Saturday, February 13, 2010

Kini Giliran Volkswagen tarik kereta


SEJUMLAH kereta Volkswagen Novo Gol dan Voyage diletakkan di luar bilik pameran di Rio de Janeiro kelmarin.

SAO PAULO - Pengeluar kereta kedua terbesar di Brazil selepas Fiat, Volkswagen kelmarin mengumumkan penarikan balik hampir 200,000 unit model Novo Gol dan Voyage yang dikeluarkan di Brazil sebelum Julai 2009 berikutan masalah roda belakang yang mungkin boleh tertanggal.

Pengumuman itu mengikuti proses penarikan balik kenderaan Toyota di seluruh dunia akibat masalah brek dan pedal minyak, selain Honda di Amerika Utara, Jepun, Taiwan dan Australia ke atas model-model yang mengalami kegagalan beg udara.

Di laman webnya, Volkswagen Brazil menyatakan sebanyak 193,620 unit Novo Gol dan Voyage berisiko tidak mempunyai pelinciran yang mencukupi pada roda belakang dan boleh menyebabkan bunyi bising.

Penggunaan secara berterusan boleh menyebabkan roda itu tersekat.

"Dalam kes-kes yang ekstrem, roda itu boleh tercabut," jelas kenyataan tersebut.

"Perlu diingatkan bahawa penarikan ini hanya melibatkan kenderaan yang dikeluarkan di antara tahun 2009 hingga 2010. Kereta yang dibuat selepas Julai tidak mengalami masalah pelinciran ini," kata seorang jurucakap Volkswagen.

Beliau menafikan Volkswagen lambat bertindak.

"Masa diperlukan untuk mengenal pasti masalah. Apa yang lebih penting ialah masalah telah dikenal pasti dan diselesaikan," katanya.

Ia merupakan tindakan kali ketiga Volkswagen menarik kereta keluarannya di Brazil.

Pada April 2008, ia memanggil balik 477,000 unit model kompak Fox kerana berdepan masalah tempat duduk belakang. Sementara pada Disember tahun yang sama, 120,000 unit model lama Fox, Novo Gol dan Voyage diperiksa kerana masalah brek. - AFP

Thursday, February 11, 2010

Akhirnya...

Alhamdulillah setalah sekian lama
apa yang aku lakukan,
akhirnya inilah hasilnya.

Ni kerja-kerja penyiapan dibuat malam tadi.

Hari ni site aku diserahkan kepada
pemiliknya secara sah iaitu
ILIM (Institut Latihan Islam Malaysia)
Wilayah Timur,Besut Terengganu.

Inilah antara program-program yang dijalankan
pada hari bersejarah ini.

Majlis tandatangan dan penyerahan kunci.

Ucapan dari pihak Kontraktor En.Kamal selaku wakil SYY.

Ucapan dari Pengurus Pembinaan Tuan Haji Azman JKR

Ni antara Big Bos Consultant Pn Zurina dari AM arkitek
dan Tuan Haji Ir Che Kob dari IRC Engineer

Temuramah RTM dengan Pegawai JAKIM

Temuramah RTM dengan Puan Zurina, My Bos

And last Geng-geng Consultant
yang bertungkus lumus selama ni...
dari kiri Mr iqbal Arkitek, Dan mache Engineer, Mat RE,
Ir Zaidi, Izam Qs dan Ise.

Hyundai terbaru, i30 M Sport


MODEL i30 M Sport begitu terserlah pada modifikasi rekaan luarannya termasuk skirting di bahagian depan dan belakang.

SEMPENA pembukaan tirai tahun 2010 dan pelancaran kereta Hyundai terbaru, i30 M Sport, Hyundai-Sime Darby Motors Sdn. Bhd. (HSDM) menawarkan 50 unit kit kenderaan (bodykit) M Sport percuma kepada 50 pelanggan terawal yang membeli i30 M Sport pada tahun ini.

Tempahan untuk kenderaan i30 M Sport sudah dibuka di semua pusat pameran Hyundai bermula semalam. Tempahan dibuka selagi stok masih ada.

Model yang sporty itu begitu terserlah pada modifikasi rekaan luarannya termasuklah skirting bahagian depan dan belakang, paip ekzos berkembar dan plastik pada bampar belakang.

Tiada sebarang penaiktarafan di bahagian bumbung, rekaan dalaman dan rim tayarnya. Keadaan enjin pula dikekalkan pada 121ps dan tork 154Nm untuk enjin 1.6 manakala 143ps dan tork 186.3 Nm bagi enjin 2.0.



Bagaimanapun, model i30 M Sport bukan kereta pertama Hyundai di Malaysia yang didatangkan bersama bodykit MS Design. Pada tahun 2006, model Getz Cross turut menawarkan kit itu.

Lima puluh pelanggan terawal akan dapat membeli kereta i30, lengkap bersama M Sport Bodykit, di atas jalan pada harga RM92,388 (Semenanjung Malaysia) dan RM94,408.40 (Sabah dan Sarawak) bagi 1.6 manual, RM97,888 (Semenanjung) dan RM99,940.80 (Sabah dan Sarawak) bagi 1.6 automatik serta RM112,888 (Semenanjung) dan 114,718.50 (Sabah dan Sarawak) bagi 2.0 automatik.

Harga sebenar i30 M Sport di atas jalan ialah RM100,388 (Semenanjung) dan RM102,408.40 (Sabah dan Sarawak) bagi 1.6 manual, RM105,888 (Semenanjung Malaysia) dan RM107,940.80 (Sabah dan Sarawak) bagi 1.6 automatik dan RM120,888 (Semenanjung) dan RM122,718.50 (Sabah dan Sarawak) bagi 2.0 automatik.

Honda Recall




TOKYO – Pengeluar kereta kedua terbesar Jepun, syarikat Honda Motor Co. menyatakan ia akan memanggil semula 440,000 unit kereta jenamanya di seluruh dunia ekoran masalah beg udara ketika saingannya Toyota berdepan krisis keselamatan terbesar dalam sejarah.

Jumlah itu menjadikan hampir 950,00 buah kenderaan Honda ditarik balik selepas seorang maut akibat beg udara didapati mempunyai masalah dan sejumlah 11 kes kecederaan dilaporkan di seluruh Amerika Syarikat (AS) melibatkan isu sama.

Ketua Pegawai Kewangan Honda, Yoichi Hojo berkata, langkah untuk menarik semula 437,763 unit kenderaan tersebut yang dikeluarkan antara tahun 2001 dan 2002 lalu bakal melibatkan kos sehingga tiga bilion yen (RM115 juta).

Kerosakan itu menyebabkan penghasilan terlalu kuat tekanan dan memberi risiko kepada nyawa pemandu jika berlaku kemalangan manakala beg udara tersebut keluarkan di AS oleh sebuah unit firma Takata Corporation dari Jepun.

Ia melibatkan model Accord, Civic, Odyssey, CR-V dan Pilot selain Acura TL dan CL untuk pasaran AS serta model Inspire, Saber dan Lagreat di Jepun yang kesemuanya dipasang di kilang Honda di sekitar AS dan Kanada.

Hojo berkata, Honda mungkin meminta Takata membayar ganti rugi dan membaik pulih kilang pengeluarannya kerana masalah itu berpunca daripada proses pengilangan dan bukan disebabkan reka bentuk yang ditetapkan pihak Honda.

Kelmarin, Toyota memanggil balik lebih 400,000 unit versi terbaru Prius dan model hibrid lain akibat masalah brek menjadikan keseluruhan 8.1 juta kenderaan Toyota ditarik balik.

Masalah itu melibatkan pedal minyak dan karpet yang dikaitkan dengan kemalangan sehingga menyebabkan 19 orang terbunuh.

