Showing posts with label 4x4. Show all posts
Showing posts with label 4x4. Show all posts

Saturday, September 26, 2009

Ford Ranger TDCi XLT.


KEUPAYAAN dan kredibiliti trak pikap ini tidak pernah manghampakan pemiliknya.

SEJAK mengambil hak francais bagi jenama Ford pada tahun 2008, Sime Darby Auto ConneXion dilihat cukup aktif untuk mengembalikan kegemilangan jenama tersebut.

Apatah lagi apabila menyedari penyokong setia Ford tetap ada, biarpun mereka ditawarkan dengan pelbagai jenama lain di pasaran.

Justeru, tidak hairanlah jika satu demi satu produknya diperkenalkan kepada khalayak. Biarpun, ia sekadar penyambung model sedia ada sebelum ini, tetapi pengenalannya tetap memberi nafas baru kepada populariti Ford yang nampaknya agak suram.

Setelah memperkenalkan model Ford Focus Ghia (sedan) dan hatchback, Sime Darby Auto ConneXion tampil dengan model trak pikap popularnya, Ford Ranger TDCi XLT.

Sungguhpun ia cuma sebuah model facelift, namun Ford Ranger telah mengalami proses evolusi, sekali gus menjadikannya sebuah jentera yang cukup matang.

Untuk makluman, Ford Ranger bermula dengan penghasilan trak pikap model T pada tahun 1917 oleh pengasasnya, Henry Ford. Penerimaan positif pengguna terhadap segmen itu membuatkan Ford memperkenalkan pula model trak F Series yang terus mendapat sambutan positif.

Buktinya, ia dikatakan sebagai trak paling laku selama 30 tahun dan dijual di 130 buah negara. Pada tahun 2005, ia menyambut ulang tahun ke-10 dengan menghasilkan unit ke-500,000 di kilangnya di Rayong, Thailand.

Cukup sinonim dengan penampilannya yang maskulin, ciri itu bagaimanapun sedikit berubah. Ford Ranger baru yang diimport sepenuhnya dari Thailand itu kelihatan lebih urban dan bergaya. Ia tetap mengekalkan warisan 'Built Ford Tough' yang sudah sekian lama menjadi identitinya.


ENJIN Duratorq turbo diesel dipadankan dengan transmisi automatik lima kelajuan.

Mesej itu disampaikan dengan jelas pada bahagian hadapannya yang meliputi reka bentuk lampu utama, bampar, sepasang lampu kabus, gril radiator tiga bar, selain emblem Ford dan tulisan RANGER yang besar.

"Reka bentuk kontemporari memberikan Ford Ranger yang baru ini kreadibiliti sebagai sebuah kenderaan urban. Aspek praktikaliti telah menjadikannya sebagai satu pilihan terbaik bagi memenuhi keperluan gaya hidup anda," kata Pengarah Reka Bentuk Ford Motor Company, Asia Pasifik dan Afrika, Scott Strong.

Ia bukan sekadar reka bentuk bersifat kosmetik. Rekaan itu berfungsi mengarahkan udara yang diperlukan untuk membantu keberkesanan sistem pendingin hawa dan penyejukan enjin, terutama ketika cuaca panas. Bukaan yang luas di bahagian bawahnya pula menyediakan bekalan udara ke unit intercooler enjinnya dengan lebih efisien.

Intercooler pula diletakkan di bahagian hadapan radiator dan menerima udara sejuk secara langsung sekali gus membolehkan enjin beroperasi dengan lebih baik.

"Beberapa pesaing Ford meletakkan intercooler di bahagian atas enjin dan menggunakan dramatic hood untuk mengarahkan udara kepadanya. Sedangkan, kami pula mendapati prestasi intercooler lebih baik apabila ia diletakkan pada kedudukan lebih bawah dan di laluan udara secara terus," jelas Pengarah Program Ranger Ford Motor Company, Asia Pasifik dan Afrika, Hiroaki Hashimoto.

Kuasa yang dijana oleh unit enjin Duratorq turbodiesel bersesaran 2.5 liter itu cukup bertenaga. Dengan keupayaan menghasilkan kuasa sehingga 143 PS dan tork maksimum 330 Nm, tiada laluan yang tidak boleh diharunginya.

Enjin itu dipadankan dengan kotak transmisi sama ada lima kelajuan automatik atau manual. Unit yang saya pandu uji itu bertransmisi automatik. Kelancaran penukaran gearnya memang sudah dijangka, malah penggunaan bahan apinya juga memuaskan.

Dari segi pengendaliannya pula, Ford Ranger menawarkan kualiti pemanduan sebuah trak yang tipikal. Penggunaan suspensi jenis rigid leaf spring pada roda belakangnya kadangkala membuatkan penumpang belakang mungkin berasa kurang selesa terutama ketika menempuh laluan yang teruk keadaannya.


Papan pemuka yang mesra pengguna.

Mujur juga tahap NVH yang ditawarkan boleh dikatakan bagus. Jarang sekali bunyi enjin dan angin masuk ke dalam kabin. Ini membolehkan anda menikmati muzik kegemaran tanpa sebarang gangguan.

Masuk ke dalam kabin, pemandu dihidangkan dengan paparan pemuka yang ringkas dan ergonomik. Tempat duduk yang disalut dengan material berwarna hitam juga seakan-akan memberi petanda bahawa ia akan tahan dalam tempoh masa yang lama.

Anda boleh memilih lima warna iaitu hitam, emas, putih, kelabu, biru dan perak. Harganya pula ialah RM88,888 untuk transmisi automatik dan RM82,388 (manual). Harga itu tidak termasuk kos pendaftaran, cukai jalan dan insurans.

Tuesday, September 8, 2009

New D-Max


BUDAYA memilih trak pikap sebagai kenderaan kegunaan harian bukanlah perkara baru di negara ini.

Kini, ramai gemar memandu trak berikutan keadaan fizikalnya besar selain tahan lasak.Minat rakyat tempatan itu mendorong Isuzu Malaysia Sdn Bhd memperkenalkan model terbaru, Isuzu New D-Max 3.0L versi Hi-Def.

Ia hanya ditawarkan 200 unit tahun lalu dan habis dijual.

New D-Max masih menggunakan enjin Ddi iTEQ empat silinder turbo intercooler dengan Super Commonrail yang menghasilkan 134 hp pada 3,400rpm manakala tork pula pada 294Nm antara 1,400 hingga 3,000rpm.

Enjin berkenaan menawarkan penjimatan maksimum dan tidak hairanlah setangki penuh diesel mampu membawa penulis dari ibu kota ke Haadyai.

Bagaimanapun, pihak Isuzu yang memberi unit pandu uji pada hari bekerja menyukarkan penulis menguji tahap penggunaan bahan api yang diisi penuh di dalam tangki.

Sepanjang empat hari memandu uji di sekitar ibu kota seperti menempuh kesesakan jalan raya ketika berulang- alik dari rumah ke pejabat dalam jarak 40 kilometer sehari, penulis mendapati tolok bahan apinya hampir tidak bergerak. Menakjubkan!

Perkara ini tidak mustahil kerana D-Max terbaru ini dibekalkan enjin terbaru dikenali High Frequency Induction Hardening (HFIH) yang menawarkan mampatan lebih baik pada kebuk pembakaran serta omboh aloi ringan.

Selain itu, model ini dipadankan dengan rantai pemasa yang lebih lasak berbanding tali pemasa yang perlu ditukar setiap 80,000 kilometer.

Dari segi gaya luaran, D-Max terbaru masih lampu hadapan projektor Ellipsoid dalam perumah bertingkat, tetapi gril hadapan diberikan rupa baru lebih bergaya.

Bahagian hadapan terserlah wajah perkasa D-Max dan jentera pacuan empat roda ini tidak memerlukan sebarang aksesori tambahan melampau.

Bahagian sisi turut dipertingkatkan apabila pemijak sisi dilebarkan bagi memudahkan penumpang terutama kanak-kanak memasuki ruang kabin.

Ruang belakang hanya dipadankan dengan 'Roll Bar' tidak seperti model Hi-Def yang ditawarkan dengan D-Box.

Bagaimanapun, Roll Bar krom kalis calar sudah memadai bagi New D-Max kelihatan tegap dan maskulin.

Kabin juga dipertingkatkan dengan salutan kulit kemas seperti sebuah kereta sedan.

Sistem audio 'In-Car DVD' bukan sahaja menawarkan sistem audio dan gambar jelas, tetapi disatukan dengan sistem navigasi terbina.

Sistem hiburan berkenaan kelihatan menarik bersama kokpit kemasan titanium yang bukan sahaja lebih menarik, malah kemas dan cantik.

Walaupun New D-Max transmisi automatik ini dipandu secara agresif di kawasan bandar, ia menawarkan keselesaan walaupun masih kekal konsep pikap.

Penumpang belakang masih terasa terlompat-lompat kerana spring belakang direka untuk muatan, bukan penumpang.

