Sunday, September 27, 2009

Tekanan angin tayar


TEKANAN angin tayar yang kurang boleh meningkatkan risiko kemalangan. - Gambar hiasan

RAMAI dalam kalangan kita menggunakan kereta saban hari tanpa memberikan tumpuan kepada elemen keselamatan yang paling penting iaitu tayar.

Kajian menunjukkan bahawa 80 peratus daripada pemandu kereta tidak tahu atau tidak mengambil peduli mengenai tekanan angin tayar mereka.

Hanya segelintir daripada kita yang memberi perhatian serius terhadap tekanan tayar sebelum ditimpa kemalangan yang berpunca daripada tayar.

Anda tentu pernah melihat belon yang diisi penuh dengan angin menjadi kempis secara semula jadi dalam tempoh beberapa hari.

Tayar juga mempunyai sifat yang sama seperti belon, tekanan angin dalam tayar akan berkurangan sebanyak 10 hingga 20 kPa dengan sendirinya setiap bulan.

Pengurangan 10 kPa adalah bersamaan dengan berat seorang penumpang seberat 70 kilogram (kg).

Secara tidak langsung, kereta kita dibebankan tanpa disedari. Ia bukan sahaja membahayakan pemandu dan penumpang, malah meningkatkan kos penyelenggaraan dan merosakkan tayar.

Pengabaian tekanan tayar oleh pengguna sering berlaku akibat kurangnya pengetahuan mengenai kelebihan menggunakan tayar bertekanan sesuai.


SIVARAO menunjukkan alat ATPC yang diciptanya.

Kurang arif

Ditambah pula, pemilik kereta sering memberi alasan susah hendak ke kios angin dan kurang arif mengenai nilai tekanan tayar yang patut diisi.

Menyedari masalah itu, pensyarah Fakulti Kejuruteraan Pembuatan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ir. S. Sivarao telah mereka cipta sebuah peralatan yang diberi nama Pengehad Tekanan Tayar Automatik (ATPC).

ATPC mampu menghadkan tekanan angin yang sesuai ke dalam tayar tanpa pengguna perlu tahu tekanan yang sesuai atau tekanan yang perlu ditetap pada kios angin.

Sivarao memberitahu, idea mereka cipta alat berkenaan muncul apabila melihat tayar kereta isterinya sering kekurangan angin.

Ketika ditanya mengapa tayar tidak diisi angin, alasan yang diberi oleh isterinya ialah tidak tahu tekanan angin sesuai.

"Masalah yang dihadapi oleh isteri saya ini dipercayai juga berlaku pada kebanyakan pemilik kereta.

"Terpanggil untuk menangani masalah ini, saya cuba mereka cipta peralatan yang dapat menghadkan tekanan angin secara automatik dan lahirlah ATPC," katanya ketiak ditemui Kosmo! di UTeM baru-baru ini.

Bunyi

Menurut Sivarao, ATPC akan mengeluarkan bunyi bagi memberitahu pengguna apabila tekanan yang sesuai telah dicapai.

"Pengguna tidak perlu tahu berapa nilai yang mereka perlu tetapkan di kios angin.


ATPC akan mengeluarkan bunyi apabila tekanan yang sesuai dicapai.

"Mereka boleh menetapkan sebarang nilai yang dikehendaki misalnya 500 kPa," katanya.

Selain itu katanya, ATPC ini juga mampu mengeluarkan tekanan berlebihan dalam tayar ke nilai sepatutnya secara automatik tanpa sebarang alat bantuan yang lain sekiranya berlaku over inflation.

"Selain digunakan di kios angin, ia juga boleh digunakan bersama kompresor angin atau pam manual yang biasa kita gunakan di rumah," katanya.

Pada masa ini, ATPC dikeluarkan dalam beberapa model iaitu PVC based single preset, aluminium made three presets dan multiple robast presets.



ATPC turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi pingat perak di Pameran Antarabangsa Reka Cipta, Produk dan Teknik Baru ke-36 di Geneva, Switzerland.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UTeM, Prof. Madya Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan sebuah syarikat bagi mengkomersialkan ATPC.

"ATPC dijangka akan berada dalam pasaran dalam tempoh sebulan dua lagi pada harga kurang RM50.

"Saya percaya ATPC akan mendapat sambutan hangat kerana ia mudah digunakan," katanya.

Tiga sebab utama kemalangan maut

KUALA LUMPUR: Memandu melebihi had laju, cuaca tidak menentu dan pemandu mengantuk adalah tiga punca utama yang mengakibatkan kemalangan maut pada musim perayaan kali ini.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Suret Singh, (gambar) berkata ini adalah sebab utama kemalangan maut yang dikenal pasti menerusi Ops Sikap ke-20 sejak 13 September lalu dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya sempena Aidilfitri.

“Ada kemalangan maut yang direkodkan membabitkan pemandu mengantuk tidak cukup rehat, ada pula yang memecut tanpa menghiraukan had laju yang dibenarkan lebih-lebih lagi pada musim hujan pada waktu ini yang kadang-kadang lebat, kadang-kadang renyai menyebabkan mereka tidak sempat menekan brek,” katanya selepas mengedarkan topi keledar kepada pengguna motosikal di Plaza Tol Sungai Besi di sini, semalam.

Suret berkata, sejak operasi itu bermula pada 13 September lalu, purata kemalangan maut setiap hari adalah 17.5 orang berdasarkan sehingga hari ini seramai 210 orang telah maut dalam kemalangan jalan raya.

Beliau berkata, walaupun Ops Sikap kali ini mencatatkan jumlah kemalangan maut paling tinggi sejak dilancarkan pada 2001, jumlah itu masih rendah berbanding kadar harian sebanyak 18 orang setiap hari pada hari biasa, dan sebelum Ops Sikap dilancarkan pada 2001 di mana purata kematian pada musim perayaan adalah 23 orang setiap hari.

Suret berkata Kementerian Pengangkutan dan JKJR menggariskan enam Petua Emas Keselamatan Jalan Raya untuk penunggang dan pembonceng motosikal serta pemandu kereta pada musim perayaan dan jika pengguna jalan raya mengamalkannya, mereka pasti selamat sampai ke destinasi yang dituju.

Petua Emas Keselamatan Jalan Raya bagi pemandu kereta antaranya:

l Rancang perjalanan terlebih dahulu. Jika mengantuk, tangguhkan perjalanan.

