Thursday, February 18, 2010

Taktik penyeludup petrol di sempadan.

Bukan mudah banteras penyeludupan secara total.

UBAH SUAI tangki biasanya dilakukan pengusaha bengkel di Hat Yai.


SEORANG lelaki tempatan, dikenali sebagai Din, sedang minum kopi di sebuah gerai di Padang Besar, Perlis, dekat sempadan Malaysia-Thailand ketika dihampiri krew Jurnal.

Din, berusia 30-an, mengaku sering membantu warga Thailand menyeludup petrol dan diesel bersubsidi di sempadan Malaysia-Thailand itu.

Menurut Din, dia akan mengisi penuh minyak keretanya di stesen minyak sebelum dipindahkan ke tangki kereta warga Thailand yang menunggu di tempat tersorok dan jauh daripada pandangan orang ramai. Kerana kerjanya itu, Din akan dibayar upah.

"Setiap kali mengisi penuh petrol ke dalam tangki kereta yang berkapasiti 40 liter, saya akan mendapat upah bersih sebanyak RM10 daripada kumpulan penyeludup itu," katanya.

"Cukuplah untuk beli rokok dan berseronok di Padang Besar," tambahnya.

Din memberitahu, petrol daripada tangki keretanya dikeluarkan menggunakan getah paip sebelum diisi semula ke dalam tangki kenderaan rakyat asing itu.

Boleh dikatakan itulah aktiviti harian Din selepas kerajaan hanya membenarkan kenderaan asing mengisi tidak lebih 20 liter bahan bakar itu di stesen minyak yang berada di dalam lingkungan 50 kilometer dari sempadan negara.

Nilai harga pasaran ketika ini iaitu RM1.80 seliter bagi petrol di Malaysia berbanding RM3.50 di negara jiran itu menyebabkan warga asing itu berlumba-lumba mendapatkan bekalan dari Malaysia.

Trak pikap

Sama ada aktiviti tersebut dilakukan rakyat Thailand sendiri yang mahu mengambil kesempatan harga murah itu di negara ini, rakyat tempatan juga tidak terkecuali bersekongkol melakukan aktiviti penyeludupan ke negara jiran itu.

Menurut Komandan Unit Pencegahan dan Penyeludupan (UPP) Perlis, Deputi Supritendan Zakaria Abdul Rahman, sepanjang tahun lalu hampir 50 kes berjaya dikesan pihaknya membabitkan penyeludupan diesel dan petrol.

"Dianggarkan sebanyak 16,259 liter diesel bernilai RM29,051 dan petrol 5,925 liter berharga RM10,697 diseludup tahun lalu.

"Pada bulan Januari lalu pula, hampir 10 kes membabitkan penggunaan kenderaan yang digunakan penyeludup," katanya.

Zakaria menjelaskan, antara taktik penyeludup ialah menggunakan kereta pikap Thailand yang diubahsuai bagi menempatkan tangki tambahan.

"Ada kereta pikap yang kami tahan mempunyai 10 buah tangki tambahan di bahagian belakang serta bawah kenderaan itu sehingga mampu menampung 1,000 liter petrol.

"Biasanya penyeludup jenis itu mempunyai banyak wang untuk membeli kereta pikap.

"Bagi yang mungkin baru hendak berjinak-jinak, mereka akan mengubahsuai motosikal supaya tangkinya lebih besar dan dapat diisi sehingga 40 liter minyak berbanding lima atau 10 liter bagi tangki standard," ujarnya.



Dokumen palsu

Kos bagi melakukan pengubahsuaian tangki itu ialah antara RM3,000 hingga RM5,000 bagi kereta pikap dan RM500 untuk motosikal.

"Mereka biasanya menggunakan khidmat mekanik di Hat Yai dan Songkhla, pomen di Malaysia tidak berminat melakukannya kerana bimbang dikesan pihak berkuasa," ujar Zakaria.

Taktik penyeludupan melalui pengubahsuaian tangki tambahan, biasanya dilakukan kenderaan asing.

Modus operandi penyeludup tempatan pula, mereka sering memilih taktik mengisytiharkan dokumen palsu dengan menggunakan lori bagi membawa keluar bahan bakar bersubsidi ke negara jiran.

Katanya lagi, setakat ini tiada kejadian buruk berlaku dalam usaha pihak berkuasa membanteras penyeludupan.

"Kalau ada pun hanya aksi kejar-mengejar namun akhirnya mereka akan meninggalkan kenderaan dan melarikan diri," katanya.

Selain itu, penyeludup hanya mengharapkan tuah dan kelekaan pihak berkuasa semasa bertugas di pintu sempadan.

Terdapat dua pintu sempadan di Perlis iaitu Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar dan Pos Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Wang Kelian.

"Biasanya mereka akan mengambil kesempatan pada kesibukan di pintu sempadan yang hendak ditutup seperti di ICQ Wang Kelian pada pukul 6 petang manakala di CIQ Padang Besar pada pukul 10 malam bagi melepasi kawalan.

Merayu

"Pada waktu berkenaan, trafik kenderaan akan banyak sehingga menyebabkan kesesakan.

"Adakalanya bagi melancarkan lalu-lintas, pihak berkuasa terlepas pandang kereta penyeludup atau melakukan pemeriksaan biasa sahaja.

"Hendak membanteras penyeludupan secara total bukan mudah. Kalau dikira nisbah, tiga daripada 10 buah kereta penyeludup terlepas. Ia mungkin disebabkan kelalaian manusia," ujarnya.

Aktiviti penyeludupan petrol mula dikesan UPP Perlis sejak tahun 2000 apabila harga minyak antarabangsa melambung dan bertambah teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada tahun 2008, apabila Malaysia menaikkan harga petrol kepada RM2.40 seliter, harga bahan bakar itu di Thailand naik hingga RM7.


KURANG teliti menyebabkan ada penyeludup dapat melepasi pemeriksaan sempadan di Padang Besar.

"Rampasan petrol seludup pada tahun 2008 sahaja mencecah lebih RM3 juta," kata Zakaria.

Cerita Zakaria, apabila ditangkap, para penyeludup sering merayu agar mereka dilepaskan kerana mendakwa terpaksa melakukan aktiviti haram itu disebabkan kesempitan hidup.

Selain itu, faktor pendidikan menyukarkan mereka mencari pekerjaan sah yang lebih baik. Justeru cara mudahnya ialah dengan melakukan aktiviti penyeludupan.

"Lagipun aktiviti penyeludupan ini bukan baru. Ia merupakan pekerjaan tradisi yang telah dilakukan sejak wujud sempadan antara kedua-dua negara. Namun, seingat saya, tidak banyak antara mereka ini menjadi kaya-raya," ujar Zakaria.

No comments: