Tuesday, July 7, 2009

Pedrosa raih kemenangan sulung


PEDROSA (tengah) meraikan kemenangannya bersama Rossi (kiri) dan Lorenzo pada perlumbaan GP Amerika Syarikat semalam.


LAGUNA SECA, California - Pelumba Honda, Dani Pedrosa menjuarai perlumbaan MotoGP pada Grand Prix (GP) Amerika Syarikat awal pagi semalam.

Ia merupakan kemenangan pertama pelumba dari Sepanyol itu bagi kempen musim ini.

Pedrosa berjaya menahan asakan lewat daripada juara dunia yang juga pendahulu kejuaraan musim ini, Valentino Rossi.

Rossi dari Itali yang merupakan juara MotoGP dunia lima kali kini melebarkan penguasaannya pada senarai pungutan mata dengan berkelebihan sembilan mata setelah menamatkan perlumbaan di hadapan pesaing terdekatnya, Jorge Lorenzo yang juga rakan sepasukannya dalam Yamaha.

Lorenzo dari Sepanyol yang bermula dari petak utama biarpun mengalami kemalangan yang mengakibatkan tulang lehernya terkeluar ketika sesi kelayakan Sabtu lalu dilihat terus berani mengekori Rossi tetapi terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Rossi menamatkan perlumbaan dengan masa 0.344 saat di belakang Pedrosa manakala Lorenzo kurang 1.582 saat. Penunggang Ducati, Casey Stoner menduduki tempat keempat.

"Saya berkedudukan selesa, memecut dengan baik dan pada pusingan terakhir saya masih dapat berlumba dengan tenang.

"Saya lihat perkataan dua saat ketika saya melalui pusingan terakhir dan pada selekoh terakhir saya nampak motosikal Rossi. Mujur ia pusingan terakhir dan saya terus menang perlumbaan," kata Pedrosa.

Sementara itu, Rossi berkata, dia telah memberikan sepenuh cabaran dan perlu memikirkan risiko jika dia terus mengasak Pedrosa.

"Litar ini cukup berisiko dan saya tidak cukup pantas untuk memintas Pedrosa. Saya menuruni bukit pada pusingan terakhir seperti orang gila dan akhirnya menamatkan perlumbaan di belakangnya," katanya. - Reuters

No comments: