manakala tork maksimum sekuat 116Nm pada 3,200rpm.

Model Myvi terjual sebanyak 354,000 unit sejak dilancarkan pada tahun 2005 manakala jualan bulanan tertinggi dicatatkan pada Julai lalu iaitu sebanyak 9,370 unit.

Perodua Myvi Model Eksklusif dijual pada harga antara RM51,000 hingga RM51,500.

Saturday, October 24, 2009

Nissan Sylphy garang bersama Impul


Nissan Sylphy





SEKALI lagi, Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) memperkenalkan versi talaan Impul pada satu model kereta Nissan. Kali ini Nissan Sylphy. ETCM sebagai pemegang francais kereta Jepun ini, menunjukkan pegangan inovasi dan kreativiti yang tinggi bagi meningkatkan populariti dan jualan kereta Nissan.

ETCM tahu apa selera rakyat Malaysia. Apatah lagi, secara umumnya hanya di Malaysia, pasaran aksesori menjadi industri hiliran kedua terpenting dalam rantaian industri automotif negara ini. Pantang ada duit sedikit, pasti ada yang mahu menambah spoiler atau sekurang-kurangnya menukar rim aloi bersaiz lebih besar.

Lantaran itu, pengenalan Sylphy talaan Impul memenuhi kehendak pelanggan Malaysia. Sylphy adalah model ketiga yang dibangunkan dengan kepakaran motorsports Jepun yang terkenal di dunia dan pakar penalaan khusus Nissan Impul Motor Racing Development. Ia adalah varian talaan yang lebih fokus, agresif dan berprestasi untuk model Nissan yang telah memenangi pelbagai anugerah ini.

Pelancaran Nissan Sylphy talaan Impul serba baru ditetapkan bersempena dengan Pusingan Ke-4 Super GT Jepun di Litar F1 Antarabangsa Sepang pada Jun lalu, sebagai komitmen untuk menyokong Team Impul dan memberikan peminat sukan permotoran Nissan peluang pertama untuk melihat varian model baru ini di Malaysia.

Adalah jelas ia dibangunkan untuk pelanggan Nissan arif yang akan memilih sedan eksekutif dengan prestasi di hati yang memaparkan imej sporty eksklusif.

Malah usaha ETCM mendapat kerjasama rapat daripada Impul. Co. Ltd. yang berpusat di Jepun dalam membangunkan aksesori yang bersesuaian, mengikut spesifikasi pembuatan dan juga syarat kerajaan Malaysia.

Menurut Presiden Hoshino Impul Co., Ltd., Kazuyoshi Hoshino, pelancaran Sylphy talaan Impul terus mengukuhkan perkongsian perniagaan mereka yang kukuh dengan ETCM dan pihaknya yakin untuk terus menikmati kejayaan besar dalam pasaran Malaysia.

''Tatkala jualan bagi model kami sebelum ini dengan bantuan ETCM iaitu Impul Latio dan Grand Livina masih mencatat jualan yang bagus, Impul gembira untuk melancarkan model terbaru ini. Kami telah mengambil masa lebih setahun untuk mengeluarkan Impul Sylphy.

''Kami memang berharap untuk melihat kereta Impul terbaru ini di atas jalan raya Malaysia. Kami juga amat menghargai usaha ETCM dalam membantu kami terus meningkatkan jenama Impul di Asia Tenggara," kata Hoshino.

Nissan Sylphy talaan Impul secara ekslusif dilengkapi dengan bahagian UMPUL seperti berikut:

l Impul Aerokit Penuh

Aerokit penuh ini memaparkan jeriji depan yang agresif, spoiler bamper depan dan belakang dan spoiler sayap belakang yang memberikan model ini rupa tanda dagang Impul yang mewujudkan reka bentuk yang ternyata baru.

l Sistem Gantungan Sports Impul

Sistem Gantungan Sports Impul untuk Sylphy akan menambah pengalaman pemanduan dengan meningkatkan cengkaman dan menambah baik respon stering dengan rizab keselamatan yang tinggi untuk dinamik pemanduan yang superior.

Sistem itu merangkumi absorber hentak yang dipertingkatkan dan spring yang merendahkan paras pemanduan sebanyak 25mm.

l Peredam Bunyi Ekzos Impul Blast II

Peredam bunyi ekzos besi keluli yang berkilat dan dipadankan dengan logo Impul terukir pada muncung paip ekzos memenuhi penampilan menyerlahnya secara keseluruhan dan menawarkan respon enjin yang lebih jitu dengan sentuhan sporty.

l Rim Roda Aloi Berwarna Hitam atau Berkilat 17" Impul Aura SX-10 dengan Tayar Dunlop Formula D-01 205/45 R17

Rim roda aloi premium Impul Aura SX-10 yang bergaya adalah reka bentuk terkini dalam teknologi rekaan roda dengan komitmen yang teguh terhadap kualiti dan keselamatan, dan didatangkan dengan warna hitam atau berkilat bagi menambahkan rupa garang yang baru Impul Sylphy.

l Kerusi Kulit Hitam, Karpet Sepadan dengan logo Impul

Kerusi unik berbentuk kerang Sylphy disalut dalam kulit hitam eksklusif dengan padanan karpet hitam Impul bagi menyokong rupa luaran sporty Impul.

Terdapat dua varian Sylphy talaan Impul yang ditawarkan iaitu 2.0 X-CVT (Comfort) dijual pada harga RM123,800.00 dan 2.0 X-CVT (Luxury) RM127,800.00.

Kedua-duanya adalah harga atas jalan dalam warna metalik (termasuk insurans, cukai jalan, fi pendaftaran dan fi tuntutan pemilikan) yang sah di Semenanjung Malaysia dan ditawarkan bersama jaminan tiga tahun atau 100,000 km (yang mana dulu).

Jualan bagi bahagian atau alat ganti Impul Performance juga ditawarkan kepada pemilik Nissan Sylphy sedia ada.

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh TCMH, merupakan sayap jualan dan pemasaran kenderaan Nissan di Malaysia. Pada 1957, Tan Chong Motors dilantik sebagai pemegang francais bagi kenderaan Nissan/Datsun di Malaysia dan Nissan/Datsun menjadi jenama terlaris di negara ini pada 1970.

Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCMH) disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada 1974. Teras aktiviti kumpulan ini ialah dalam pemasangan dan pengedaran automobil. Bagi menyokong perniagaan auto TCMH, ia menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti perkhidmatan selepas jualan, pembiayaan pembelian kenderaan, pajakan, insurans, pinjaman peribadi dan tukaran wang bagi menghargai pelanggan-pelanggan ASEAN TCMH.

Civic 2.0 versi Modulo



Sejak kemunculan pertamanya pada 1972, Honda Civic terus kekal sebagai model Honda paling berjaya dalam pasaran segmen penumpang sehingga hari ini.

Model yang mulanya dibina sebagai sebuah kereta asas kini telah mengalami revolusi yang besar. Di kebanyakan negara Asia, Civic telah diangkat statusnya menjadi sedan premium buatan Jepun.

Seperti juga pengaruh BMW 3 series terhadap pasaran Audi A4 dan Mercedes C Class, Civic juga telah mencorak standard baru bagi pasaran segmennya sekali gus memaksa pesaingnya menaiktaraf kereta asas kepada sebuah model premium. Corolla muncul dengan Altis, Nissan dengan Sylphy, Mazda dengan model Mazda3 manakala Mitsubishi dibarisi oleh model Lancer.

Pengaruh Civic di Malaysia lebih kuat. Seingat saya, ketika masih menuntut di sekolah menengah dahulu, Civic dianggap ikon bagi mereka yang berjaya. Maknanya, kalau anda bekerja di Kuala Lumpur dan pulang ke kampung memandu Proton Wira, anda dianggap seorang yang stabil dan bekerjaya tetapi dipandang sebagai 'biasa' sahaja tetapi jika anda memandu Civic, mungkin kanak-kanak penuh di muka pintu untuk datang beraya dengan harapan dapat duit raya lebih.

Lambang status

Civic bukan sahaja melambangkan status dan jenama. Setelah lapan generasi dihasilkan, Civic yang dijual di sini menikmati hampir semuanya yang boleh dipadankan padanya. Ironinya begini, walaupun kita berkongsi kerangka dengan Civic di Amerika Syarikat, Thailand dan Indonesia, model tempatan telah disaring menjadi hanya dua model penuh iaitu 1.8 dan 2.0. Kedua-duanya bertransmisi automatik dan lengkap dengan aksesori lain sedangkan di pasaran lain, Civic diperkenalkan dengan model bertransmisi manual tanpa aksesori dan bodykit tetapi dijual pada harga lebih murah.

Baru-baru ini, saya berpeluang memandu uji Honda Civic 2.0 versi Modulo. Dengan kata lain, ia adalah model paling premium dalam kalangan Civic yang dijual di sini.

Pada harga RM134,000 (tambahan RM5,000 untuk bodykit Modulo), tidak dapat disangkal lagi bahawa harga itu paling tinggi dalam kereta yang satu kelas dengannya.

Sebagai perbandingan, Mitsubishi Lancer GT (2.0) berharga RM124,000, Sylphy dan Altis di bawah harga RM120,000. Mungkin yang paling hampir adalah Mazda3 Sport 2.0 iaitu sebuah model aksesori penuh yang diimport dari Jepun dan dijual pada tangga harga sekitar RM130,000.

Walaupun begitu, di kalangan pembeli Civic, perbezaan harga lazimnya dikontrakan dengan kualiti binaan dan nilai jualan balik Honda yang memang sukar ditandingi. Teknologinya terbukti tahan lasak dan alat gantinya mudah diperoleh.

Apatah lagi dengan pakej jaminan dan penyelenggaraan yang ditawarkan oleh Honda Malaysia Sdn. Bhd. yang sukar untuk diketepikan. Seorang teman saya bukan sahaja berbelah bahagi untuk memilih antara Civic dan Lancer, malah beliau sukar membuat keputusan untuk membeli Civic premium atau sebuah Accord yang asas. Harga kedua-duanya tidak jauh berbeza.

Dipadankan dengan enjin K20A, model 2.0 itu bukanlah sebuah enjin yang baru. Enjin itu pada asasnya telah digunakan dalam banyak model Honda sebelum ini seperti CRV dan Accord termasuk variasi versi perlumbaan Type R seperti Integra DC5, Civic EP3 dan FD2.

Transmisi manual

Di Amerika Syarikat pula, Civic 2.0 itu didatangkan dengan transmisi manual dengan enjin yang sama iaitu K20A. Tetapi ia tidak pula dipanggil Type R, sebaliknya dikenali sebagai model SiR. Ia ditala lebih rendah daripada FD2 Type R, tetapi lebih tinggi daripada Civic 2.0 yang saya pandu uji itu.


Dipadankan dengan enjin K20A.

Walaupun tanpa teknologi klac berkembar yang mempercepatkan penukaran gear secara semi automatik, ia masih mampu memecut lancar tanpa perlu dipaksa.

Kebetulan pula, saya terpaksa pergi ke Genting Highlands untuk satu tugasan. Jadi, saya mengujinya dengan mendaki bukit di Banjaran Titiwangsa. Memang jentera itu mampu memecut lancar. Selain itu, bersama saya ialah tiga orang penumpang dan ruang bagasi yang hampir penuh dengan majalah. Bagi sebuah kereta yang dibebani dengan muatan seperti itu, pasti sukar untuk ia bergerak lancar di kawasan berbukit. Namun, kereta itu masih mampu mendaki dengan lancar, walaupun dalam kebanyakan situasi, saya hanya menggunakan transmisi D.

Jika anda seorang yang sensitif terhadap keselesaan, maka kereta itu mungkin memberi sedikit kesan. Dengan salutan tayar 215/45 pada roda 17 inci, mengharapkan keselesaaan maksimum memang sesuatu yang mustahil.

Namun itulah Civic, ia tidak direka untuk anda yang hanya mahu selesa dan bergaya, ia direka untuk ke pejabat pada hari biasa dan berseronok pada hujung minggu. Suspensinya yang jitu membantu anda mengambil selekoh dengan penuh yakin walaupun kereta dipenuhi dengan penumpang.

Tahap NVH (Noise Vibration Harshness) juga masih boleh diklasifikasi bagus. Untuk sebuah kereta yang direka dengan titik graviti 150mm, ditambah dengan aloi 17 inci dan tayar senipis 45 siri, maka kemasukan bunyi desiran angin dari roda memang sukar untuk dielakkan. Kereta berimej sport memang bersifat begitu.

Ferrari dan Lamboghini juga tidak senyap jika dipecut laju. Pasti selesa dan senyap adalah Rolls Roys Phantom. Keterlaluan?

Jika dibandingkan dengan model 1.8 yang saya pandu uji beberapa bulan lalu, model 2.0 ini 'melahap' minyak lebih banyak. Ada orang kata, ia mampu bertahan sehingga 450 hingga 480 kilometer (km) untuk setangki penuh, tetapi saya terkial-kial mencari stesen petrol tatkala meter baru mencecah 380km. Sekali lagi ia dikaitkan dengan corak pemanduan dan bebanan yang dibawa.

Seorang kawan saya berjaya mencatat 1000km ketika menguji Prius.


salutan tayar 215/45 pada roda 17 inci.

Sedangkan, rata-rata kami yang lahir pada tahun 70-an hanya mampu mencatat kelajuan di antara 600 hingga 800km sahaja. Corak pemanduan memang sangat penting. Tiada gunanya anda terpengaruh dengan iklan bahan api yang menjanjikan penjimatan petrol jika anda memandu macam 'pelesit'.

Civic 2.0S versi itu adalah model yang telah siap dipasang dengan aksesori kit badan Modulo. Syarikat Modulo adalah sayap penting yang bertanggungjawab mencipta kit badan untuk kereta-kereta Honda.

Mereka melakukan ujian aerodinamik sebelum mengesyorkan kepada jurutera Honda kit badan yang sesuai untuk sesebuah kereta. Ia bukannya dibina dengan teknologi bawah pokok atau tempelan gentian kaca biasa. Selain memiliki kualiti binaan yang bagus, versi Modula ini lebih mahal kerana disiapkan dengan pemasangan dan pelarasan warna badan. Jika anda tidak kisah dengan tambahan RM5,000 untuk sebuah kereta yang nampak lebih rugged, teruskan membeli. Tetapi jika anda bercadang hendak mengubahsuai sendiri dengan kit badan lain yang dijual di pasaran, itupun boleh. Hari ini, membeli sebuah kereta memang satu perkara yang rumit kerana terdapat pilihan yang pelbagai. Berbanding 10 tahun dahulu, kita mungkin hanya ada beberapa model yang khusus dijamin pengeluar.

Kini, bukan sahaja pengedar sah atau pemasang sahaja yang berani memberi jaminan panjang, malah pengedar kereta import terpakai juga telah meluaskan skop perkhidmatan iaitu daripada hanya menjual, mereka juga menyediakan khidmat selepas jualan yang menarik.

Justeru pilihan akhirnya kembali kepada pembeli. Kepada anda yang tertanya-tanya apa bagusnya kereta ini, saya syorkan supaya anda pandu uji dan buat keputusan. Cita rasa anda dan saya mungkin berbeza!

Saturday, August 22, 2009

Kelainan personaliti

Selepas model mini i10, kini tiba pula giliran i30 Hyundai untuk menarik perhatian pengguna Malaysia yang gemarkan kelainan dan personaliti jentera dari Korea Selatan.



SETELAH membuat debut pada Hyundai Mega Motor Show yang berlangsung di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya pada bulan lalu, peluang untuk memegang stereng model terbaru daripada Hyundai-Sime Darby Motors Sdn. Bhd. (HSDM) akhirnya tiba.

Jaraknya tidaklah jauh. Namun, pengalaman menyusuri lebuh raya ELITE bermula dari Speedway PLUS Circuit, kawasan rehat USJ dan berpatah balik melalui susur keluar Ebor sudah memadai untuk mengetahui karakter jentera yang bernama Hyundai i30 ini.

Jika anda perasan, model-model baru Hyundai dimulakan dengan huruf 'i'. Sebenarnya, ia merujuk kepada perkataan Inspiration yang menjadi pemangkin kepada semua pembangunan produk baru di Hyundai Motor Company, Korea Selatan. Huruf 'i' juga membawa maksud pintar (intelligence) yang boleh diharapkan oleh pelanggan terhadap jenama Hyundai.

Sesi pandu itu melibatkan dua varian Hyundai i30, enjin bersesaran 1.6 liter dan 2.0 liter bertransmisi automatik. Dimulakan dengan penerangan teknikal i30, wartawan dibahagikan kepada dua kumpulan.

Perlumbaan

Kumpulan pertama memulakan hari yang panas terik itu dengan perlumbaan go-kart di litar berhampiran. Sementara kumpulan kedua pula bergilir-gilir memandu i30 di laluan yang ditetapkan.

