Tuesday, July 7, 2009

Peluang menangi kereta Volkswagen


TIGA pelanggan CIMB Bank yang bertuah menunjukkan tanda bagus selepas menerima rebat tunai dan beg cenderahati.

SEKIRANYA anda memandu di tengah bandar atau terperangkap dalam kesesakan jalan raya selepas waktu bekerja, anda akan berpeluang melihat sebuah kereta Volkswagen diangkut di dalam satu kotak khas di atas lori.

Jika tidak pun, sewaktu membeli barangan keperluan di pasar raya, jangan terkejut jika anda dikelilingi oleh petugas-petugas CIMB Tow Truck yang sibuk memberikan beg-beg hadiah dan rebat tunai.

Selepas kejayaan kempen Dream Deposit pada 2006 dan peraduan Dream Deposit Drive setahun kemudian, CIMB kini kembali dengan inisiatif yang sama. Cuma, bezanya hadiah kali ini lebih besar untuk dimenangi.

Terbuka kepada semua pelanggan CIMB, kempen ini berlangsung selama empat bulan bermula pada 9 Mac sehingga hari ini.

Bagi memeriahkan promosi dan menguar-uarkan peraduan Deposit.Dream.Drive: Back Again! Campaign, CIMB Bank mempamerkan hadiah bulanan iaitu kereta dalam siri jelajah ke seluruh negara.

Seorang pemenang bertuah pada setiap bulan berpeluang memandu pulang sebuah daripada empat buah kereta jenama Volkswagen iaitu pemenang bagi bulan Mac akan menerima Volkswagen New Beetle 1.6I, April (Volkswagen Golf GTi 2.0I Turbo FSI), Mei (Volkswagen EOS 2.0I TurboFSI) dan Jun (Volkswagen Touareg 3.6I V6 FSI).

Dari hari Isnin sehingga Ahad, CIMB Bank turut mempamerkan sebuah lori tiga tan yang menempatkan kereta yang bakal dimenangi pada bulan tersebut dan menjelajah ke seluruh Malaysia.

Secara puratanya, lori tersebut akan berhenti di lima buah cawangan CIMB Bank di bandar-bandar terpilih, selain lokasi bertrafik tinggi di Semenanjung Malaysia.

Di setiap perhentiannya, krew lori ini akan mengedarkan risalah-risalah berkaitan kempen, beg hadiah CIMB Bank dan rebat tunai kepada para pelanggannya.

"Baru-baru ini, saya berada di dalam CIMB Bank untuk membayar bil. Kemudian, saya ternampak sebuah lori dengan kereta Volkswagen di dalamnya diparkir di luar bank.

"Kerana ingin tahu, saya pun menuju ke arah lori itu dan berjaya menjawab beberapa soalan mudah mengenai kempen terkini CIMB Bank. Akhirnya, saya memenangi rebat tunai sebanyak RM50," kata Jameson Wong.

Apa yang perlu dilakukan adalah membuka akaun dengan CIMB Bank atau CIMB Islamic dan depositkan amaun minimum RM500. Semudah itu sahaja!

Bagi pemegang akaun CIMB sedia ada, mereka hanya perlu mendeposit jumlah sama ke dalam akaun dan berpeluang terpilih sebagai pemenang bertuah.

Dengan rangkaian yang luas dan saluran mesin ATM serta akses perbankan melalui Internet, semua orang berpeluang untuk menang!

Pemenang mingguan layak meraih wang tunai RM2,000 manakala seorang pemenang bertuah bulanan berpeluang memandu pulang sebuah kereta Volkswagen!

Maklumat lanjut mengenai kempen CIMB Dream.Deposit.Drive: Back Again!, sila layari https://www.dreamdepositdrive.com.my/

Porsche dijana diesel

PENGELUAR kenderaan berprestasi tinggi, Porsche melangkah setapak di hadapan apabila memperkenalkan model 911 GT3 dan Cayenne berteknologi diesel.

Kedua-dua model itu diperkenalkan kepada umum pada Pameran Motor Geneva lalu.

Porsche 911 GT3 baru adalah jentera berkuasa, pantas dan dinamik kini digerakkan melalui enjin diesel lebih menjimatkan.

Kuasa maksimum dicatatkan jentera enjin enam silinder itu adalah 435 kuasa kuda (hp), 20 hp lebih tinggi daripada model sama menggunakan enjin petrol.