Wednesday, February 10, 2010

Next Car

Ari tu masa aku pegi Cameron,
aku ada lah terpandang satu kete ni,
walaupun simple tapi ia menarik bila di tengok.

Memang menjadi impian aku nak pakai kete ni
tu pun bila ada duit lah,
hajat dihati nak pakai tahun depan,
tah tahun depan satu lagi tak taulah he he..
tah tah bila nak beli dah takda model ni
Moga moga di makbul kan oleh Allah.

Satu lagi model aku tengok kat Giant KT
walaupun model lama,
tapi ok jugak cara modifikasi yang simple.
janji tak lebih-lebih modified pakai bumper yang mengarut
macam backhoe.

Lepas ni boleh lah berangan-rangan
nak tolak si merah aku tu ha ha...
kalau ada yang support duit muka lagi bagus,
kasi tambah lagi banyak ke
tapi macam dah ada sape ekkk????

Volvo Premium sport

PEMINAT kenderaan wagon pastinya tertarik apabila Volvo melancarkan model baru V50 2.0L Powershift premium yang dipertingkatkan selain menonjolkan gaya sukan lasak dan sesuai dengan gaya hidup aktif masyarakat ketika ini.

Direka bentuk untuk melengkapi gaya hidup masyarakat kota yang aktif, Volvo V50 2.0 Powershift bukan sahaja sesuai untuk aktiviti riadah, malah mencerminkan kebebasan dan gaya, praktikal serta serba boleh.Presiden Volvo Car Malaysia, Goran Larsson, berkata model wagon lima pintu itu dibekalkan dengan transmisi Powershift baru, menjadikan penggunaan minyak lebih minimum, tetapi berkuasa.

"V50 2.0 Powershift adalah model station wagon yang tiada bandingan. Ia mempunyai kelas, tidak lapuk dek zaman dan dibentuk untuk memenuhi keperluan pembeli yang gemarkan cabaran."Model ini sangat praktikal, serba boleh dan direka untuk tujuan melakukan aktiviti serta kenderaan terbaik bagi mereka yang aktif," katanya.

Transmisi DwiKlac Powershift enam kelajuan V50 dengan 'Geartronic' dan kunci anjakan memberi pembeli lebih nilai wang kerana ia membolehkan pemanduan lebih lancar selain mampu mengurangkan penggunaan minyak sehingga 11 peratus berbanding model asal dijana enjin 2.4L.

"Anda boleh pergi lebih jauh dan membuat pelbagai aktiviti dengan V50 2.0L Powershift terbaru ini.

"Ia satu-satunya keperluan anda, keluarga dan rakan-rakan anda menerusi wagon dengan gaya sport dipertingkatkan dan kemasan premium, ruang kargo luas dan sistem audio berkualiti dengan pemanduan lancar," katanya.

Antara ciri terbaru dimuatkan pada model itu termasuk Sistem Maklumat Bahagian Tidak Kelihatan (BLIS), Pengawalan Cengkaman Kestabilan Dinamik (DSTC), Lampu DwiXenon dan Sistem masuk dan pandu tanpa kunci.

BLIS adalah salah satu ciri keselamatan terkini menggunakan kamera dipasang pada cermin pintu supaya kenderaan lain berada di bahagian tidak kelihatan pada sisi kereta dapat dilihat.

Volvo V50 memaparkan reka bentuk bergaya dengan garisan bumbung melengkung dan bahagian belakang yang tajam manakala bahagian hadapan aerodinamik serta panel sisi cembung menunjukkan kuasa dan menekankan dimensi kompak kereta.Lampu belakang dibentuk memanjang ke atas mengikut reka bentuk Volvo yang moden dan terkini.

Sistem keselamatan lain seperti WHIPS (Sistem Perlindungan Piat), SIPS (Sistem Perlindungan Impak Sisi) dan IC (Tirai Boleh Kembung) adalah ciri standard pada Volvo V50."Volvo mengamalkan pandangan menyeluruh bagi keselamatan yang merangkumi kedua-dua keselamatan pencegahan dan perlindungan.