Pastikan keadaan tayar, brek dan lampu isyarat berfungsi dengan baik.

l Pakai tali pinggang keledar tempat duduk depan dan belakang.

l Sentiasa ikut had laju yang ditentukan.

l Berikan isyarat dan patuhi semua peraturan keselamatan semasa menukar lorong.

l Berhenti apabila lampu isyarat merah atau kuning.

l Beri keutamaan kepada pejalan kaki.

Saturday, September 26, 2009

Nasihat Plus elak sesak

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang akan pulang ke Kuala Lumpur dari kampung halaman masing-masing selepas cuti Aidilfitri dinasihatkan bersabar sekiranya terpaksa menempuhi kesesakan sekiranya enggan mengikut cadangan waktu perjalanan (TTA) yang disediakan Plus Expressways Berhad (Plus).

Pengurus Besar Komunikasi Korporat Plus, Khalilah Mohd Talha, berkata setakat ini pihaknya belum mendapat maklumat terperinci berkaitan jumlah pengguna yang mengikut TTA.

“Secara kasarnya kami dapat melihat banyak kenderaan berada di lebuh raya pada tempoh yang sama menjadikan keadaan trafik agak sesak,” katanya.

Menurutnya, jumlah kenderaan lebih banyak berada di lebuh raya selepas jam 6 petang hingga tengah malam dan ini menjadikan keadaan di lebuh raya sedikit sesak walaupun Plus memberikan panduan bagi mengelak kesesakan.





“Mengikut TTA disediakan, pengguna disaran memulakan perjalanan mengikut destinasi masing-masing pada waktu siang antara jam 12 tengah hari dan 5 petang.


“Namun, jumlah kenderaan di lebuh raya pada waktu berkenaan agak berkurangan kerana kebanyakan pengguna memilih waktu perjalanan sendiri,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Khalilah berkata, Plus menjangkakan jumlah kenderaan yang menuju ke Kuala Lumpur akan bertambah bermula hari ini dan esok memandangkan sekolah dibuka Isnin ini.

“Oleh itu, orang ramai diminta bersabar sekiranya keadaan sedikit sesak kerana jumlah kenderaan bertambah 40 peratus pada musim perayaan,” katanya.

Khalilah berkata, Plus masih mengamalkan langkah persediaan sama seperti sebelum ini dengan memastikan semua lorong bayaran tol dibuka dan perkhidmatan kaunter tambah nilai Touch n’ Go.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Kawalan Trafik Plus di talian 1-800-88-0000 untuk mengetahui maklumat lalu lintas dalam usaha merancang perjalanan dan mengelakkan tersekat dalam kesesakan,” katanya.

Dalam pada itu Khalilah berkata, pemandu dinasihat mendapat rehat mencukupi sebelum memulakan perjalanan dan berhenti seketika di hentian disediakan sekiranya keletihan atau mengantuk.

Beringat ingatlah

Kuala Dimensi, BTA Architect disaman RM920j


HWA BENG menunjukkan kenyataan akhbar berhubung saman RM920 juta di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, Shah Alam semalam.

SHAH ALAM - Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) memfailkan saman RM920 juta terhadap kontraktor siap guna Zon Pelabuhan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) dan konsultan yang dilantik bagi projek itu, BTA Architect dalam aspek pembangunan utama dan perjanjian tambahan yang ditandatangani antara Februari 2003 dan November 2006.

Pengerusi LPK, Datuk Lee Hwa Beng memfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini semalam. Bagaimanapun beliau enggan memberikan salinan kedua-dua saman itu kepada media.

Dalam kenyataan akhbarnya, Hwa Beng berkata, saman itu difailkan untuk relief termasuk antara lain pembatalan semua perjanjian pembangunan dan satu pengisytiharan bahawa KDSB hanya layak dibayar dengan nilai kerja yang munasabah dilakukan dengan sewajarnya.

Alternatif, beliau meminta satu pengisytiharan bahawa semua notis pembayaran yang dikeluarkan oleh KDSB adalah batal dan tidak sah




P/S:- Artikel atas aku petik dari paper Kosmo,
semua ni takda kena mengena pun dengan aku,
tapi kerjaya aku sama dengan apa yang ditulis.
aku pun risau gak takut terkena kat diri sendiri,
tapi mintak dijauhkan dengan rasuah...

Ubah landskap automotif tempatan



JIKA mengikut perancangan, Dasar Automotif Nasional (DAN) baru akan diumumkan pada akhir bulan ini. Ketika pengenalannya kali pertama tiga tahun lalu, DAN memberi impak yang bukan sedikit.

Pertahanan yang selama ini diberikan kepada pembuat kereta tempatan, Proton dan Perodua mula dihakis sedikit demi sedikit. Perancangan yang tidak tepat menyebabkan Proton hampir tumbang. Kesannya, industri automotif menjadi kucar-kacir buat seketika.

Industri kereta terpakai menerima impak terus dengan kemerosotan jualan dan nilai kereta yang jatuh mendadak. Di mana silapnya tidak pasti.

Kesan positifnya juga samar-samar biarpun selepas tiga tahun ia dilaksanakan. DAN belum berupaya menarik pelabur atau pengeluar kereta antarabangsa untuk terus meneroka tapak pengeluarannya di sini.

Meskipun Malaysia kekal mencatat jualan kereta tertinggi di Asia Tenggara, namun secara keseluruhannya hasrat menjadikan negara ini sebagai hab pengeluaran kenderaan asing masih jauh daripada jangkauan.

Dasar itu digubal setelah mengambil kira kemajuan industri automotif yang dikecapi oleh negara jiran, Thailand. Walaupun kita telah memulakan industri itu lebih awal, namun penangguhan pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas Asia (AFTA) membuatkan banyak pengeluar tertanya-tanya tentang polisi dan masa depan yang ingin Malaysia rangka terhadap sektor automotif.


BIARPUN telah menjadi milik Volkswagen, Porsche tetap mampu mengekalkan jenamanya.

Pada satu ketika, perlindungan terhadap sektor automotif tempatan secara berlebihan menyebabkan pengeluar asing sukar mencipta jenama mereka di sini. Akhirnya, mereka berhijrah ke Thailand yang menawarkan polisi yang lebih mesra pelabur dalam sektor automotif mereka.

Rayong boleh menjadi contoh Detroit of Asia yang berjaya. Ia merupakan sebuah pusat pelaburan yang dibangunkan bersama dengan pembekal dan vendor yang saling bekerjasama rapat.