Ini menjadikan 911 GT3 mengambil masa 4.1 saat untuknya bergerak daripada pegun sehingga ke kelajuan 100 km/j manakala kelajuan maksimum dicatatkan setinggi 312 km/h.

Selain dibantu enjin teknologi baru, ciri aerodinamik 911 GT3 dipertingkatkan selain dipadankan dengan kawalan Porsche Stability Management (SMS) manual.

Sebuah lagi jentera kenderaan sport utiliti (SUV) Porsche Cayenne diesel turut dilancarkan di kilang pengeluar kenderaan terbabit yang berpangkalan di Stuttgart, Jerman.

Ia hasil kerjasama dengan Volkswagen (VW) Group yang menghasilkan enjin kuasa diesel berteknologi tinggi.

Porsche Cayenne Diesel dijana enjin 3.0L V6 240 kuasa kuda (hp) dibekalkan anak syarikat VW Group, Audi AG.

Cayenne Diesel hanya mengambil masa 8.3 saat untuk memecut sehingga kelajuan 100 km/j dan kelajuan maksimum sehingga of 214 km/j.

Enjin berkenaan bukan sahaja berkuasa, malah menjimatkan apabila Cayenne hanya memerlukan 9.3 liter diesel bagi perjalanan sejauh 100 kilometer.

Model terbaru itu berupaya menghamburkan kuasa tork sehingga 550 Nm termasuk bantuan casis dinamik yang membantu pemanduan lebih jitu.

Porsche menjual 45,478 unit Cayenne di seluruh dunia.

Darjat tersendiri

















KERETA buatan Jerman mempunyai keistimewaan dan peminat tersendiri, malah kehadirannya di jalan raya sering memukau pandangan pemandu lain.
KERETA buatan Jerman mempunyai keistimewaan dan peminat tersendiri, malah kehadirannya di jalan raya sering memukau pandangan pemandu lain.

Peluang memandu uji buah tangan terbaru, BMW 325i Convertible menjawab persoalan mengapa jenama berkenaan sentiasa menjadi idaman.

Model terbaru ini bukan berada dalam kelasnya tersendiri, malah penukaran 'wajah' daripada sebuah kereta sedan kepada Convertible memang memukau.

Pastinya keunikan model ini terletak pada bahagian bumbung yang boleh dibuka secara automatik dalam masa cuma kira-kira 20 saat.

Bagaimanapun, bumbung jentera terbaru itu hanya boleh dibongkar ketika kereta berhenti atas faktor keselamatan.

Proses transformasi itu dikhuatiri mengganggu pandangan belakang selain mematuhi piawaian ketat pengeluar kenderaan di Eropah bagi jentera Convertible.

Model ini dijana enjin 2.5L enam silinder pacuan roda belakang menjadikan kuasa yang dibekalkan cukup membuatkan penulis tidak mahu melepaskan pedal minyak apabila wujud ruang kosong di jalan raya.

Malah, sistem transmisi automatik Steptronic enam kelajuan dengan pilihan mod manual yang boleh dikawal melalui tuil gear di belakang stereng seperti jentera Formula Satu (F1) menjadikannya pemanduan lebih menyeronokkan.

Tidak dinafikan kuasa dan kawalan pemanduan hasil kejuruteraan BMW memang terbaik termasuk ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Pacuan roda belakang di samping saiz tayar lebar (225/45R17) menjadikan jentera seolah-olah 'melekat' di jalan raya.

Memandu dalam keadaan bumbung terbuka memang satu pengalaman baru, tambahan pula kereta yang dibawa berjenama mewah.

Situasi berkenaan lebih berbaloi apabila dilakukan pada waktu malam dan memandu di lebuh raya atau sekitar ibu kota dengan kelajuan sederhana.

Tetapi awas, pastikan barang berharga diletakkan pada lokasi agak tersorok kerana 'orang luar' lebih mudah menerjah masuk terutama ketika berhenti di lampu isyarat.

Ruang dalamannya disaluti kulit mewah coklat dan bahagian belakang cukup luas, tetapi hanya boleh memuatkan dua penumpang sahaja.

Ini kerana pada bahagian tengah terdapat konsol meletakkan barang peribadi dan minuman.

Bagi model ini, BMW sudah melengkapkannya dengan teknologi i-Drive di mana pemandu boleh mengawal sistem audio, navigasi dan telefon dengan menekan satu butang khas.

