SEJAK Proton melancarkan model Inspira, ramai pemilik Mitsubishi Lancer GT yang makan hati. Bukan sahaja kerana harganya yang jauh lebih murah, malah ramai wakil media yang memandu uji Inspira mendakwa kualiti pemanduannya lebih baik berbanding Lancer GT.
Paling kasihan ialah pengimport dan pengedar rasmi jenama Mitsubishi di Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia Sdn. Bhd (MMM). Mereka terpaksa menjawab rasa kurang puas hati segelintir peminat tegar Lancer yang merasakan diri mereka seolah-olah menjadi mangsa keadaan. Sedangkan, apa yang berlaku adalah di luar bidang kuasa MMM.
Apa pun persepsinya, anda harus tahu bahawa tindakan menjadikan model Lancer sebagai produk terbaru Proton adalah satu keputusan bermotifkan bisnes. Pendek kata, kedua-dua pihak iaitu Mitsubishi Motors Corporation (MMC) di Jepun dan Proton akan sama-sama memperoleh manfaat daripada kerjasama tersebut.
Terutama dari aspek skala ekonomi dan penjimatan kos dalam penghasilan model baru. Pada masa yang sama, membolehkan lebih ramai pengguna memandu model idaman itu pada harga mampu milik.
Kolaborasi antara pengeluar kenderaan dalam melakukan proses yang dikenali sebagai rebadging kini sudah menjadi lumrah. Semuanya kerana mahu mengurangkan kos, memaksimumkan keuntungan dan jangkauan para pembeli berpotensi. Salah satunya ialah Aston Martin yang mengambil model Toyota iQ untuk menghasilkan model Cygnet.
Lancer Sportback ialah varian daripada keluarga Lancer yang mengambil pendekatan sebuah model wagon atau turut dikenali sebagai estate di pasaran Amerika Syarikat (AS).
Sudah semestinya model itu lahir dengan DNA sebuah Lancer sama ada dari reka bentuk (dalaman dan luaran) mahupun pengendaliannya. Kalau ada yang tertanya-tanya sama ada ia akan menjadi 'Inspira Sportback' pula untuk beberapa tahun akan datang, saya tidak fikir Proton mahu ambil peduli terhadap pasaran yang cukup niche ini.
Melengkapi varian Lancer
Kali ini medan ujian Lancer Sportback nun di pulau bebas cukai, Pulau Langkawi. Sebenarnya, sesi pandu uji yang meliputi perjalanan sejauh lebih 200 kilometer (km) itu turut melibatkan model crossover kompak, Mitsubishi ASX.
Lancer Sportback merupakan model kedua yang dilancarkan pada suku keempat tahun ini selepas Pajero. Ia melengkapkan varian Lancer yang ditawarkan oleh MMM iaitu Lancer GT dan Lancer EX. Maksudnya, jika anda mahukan sebuah Lancer yang lebih berkuasa dan tidak kurang dari segi ruang kargonya, inilah jawapannya.
Dijual pada harga RM132,980 seunit, anda bakal memperoleh sebuah Lancer yang benar-benar berbeza. Enjinnya lebih berkuasa dengan sesaran 2.4 liter yang dipadankan dengan transmisi CVT enam kelajuan. Sesaran enjin tersebut adalah yang paling besar dalam pasaran segmen C tempatan pada masa kini.
Di atas kertas, enjin ini mampu menjana sehingga 170PS dan tork maksimum 226Nm. Namun sebaik pedal minyaknya ditekan, pemandu mungkin berasa Lancer Sportback agak berat.
Pemanduan meyakinkan
Letakkan sahaja tuil gear pada kedudukan D, kuasa yang diagihkan kepada kotak gear automatik itu lancar, walaupun sedikit malas. Jika mahu mengawal sendiri kedudukan gear, gunakan sahaja paddle shifter yang ada di belakang stereng.
Walaupun kuasa tork kurang memberangsangkan, pertukaran gear yang dibuat dengan pantas menghilangkan kekecewaan itu.
Paling penting, Lancer Sportback menjanjikan pemanduan yang cukup meyakinkan. Pandulah dengan agresif mana pun, olengan tubuhnya adalah minimum. Setting suspensi topang MacPherson bebas pada roda hadapan dan suspensi jenis multilink bebas membuatkan anda tersenyum ketika melayan selekoh pada kelajuan yang tinggi. Ditambah pula dengan sistem Active Stability Control (ATC) dan Traction Control, apa lagi yang anda mahukan?
Model yang didatangkan dari Jepun itu meneruskan wajah Lancer dengan rekaan gril lebar dan disalut krom pada bingkainya.
Berada di dalam kabin Lancer Sportback, anda boleh mengagak rekaan papan pemuka Mitsubishi yang ringkas. Semua butang kawalannya mudah dicapai. Tempat duduknya yang disalut dengan kulit berwarna hitam itu cukup selesa walaupun terpaksa menempuh perjalanan yang jauh.
Radio Kenwood dengan ciri skrin sentuh itu pula memerlukan sedikit masa untuk difahami cara operasinya. Mencari saluran radio secara automatik atau manual agak menyakitkan hati. Di pulau Langkawi, pilihan saluran radio Thailand lebih mudah ‘ditangkap’ berbanding radio tempatan.
Apa pun, Lancer Sportback boleh menjadi alternatif kepada mereka yang mahukan kelainan tanpa berkompromi dengan kualiti pemanduan terbaik. Ia hanya didatangkan dalam satu varian spesifikasi dengan tiga warna pilihan iaitu putih, biru dan hitam.
No comments:
Post a Comment