Secara umum, DAN merupakan polisi yang dijangka mampu menghasilkan skala ekonomi automotif yang mapan dan berkembang pesat. Jika dipetik teras matlamat dasar itu, ia memang kelihatan bakal memberi sesuatu yang positif terhadap masa depan ekonomi negara. Antaranya ialah:

1. Menggalakkan industri automotif tempatan yang kompetitif dan berdaya tahan terutamanya bagi pengeluar kereta nasional.

2. Membangunkan Malaysia sebagai pusat atau hab automotif serantau dalam bidang-bidang khusus.

3. Menggalakkan peningkatan nilai tambah secara mapan serta pembinaan keupayaan tempatan.

4. Menggalakkan peningkatan tahap eksport kenderaan dan komponen yang kompetitif ke pasaran dunia.

5. Menggalakkan penyertaan Bumiputera yang kompetitif dan menyeluruh dalam sektor automotif tempatan.

6. Menjaga kepentingan pengguna dengan menawarkan produk yang selamat dan berkualiti pada harga berpatutan.

Namun, jika dilihat pada matlamat yang diberi, tiada satu pun yang boleh dijustifikasikan sebagai berjaya. Oleh sebab itu juga, dasar kedua perlu dilaksana segera bagi memperbaiki kelemahan dan lompong yang menyebabkan perkembangan automotif kita mendatar. Tiada syarikat baru yang membuka kilang pelaburan di Malaysia secara besar-besaran.

Jika ada sekali pun, perkembangan kemasukan pengedar bertukar tangan mengedar sesuatu jenama. Itu satu perkara biasa, hatta tanpa DAN sekali pun.

Mesra pelabur

Sedangkan pada masa yang sama, Thailand terus menerima penghijrahan industri dengan positif. Tidak terkecuali, Indonesia menerima Volkswagen untuk membuka kilang terbarunya bernilai AS$140 juta (RM490 juta).

Justeru, kerajaan perlu merangka polisi yang mesra pelabur. Kita telah membuktikannya dalam sektor elektronik pada era 1980-an dahulu. Cuba kira berapa ramai pelabur sektor industri itu berbanding dengan negara jiran lain.


MALAYSIA sebenarnya memiliki pakej yang menarik untuk menarik pelabur kereta antarabangsa melabur di Malaysia.

Malaysia memiliki tenaga kerja yang cukup, berkemahiran, berpengetahuan dan mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik. Lebih penting lagi, politik dan ekonomi negara jauh lebih stabil berbanding negara jiran. Pakej itu seharusnya menjadi rangsangan, sedangkan ia tidak dimiliki Thailand.

Perlu diingat, kita tidak boleh selamanya berharap untuk menjadi negara konsumer automotif. Banyak kereta dijual tidak bermakna kita maju dari sudut automotif. Mahu atau tidak, banyak lagi perlu dibelanjakan untuk menampung keperluan prasarana jalan raya. Akhirnya, ia menyebabkan 'ruang' semakin mengecil akibat lambakan kenderaan yang bertambah setiap tahun.

Pelaksanaan dasar automotif yang lebih terbuka menjanjikan persaingan sengit yang memberi banyak kesan positif. Itu pun jika kita melihat sektor automotif tempatan sebagai aset yang tidak perlu dilindungi selamanya. Jika lihat hari ini, Proton dan Perodua sudah mampu berdiri dalam arena yang penuh mencabar.

Banyak pihak berpandangan bahawa dasar sedia ada masih meletakkan satu halangan terhadap industri yang benar-benar terbuka. Tiada satu pun industri di sesebuah negara yang tidak mempertahankan produk tempatannya.

Persoalannya, corak pertahanan bagaimana harus dilaksanakan agar persaingan masih di liga yang adil dan tidak mengecilkan hati tetamu lain. Persaingan dan kemampuan bertahan adalah sesuatu yang bukan asing dalam industri automotif. Ia perlu dicorak kembali mengikut apa yang kita inginkan. GM dan Chrysler pun boleh tumbang. Itulah lumrah perniagaan.

Lihat dari perspektif yang lebih luas, pembelian Porsche oleh kumpulan Volkswagen misalnya tidak sekali-kali menyebabkan logo Porsche hilang. Mereka masih membuat kereta dan terus menghasilkan produksi yang lebih ekonomikal. Banyak platform yang boleh dikongsi dan kemahiran yang boleh ditukar sesama dua jenama itu.

Akhirnya, Proton akan terpaksa mencari rakan kongsi strategik yang tepat. Tidak selamanya mereka mampu mengharapkan jualan domestik untuk menampung kos pembinaan model baru sepenuhnya.

Kemasukan rakan baru bakal memberi peluang kepada Proton agar berupaya menembusi pasaran besar yang sedang berkembang seperti China dan India. Bukan sekadar bercakap tentang teknologi, kita juga perlu melihat dari segi rangkaian pengeluaran dan pemasaran agresif yang tidak dimiliki Proton buat masa sekarang.

Perodua? Syarikat itu sudah terlalu banyak menikmati keistimewaan, hanya kerana statusnya sebagai kereta 'nasional'. Walaupun 100 peratus teknologinya datang daripada Toyota dan Daihatsu, Perodua tidak akan goyang tanpa bantuan kerajaan sekali pun.

Asalkan keterbukaan terhadap sektor itu diselaraskan pada semua jenama dan pengeluar, Perodua akan terus menghasilkan lebih banyak model jika dasar automotif yang baru mencabar mereka. Andainya persaingan itu benar-benar terjadi, maka sudah pasti Myvi perlu memikirkan cara untuk bersaing dengan Honda Jazz, Toyota Yaris, Suzuki Swift dan Mazda 2. Itulah hakikatnya.

Keterbukaan dalam dasar automotif juga dikhuatiri menyebabkan harga kereta menjadi murah sekali gus melambakkan lagi jumlah kenderaan yang sedia ada.

Pinjaman

Tetapi jika diukur kejayaan pasaran kereta penumpang di Malaysia hari ini, ia banyak didorong oleh sistem perbankan semasa. Polisi pinjaman kenderaan selama sembilan tahun mewujudkan peluang pembeli untuk berhutang lebih lama. Sedangkan, kadangkala mereka tidak perlu. Kembalikan semula pada pasaran sewaktu era 1990-an dahulu. Pinjaman maksimum hanya lima tahun.


KERJASAMA dengan rakan strategik yang tepat amat diperlukan oleh Proton bagi memastikan produk keluarannya kekal kompetitif di pasaran antarabangsa.

Menjadi hab automotif memang menjadi hasrat Malaysia sejak sekian lama. Namun penangguhan demi penangguhan, penggubalan polisi dan dasar yang salah menyebabkan kejayaan sukar dicapai. Terlalu banyak keuntungan telah dinikmati Thailand hari ini. Mereka berjaya mewujudkan lebih suku juta peluang pekerjaan daripada hampir 20 pengeluar kereta dan motosikal di sana.

Terdapat lebih 700 kilang berkaitan automotif di Thailand dengan jumlah pengeluaran hampir 1.3 juta unit setahun. Malah lebih separuh daripada jumlah tersebut adalah untuk pasaran eksport.

Vendor dan sektor pembuatan automotif tempatan seperti Aapico dan Able Sanoh berkembang lebih cepat berbanding APM Automotive di sini. Realitinya memang begitu. Memang perit untuk kita terima kenyataan bahawa Thailand yang 10 tahun lalu jauh ketinggalan dalam industri automotif, kini jauh meninggalkan Malaysia.

Dasar Automotif Nasional yang baru juga perlu memperincikan dengan lebih jelas. Setiap instrumen dalam dasar sebelum ini perlu dikaji semula termasuk Struktur Duti Eksais, pewartaan nilai kenderaan import (masalah pengisytiharan cukai yang di bawah nilai), Dana Penyesuaian Industri, Permit Kelulusan (AP), Kelulusan Jenis Kenderaan dan CEPT Duti Import antara negara ASEAN. Jangan hanya bergantung pada kertas kerja yang enak didengar, tetapi hasilnya kosong.

RM168 juta untuk F1 1Malaysia


MODEL kereta pasukan F1 1Malaysia.

PASUKAN Formula Satu (F1) 1Malaysia (1MF1T) akan mempunyai modal permulaan sebanyak RM168 juta manakala bajet tahunan pasukan dianggarkan mencecah RM308 juta.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam, Proton Holdings Bhd. akan memberi lesen jenama Lotusnya kepada 1MF1T.

Lesen kerjasama itu termasuk pelbagai faedah bagi Lotus dan juga Proton membabitkan perpindahan teknologi, hak pemasaran dan peluang pekerjaan, kedua-duanya dalam pasukan F1 negara di pusat tek- nikal kumpulan di Sepang dan pangkalan satelitnya di Norfolk, United Kingdom.

1MF1T merupakan projek yang dibiayai swasta dan dimiliki bersama oleh Tune Group, Kumpulan Naza dan Litespeed UK.

Tune Group dimiliki bersama oleh Ketua Pasukan 1MF1T, Datuk Seri Tony Fernandes dan Pengarah 1MF1T, Datuk Kamarudin Meranun.

Pengarah 1MF1T lain ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin dan Zahri Ismail dari 1Malaysia F1 Sdn. Bhd.

Kerajaan tidak memegang sebarang ekuiti dalam projek tersebut, sama ada secara langsung atau tidak langsung menerusi mana-mana syarikat berkaitan kerajaan.

Pasukan itu akan bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) untuk membantu merealisasikan aspirasi mewujudkan kelas modal insan berintensifkan pe- ngetahuan dan teknologi tinggi bagi negara.

Composites Technology Research Malaysia (CTRM), pakar pengeluar bahan komposit utama, juga akan menjadi sebahagian daripada projek itu.

Perancangan sedang berjalan lancar untuk membangunkan pusat teknikal, penyelidikan dan pembangunan serta pembuatan Pasukan F1 1Malaysia di kawasan seluas lapan hektar di Litar Antarabangsa Sepang.

Fernandes menyifatkan pasukan itu sebagai suatu pencapaian luar biasa bagi semua rakyat Malaysia.

"Negara-negara lain berusaha keras membida peluang ini tetapi Malaysia menerusi usaha padu dan kekuatan dalam semangat sebenar 1Malaysia, berjaya meraihnya.

"Ini akan menjadi peluang terbaik bagi korporat Malaysia untuk berkongsi impian ini yang akhirnya menjadi satu kenyataan," katanya.

Fernandes berkata, projek itu akan membantu Malaysia menggerakkan rantaian nilai dengan memberi penekanan kepada inovasi dan teknologi.

"Setelah terlibat dengan dunia F1, kami sangat teruja Malaysia memiliki pasukan F1 sendiri dan faedah besar yang bakal diraih negara dari- padanya," katanya.

Fernandes juga berkata, pasukan itu gembira dapat bekerjasama dengan Proton yang membolehkan kedua-duanya menumpukan kepada perniagaan terasnya dan dalam masa yang sama saling berkongsi fae- dah daripada kerjasama tersebut.

"Saya juga amat gembira bahawa hubungan kami dengan CTRM dan SIC, dengan UTM dan UTP semakin kukuh setiap hari. Ia suatu penghor- matan besar untuk bekerjasama dengan institusi yang memartabatkan semangat wawasan 1Malaysia Perdana Menteri," katanya.

Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir pula berkata, syarikat tersebut amat teruja dan menyokong inisiatif Malaysia itu.

"Menerusi perjanjian pelesenan antara Lotus dan pasukan itu, perkaitan jenama akan memberi faedah kepada Lotus dan juga Proton dan pastinya akan meningkatkan kesedaran jenama global," katanya

Ford Ranger TDCi XLT.


KEUPAYAAN dan kredibiliti trak pikap ini tidak pernah manghampakan pemiliknya.

SEJAK mengambil hak francais bagi jenama Ford pada tahun 2008, Sime Darby Auto ConneXion dilihat cukup aktif untuk mengembalikan kegemilangan jenama tersebut.

Apatah lagi apabila menyedari penyokong setia Ford tetap ada, biarpun mereka ditawarkan dengan pelbagai jenama lain di pasaran.

Justeru, tidak hairanlah jika satu demi satu produknya diperkenalkan kepada khalayak. Biarpun, ia sekadar penyambung model sedia ada sebelum ini, tetapi pengenalannya tetap memberi nafas baru kepada populariti Ford yang nampaknya agak suram.

Setelah memperkenalkan model Ford Focus Ghia (sedan) dan hatchback, Sime Darby Auto ConneXion tampil dengan model trak pikap popularnya, Ford Ranger TDCi XLT.

Sungguhpun ia cuma sebuah model facelift, namun Ford Ranger telah mengalami proses evolusi, sekali gus menjadikannya sebuah jentera yang cukup matang.

Untuk makluman, Ford Ranger bermula dengan penghasilan trak pikap model T pada tahun 1917 oleh pengasasnya, Henry Ford. Penerimaan positif pengguna terhadap segmen itu membuatkan Ford memperkenalkan pula model trak F Series yang terus mendapat sambutan positif.

Buktinya, ia dikatakan sebagai trak paling laku selama 30 tahun dan dijual di 130 buah negara. Pada tahun 2005, ia menyambut ulang tahun ke-10 dengan menghasilkan unit ke-500,000 di kilangnya di Rayong, Thailand.

Cukup sinonim dengan penampilannya yang maskulin, ciri itu bagaimanapun sedikit berubah. Ford Ranger baru yang diimport sepenuhnya dari Thailand itu kelihatan lebih urban dan bergaya. Ia tetap mengekalkan warisan 'Built Ford Tough' yang sudah sekian lama menjadi identitinya.


ENJIN Duratorq turbo diesel dipadankan dengan transmisi automatik lima kelajuan.

Mesej itu disampaikan dengan jelas pada bahagian hadapannya yang meliputi reka bentuk lampu utama, bampar, sepasang lampu kabus, gril radiator tiga bar, selain emblem Ford dan tulisan RANGER yang besar.

"Reka bentuk kontemporari memberikan Ford Ranger yang baru ini kreadibiliti sebagai sebuah kenderaan urban. Aspek praktikaliti telah menjadikannya sebagai satu pilihan terbaik bagi memenuhi keperluan gaya hidup anda," kata Pengarah Reka Bentuk Ford Motor Company, Asia Pasifik dan Afrika, Scott Strong.

Ia bukan sekadar reka bentuk bersifat kosmetik. Rekaan itu berfungsi mengarahkan udara yang diperlukan untuk membantu keberkesanan sistem pendingin hawa dan penyejukan enjin, terutama ketika cuaca panas. Bukaan yang luas di bahagian bawahnya pula menyediakan bekalan udara ke unit intercooler enjinnya dengan lebih efisien.

Intercooler pula diletakkan di bahagian hadapan radiator dan menerima udara sejuk secara langsung sekali gus membolehkan enjin beroperasi dengan lebih baik.

"Beberapa pesaing Ford meletakkan intercooler di bahagian atas enjin dan menggunakan dramatic hood untuk mengarahkan udara kepadanya. Sedangkan, kami pula mendapati prestasi intercooler lebih baik apabila ia diletakkan pada kedudukan lebih bawah dan di laluan udara secara terus," jelas Pengarah Program Ranger Ford Motor Company, Asia Pasifik dan Afrika, Hiroaki Hashimoto.

Kuasa yang dijana oleh unit enjin Duratorq turbodiesel bersesaran 2.5 liter itu cukup bertenaga. Dengan keupayaan menghasilkan kuasa sehingga 143 PS dan tork maksimum 330 Nm, tiada laluan yang tidak boleh diharunginya.

Enjin itu dipadankan dengan kotak transmisi sama ada lima kelajuan automatik atau manual. Unit yang saya pandu uji itu bertransmisi automatik. Kelancaran penukaran gearnya memang sudah dijangka, malah penggunaan bahan apinya juga memuaskan.

Dari segi pengendaliannya pula, Ford Ranger menawarkan kualiti pemanduan sebuah trak yang tipikal. Penggunaan suspensi jenis rigid leaf spring pada roda belakangnya kadangkala membuatkan penumpang belakang mungkin berasa kurang selesa terutama ketika menempuh laluan yang teruk keadaannya.


Papan pemuka yang mesra pengguna.

Mujur juga tahap NVH yang ditawarkan boleh dikatakan bagus. Jarang sekali bunyi enjin dan angin masuk ke dalam kabin. Ini membolehkan anda menikmati muzik kegemaran tanpa sebarang gangguan.

Masuk ke dalam kabin, pemandu dihidangkan dengan paparan pemuka yang ringkas dan ergonomik. Tempat duduk yang disalut dengan material berwarna hitam juga seakan-akan memberi petanda bahawa ia akan tahan dalam tempoh masa yang lama.

Anda boleh memilih lima warna iaitu hitam, emas, putih, kelabu, biru dan perak. Harganya pula ialah RM88,888 untuk transmisi automatik dan RM82,388 (manual). Harga itu tidak termasuk kos pendaftaran, cukai jalan dan insurans.

Tuesday, September 8, 2009

New D-Max


BUDAYA memilih trak pikap sebagai kenderaan kegunaan harian bukanlah perkara baru di negara ini.

Kini, ramai gemar memandu trak berikutan keadaan fizikalnya besar selain tahan lasak.Minat rakyat tempatan itu mendorong Isuzu Malaysia Sdn Bhd memperkenalkan model terbaru, Isuzu New D-Max 3.0L versi Hi-Def.

Ia hanya ditawarkan 200 unit tahun lalu dan habis dijual.

New D-Max masih menggunakan enjin Ddi iTEQ empat silinder turbo intercooler dengan Super Commonrail yang menghasilkan 134 hp pada 3,400rpm manakala tork pula pada 294Nm antara 1,400 hingga 3,000rpm.

Enjin berkenaan menawarkan penjimatan maksimum dan tidak hairanlah setangki penuh diesel mampu membawa penulis dari ibu kota ke Haadyai.

Bagaimanapun, pihak Isuzu yang memberi unit pandu uji pada hari bekerja menyukarkan penulis menguji tahap penggunaan bahan api yang diisi penuh di dalam tangki.

Sepanjang empat hari memandu uji di sekitar ibu kota seperti menempuh kesesakan jalan raya ketika berulang- alik dari rumah ke pejabat dalam jarak 40 kilometer sehari, penulis mendapati tolok bahan apinya hampir tidak bergerak. Menakjubkan!

Perkara ini tidak mustahil kerana D-Max terbaru ini dibekalkan enjin terbaru dikenali High Frequency Induction Hardening (HFIH) yang menawarkan mampatan lebih baik pada kebuk pembakaran serta omboh aloi ringan.

Selain itu, model ini dipadankan dengan rantai pemasa yang lebih lasak berbanding tali pemasa yang perlu ditukar setiap 80,000 kilometer.

Dari segi gaya luaran, D-Max terbaru masih lampu hadapan projektor Ellipsoid dalam perumah bertingkat, tetapi gril hadapan diberikan rupa baru lebih bergaya.

Bahagian hadapan terserlah wajah perkasa D-Max dan jentera pacuan empat roda ini tidak memerlukan sebarang aksesori tambahan melampau.

Bahagian sisi turut dipertingkatkan apabila pemijak sisi dilebarkan bagi memudahkan penumpang terutama kanak-kanak memasuki ruang kabin.

Ruang belakang hanya dipadankan dengan 'Roll Bar' tidak seperti model Hi-Def yang ditawarkan dengan D-Box.

Bagaimanapun, Roll Bar krom kalis calar sudah memadai bagi New D-Max kelihatan tegap dan maskulin.

Kabin juga dipertingkatkan dengan salutan kulit kemas seperti sebuah kereta sedan.

Sistem audio 'In-Car DVD' bukan sahaja menawarkan sistem audio dan gambar jelas, tetapi disatukan dengan sistem navigasi terbina.

Sistem hiburan berkenaan kelihatan menarik bersama kokpit kemasan titanium yang bukan sahaja lebih menarik, malah kemas dan cantik.

Walaupun New D-Max transmisi automatik ini dipandu secara agresif di kawasan bandar, ia menawarkan keselesaan walaupun masih kekal konsep pikap.

Penumpang belakang masih terasa terlompat-lompat kerana spring belakang direka untuk muatan, bukan penumpang.

Bagaimanapun, dengan sistem hiburan terbaik, kerusi balutan kulit dan penjimatan minyak terunggul dalam kategori pikap menjadikan New D-Max tetap pilihan berbaloi.

Berharga RM84,638.40 (tanpa insurans), New D-Max adalah jentera pikap terbaik daripada Isuzu.

>SPESIFIKASI

Isuzu New D-Max

Enjin: 4JJ1 2,999cc empat silinder sebaris Intercooler Turbo Diesel DOHC 16V

Sistem Bahan Api: Suntikan Terus Elektronik Commonrail

Kuasa maksimum: 134 hp pada 3,400rpm.

Tork maksimum: 294Nm antara 1,400 hingga 3,000rpm.

Transmisi: Automatik empat kelajuan dengan Grade Logic Control.

Ciri keselamatan: Beg Udara berkembar SRS, ABS, EBD, LSD dan penghadang sisi

Harga: RM84,634.40 tanpa insurans

Tayar Dicadangkan: ContiCrossContact LX 245/70R16 107T

Mustang GT Rambo


LOS ANGELES: Usianya mungkin sudah menjangkau 60-an tahun tetapi Sylvester Stallone masih menjalani kehidupan seperti orang muda.

Pelakon itu baru-baru ini menunjukkan kereta barunya ketika memulakan rakaman siri terbaru filem Rambo.

Stallone dipercayai berbelanja besar baru-baru ini selepas dilihat memandu dua kereta baru yang berlainan dalam tempoh dua minggu.

Dengan memegang cerut dan sekeping kad yang kelihatan seperti kad ucapan hari jadi dengan perkataan ‘Usia Tidak Membawa Sebarang Makna,’ tertera padanya, Stallone membuktikan umurnya tidak memaksa dia mengurangkan kegiatan hariannya, sambil dia memandu kereta barunya, Mustang GT, di Los Angeles, semalam.



Pelakon itu, yang memulakan rakaman siri kelima filem Rambo bulan ini, dengan mudah dapat dilihat ketika dia memandu kereta merah menyala itu.

Monday, September 7, 2009

Penantian Fisichella berakhir


DETIK gemilang Fisichella ketika meraikan kejayaannya di podium selepas menduduki tempat kedua pada perlumbaan GP Belgium minggu lalu.

PEMANDU Itali, Giancarlo Fisichella telah memulakan kariernya sebagai pemandu Formula Satu (F1) pada tahun 1996 bersama pasukan Minardi.

Ketika itu usianya baru 23 tahun dan pastinya menjadi impian seseorang pemandu dari Itali untuk cuba mempamerkan prestasi terbaik supaya dipikat pasukan ternama dari negara tersebut iaitu Ferrari.

Namun, Fisichella langsung tidak berkesempatan mencapai impiannya itu kerana selepas semusim bersama Minardi, dia berhijrah ke pasukan Jordan (1997), Benetton (1998-2001), Jordan (2002-2003), Sauber (2004), Renault (2005-2007) dan Force India (2008-2009).

Bagaimanapun, nasib Fisichella berubah sekelip mata setelah berjaya meraih petak utama pada perlumbaan Grand Prix (GP) Belgium dua minggu lalu disusuli kejayaan menduduki tempat kedua di belakang pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen pada perlumbaan sebenar sehari kemudian.

Ia sekali gus memberikan mata sulung buat pasukan Force India dalam sejarah F1 dan pada masa yang sama membuka mata Ferrari untuk menagih khidmatnya.

Ferrari begitu terdesak mencari pemandu kedua berkualiti untuk digandingkan dengan Raikkonen pada baki saingan musim ini selepas Luca Badoer yang menggantikan Felipe Massa yang cedera gagal memenuhi kehendak pasukan.

Akhirnya minggu lalu, Ferrari mengumumkan Fisichella sebagai pemandu kedua mereka untuk baki saingan musim ini menggantikan Badoer dan dia turut menjadi pemandu simpanan Ferrari untuk musim 2010.

Pada masa yang sama, Force India bersetuju untuk melepaskan Fisichella meskipun kontraknya belum berakhir.

Bagi Fisichella, dia langsung tidak menjangka untuk melalui satu transformasi besar pada ketika usianya yang kini sudah mencecah 36 tahun.

"Peluang ini akhirnya hadir juga selepas 14 tahun. Saya pernah menguji jentera Ferrari 412 T2 di Fiorano pada 27 September 1995.

"Saya masih tidak percaya bahawa peluang untuk menyertai Ferrari masih terbuka. Saya rasa seperti mimpi menjadi kenyataan kerana setiap pelumba Itali pasti mempunyai cita-cita untuk memandu jentera F1 Ferrari.

"Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pasukan Ferrari dan juga pengerusinya, Luca di Montezemolo kerana merealisasikan impian saya ini.

"Sepanjang minggu lalu, beberapa perkara menarik telah berlaku dalam hidup saya termasuk berjaya meraih petak utama dan juga mendapat tempat kedua di Litar Spa.

"Kini saya dipanggil pula oleh Ferrari untuk memandu jentera mereka pada baki lima perlumbaan musim ini bermula dengan GP Itali di Litar Monza pada 13 September ini," kata Fisichella selepas diumumkan sebagai pemandu Ferrari minggu lalu.

Bagi ketua pasukan Ferrari, Stefano Domenicali, pemilihan Fisichella itu dibuat selepas dia berfikir panjang lebar dan akhir- nya mahu pemandu Itali tersebut menjalin- kan hubungan jangka panjang dengan pasu- kannya.

"Kami memilih Fisichella kerana berpendapat dia mampu memberikan sumbangan bermakna dari segi kutipan mata pada baki perlumbaan musim ini," kata Domenicali.

Pemilihan Fisichella itu sekali gus mengu- burkan terus impian Badoer, juga seorang pemandu Itali yang terpaksa diketepikan selepas dia gagal menyinar dalam dua perlumbaan yang dilaluinya.

"Saya hanya mahu katakan, saya minta maaf kepada Badoer. Saya tahu betapa anda juga mengintai peluang berlumba di Litar Monza dengan menggunakan jentera Ferrari."

Mengimbas pencapaiannya sepanjang 14 tahun berlumba dalam perlumbaan F1, Fisichella sebenarnya hanya berjaya memena- ngi tiga perlumbaan iaitu di GP Brazil 2003, GP Australia 2005 dan GP Malaysia pada 2006.

Dia juga telah menjejak podium sebanyak 19 kali dan empat kali menduduki petak utama selepas beraksi dalam 226 perlumbaan.

Sepanjang 14 tahun itu juga, prestasi terbaiknya hadir ketika Fisichella memandu untuk pasukan Renault apabila berjaya menduduki tempat kelima keseluruhan pada musim 2005 dan tempat keempat keseluruhan pada musim 2006.

Fisichella mempunyai dua cahaya mata iaitu Carlotta dan Christopher hasil perkongsian hidup dengan pasangannya, Luna Castellani.

Porsche Victoria rosak


KERETA Porsche milik Victoria ditunda oleh sebuah trak di Culver City, Los Angeles kelmarin.

LOS ANGELES - Anggota kumpulan Spice Girls, Victoria Beckham (gambar bawah) mempunyai sebab mengapa dia berwajah masam baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.

Wajahnya masam kerana pada Jumaat lalu kereta mewah Porsche yang dipandunya rosak di Culver City di sini.

Bagaimanapun, dalam tempoh beberapa minit selepas kereta itu rosak, sebuah trak tiba untuk menunda kereta itu ke bengkel.

Kerosakan Porsche tersebut tidak menjejaskan pergerakan Victoria kerana isteri pemain bola sepak terkenal, David Beckham itu mempunyai beberapa buah kereta mewah lain

Saturday, September 5, 2009

Nissan 370Z

Kurang setahun sejak pengenalannya kepada dunia, Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. kini memperkenalkan model kebanggaan Nissan, Nissan 370Z ke pasaran tempatan.

PENGARAH Eksekutif Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM), Datuk Dr. Ang Bon Bang menyimpan satu rasa sentimental yang cukup tinggi terhadap model sport keluaran Nissan ini. Sebabnya, pada tahun 1960, Ang yang ketika itu seorang jurujual kenderaan Nissan berjaya menjual model sport 240Z yang pertama.

Sejak itu, memiliki jentera berkuasa tinggi siri Z menjadi impian semua peminat tegarnya. Biarpun tiada satu pun model daripada variannya dibawa masuk bermula dari tahun 1970 hingga 2003, popularitinya tidak pernah luntur.

Memahami masih wujud keghairahan terhadap model Z, pihak ETCM mengambil keputusan untuk kembali membawa masuk jentera tersebut pada 2004. Menjadi antara model pilihan para drifter, dalam tempoh lima tahun (sehingga 2009), sebanyak 11 unit 350Z Coupe telah terjual.


ANG di samping model terbaru yang ditawarkan oleh ETCM.

Saya tidak berkesempatan untuk memandu uji 350Z Coupe. Lebih membuatkan saya berasa sayu ialah apabila mendapat tahu dua orang rakan telah dijemput ke Jepun untuk memandu uji model terbarunya, 370Z. Namun, perasaan itu sedikit terubat apabila pada majlis pelancaran 370Z dan Nissan Murano baru-baru ini, pihak ETCM memberitahu bahawa mereka ada menyediakan kedua-dua unit tersebut untuk dipandu uji.

Untuk makluman, 370Z dikenali sebagai Fairlady Z di Jepun. Tidak dapat dinafikan bahawa generasi keenam itu sememangnya antara model yang menjadi indikator kepada kemajuan teknologi automotif Nissan.


RUANG kokpit 370Z kemas dengan deretan meter yang berfungsi bagi memberi panduan kepada pemandu.

Menjangkau usia 40 tahun, model Z sememangnya sudah menjadi ikon para peminat jentera berkuasa tinggi di seluruh dunia. Ini terbukti apabila 1.7 juta unit telah terjual sejak generasi pertamanya, model S30 membuat debut pada tahun 1969.

Justeru, penampilan Nissan 370Z serba baru itu meneruskan falsafah reka bentuk, prestasi, inovasi teknikal dan pengendalian yang optimum. Model itu juga dikatakan dibina daripada ciri-ciri terbaik yang diambil daripada generasi pertama dan terakhir model Z.


REKA bentuk luaran jentera ini tidak menerima perubahan yang terlalu ketara.




"Jentera ini diadun dengan elemen retro, ringkas tetapi sofistikated. Ia pastinya sebuah Z," kata Ang.

Karekteristik prestasi 370Z terhasil daripada titik roda (wheelbase) yang telah dipendekkan, dikurangkan berat fizikalnya (32 kilogram lebih ringan berbanding model sebelumnya), di samping penggunaan enjin lebih berkuasa berkod VQ37VHR.

Enjin V6 bersesaran 3.7 liter dengan aplikasi sistem VVEL (Variable Valve Event and Lift) itu merupakan manifestasi terbaru daripada siri enjin VQ yang telah banyak mendapat pengiktirafan.