Setelah agak lama menunggu, nama penulis dipanggil untuk menguji unit berkuasa 1.6 liter berwarna biru. Sebaik sahaja duduk di ruang kabinnya, perlu diakui bahawa i30 menampilkan rekaan papan pemuka yang kemas.

Mengambil hitam sebagai warna utama, anda boleh merasai bahawa material plastik yang digunakan tidak nampak murah. Stereng teleskopik yang boleh dilaras itu juga sedap dipegang.

Konsol tengahnya diletakkan dengan unit audio dan butang kawalan pendingin hawa automatik. Sementara tuil gearnya pula dipasang di dalam perumah gated shifter. Bagi keselesaan pemandu dan penumpang, i30 cukup pemurah dengan ruang meletak barang dan botol minuman.

Sebaik sahaja menekan pedal minyaknya, kuasa terus diestrak daripada enjin Gamma 1.6 DOHC CVVT (Continuously Variable Valve Timing). Enjin yang dibina menggunakan blok silinder aluminium dan dengan ciri-ciri seperti aplikasi rantai pemasaan (timing chain) ini dibina khas untuk model i30.


STERENG teleskopik yang boleh dilaras ini selesa dipegang.

Momentum

Dengan janaan kuasa mencecah 121 PS pada putaran enjin 6,200 dan tork maksimum 156 Nm @ 4,200, boleh dikatakan bahawa jentera ini cukup selesa untuk dipandu di bandar dalam keadaan santai.

Dipadankan dengan kotak gear automatik empat kelajuan, i30 bagaimanapun membuatkan pemandu terpaksa menunggu seketika untuk gearnya diturunkan dan mendapat momentum memotong kenderaan di hadapan.

Ketika memandu perlahan atau hendak memakir, pemandu akan menyedari bahawa stereng kuasanya begitu ringan. Namun, ia akan terasa lebih berat apabila kelajuan meningkat terutama sebaik sahaja melepasi takat 40 kilometer sejam.

Ciri tersebut terhasil berikutan penggunaan sistem MDPS (Motor Driven Power Steering) pada sterengnya. Sistem ini dikatakan dapat meningkatkan kualiti stereng, mengurangkan penggunaan minyak dan lebih mesra alam.

Dibina di atas kerangka yang diperkukuhkan, maka tidak hairanlah jika model ini mendapat penarafan ujian NCAP (New Car Assessment Program) lima bintang. Aspek keselamatan i30 ditambah dengan sistem brek ABS dengan EBD, ESP (Electronic Stability Program) untuk model 2.0 sahaja, selain dua beg udara SRS.

Jaminan

Model i30 dibawa masuk ke pasaran Malaysia dan negara Asia dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) dari tanah kelahirannya, Korea Selatan. Sementara bagi pasaran Eropah, i30 dikilangkan di kilang Hyundai yang terletak di Republik Czech.

Harga dan kuasa enjin meletakkan i30 seakan-akan berada dalam segmennya yang tersendiri. Tidak menggantikan mana-mana model Hyundai sebelum ini, agak sukar untuk menentukan model manakah yang menjadi pesaing secara terus kepada i30. Jika hendak dibandingkan dengan Honda Jazz, jentera keluaran Honda itu hanya bersesaran 1.5 liter.


JANAAN enjin bersesaran 1.6 liter membolehkan jentera Hyundai i30 menjadi kenderaan ideal untuk dipandu di bandar.

Menerusi lima warna pilihan seperti biru, hitam, perak, kelabu dan putih, i30 ditawarkan pada harga RM97, 888 (1.6 automatik) dan RM112,888 (2.0 automatik) seunit di atas jalan.

Satu lagi perkara yang mungkin boleh membuatkan anda harus memilih i30 atau model-model lain Hyundai adalah pengenalan program jaminan Hyundai (Hyundai Assurance Programme, HAP).

Program ini membolehkan pembeli yang kehilangan kerja untuk memulangkan kembali kereta tanpa perlu lagi bimbang tentang bayaran bulanan. Namun begitu, pastinya HAP hadir bersama pelbagai syarat sewajarnya.

Saturday, August 15, 2009

Ini baru betul Sport!

Biarpun harganya agak mahal, namun kereta yang dicipta dengan DNA Suzuki Motorsport ini dikhaskan kepada mereka yang inginkan sesuatu yang berbeza.



BEBERAPA bulan lalu, seorang teman saya bertanya kereta apa yang harus dia beli selepas menjual Myvi miliknya. Kereta itu mestilah tidak terlalu besar, berkuasa dan yang pentingnya berharga di bawah RM100,000.

Saya mencadangkan Nissan March Impul, Integra DC5, EP3 (Civic Type R generasi ke-7) Mitsubishi Colt yang semuanya versi terpakai. Mengambil kira model yang mempunyai karakteristik seperti yang dikehendaki oleh teman saya tadi, satu-satunya kereta baru yang ada di pasaran mungkin Suzuki Swift.

Namun saya tidak fikir dia meminati kereta yang dicadangkan kerana jentera itu kurang berkuasa berbanding dengan senarai awal yang saya beri. Sehinggalah kami bertemu tidak lama selepas itu di sebuah restoran mamak.

Memandu uji

"Cukup-cukup bajet jer... Baii," katanya sambil menunjukkan Suzuki Swift Sport (Swift Sport) yang baru dibelinya.

Kereta Swift Sport ini mungkin berada dalam senarai underrated bagi piawaian kereta kompak di Malaysia. Benar, model Swift 1.5 pemasangan tempatan (CKD) mungkin jauh lebih dominan.

Swift 1.5 yang diubahsuai kepada kit badan Swift Sport juga jauh lebih banyak daripada versi asal Swift Sport. Faktor harga mungkin menjadi penghalang. Meskipun pada hakikatnya, tiada kereta dalam spesifikasi serupa dalam kategorinya.

Program Adventure Hunt ke Tasik Kenyir, Terengganu anjuran DRB-Hicom baru-baru ini memberi peluang kepada wakil media memandu pelbagai jenama kereta di bawah subsidiari DRB-Hicom. Salah satunya adalah Swift Sport varian automatik.

Melalui jalan kampung yang bergelombang dan bertampal-tampal, ia bukanlah sesuatu yang anda harapkan ketika memandu kereta kompak ini. Mujurlah, saya hanya membawa seorang penumpang di sebelah.

Suspensi kereta ini ditala jauh lebih keras daripada versi jentera Swift yang biasa . Nampaknya ia begitu tipikal dengan kereta-kereta talaan untuk prestasi yang tahap pengendaliannya menjadi perkara pokok, selaras dengan kuasa enjin.

Ia seperti membandingkan Mini Cooper One dan Mini Cooper S. Model S atau Civic 2.0 dengan Civic Type R yang jauh lebih rigid dan membenarkan enjin dikerah ke tahap maksimum. Keadaan jalan raya yang bengkang-bengkok menjadi kegemaran bagi sesiapa sahaja yang memandu kereta ini. Tekan sahaja pedal minyaknya, gear automatik turun dengan pantas tanpa dipaksa.


TEMPAT duduk jenis bucket memberi sokongan terbaik buat pemandu dan penumpangnya.

Secara fizikalnya, badan Swift Sport ini berukuran 5mm lebih panjang berbanding Swift 1.5. Namun, ia mudah dikawal. Sterengnya juga mudah dijangka dan titik lurusnya berada tepat sebagaimana yang anda kehendaki.

Panduan putarannya kemas dan breknya cemerlang. Malah, saya cuba memasuki selekoh dengan cuba membrek lewat dan mengharapkan brek enjin untuk membantu.

Secara teorinya, adalah keterlaluan meletakkan harapan tinggi pada gear tiga bagi transmisi automatik untuk membrek kemas berbanding dengan versi manual. Tetapi ia mengagumkan. Tahap 'gigitannya' boleh dijangka. Enjin tidak mengaum tinggi, walaupun jarak penukaran gear terlalu pendek.

Pada kelajuan 120km/j - 140km/j di jalan-jalan kampung, keselesaan menjadi perkara terakhir yang boleh anda harapkan daripada kereta ini.

Prestasi enjinnya memang memuaskan, terutama apabila mengambil kira bahawa kereta ini seberat 1,090 kilogram. Di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), pada putaran 5,200 rpm pada gear akhir, enjin masih memiliki kuasa mendaki yang menakjubkan.

Saya percaya, enjin M16A ini adalah yang terbaik pernah dicipta Suzuki dengan pengalaman luas mereka dalam Junior WRC (World Rally Championship). Dengan kuasa 125ps pada 6,800 rpm dan tork puncaknya pada 148 Nm @ 4,800 rpm, ia memang sebuah enjin dinamik pada sebuah kerangka yang bagus. Susunan gear versi automatiknya jauh lebih baik daripada sesetengah kereta manual hari ini.

Enjin-enjin Suzuki dalam rangkaian model prestasi memang terkenal dengan keupayaan putaran enjin tinggi (high revving). Terima kasih pada pembangunan enjin M16A yang terdiri daripada omboh tempa, aci sesondol dengan bukaan tinggi, pegas injap yang diperkuatkan dan tidak dilupakan sistem VVT itu sendiri.

Lazimnya, enjin Normal Aspirated (N/A) tidak akan dibina sebegini tanpa sebab yang kukuh kerana kosnya bukanlah murah. Enjin ini juga mengingatkan saya ketika memandu Swift Cultus Gti (G13B tahun 1991) atau bahasa pasarnya 'vtec 1.3'.

Uji kelajuan maksimum

Perjalanan di LPT sedikit terganggu dengan hujan lebat yang turun di persimpangan Gambang, Pahang. Sebaik hujan berhenti, saya terus memecut untuk menguji kelajuan maksimum yang mampu dicatat.

Teman di sebelah hampir tidak percaya apabila jarum meter sedang mencium angka 200km/j sambil dia memegang brosur Suzuki. Dalam katalog, kelajuan maksimum yang dicatat ialah 170km/j.


STERENG kereta ini mudah dijangka. Kedudukan butang dan suis pada papan pemuka juga menitikberatkan aspek ergonomik.

Sebaik melepasi persimpangan Gambang, jalan semakin sibuk dan mustahil untuk memecut pada kelajuan itu. Ketika sedang asyik memandu, tiba-tiba kami terdengar satu letupan yang agak mengejutkan.

Bunyi seakan-akan sebutir skru terkena badan kereta. Beberapa saat selepas itu, kereta mula bergegar dan kami bernasib baik kerana hentian rehat Maran hanya beberapa ratus meter di hadapan.

Tayar belakang pancit sepenuhnya. Inilah perkara terakhir yang anda harapkan berlaku pada model Sport. Kereta ini tidak didatangkan dengan tayar ganti. Ia sama seperti model-model Sport moden seperti Volvo C30, Mini Cooper S dan sesetengah model up line BMW.

Banyak sebab yang membuatkan pengeluar mengambil keputusan untuk melupakan tayar ganti. Selain mengurangkan beban berat (purata tayar ganti ialah 28kg), ia juga membolehkan pelbagai aksesori lain yang lebih berfaedah dimuatkan.

Dalam sesetengah kes, memang tiada ruang untuk tayar ganti, khususnya pada kereta kecil. Ruang asalnya telah diambil alih oleh sistem sambungan suspensi dan kerangka untuk mengoptimumkan pengendalian.

Sebagai ganti, kereta-kereta tanpa tayar ganti ini (seperti Cooper S), dipasangkan dengan tayar run flat. Ia membolehkan kenderaan dipandu sejauh 290km untuk sampai ke bengkel berhampiran.

Memandangkan kos tayar run flat lebih mahal, sesetengah kereta tanpa tayar ganti seperti Swift Sport ini didatangkan dengan kit pembaikan. Malah saya juga mendapat maklumat bahawa Proton Exora juga pernah dicadangkan untuk dipasangkan teknologi sebegini. Namun ia tidak sampai ke meja kelulusan.

Tiada tayar ganti

Menjadikan perjalanan kami lebih menarik pada hari itu ialah repair kit yang sepatutnya terletak dalam but tiada di tempatnya. Yang tinggal hanyalah jek dan spanar pembuka tayar.

Melihat kepada hub roda, kami bercadang untuk meminjam tayar daripada kereta konvoi lain kerana kereta ini dipasangkan dengan hub lima lubang. Secara logiknya, ia mungkin bersaiz 114.3mm X 5 yang kebanyakan tayar ganti dari kereta konvoi kami adalah sama.


BADAN Suzuki Swift Sport berukuran 5mm lebih panjang berbanding dengan Swift 1.5.

Mungkin offset tidak sama, tapi lebih baik mencuba bukan? Namun, walkie talkie yang dibekalkan gagal dijawab oleh sesiapa yang berada dalam radius berhampiran. Seterusnya, kami berhubung dengan pasukan teknikal (yang sebenarnya sudah tiba di Kuala Lumpur!)

Daripada maklumat yang diterima, krew teknikal tersebut tidak menjangka untuk membawa tayar ganti. Mereka terpaksa mengambilnya di Kuala Lumpur dan berpatah semula ke Maran.

Ini bermakna, kami terpaksa menunggu tiga hingga empat jam lagi. Mujurlah pasukan sokongan kedua berada tidak jauh di hadapan. Dengan Triton yang sarat dengan muatan, mereka berpatah balik, meninggalkan seorang krew untuk menjaga kereta Swift tersebut dan terus membawa kami pulang ke ibu kota.


TIADA ruang untuk meletak tayar ganti. Satu ciri tipikal buat sebuah jentera sport.

Berbalik kepada pengalaman memandu kereta ini, mungkin ramai yang tertanya-tanya berbaloikah kalau kereta ini dibeli? Berharga RM103,000 (varian automatik) dan RM97,000 untuk manual, ternyata ia bukanlah satu pelaburan murah untuk sebuah kereta yang boleh dikatakan paling kecil dalam kategorinya.

Namun, kereta yang dicipta dengan DNA Suzuki Motorsport ini dikhaskan kepada mereka yang inginkan sesuatu yang berbeza. Keseronokan memandunya memang tidak terbatas.

Sunday, August 9, 2009

Model Ikonik

Model ini telah memaksa pesaingnya membuat satu lagi model untuk memastikan pembeli meletakkan Civic pada posisi yang betul.



HONDA Civic, kereta yang anda tidak akan menyesal jika dibeli, sama ada baru atau model terpakai. Kereta ini menawarkan hampir segala-galanya apabila bercerita berkenaan pemilikan kereta segmen C di Malaysia.

Civic ada rupa, gaya, kuasa, prestasi selain praktikal dan ekonomikal. Ia sebuah kereta yang dicipta untuk disesuaikan apa jua karektor anda. Dari suri rumah kepada eksekutif pejabat, usahawan atau seorang pelajar yang gemar bergaya untuk dipandu ke kolej.

Sejak model pertamanya direka pada tahun 1972, Civic kini telah mengisi segmen C premium Honda, diposisikan di antara Jazz/City dan Accord. Kereta ini tidak lagi duduk sebumbung dengan generasi sebelumnya.


SEKALI pandang, sukar untuk melihat pembaharuan yang diterima oleh model Civic facelift ini.

Asasnya, model ini telah dinaik taraf menjadi lebih 'eksekutif'. Atau dengan kata mudahnya, lebih mahal daripada model beberapa generasi sebelumnya. Ia bukan lagi model sub RM100,000 di Malaysia.

Malah, sekurang-kurangnya pengenalan model ini telah memaksa pesaingnya membuat satu lagi model untuk memastikan pembeli meletakkan Civic pada posisi yang betul. Toyota menghasilkan Yaris dan Vios, Mitsubishi dengan Colt dan Nissan menerusi model Latio.


RUANG kabin dengan rekaan papan pemuka futuristik. Segala butang kawalannya juga menitikberatkan aspek ergonomik.




Apapun natijahnya, Civic tetap dominan di mata rakyat Malaysia. Ketika generasi kelapan ini dilancarkan, ia seolah-olah menghentikan seketika putaran cerita kereta baru.

Pada tangga harga RM113,800, ia sebuah kereta yang direka jauh lebih menarik daripada model ES generasi sebelumnya. Enjinnya juga dipertingkatkan kepada 1.8 liter.


LAMPU utama diletakkan dalam perumah berwarna hitam yang dipinjam daripada model berprestasi tinggi, Civic Type R.

Sedangkan Civic generasi ke-7 pernah mengalami proses facelift menerusi enjin bersesaran 2.0 liter dengan aplikasi kotak gear lima kelajuan automatik yang dikenali sebagai RS. Enjin ini juga dipuji oleh kebanyakan orang sebagai enjin model i-VTEC yang ekonomikal dan reliable.

Tiga tahun selepas pelancarannya, kereta ini masih mencatat jualan lebih baik berbanding pesaingnya (Mitsubishi Lancer, Nissan Sylphy dan Toyota Altis). Satu situasi yang agak aneh untuk kereta yang lebih awal diperkenalkan dalam kelasnya.


LAMPU belakang berbentuk oktagon tidak sekata menjadi indikator utama bahawa ini ialah varian Civic yang terbaru.



Anda harus ingat bahawa jenama Honda sebenarnya sudah lama berdiri teguh di hati rakyat Malaysia. Siapa lagi yang berani menawarkan jaminan sehingga 3 tahun, merangkumi hampir semua bahagian kereta? Saya juga berani bertaruh, harga jualan Civic terpakai lebih tinggi berbanding mana-mana kereta dalam kategorinya.

Kini, Civic telah disegarkan dengan penampilan baru. Saya pernah memandu uji kereta ini pada tahun 2006. Apa yang boleh dikatakan dari sudut pemanduan, kereta ini tidak banyak berubah. Setidak-tidaknya saya percaya tiada apa yang ditingkatkan pada enjin NP4 1.8 itu.


GRIL radiator krom ini dipadankan bersama bumper hadapan yang lebar.

Ia masih tidak mampu berentap dengan Type R, tapi bukan itu tujuan model ini dicipta. Anda hanya perlukan kereta yang boleh dipandu dari titik A ke B dengan pakej yang betul.

Bagaimanapun, suspensinya boleh saya katakan agak keras sedikit berbanding model sebelumnya. Benar, jika anda letakkan perbandingan bersebelahan pada mana-mana model Toyota atau Mitusbishi dalam kelas yang sama, Honda biasanya hadir bersama suspensi yang lebih keras.


TEMPAT duduk dimonopoli oleh warna coklat cerah atau beige.



Ujian terbaik di Kuala Lumpur ialah di lebuh raya MRR2. Jika anda berkesempatan ke Pantai Timur, Lebuh Raya Pantai Timur juga tidak kurang hebatnya. Boleh terkeluar isi perut kalau memandu kereta sport. Mahu rasa lebih lagi, cuba pandu di jalan hubungan baru Bentong - Raub, ibarat jalan Hiroshima selepas dibom. Gelombang jalannya dapat dirasai hampir di sepanjang laluan yang berturap.

Suspensinya mengingatkan saya pada Audi A4 atau Nissan March Impul. Sesetengah orang mungkin tidak selesa dengannya, tapi ia terpulang kepada kecenderungan anda.

Suspensi yang jitu lazimnya memberikan kestabilan yang tinggi, baik di laluan lurus atau selekoh. Kurangnya olengan badan bermakna anda tidak terhuyung-hayang ketika keluar dari selekoh.

Patutlah ketika memandu, saya hampir tidak sedar meter kelajuan perlahan-lahan mencecah 200km/j. Tahap NVHnya walaupun bagus, namun masih boleh diperbaiki. Pecutan enjinnya agak cepat walaupun dalam kereta dibebani oleh empat orang dewasa serta bagasi.

Apa yang sebenarnya facelift pada kereta ini? Saya sendiri pun tidak perasan pada peringkat awalnya. Tidak dinafikan, memang susah untuk mengubah muka sebuah model yang sedia cantik.


REKAAN rim aloi lima jejari ini sedikit membosankan.

Di pasaran Asia, hanya beberapa kemasan dikenakan. Secara kosmetiknya, lampu depan 'smoked' yang dipinjam dari Type R, grill radiator dengan jeriji lebih besar, lampu kabus baru serta lampu belakang yang dipasangkan dengan lensa berbentuk oktagon berbanding bulat pada model sebelumnya.

Dari segi segmentasinya pula, model Civic di Asia berkongsi kerangka dengan model yang dipasarkan di Amerika Syarikat. Jika diberi pilihan, secara peribadi saya lebih sukakan lampu belakang facelift spesifikasi Amerika dan lampu hadapan spesifikasi Asia. Lebih ketara perubahan bentuknya (oh ya, sekali imbas macam A4). Sekurang-kurangnya jiran anda sedar Civic yang anda beli semalam ialah model paling baru.

Jika saya diberi peluang untuk memberi pandangan tentang apa yang perlu diubah, mungkin skema warnanya. Lebih bagus lagi jika kereta-kereta facelift ini diperkenalkan dengan warna badan baru. Sama ada putih Angelic, British Racing Green atau mungkin merah. Jadi, barulah pembeli dapat membezakannya dari model terdahulu.

Bahagian kabin kereta ini berubah dari jenis fabriknya. Jahitannya lebih kasar namun warnanya tidak berubah. Masih dengan fabrik coklat terang (beige) yang mana amatlah tidak praktikal di Malaysia.

Sama ada jurutera terlepas pandang atau mungkin tidak sedar bahawa menjadi satu bebanan bagi pemilik yang terpaksa menjadi seorang yang sangat berhati-hati, hatta untuk meletakkan lengan di atas perehat tangan.

Tidak dinafikan, warna-warna sebegini hanya sesuai untuk permaidani rumah yang tiada kanak-kanak. Jika jurutera tiada jalan lain, masih mahukan warna sebegini supaya nampak luas, saya syorkan balut sahaja dengan kulit yang berkualiti.

Pada harga RM114,980 atas jalan lengkap dengan insurans, ia sukar untuk dibandingkan dengan mana-mana saingannya.

Pilihan lain ialah model 2.0 berharga RM129,980. Atau tambah lagi RM5,000 untuk mendapatkan aksesori dari Modulo (bersama kit badan). Model 2.0 mungkin telah begitu jauh dari jangkauan. Untuk RM130,000, saya tidak akan teragak-agak membeli Accord. Saiznya lebih besar dan dalaman yang super luas. Namun, ia masih terpulang pada kecenderungan individu.

Selepas empat hari memandu uji kereta ini dengan perjalanan sejauh 520 kilometer tercatat pada odometer, ia mengingatkan saya Accord (F20B) yang saya miliki beberapa tahun lalu.

Ekonomikal, tetapi tidak menghampakan dari segi kuasa, teknologi VTEC memang sangat membantu. Kuasa dihantar bila perlu. Suspensinya jitu. Akhir kata, tepuk dada, tengok slip gaji, kalau teringin, sila pandu uji. Jangan tunggu lagi!

Tuesday, August 4, 2009

Lebih kuasa, lebih gaya































SELEPAS menerima pujian terhadap model kompak i10, Hyundai-Sime Darby Motors Sdn Bhd (HSDM) membawa model sedan terbaru, i30 yang lebih berkuasa dan bergaya.

Model terbaru itu dilancarkan serentak dengan pameran kereta besar-besaran Hyundai di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Model i30 itu didatangkan dengan tiga versi berbeza iaitu 1.6L manual dan automatik serta 2.0L automatik.

Pengarah Urusan HSDM, Dennis Ho, berkata i30 mampu mengekalkan jualan yang baik tahun ini.

"Syarikat berharap pengenalan model ini membolehkan Hyundai mencapai jualan antara 7,000 dan 8,000 kenderaan menjelang akhir tahun ini," katanya.

Hadir sama wakil dari Korea Selatan merangkap Naib Presiden Kanan Bahagian Asia Pasifik dan Perniagaan Global, Hyundai Motor Company, Y K Chun.

Model i30 menampilkan beberapa perubahan berciri global seperti keluasan ruang menyimpan barang, kerusi penumpang kedua fleksibel selain suntikan kejuruteraan terkini Hyundai.

Antara ciri luaran menarik terbaru termasuk lampu projektor berpasangan dengan lampu antikabus rekaan terkini, lampu brek ketiga dengan penyembur air dan reka bentuk lampu belakang memanjang ke bumbung.

Selain itu, i30 dijana enjin 16 injap DOHC CVVT yang menawarkan 121 PS dan 154 Nm tork bagi versi 1.6 manakala 143 PS dengan tork 186.3 Nm untuk versi 2.0L.

Ciri dalaman termasuk konsol tengah bagi penumpang belakang, kemasan ruang kokpit moden, paparan panel meter warna biru dan stereng boleh laras umpama jentera mewah.

Model terbaru ini turut dilengkapi sistem keselamatan terbaik antaranya beg udara, ABS dan EBD serta ESP untuk versi 2.0L.

Sebanyak lima pilihan warna ditawarkan iaitu Biru Indigo, Hitam Stone, Perak Continental, Kelabu Steel dan Putih Kristal.

Harga Hyundai i30 ialah RM92,388 bagi 1.6L (manual), RM97,888 1.6L (automatik) dan RM112,888 bagi 2.0L.