Satu lagi keistimewaan BMW 325i Convertible ialah sistem meletak kenderaannya yang dipanggil Park Distance Control yang mempunyai sensor pengesan jarak di bahagian depan dan belakang kereta ini.

Kesimpulannya, BMW325i Convertible adalah sebuah kereta yang bergaya dan dengan harga sekitar RM439,800 (tanpa insuran) tidak mustahil ia sukar kelihatan di jalan raya.

Hanya mereka yang benar-benar berduit dan mahukan kenderaan dengan gaya tersendiri mampu memilikinya.



SPESIFIKASI

BMW325i Convertible

ENJIN: 2,497cc Enam Silinder

KUASA MAKSIMUM: 218 hp pada 6,500 rpm

TORK MAKSIMUM: 250Nm pada 2,750 rpm

TRANSMISI: Enam kelajuan Steptronic

CIRI KESELAMATAN: Beg Udara, ABS, DSC, DTC

HARGA: RM439,800 (tidak termasuk insuran)

Tayar dicadangkan: ContiSportContact3

Monday, July 6, 2009

Mainan oh mainan

Memang jenis minat aku dari kecik kumpul mainan,
tapi dulu duit mana ada sangat,
mainan pun kecik2 jek.

Antara mainan yang aku suka kumpul jenis kereta ah,
dulu ada banyak gak,
skarang ni tinggal ah 2 bijik jek,
ada yang dah hilang,yang kena rembat pun ada gak.

Tapi aku ingat nak kumpul lagi
bila ada masa dan modal.
aku ingat nak beli yang nampak real sket.
kalo boleh semua model kereta aku nak kumpul

Sunday, July 5, 2009

Window shopping

Bini aku ni memang jenis suka gi window shopping,
semalam masa balik dari KL sempat lagi suh aku berenti
kat Mesra Mall Kerteh Terengganu.

Aku pun macam biasa ah berenti ah melayan dia,
kalo tak di layan muncung pulak kan he he.

Ni ah beberapa barangan yang disentuh sentuh
tapi tak beli pun,kitaorang makan mee claypot jek




Pok Le kawin

kawan aku kawin kat Greenwood semalam,
sampai jugak jodoh dia dengan awek dia yang tah keberapa,

Ni antara Housemate aku yang kedua kawin selepas aku,
so selamat berbahagia ke anak cucu.

Selamat Pengantin Baru Pok Le & Ida


Saturday, July 4, 2009

Prestasi lebih berkuasa

Khidmat Pajero telah lama digunakan di negara ini. Hari ini dengan jumlah peminat SUV yang semakin bertambah cita rasanya juga semakin mewah.



SUV terbaru ini, Mitsubishi Pajero Sport diperkenalkan buat pertama kali di Moscow Motor Show pada tahun lalu. Kenapa Moscow? Rusia dipilih kerana bekas negara Kesatuan Soviet itu merupakan pasaran utama produk Mitsubishi Motor Corporation (MMC).

Buktinya, pada tahun fiskal 2007, MMC berjaya menjual lebih daripada 100,000 unit di pasaran Rusia. Angka itu disumbangkan oleh model Lancer dan SUV keluarannya seperti Pajero dan Outlander. Justeru, MMC yakin model Pajero Sport akan menguatkan lagi penguasaannya dan mampu mencecah sasaran jualan sebanyak 140,000 unit pada tahun berikutnya.

Di Malaysia, Mitsubishi Pejero sebenarnya sudah menemui pengguna sejak tahun 1980-an lagi. Ketika itu, SUV itu disaingi oleh model Isuzu Trooper. Pajero dilihat sebagai sebuah jentera pacuan empat roda yang cukup sinonim dengan golongan kontraktor, tauke balak atau pengurus ladang.

Tidak ketinggalan, jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut menggunakan khidmat Pajero dalam melaksanakan tugas harian para pegawainya.

Kini, Pajero Sport tampil dengan ciri yang lebih mewah dan selesa. Ia merupakan hasil gabungan terbaik dengan segala keistimewaan yang ada pada model Pajero dan model SUV untuk kegunaan urban, Mitsubishi Outlander.

Sesi pandu uji Pajero Sport telah membawa sekumpulan wartawan ke Pulau Pinang. Dalam perjalanan ke sana, kami singgah di Selangor Fruit Valley di Bukit Bestari, Rawang. Bukan sekadar menikmati timbunan buah-buahan segar seperti durian, manggis, rambutan dan nangka, di sana juga saya mendapat pengalaman yang jauh lebih berharga.