Diletakkan dalam kelompok 10 enjin terbaik di dunia, VQ37VHR didakwa mampu menjana sehingga 333PS dan tork maksimum 363Nm. Penghantaran kuasa menerusi kotak gear automatik tujuh kelajuan atau manual enam kelajuan dikatakan amat lancar.

Enjin itu juga menjanjikan tindak balas pendikit (throttle response) yang lebih baik, penjimatan penggunaan bahan api dan kurang emisi.

Bagi yang lebih gemar memandu jentera itu dengan transmisi manual, mereka pasti tersenyum apabila menyedari 370Z dilengkapi dengan sistem kawalan SyncroRev Match. Sistem itu membolehkan putaran enjin (rpm revving) kekal tinggi secara automatik walaupun ketika klac ditekan untuk menukar gear. Bagi kumpulan pertama, hanya tiga buah 370Z dibawa masuk dan semuanya telah pun dimiliki. Jadi, jika anda teringin memakir jentera tersebut di dalam garaj dan tidak mahu menunggu terlalu lama, silalah berkunjung ke bilik pameran Nissan terdekat.

Kereta sport itu ditawarkan pada harga RM354,400 seunit tanpa insurans. Ia didatangkan dalam tiga warna pilihan iaitu kelabu, hitam dan putih. Anda juga boleh memilih warna material kulit dalamannya sama ada oren atau hitam.

Perubahan baru Triton


TRITON yang telah menerima banyak pengiktirafan kini sudah berwajah baru.

PADA bulan lalu, pasaran automotif tempatan dihidangkan dengan dua model facelift iaitu Lancer dan Grandis daripada pihak Mitsubishi Motors Malaysia. Trak pikap edaran syarikat itu kini telah mengalami proses serupa.

Setelah memperoleh pelbagai anugerah pemotoran dalam dan luar negara, Mitsubishi Triton yang merupakan salah satu daripada jenama trak pikap paling popular dalam negara sudah bersedia untuk bertemu peminatnya menerusi pakej lebih menarik.

Trak pikap itu telah memenangi anugerah Pick-up of the Year daripada Autocar ASEAN sejak tahun 2006 menerusi model L200 (Mitsubishi Storm).

Pada tahun 2007 dan 2008, anugerah itu sekali lagi diberikan melalui model Triton 2.5 serta Triton Lite. Sebagai tambahan , model premium Triton 3.2 dinamakan sebagai Pick-up of the Year oleh pihak NST-Maybank Car of the Year Awards pada tahun lalu.

Sejak dilancarkan pada tahun 2006, Triton nyata mencatat jualan memberangsangkan dan memberi impak signifikan dalam segmen tersebut.

Pengukuhan model Triton dalam kalangan pengguna kian jelas dengan pengenalan dua lagi variannya iaitu Triton 3.2 dan Triton Lite pada tahun 2008. Kedua-dua model itu telah menyumbang kepada peningkatan jualan sebanyak 45.9 peratus, berbanding angka yang dicatatkan sepanjang tahun 2007.

Bagi pasaran Malaysia, Triton meliputi varian Triton 3.2 automatik, Triton 2.5 liter 4x4 bertransmisi automatik dan manual, serta Triton Lite 2.5 liter 4x2 (manual sahaja).

"Jadi, model facelift Triton ini membuatkan jentera yang sudah dikira terbaik semakin bagus, bergaya dan lebih versatil. Dari aspek keluasan, ruang kabin Triton sudah pun menjadi peneraju dalam kelasnya.

"Kini, ciri-ciri itu ditambah dengan kargo yang lebih dalam dan panjang bagi meningkatkan kapasiti barang yang ingin dibawa," kata Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Keizo Ono.

Penampilan bahagian hadapan trak pikap itu diserlahkan menerusi penggunaan bampar yang diprofil semula, selain kemasan bahagian bawahnya dan gril radiator berbentuk sarang lebah.

Ono sendiri mengakui bahawa dia teruja apabila melihat varian Triton 3.2 dilengkapi dengan rim aloi bersaiz 17 inci.

Perubahan itu hanya melibatkan peningkatan harga yang minimum. Bagi model Triton Lite, harganya bermula daripada RM61,484. Sementara Triton 2.5 (transmisi manual) dijual pada harga RM87,051 dan RM91,921 bagi Triton transmisi automatik. Triton 3.2 pula berharga RM99,143 seunit. Perlu diingatkan bahawa harga untuk model Triton 2.5 terhad pada tempoh pengenalan sahaja.

Diimport sepenuhnya dari Thailand, Triton hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan 100,000 kilometer (yang mana terdahulu).

Friday, September 4, 2009

Bizi yang teramat sangat

Dah lama rasanya aku tak update blog ni, Dua,tiga minggu ni aku bizi sebab projek yang aku handle ni,nak diserahkan pada 12/10 nanti. Tapi pada pengamatan aku tak mungkin siap,sebab bulan2 puasa ni sape yang nak buat keje rajin2, Bangla ngan Indon pun tau puasa gak.Pas ni cuti raya lak seminggu,site kompom2 dah kosong. Nasib kau lah kontraktor kena denda RM5K sehari pas ni ha ha ha..Itulah kalo dari awal2 lagi dah rushing mesti tak terkejar2 macam sekarang ni,dah ujung2 nyawa baru nak sungguh2 buat keje,apa dah akai ada kaa.

Tapi ada bagus gak projek siap lambat2 sebab pasni takyah kena transfer kat Penang,jauh oo.aku nak cari kerja dekat2 ngan rumah jek,takda ah jauh dengan bini,kalo tak maunya air penuh sampai kepala ha ha (sendiri pikir laa).Tapi alhamdulillah rezeki tuhan ada dimana2,maybe pasni aku kerja dengan firm lama aku balik.handle projek pun area sini jek.

Dalam bizi2 kerja pun,aku selute ah kat abg zaidi yang satu opis ngan aku,tah bila dia ambik exam PE(Profisional Engineer),tetiba jek dapat surat bagitau lulus exam,dapat lak gelaran Ir Zaidi.Tercabar iman aku nak study balik ambik exam nak dapatkan Ar jugak,tapi skang ni kena sabau dulu banyak benda lagi mau settle.Tapi kalo ambik muda2 apa salahnya kan,tak ramai Ar orang2 muda skarang nii.Cuma yang tak yah pening2 nak ambik Ar satu family jek,dah kompom2 dapat punya,Family Ar Tompel,Ar Badol yang lain takyah mimpi lah nak Ar senang2 he he