Thursday, July 30, 2009

Honda sasar jual 35,000 unit kereta


TORU TAKAHASHI (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Azman Idris bersama model kereta Accord generasi ke-8 di Kuala Lumpur semalam.

PETALING JAYA - Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia), yakin untuk mencapai sasaran jualan sebanyak 35,000 unit bagi semua model kereta keluarannya pada tahun ini di Malaysia meskipun berdepan dengan krisis ekonomi semasa.

Penolong Pengarah Urusan Honda Malaysia (Jabatan jualan dan pemasaran/bahagian jualan), Go Suzuki berkata, sasaran itu mampu dicapainya memandangkan jualan kereta sehingga enam bulan pertama tahun ini telah mencecah kepada 20,500 unit.

"Kami yakin dengan sasaran ini tambahan pula model 'City' telah menyumbang sebanyak 50 peratus kepada jumlah jualan berkenaan. Dalam masa yang sama kami akan cuba mencari beberapa strategi baru untuk mengukuhkan lagi jualan kami," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran variasi terbaru model kereta Accord Generasi Ke-8, Accord 2.0 VTi-L yang berwarna putih Taffeta dan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Toru Takahashi.

Saturday, July 25, 2009

Membangunkan semula LCC

Sewaktu kejatuhan ekonomi dunia pada tahun 1998, syarikat automotif Korea Selatan bergabung untuk mengelak daripada muflis. Hari ini, dengan situasi yang lebih buruk,+ gergasi automotif dunia perlu mencari jalan terbaik untuk bangkit daripada kerugian.


TATA Nano merupakan antara model kereta penumpang berharga rendah yang mendapat sambutan hangat.

DUNIA menghadapinya sekali lagi. Saat-saat sukar buat industri automotif hari ini dalam mengekalkan survival ketika bencana keruntuhan eknomi dunia belum menampakkan sebarang tanda pulih dalam masa terdekat.

Hampir kesemua pemain utama industri dunia mencatat kerugian sepanjang tahun lalu dan separuh pertama tahun ini. Walaupun ramai yang optimis pasaran akan kembali pulih, namun ia tidak akan dicapai dalam masa terdekat.

Carlos Ghosn, CEO Nissan menjangkakan pemulihan tahun 2010 adalah mustahil. Akio Toyoda, CEO Toyota pula gigih mengerahkan pasukannya untuk mengurangkan kerugian yang dialami mereka sejak tiga suku terakhir 2008 dan tahun ini.

Trend terhadap industri juga dilihat semakin berubah. Banyak syarikat kini mula melihat semula senario penggabungan industri automotif Korea Selatan ketika musibah melanda ekonomi Asia pada 1997.

Korea secara drastiknya menukar haluan posisi pasaran mereka dengan mengutamakan pasaran kereta penumpang yang ekonomikal.

Langkah yang sama bakal menjadi ikutan. Mungkin corak dan caranya sahaja yang sedikit berbeza.

Sejak keruntuhan GM dan Chrysler, apa yang mengejutkan pasaran ialah kebangkitan Asia.

Walaupun jumlah jualan menurun, Malaysia masih mencatat pertumbuhan memberangsangkan sepanjang tempoh ini. Lebih mengejutkan, kuasa ekonomi dunia baru, China mencatat kenaikan dalam pasaran automotif mereka.

Kereta kos rendah

Hampir kesemua pembuat kereta utama kini berhasrat untuk melancarkan produk asas. LCC (Low Cost Car) atau ULCC (Ultra Low Cost Car) merupakan salah satu daripada produk yang bakal mengumpul modal syarikat pada waktu yang sukar ini. Tindakan itu dijangka berkesan dalam menghadapi fenomena semasa dengan menurunnya kuasa membeli di pasaran.

Tata Nano sebagai contoh kereta dalam kategori ULCC yang dijual pada harga AS$2,000 (RM7,156).

Ia juga dikatakan berpotensi untuk diperkenalkan di negara maju dan negara membangun lain dengan penyesuaian tertentu. Pembuat kereta lain seperti Toyota pula memang tersedia dengan pasaran EFC (Emerging Family Car). Cuma sejak dekad terakhir, pasaran kereta murah itu seakan-akan dilupakan.

Jika anda masih ingat, sebelum model Vios muncul, pasaran ini sudah pun tersedia dengan model Soluna, khusus sebagai kereta penumpang murah yang mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah, selain penggunaan komersial seperti teksi dan transit.


MODEL Dacia Logan sudah lama menguasai pasaran kereta murah di Eropah.

Model itu terbukti berjaya di Thailand dan Indonesia. Jika melihat kepada keadaan hari ini, projek itu akan menjadi tuntutan paling utama dalam memastikan pasaran Toyota kembali agresif.

Oleh kerana itu pesaing Toyota, Volkswagen turut mengumumkan untuk menyertai kelompok LCC dengan nama projek NSF (New Small Family).

Pengeluar kenderaan terbesar Eropah itu menerima respons positif daripada subsidiari mereka, Audi yang berjanji akan turut membangunkan model dengan sasaran pasaran yang sama. Projek itu dijangka akan dimulakan selewat-lewatnya pada 2011 di kilang pemasangan VW di Bratislava, Slovakia.

LCC di Eropah telah lama dimonopoli oleh Dacia Logan dan Fiat Palio. Pada harga kurang 6,000 Euro (RM32,000), Logan sememangnya kereta yang direka untuk semua pembeli. Sama ada sebagai kereta kedua keluarga atau kereta pertama bagi mereka yang dahulunya menunggang motosikal. Idea Dacia Logan ini berdasarkan kejayaan Lada di Rusia.

Fiat Palio juga merupakan contoh super mini murah yang turut menempa kejayaan luar biasa. Ia diumum sebagai world car semasa dilancarkan. Ia dipasang dan dipasarkan di kebanyakan negara seperti Turki, Rusia, Korea Selatan dan Brazil.

Walaupun baru sahaja diperkenalkan di China beberapa tahun lalu dengan kerjasama Nanjing, Palio mula membanjiri pasaran tempatan.

Pasaran LCC dijangka akan terus melonjak bukan sahaja berdasarkan landskap ekonomi semasa, malah trend yang kini mula beralih kepada aspek pengguna dan kepenggunaan.

Sehingga kini, pasaran automotif di negara-negara utama dunia didominasi oleh pemain tegar yang telah lama dalam industri tempatan.

Friday, July 24, 2009

ViVA Elite lebih sporty


KAKITANGAN Perodua bergambar bersama ViVA Elite pada majlis pelancaran model terbaru itu di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua), memperkenalkan model terbaru ViVA, ViVA Elite yang lebih sporty dan memiliki ciri-ciri yang diperbaharui serta rekaan lebih kontemporari.

Pengarah Urusan Perodua, Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar berkata, model ViVA Elite itu terdiri daripada tiga varian iaitu Elite transmisi manual (MT), Elite transmisi automatik (AT) dan Elite EZi yang masing-masing ditawarkan pada harga RM37,900 hingga RM44,900 seunit.

"ViVA Elite menjanjikan kelebihan kepada pembeli yang mana ia akan memberikan penjimatan minyak, kos penyelenggaraan yang berpatutan serta memenuhi keselesaan dan keperluan kehidupan moden pada masa sekarang," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran model terbaru itu di sini semalam.

Berbeza dengan empat varian ViVA lain di pasaran masa sekarang, ViVA Elite memperlihatkan rekaan hadapan baru dengan lampu kabut (fog lamp), rim aloi, fabrik tempat duduk, pemegang pintu krom, audio digital dengan keupayaan MP3 dan format WMA yang baru serta tingkap yang dilengkapi perlindungan sinar lembayung (UV).

"ViVA Elite yang lebih sporty ini dijangka menarik minat golongan profesional muda dan keluarga baru yang mahu memaparkan imej yang berbeza," kata beliau sambil menambah Perodua menyasarkan jualan 2,600 unit model terbaru itu setiap bulan.

Thursday, July 16, 2009

Kembali rebut pasaran




SUATU ketika dulu, jentera Ford seperti model Laser dan Telstar sangat popular sehinggakan ia mudah kelihatan di jalan raya.

Kini, jenama Ford kembali lagi apabila pengedar dan pengimport jenama berkenaan, AutoConnexion Sdn Bhd melancarkan model sedan terbarunya, Focus Ghia Sedan.


Peluang memandu uji jentera berkenaan memberi pengalaman baru kepada penulis terutama susun atur dan ruang dalamannya yang menampilkan identiti asli kereta buatan Eropah.

Model pertama yang diperkenalkan pada 2005 itu kini dipertingkatkan lagi dengan beberapa ciri luaran terbaru menjadikannya lebih segar dan berdaya saing.

Ford Focus Ghia sedan ini mengutamakan keselesaan dan keluasan ruang bagasi maksimum. Oleh itu, tidak hairanlah Ford mensasarkan kepada golongan berkeluarga.

Bagi mereka yang masih bujang, pastinya model Focus Sport Hatchback menjadi pilihan.

Dibekalkan dengan enjin Duratec 1-4 DOHC berkuasa 2.0L, model terbaru ini mempunyai imbangan kuasa dan berat yang boleh dikatakan stabil.

Ini kerana, Ghia sedan mempunyai panjang 4,337 milimeter (mm) dan selebar 2,019 mm, sesuai untuk lima penumpang dewasa menempuh perjalanan jauh lebih selesa.

Selain rekaan gril bersama lampu hadapan terbaru, Ghia sedan turut disuntik elemen keselamatan terkini seperti kerangka lebih keras dan jitu.

Ruang dalamannya dihiasi dengan latar belakang warna krim (biege) sebagai latar. Papan pemuka memperlihatkan ciri Eropah dengan ciri berkotak dengan kemasan kayu.

Konsol tengahnya pula dipadankan dengan beberapa butang dan tombol untuk mengendalikan sistem audio dan aksesori lainnya.

Memandu kereta ini sangat mudah dan santai. Penulis tidak perlu bimbang mengenai kuasanya yang sentiasa bersedia ketika mengharungi bukit atau memecut di jalan lurus.

Ketahanan enjin Ford sudah terbukti dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang diraih saban tahun.

Pedal minyak cukup responsif dan enjin sentiasa memberi tindak balas yang diperlukan sementara stereng berkuasa hidrolik elektrik (EHPAS) memastikan berat dan kelajuan kenderaan diseimbangkan secara automatik.

Ini bermakna, semakin laju kenderaan ini dipandu, stereng terasa lebih berat dan stabil.

Penumpang belakang juga dibekalkan dengan unit penyaman udara yang terletak di ruang belakang pada konsol tengah, menjadikan hawa dingin sampai ke kerusi baris kedua lebih cepat.

Model ini juga dibekalkan sistem pemain cakera padat dengan enam penukar terbina dan dihubungkan melalui enam pembesar suara berkualiti.

Satu keistimewaan atau unik bagi model terbaru ini adalah cara membuka bonet hadapan.

Kebiasaan kereta mempunyai tuil atau butang khas di bahagian dalam untuk membuka bonet hadapan tetapi model ini memerlukan pemandu keluar ke bahagian hadapan, pusing dan alihkan logo Ford pada gril.

Masukkan kunci pada slot berkenaan pemandu perlu membukanya secara manual.

Sistem suspensi topang MacPherson pada bahagian hadapan dan Control Blade Multi-Link dengan Anti Roll Bar menjadikan pemanduan lebih santai dan selesa.

Malah, sistem imbangan juga beroperasi cemerlang mengawal kestabilan kereta ketika mengambil selekoh.

Ruang menyimpan barangan pada but belakang cukup luas untuk memuatkan empat beg besar dan barang lain.

Secara keseluruhannya, Ford Focus Ghia sesuai sebagai kenderaan keluarga yang lengkap daripada segenap aspek keperluan.

Berharga RM111,888 dan diimport sepenuhnya, model ini berbaloi untuk dimiliki.

SPESIFIKASI

Ford Focus Ghia 2.0

Enjin: 1-4, DOHC, 1,999cc

Kuasa maksimum: 143hp pada 6,000rpm

Tork maksimum: 185Nm pada 4,500rpm

Transmisi: Automatik empat kelajuan dengan Sequential Sport Shift

Ciri-ciri keselamatan: ABS, beg udara, tali keledar ELR

Harga: RM111,888 (tanpa insurans)

Tayar yang dicadangkan: SportContact-1 205/55R16 91V

Tuesday, July 7, 2009

Grand Livina sentuhan Impul


Grand Livina








EDARAN Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) sebagai pengedar tunggal dan pemasang kenderaan Nissan di Malaysia boleh dikategorikan antara syarikat yang kreatif dalam meraih minat pelanggan.

Senjata utamanya ialah Impul yang memberi sentuhan berciri kereta lumba. Apabila ETCM memperkenalkan versi Impul bagi model kenderaan pelbagai gunanya (MPV) Grand Livina, ia mencatat sejarah sebagai Grand Livina yang pertama di dunia ditala oleh pakar penalaan Nissan dan sukan kereta Jepun yang terkenal di dunia, Impul Motor Racing Development.

Kecuali rim rodai aloi, semua bahagian Impul Grand Livina dikeluarkan di Malaysia. Kualiti bahagian-bahagian ini dijamin dengan kos berdaya saing yang sewajarnya bagi pertimbangan eksport ke lain-lain pasaran ASEAN, China dan Amerika Selatan di fasa seterusnya.

Grand Livina ditala Impul dibangunkan untuk keluarga muda dan dinamik yang ramai dalam masyarakat dan mahukan kelainan pada keupayaan Grand Livina 7-kerusi yang digabungkan dengan rupa mantap dan prestasi ditala - yang merupakan mercu tanda Impul Motor Racing yang kaya dengan warisan sukan keretanya.

Bahagian badan Impul yang dipasang pada model GRAND LIVINA serba baru ini ialah :

Aerokit Lengkap IMPUL

Aerokit lengkap ini memaparkan drama visual dan kehadiran dinamik dengan jeriji depan, spoiler pada bamper depan dan belakang, skirt sisi dan mercu tanda Impul iaitu spoiler sayap belakang.Sistem Gantungan Sports IMPUL

Sistem gantungan mengandungi penyerap yang dipertingkatkan dan spring yang direka khas bagi pemanduan kenderaan yang direndahkan paras ketinggiannya sebanyak 25 mm bagi mengurangkan rasa terbabas dan kepaduan bagi pemanduan yang optimum serta meningkatkan kawalan pada stering roda Nissan Grand Livina.Peredam Bunyi Ekzos Blast II IMPUL

Peredam bunyi ekzos besi keluli berkualiti tinggi yang berkilat dan diukir dengan logo Impul. Ia memberikan maklum balas enjin yang lebih jitu dengan penekanan kepada aspek sport dan juga menyokong keseluruhan estetika luaran kenderaan.Rim Aloi 17" IMPUL Aura SX-10 dengan tayar Dunlop Formula D 01 205/45 R17

Rim aloi Impul Aura SX-10 yang dikilatkan direka untuk mencetuskan rasa mewah. Ia dibentuk menggunakan proses IMPUL New Super Cast yang menghasilkan penjimatan berat antara 20 hingga 30 peratus berbanding proses konvensional, oleh itu memberikan teknologi reka bentuk roda terkini dan bukti komitmennya untuk kualiti dan keselamatan lebih tinggi.Nissan Grand Livina dengan penalaan oleh Impul ditawarkan pada harga kos RM10,500.00 lebih tinggi berbanding versi standard Nissan Grand Livina.

Triton Lite trak komersial ekonomi



BERIKUTAN trend trak pikap yang semakin popular sekarang, Mitsubishi Motors Malaysia melancarkan tambahan terbaru kepada barisan trak pikap Triton, termasuk untuk kegunaan komersial Triton Lite 2.5-liter 4x2 manual yang baru.

Berlatar belakangkan beberapa kejayaan di seluruh dunia dan sejarah perlumbaannya, Triton Lite ini dibezakan dengan profil gagah revolusioner dan rupa yang agresif yang mencabar gaya konvensional trak pikap, bagi menawarkan keselesaan bak kereta penumpang tanpa menjejaskan ketahanannya sebagai sebuah pikap.

Dengan bahagian luar yang kelihatan garang dan penuh gaya, penggayaan agresif Triton yang baru dibezakan dengan gril depan krom dengan jaringan keluli tahan karat yang digandingkan dengan penambah bamper depan. Ia adalah trak pikap yang mempunyai ruang kabin belakang paling luas dalam kelasnya.

Melebihi model sebelumnya dari segi dimensi keseluruhan, Triton Lite kini didatangkan dengan saiz 220mm lebih panjang daripada saiz sebelum ini menjadikannya 5,215mm dan sehingga 55mm lebar menjadikannya 1,750mm, yang menawarkan lebih ruang kepada penumpang dan muatan.