Apa lagi kalau bukan berpeluang menjadi penumpang Pajero Sport yang dipandu oleh bekas juara dua kali Rali Paris-Dakar, Hiroshi Masuoka.

Meredah laluan dusun yang sempit, berlubang dan bengkang-bengkok bukan hanya menyerlahkan kemahiran kelas dunia yang dimiliki Masuoka, malah ia menunjukkan keupayaan sebenar jentera itu yang tidak menerima sebarang bentuk modifikasi.

"Sebenarnya saya suka transmisi manual, ia lebih senang dikendalikan," kata Masuoka sambil tangannya pantas memusing stereng dan menukar kedudukan gear.

Walaupun tempohnya singkat (hanya sekitar lima minit), Pajero Sport yang dibina atas kerangka jenis ladder ini nyata memberikan rasa kendalian yang cukup meyakinkan.

Ditambah pula dengan aplikasi sistem suspensi, pacuan empat roda (Super Select 4WD) dan kuasa yang diekstrak daripada unit enjin diesel bersesaran 2.5 liter. Semua ciri ini mengukuhkan lagi tanggapan bahawa Pajero Sport merupakan sebuah jentera off-road yang serius.



Jangan tertipu apabila melihat fizikal Pajero Sport, terutama di bahagian hadapannya. Rekaan bentuk gril radiator dan bumpernya terlalu hampir dengan model trak pikap, Mitsubishi Triton.

Sementara karakter bahagian belakangnya pula diserlahkan dengan penggunaan lampu belakang yang nipis, di samping bumper lebar bersama sepasang lampu di bahagian bawahnya.

Biarpun cemerlang di laluan off-road, janaan kuasa daripada enjin 16 injap sebaris empat intercooled turbocharged DOHC Common Rail Di-D ini terasa sedikit berat ketika berada di jalan raya.

Enjin yang sama digunakan pada model Triton itu nampaknya memerlukan sedikit masa untuk mengheret tubuh Pajero Sport seberat 2,710 kilogram itu.



Menerusi padanan transmisi automatik INVECS-II empat kelajuan, pilihan menukar gear secara manual (sport mode) dan pacuan roda belakang, ia masih mampu memberikan tahap penggunaan bahan api yang munasabah.

Tidak perlu bimbang untuk memarkir atau melakukan pusingan U, Pajero Sport menawarkan nisbah pusingan minimum 5.6 meter.

Ruang kokpit Pajero Sport dimonopoli oleh kemasan kulit berwarna beige, pada tempat duduk dan panel sisinya. Reka bentuk papan pemuka dan sterengnya seakan sama dengan apa yang boleh anda lihat di dalam Triton.

Untuk hiburan sepanjang perjalanan, unit audio double DIN sedia digunakan. Disokong oleh enam buah pembesar suara, kualiti bunyi yang dikeluarkan agak memuaskan. Cuma paparan maklumat pada skrinnya saya fikir terlalu sarat.



Sebagai sebuah SUV berkapasiti tujuh tempat duduk, ruang kaki bagi penumpang barisan kedua adalah memuaskan. Tempat duduknya boleh dilaras mengikut keselesaan. Ia juga mudah dilipat untuk menyediakan ruang kargo yang lebih luas dan memberi laluan keluar masuk untuk penumpang keenam dan ketujuh.

Barisan tempat duduk ketiga hanya sesuai dihuni oleh kanak-kanak. Namun, saya rasa mereka mungkin berasa kurang selesa kerana rasa olengan (body roll) yang agak ketara ketika jentera ini dipandu laju. Sungguhpun begitu, mereka tidak akan kepanasan kerana terdapat corong pendingin hawa.

Mitsubishi Pajero Sport yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand ini ditawarkan pada harga RM158,609 (atas jalan tanpa insurans).

Dengan hanya model Toyota Fortuner sebagai pesaing terdekat, Mitsubishi Motors Malaysia Sdn. Bhd. yakin, ia mampu menepati sasaran jualan sebanyak 500 unit menjelang akhir tahun ini.

Pajero Sport didatangkan dengan lima warna pilihan iaitu kelabu, biru, putih, beige dan perak. Demi keselesaan pelanggan, Pajero Sport hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sehingga 100,000 kilometer.