Khidmat Pajero telah lama digunakan di negara ini. Hari ini dengan jumlah peminat SUV yang semakin bertambah cita rasanya juga semakin mewah.
SUV terbaru ini, Mitsubishi Pajero Sport diperkenalkan buat pertama kali di Moscow Motor Show pada tahun lalu. Kenapa Moscow? Rusia dipilih kerana bekas negara Kesatuan Soviet itu merupakan pasaran utama produk Mitsubishi Motor Corporation (MMC).
Buktinya, pada tahun fiskal 2007, MMC berjaya menjual lebih daripada 100,000 unit di pasaran Rusia. Angka itu disumbangkan oleh model Lancer dan SUV keluarannya seperti Pajero dan Outlander. Justeru, MMC yakin model Pajero Sport akan menguatkan lagi penguasaannya dan mampu mencecah sasaran jualan sebanyak 140,000 unit pada tahun berikutnya.
Di Malaysia, Mitsubishi Pejero sebenarnya sudah menemui pengguna sejak tahun 1980-an lagi. Ketika itu, SUV itu disaingi oleh model Isuzu Trooper. Pajero dilihat sebagai sebuah jentera pacuan empat roda yang cukup sinonim dengan golongan kontraktor, tauke balak atau pengurus ladang.
Tidak ketinggalan, jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut menggunakan khidmat Pajero dalam melaksanakan tugas harian para pegawainya.
Kini, Pajero Sport tampil dengan ciri yang lebih mewah dan selesa. Ia merupakan hasil gabungan terbaik dengan segala keistimewaan yang ada pada model Pajero dan model SUV untuk kegunaan urban, Mitsubishi Outlander.
Sesi pandu uji Pajero Sport telah membawa sekumpulan wartawan ke Pulau Pinang. Dalam perjalanan ke sana, kami singgah di Selangor Fruit Valley di Bukit Bestari, Rawang. Bukan sekadar menikmati timbunan buah-buahan segar seperti durian, manggis, rambutan dan nangka, di sana juga saya mendapat pengalaman yang jauh lebih berharga.
Apa lagi kalau bukan berpeluang menjadi penumpang Pajero Sport yang dipandu oleh bekas juara dua kali Rali Paris-Dakar, Hiroshi Masuoka.
Meredah laluan dusun yang sempit, berlubang dan bengkang-bengkok bukan hanya menyerlahkan kemahiran kelas dunia yang dimiliki Masuoka, malah ia menunjukkan keupayaan sebenar jentera itu yang tidak menerima sebarang bentuk modifikasi.
"Sebenarnya saya suka transmisi manual, ia lebih senang dikendalikan," kata Masuoka sambil tangannya pantas memusing stereng dan menukar kedudukan gear.
Walaupun tempohnya singkat (hanya sekitar lima minit), Pajero Sport yang dibina atas kerangka jenis ladder ini nyata memberikan rasa kendalian yang cukup meyakinkan.
Ditambah pula dengan aplikasi sistem suspensi, pacuan empat roda (Super Select 4WD) dan kuasa yang diekstrak daripada unit enjin diesel bersesaran 2.5 liter. Semua ciri ini mengukuhkan lagi tanggapan bahawa Pajero Sport merupakan sebuah jentera off-road yang serius.
Jangan tertipu apabila melihat fizikal Pajero Sport, terutama di bahagian hadapannya. Rekaan bentuk gril radiator dan bumpernya terlalu hampir dengan model trak pikap, Mitsubishi Triton.
Sementara karakter bahagian belakangnya pula diserlahkan dengan penggunaan lampu belakang yang nipis, di samping bumper lebar bersama sepasang lampu di bahagian bawahnya.
Biarpun cemerlang di laluan off-road, janaan kuasa daripada enjin 16 injap sebaris empat intercooled turbocharged DOHC Common Rail Di-D ini terasa sedikit berat ketika berada di jalan raya.
Enjin yang sama digunakan pada model Triton itu nampaknya memerlukan sedikit masa untuk mengheret tubuh Pajero Sport seberat 2,710 kilogram itu.
Menerusi padanan transmisi automatik INVECS-II empat kelajuan, pilihan menukar gear secara manual (sport mode) dan pacuan roda belakang, ia masih mampu memberikan tahap penggunaan bahan api yang munasabah.
Tidak perlu bimbang untuk memarkir atau melakukan pusingan U, Pajero Sport menawarkan nisbah pusingan minimum 5.6 meter.
Ruang kokpit Pajero Sport dimonopoli oleh kemasan kulit berwarna beige, pada tempat duduk dan panel sisinya. Reka bentuk papan pemuka dan sterengnya seakan sama dengan apa yang boleh anda lihat di dalam Triton.
Untuk hiburan sepanjang perjalanan, unit audio double DIN sedia digunakan. Disokong oleh enam buah pembesar suara, kualiti bunyi yang dikeluarkan agak memuaskan. Cuma paparan maklumat pada skrinnya saya fikir terlalu sarat.
|
|
Barisan tempat duduk ketiga hanya sesuai dihuni oleh kanak-kanak. Namun, saya rasa mereka mungkin berasa kurang selesa kerana rasa olengan (body roll) yang agak ketara ketika jentera ini dipandu laju. Sungguhpun begitu, mereka tidak akan kepanasan kerana terdapat corong pendingin hawa.
Mitsubishi Pajero Sport yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand ini ditawarkan pada harga RM158,609 (atas jalan tanpa insurans).
Dengan hanya model Toyota Fortuner sebagai pesaing terdekat, Mitsubishi Motors Malaysia Sdn. Bhd. yakin, ia mampu menepati sasaran jualan sebanyak 500 unit menjelang akhir tahun ini.
Pajero Sport didatangkan dengan lima warna pilihan iaitu kelabu, biru, putih, beige dan perak. Demi keselesaan pelanggan, Pajero Sport hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sehingga 100,000 kilometer.
No comments:
Post a Comment