Dengan kabin dalaman yang lebih besar daripada model sebelumnya iaitu sebanyak 150mm, Triton Lite yang baru menawarkan ruang dalaman yang lebih luas iaitu dengan panjang 2,153mm dan ruang kaki yang mencukupi iaitu 810mm bagi memberikan keselesaan sepenuhnya kepada penumpang.

Bagi memenuhi keperluan trak pikap luas yang menawarkan kegunaan serba boleh untuk tujuan perdagangan atau persendirian, Triton Lite yang baru dijana enjin 2.5 liter diesel SOHC 8-Valve, iaitu sebuah enjin yang efisien dari segi ekonomi, berdaya tahan dan boleh dipercayai. Dengan kecekapan minyak yang tinggi, Triton Lite yang baru memberikan 75bhp pada 4200rpm dan 149Nm pada 2,500 rpm.

Triton Lite juga mencapai radius pusingan hanya 5.7 meter, iaitu radius pusingan paling kecil di kalangan semua pikap. Menawarkan ruang kabin belakang paling luas dalam kelasnya dengan ciri bahagian intuitif, Triton Lite menyediakan keselesaan seperti sebuah sedan pada harga yang kompetitif.

Menawarkan perlindungan keseluruhan, penumpang diberi jaminan bahawa Triton Lite baru ini dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang terbaik.

Dibina dengan badan RISE (Reinforced Impact Safety Evolution) Mitsubishi, Triton Lite mengukuhkan sokongan dengan mengekalkan bentuk dan mengalihkan kemusnahan dan hentaman jauh daripada penumpang dengan zon remuk penyerap tenaga.

Pedal brek pelepasan keselamatan anti-gangguan bertindak ke atas impak hentaman dengan meruntuh ke dalam, dan melindungi pemandu daripada kecederaan.

Kesemua empat pintu telah dibina besi impak sisi yang mengalih impak daripada sampai ke kabin ketika perlanggaran dan strukturnya yang maju dengan pembinaan ladder-frame yang lebih tebal dan kuat, dan dilengkapi dengan sambungan penyerap tenaga memberikan perlindungan yang lebih kepada penumpang.

Trak ekonomi ini dijual pada harga atas jalan (dengan insurans) RM61,888.000 sebuah.

Saturday, July 4, 2009

Prestasi lebih berkuasa

Khidmat Pajero telah lama digunakan di negara ini. Hari ini dengan jumlah peminat SUV yang semakin bertambah cita rasanya juga semakin mewah.



SUV terbaru ini, Mitsubishi Pajero Sport diperkenalkan buat pertama kali di Moscow Motor Show pada tahun lalu. Kenapa Moscow? Rusia dipilih kerana bekas negara Kesatuan Soviet itu merupakan pasaran utama produk Mitsubishi Motor Corporation (MMC).

Buktinya, pada tahun fiskal 2007, MMC berjaya menjual lebih daripada 100,000 unit di pasaran Rusia. Angka itu disumbangkan oleh model Lancer dan SUV keluarannya seperti Pajero dan Outlander. Justeru, MMC yakin model Pajero Sport akan menguatkan lagi penguasaannya dan mampu mencecah sasaran jualan sebanyak 140,000 unit pada tahun berikutnya.

Di Malaysia, Mitsubishi Pejero sebenarnya sudah menemui pengguna sejak tahun 1980-an lagi. Ketika itu, SUV itu disaingi oleh model Isuzu Trooper. Pajero dilihat sebagai sebuah jentera pacuan empat roda yang cukup sinonim dengan golongan kontraktor, tauke balak atau pengurus ladang.

Tidak ketinggalan, jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut menggunakan khidmat Pajero dalam melaksanakan tugas harian para pegawainya.

Kini, Pajero Sport tampil dengan ciri yang lebih mewah dan selesa. Ia merupakan hasil gabungan terbaik dengan segala keistimewaan yang ada pada model Pajero dan model SUV untuk kegunaan urban, Mitsubishi Outlander.

Sesi pandu uji Pajero Sport telah membawa sekumpulan wartawan ke Pulau Pinang. Dalam perjalanan ke sana, kami singgah di Selangor Fruit Valley di Bukit Bestari, Rawang. Bukan sekadar menikmati timbunan buah-buahan segar seperti durian, manggis, rambutan dan nangka, di sana juga saya mendapat pengalaman yang jauh lebih berharga.

Apa lagi kalau bukan berpeluang menjadi penumpang Pajero Sport yang dipandu oleh bekas juara dua kali Rali Paris-Dakar, Hiroshi Masuoka.

Meredah laluan dusun yang sempit, berlubang dan bengkang-bengkok bukan hanya menyerlahkan kemahiran kelas dunia yang dimiliki Masuoka, malah ia menunjukkan keupayaan sebenar jentera itu yang tidak menerima sebarang bentuk modifikasi.

"Sebenarnya saya suka transmisi manual, ia lebih senang dikendalikan," kata Masuoka sambil tangannya pantas memusing stereng dan menukar kedudukan gear.

Walaupun tempohnya singkat (hanya sekitar lima minit), Pajero Sport yang dibina atas kerangka jenis ladder ini nyata memberikan rasa kendalian yang cukup meyakinkan.

Ditambah pula dengan aplikasi sistem suspensi, pacuan empat roda (Super Select 4WD) dan kuasa yang diekstrak daripada unit enjin diesel bersesaran 2.5 liter. Semua ciri ini mengukuhkan lagi tanggapan bahawa Pajero Sport merupakan sebuah jentera off-road yang serius.



Jangan tertipu apabila melihat fizikal Pajero Sport, terutama di bahagian hadapannya. Rekaan bentuk gril radiator dan bumpernya terlalu hampir dengan model trak pikap, Mitsubishi Triton.

Sementara karakter bahagian belakangnya pula diserlahkan dengan penggunaan lampu belakang yang nipis, di samping bumper lebar bersama sepasang lampu di bahagian bawahnya.

Biarpun cemerlang di laluan off-road, janaan kuasa daripada enjin 16 injap sebaris empat intercooled turbocharged DOHC Common Rail Di-D ini terasa sedikit berat ketika berada di jalan raya.

Enjin yang sama digunakan pada model Triton itu nampaknya memerlukan sedikit masa untuk mengheret tubuh Pajero Sport seberat 2,710 kilogram itu.



Menerusi padanan transmisi automatik INVECS-II empat kelajuan, pilihan menukar gear secara manual (sport mode) dan pacuan roda belakang, ia masih mampu memberikan tahap penggunaan bahan api yang munasabah.

Tidak perlu bimbang untuk memarkir atau melakukan pusingan U, Pajero Sport menawarkan nisbah pusingan minimum 5.6 meter.

Ruang kokpit Pajero Sport dimonopoli oleh kemasan kulit berwarna beige, pada tempat duduk dan panel sisinya. Reka bentuk papan pemuka dan sterengnya seakan sama dengan apa yang boleh anda lihat di dalam Triton.

Untuk hiburan sepanjang perjalanan, unit audio double DIN sedia digunakan. Disokong oleh enam buah pembesar suara, kualiti bunyi yang dikeluarkan agak memuaskan. Cuma paparan maklumat pada skrinnya saya fikir terlalu sarat.



Sebagai sebuah SUV berkapasiti tujuh tempat duduk, ruang kaki bagi penumpang barisan kedua adalah memuaskan. Tempat duduknya boleh dilaras mengikut keselesaan. Ia juga mudah dilipat untuk menyediakan ruang kargo yang lebih luas dan memberi laluan keluar masuk untuk penumpang keenam dan ketujuh.

Barisan tempat duduk ketiga hanya sesuai dihuni oleh kanak-kanak. Namun, saya rasa mereka mungkin berasa kurang selesa kerana rasa olengan (body roll) yang agak ketara ketika jentera ini dipandu laju. Sungguhpun begitu, mereka tidak akan kepanasan kerana terdapat corong pendingin hawa.

Mitsubishi Pajero Sport yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand ini ditawarkan pada harga RM158,609 (atas jalan tanpa insurans).

Dengan hanya model Toyota Fortuner sebagai pesaing terdekat, Mitsubishi Motors Malaysia Sdn. Bhd. yakin, ia mampu menepati sasaran jualan sebanyak 500 unit menjelang akhir tahun ini.

Pajero Sport didatangkan dengan lima warna pilihan iaitu kelabu, biru, putih, beige dan perak. Demi keselesaan pelanggan, Pajero Sport hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sehingga 100,000 kilometer.