Bagaimanapun, dengan sistem hiburan terbaik, kerusi balutan kulit dan penjimatan minyak terunggul dalam kategori pikap menjadikan New D-Max tetap pilihan berbaloi.

Berharga RM84,638.40 (tanpa insurans), New D-Max adalah jentera pikap terbaik daripada Isuzu.

>SPESIFIKASI

Isuzu New D-Max

Enjin: 4JJ1 2,999cc empat silinder sebaris Intercooler Turbo Diesel DOHC 16V

Sistem Bahan Api: Suntikan Terus Elektronik Commonrail

Kuasa maksimum: 134 hp pada 3,400rpm.

Tork maksimum: 294Nm antara 1,400 hingga 3,000rpm.

Transmisi: Automatik empat kelajuan dengan Grade Logic Control.

Ciri keselamatan: Beg Udara berkembar SRS, ABS, EBD, LSD dan penghadang sisi

Harga: RM84,634.40 tanpa insurans

Tayar Dicadangkan: ContiCrossContact LX 245/70R16 107T

Saturday, September 5, 2009

Perubahan baru Triton


TRITON yang telah menerima banyak pengiktirafan kini sudah berwajah baru.

PADA bulan lalu, pasaran automotif tempatan dihidangkan dengan dua model facelift iaitu Lancer dan Grandis daripada pihak Mitsubishi Motors Malaysia. Trak pikap edaran syarikat itu kini telah mengalami proses serupa.

Setelah memperoleh pelbagai anugerah pemotoran dalam dan luar negara, Mitsubishi Triton yang merupakan salah satu daripada jenama trak pikap paling popular dalam negara sudah bersedia untuk bertemu peminatnya menerusi pakej lebih menarik.

Trak pikap itu telah memenangi anugerah Pick-up of the Year daripada Autocar ASEAN sejak tahun 2006 menerusi model L200 (Mitsubishi Storm).

Pada tahun 2007 dan 2008, anugerah itu sekali lagi diberikan melalui model Triton 2.5 serta Triton Lite. Sebagai tambahan , model premium Triton 3.2 dinamakan sebagai Pick-up of the Year oleh pihak NST-Maybank Car of the Year Awards pada tahun lalu.

Sejak dilancarkan pada tahun 2006, Triton nyata mencatat jualan memberangsangkan dan memberi impak signifikan dalam segmen tersebut.

Pengukuhan model Triton dalam kalangan pengguna kian jelas dengan pengenalan dua lagi variannya iaitu Triton 3.2 dan Triton Lite pada tahun 2008. Kedua-dua model itu telah menyumbang kepada peningkatan jualan sebanyak 45.9 peratus, berbanding angka yang dicatatkan sepanjang tahun 2007.

Bagi pasaran Malaysia, Triton meliputi varian Triton 3.2 automatik, Triton 2.5 liter 4x4 bertransmisi automatik dan manual, serta Triton Lite 2.5 liter 4x2 (manual sahaja).

"Jadi, model facelift Triton ini membuatkan jentera yang sudah dikira terbaik semakin bagus, bergaya dan lebih versatil. Dari aspek keluasan, ruang kabin Triton sudah pun menjadi peneraju dalam kelasnya.

"Kini, ciri-ciri itu ditambah dengan kargo yang lebih dalam dan panjang bagi meningkatkan kapasiti barang yang ingin dibawa," kata Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Keizo Ono.

Penampilan bahagian hadapan trak pikap itu diserlahkan menerusi penggunaan bampar yang diprofil semula, selain kemasan bahagian bawahnya dan gril radiator berbentuk sarang lebah.

Ono sendiri mengakui bahawa dia teruja apabila melihat varian Triton 3.2 dilengkapi dengan rim aloi bersaiz 17 inci.

Perubahan itu hanya melibatkan peningkatan harga yang minimum. Bagi model Triton Lite, harganya bermula daripada RM61,484. Sementara Triton 2.5 (transmisi manual) dijual pada harga RM87,051 dan RM91,921 bagi Triton transmisi automatik. Triton 3.2 pula berharga RM99,143 seunit. Perlu diingatkan bahawa harga untuk model Triton 2.5 terhad pada tempoh pengenalan sahaja.

Diimport sepenuhnya dari Thailand, Triton hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan 100,000 kilometer (yang mana terdahulu).

Tuesday, August 25, 2009

D-Max kuasai lima teratas

ISUZU D-Max semakin menunjukkan penguasaannya dalam perlumbaan rali tempatan apabila mendahului tempat teratas pusingan kedua Kejohanan AAM Malaysian 4x4 Rally di Tampin, Negeri Sembilan, baru-baru ini

Paling bermakna, semua empat jentera Isuzu D-Max yang menyertai pertandingan itu menamatkan saingan dengan cemerlang dan menguasai kedudukan lima teratas.Kemenangan kali pertama pelumba dari Mysore, India, Lohitt V Urs dan pelumba kelahiran Johor, Chong Wee Siang nyata cemerlang.

Menurut Lohitt, perlumbaan itu sangat mencabar sehingga memaksanya memerah segala kudrat sehingga ke akhir perlumbaan.

“Saya teruja dengan kelasakan jentera (Isuzu D-Max) ini dan ia kenderaan terbaik pernah dipandu sepanjang menyertai perlumbaan rali.

“Kelasakan Isuzu D-Max memang memukau dan saya pasti kembali mencabar peserta lain nanti,” katanya.

Keadaan cuaca panas menjadikan permukaan jalan kering, berdebu dan keras hingga memaksa 13 pasukan menyiapkan persediaan mental dan fizikal.

Pelumba tempatan, Chong yang juga memandu D-Max, berkata dia sedaya upaya cuba mengejar Lohitt, tetapi gagal.

“Pusingan SS2 menghendaki peserta melalui ladang getah sejauh 21 kilometer dengan keadaan permukaan jalan kasar dan berdebu.

“Tindakan saya menukar jentera daripada Mitsubishi Pajero kepada Isuzu D-Max membuahkan hasil,” katanya.

Pusingan SS4 memerlukan peserta melalui laluan sama seperti SS2, tetapi dengan keadaan lebih rumit apabila hujan lebat sehari sebelum perlumbaan mengubah keadaan permukaan litar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu, Takashi Hata, berkata pihaknya kagum dengan semangat peserta.

“Keputusan perlumbaan kali ini memang di luar jangkaan kami apabila beberapa pasukan yang menggunakan Isuzu D-Max menempatkan diri dalam kalangan lima pelumba teratas.

“Jentera D-Max memang direka untuk mengharungi laluan lasak yang sukar dijangkakan,” katanya.

Ranger lebih kualiti, jimat kos

BAGI mereka yang mencari trak pikap 4X4 yang sasa, tetapi menjimatkan kos, Ford Ranger baru kini boleh didapati dalam versi harga mampu milik namun tidak berkompromi dengan kualiti, keupayaan tinggi dan paling penting, boleh dipercayai.

Ford Ranger XL versi 2009 dengan transmisi manual lima kelajuan menggunakan enjin Turbo Diesel Intercooler (TDI) Ford 2.5 liter dengan kuasa maksimum 109PS dan tork 257Nm pada 2,000 rpm.

Meskipun harganya antara trak pikap versi manual termurah di pasaran, Ford Ranger XL 2009 baru dipasang rim aloi 16 inci bergaya, lampu kabut dan untuk tempoh pengenalan terhad, bedliner dan tangga tepi ditawarkan secara percuma.

Gaya luarannya tetap sehebat Ranger XLT baru dengan spesifikasi lebih tinggi yang dilancarkan pada April tahun ini.

Ford Ranger XL baru membawa kemasan dalaman sama seperti kereta dan keselesaan seperti XLT, mengekalkan hampir semua ciri penting seperti pemain cakera padat dengan keupayaan MP3, cermin tepi kawalan elektronik dan roda stereng dengan kecondongan boleh laras.

Sistem masuk tanpa kunci kawalan jauh dan penggera kenderaan yang boleh mematikan enjin secara automatik sekiranya terdapat 'tindakan' luar biasa pada sistem penghidup membantu menjamin keselamatan kenderaan dan memberi ketenangan fikiran kepada pemilik.

Dengan kualiti Binaan Teguh Ford yang mendapat sanjungan Tinjau Selidik Kualiti Awal JD Power Asia Pasifik pada 2006 dan 2007, Ford Ranger XL baru seharusnya lebih daripada mampu untuk memenuhi keperluan mereka yang mencari kenderaan bekerja atau beriadah.

Lebih menarik lagi, harga berpatutan yang ditawarkan oleh Auto ConneXion menjadikannya lebih mampu dimiliki.

Dijual pada harga RM72,888 (tanpa insurans) Ford sekali lagi menawarkan produk yang mampu menyaingi jentera dalam kelas sama, tetapi pada harga jauh lebih rendah.

Ford Ranger XL kini boleh didapati di semua 29 bilik pameran Ford di seluruh negara.