"Sejajar dengan aspek keselamatan terbaik daripada Volvo, visi kami menjelang 2020 ialah tiada seorang pun yang terbunuh atau tercedera dalam Volvo," kata Larsson.Volvo V50 2.0 Powershift dengan 145 kuasa kuda (hp), empat silinder enam kelajuan didatangkan dalam warna baru, Brilliant Blue berharga RM185,950 (tanpa insurans).

Tuesday, February 9, 2010

Otai lama lama


BIARPUN sudah berusia lebih 50 tahun, model ini tetap diminati.

HARI ini, kita dapat melihat limpahan model-model MPV menjalar di jalan raya di seluruh negara. Tidak dapat dinafikan lagi, MPV sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup bagi mereka yang mementingkan aspek keselesaan dan praktikaliti sebuah minivan besar bagi tujuan mengangkut penumpang dan bagasi.

MPV seperti Toyota Estima, Alphard dan Odyssey boleh kita jumpa hampir di mana sahaja dan setiap masa. Transisi daripada pemilikan kenderaan penumpang kepada MPV juga telah menghasilkan landskap pasaran yang luas. Kini hampir setiap pengeluar memasarkan MPV mereka sendiri.

Volkswagen Kombi

Lama sebelum zaman Estima dan Alphard, malah ketika istilah MPV belum muncul, jenama Volkswagen telah bermula dengan model Volkswagen Kombi. Dikenali sebagai Volkswagen Type 2, ia merupakan projek kedua selepas Beetle yang juga produksi minivan paling lama dalam sejarah. Produksi van itu bermula pada tahun 1950. Walaupun generasi baru seperti Transporter muncul, Kombi masih lagi dikilangkan. Benar, kilang VW di Brazil masih lagi menghasilkan kenderaan tersebut!

Orang yang bertanggungjawab mengeluarkan idea kenderaan itu ialah jurutera kelahiran Belanda, Ben Pon. Beliau yang juga seorang pengimport kereta Volkswagen ke Amerika telah menghasilkan lakaran van itu pada tahun 1947. Kemudian, idea itu mula diterjemahkan sehingga menjadi sebuah van atau bas mikro yang popular hingga kini.


MENGGUNAKAN khidmat enjin bersesaran 1.6 liter dengan empat silinder.

Volkswagen Type 2 sebenarnya sangat sinonim dengan budaya Hippie yang pernah menerjah masyarakat Amerika Syarikat (AS) sekitar tahun 1960-an.

Hippie ialah satu subbudaya yang ditunjangi oleh golongan belia dan kononnya memperjuangkan hak asasi serta cinta.

Komuniti Hippie dikatakan mempunyai amalan tersendiri. Misalnya penggunaan dadah jenis marijuana atau LSD, cenderung dengan muzik rock psychedelic, berpakaian unik dengan pelbagai aksesori dan sebagainya.

Ia juga merupakan golongan muda yang mempertikaikan polisi menindas oleh kerajaan AS, membantah penglibatan AS dalam Perang Vietnam dan era persatuan pelajar universiti yang sangat dominan.

Mereka turut mempunyai agenda-agenda perjuangan tersendiri seperti membenci perperangan antinuklear, menentang diskriminasi dan menegakkan hak asasi manusia. Di samping itu, mereka mempunyai teknik atau tatacara menyampaikan ekspresi terutama protes dan perasaan dengan unik. Ini boleh dilihat pada karya-karya seni seperti muzik, sastera, drama, lukisan, seni visual, filem, poster, kulit album dan sebagainya.

Jadi kenapa pula van Volkswagen itu terbabit sama? Hubung kait Van Volkswagen pada mulanya banyak dilihat digunakan oleh golongan Hippie sebagai kenderaan rasmi mereka untuk bergerak ke tapak-tapak perkhemahan, mengembara dan sebagainya.

Sebenarnya tidak ada sebab yang kukuh kenapa van itu digunakan oleh golongan Hippie. Pada asalnya, ia digunakan kerana ruang dalamannya yang sememangnya sesuai untuk kegunaan mereka terutamanya untuk tujuan mengembara.


RUANG dalaman yang cukup selesa untuk bersantai, sama ada bermain catur atau sekadar membaca buku kegemaran.

Kelebihan van atau bas mikro itu boleh memuatkan dengan ramai penumpang, peralatan berkhemah, alat memasak, pakaian dan perabot kayu buatan sendiri. Jadi, van berbentuk seakan-akan kotak itu boleh menjadi sebuah kenderaan serbaguna.

Kerja-kerja restorasi

Pada masa itu kebanyakan kenderaan di Amerika masih tidak mempunyai ciri-ciri seperti yang terdapat pada bas mikro Volkswagen. Maka, secara tidak langsung ia menjadi pilihan ramai komuniti Hippie yang bilangannya bertambah ramai.

Tambahan pula semasa itu van Volkswagen terpakai boleh didapati dengan harga yang murah. Sudah tentu komuniti Hippie yang rata-rata tidak bekerja mampu memilikinya. Maka, van itu menjadi mangsa ekspresi golongan tersebut apabila ia dihias dan dicat semula dengan pelbagai gaya dan sentuhan yang sealiran dengan fesyen mereka. Dengan warna-warna terang, van itu dipandang sebagai satu seni moden dan berterusan hingga ke hari ini.

Setelah 50 berlalu, zaman kegemilangan Hippies dan Volkswagen T2 tidak pernah dilupakan. Malah, kerja-kerja restorasi terhadap van itu kian popular kerana eksklusiviti dan keunikannya yang tersendiri. Volkswagon Type 2 keluaran tahun 1972 yang dipaparkan kali ini dipacu oleh enjin berkapasiti 1.6 liter dengan 4 silinder. Semuanya masih berkeadaan asal. Sama ada enjin, sistem transmisi, dalaman dan sebagainya.


SUNTIKAN elemen moden diserapkan ke ruang papan pemuka menerusi unit pemain cakera padat.

Menyingkap tentang model Type 2 T2 itu, ia merupakan sebuah model yang dibina di Jerman sehingga tahun 1979. Kemudian, penghasilannya dipindahkan ke Mexico pada 1970 hingga ke tahun 1994. Bas mikro T2 biasanya digelar sebagai 'Breadloaf' dan 'Bay-window'. Berbanding model T1, T2 berbeza sedikit binaannya terutama jika dilihat pada bahagian tingkap dan saiznya yang sedikit besar. T2 juga memiliki dua versi yang masing-masing diberi kod T2a dan T2b.

Penyerap hentak asal telah digantikan dengan penyerap hentak berjenama SACHS. Ini mungkin bagi membolehkan ia dipandu dengan lebih selesa. Brek jenis cakera telah dipasang dan keempat-empat roda dan dilengkapi dengan pam brek ATE.

Di bahagian dalaman pula tidak banyak yang diubahsuai. Semuanya direstorasi kepada rekaan kilang yang asal. Papan pemuka asli masih dikekalkan dan dicat kemas mengikut spesifikasi asal. Apabila masuk ke dalam van itu, satu meja yang diapit dengan dua baris tempat duduk kelihatan di ruang belakang. Ia membolehkan penumpang bermain catur atau membaca pada waktu lapang.

Mengekalkan reputasinya sebagai sebuah minivan paling berjaya dalam sejarah bukanlah mudah. Kehebatannya sering dibayangi oleh Beetle.

Namun bagi pengikut setia Volkswagen Kombi, kenderaan itu lebih daripada sekadar lambang Volkswagen dan kelas MPV. Ia merupakan ikon kejuruteraan unik abad ke 20 yang tiada tandingannya.