Direka bentuk untuk melengkapi gaya hidup masyarakat kota yang aktif, Volvo V50 2.0 Powershift bukan sahaja sesuai untuk aktiviti riadah, malah mencerminkan kebebasan dan gaya, praktikal serta serba boleh.Presiden Volvo Car Malaysia, Goran Larsson, berkata model wagon lima pintu itu dibekalkan dengan transmisi Powershift baru, menjadikan penggunaan minyak lebih minimum, tetapi berkuasa.
"V50 2.0 Powershift adalah model station wagon yang tiada bandingan. Ia mempunyai kelas, tidak lapuk dek zaman dan dibentuk untuk memenuhi keperluan pembeli yang gemarkan cabaran."Model ini sangat praktikal, serba boleh dan direka untuk tujuan melakukan aktiviti serta kenderaan terbaik bagi mereka yang aktif," katanya.
Transmisi DwiKlac Powershift enam kelajuan V50 dengan 'Geartronic' dan kunci anjakan memberi pembeli lebih nilai wang kerana ia membolehkan pemanduan lebih lancar selain mampu mengurangkan penggunaan minyak sehingga 11 peratus berbanding model asal dijana enjin 2.4L.
"Anda boleh pergi lebih jauh dan membuat pelbagai aktiviti dengan V50 2.0L Powershift terbaru ini.
"Ia satu-satunya keperluan anda, keluarga dan rakan-rakan anda menerusi wagon dengan gaya sport dipertingkatkan dan kemasan premium, ruang kargo luas dan sistem audio berkualiti dengan pemanduan lancar," katanya.
Antara ciri terbaru dimuatkan pada model itu termasuk Sistem Maklumat Bahagian Tidak Kelihatan (BLIS), Pengawalan Cengkaman Kestabilan Dinamik (DSTC), Lampu DwiXenon dan Sistem masuk dan pandu tanpa kunci.
BLIS adalah salah satu ciri keselamatan terkini menggunakan kamera dipasang pada cermin pintu supaya kenderaan lain berada di bahagian tidak kelihatan pada sisi kereta dapat dilihat.
Volvo V50 memaparkan reka bentuk bergaya dengan garisan bumbung melengkung dan bahagian belakang yang tajam manakala bahagian hadapan aerodinamik serta panel sisi cembung menunjukkan kuasa dan menekankan dimensi kompak kereta.Lampu belakang dibentuk memanjang ke atas mengikut reka bentuk Volvo yang moden dan terkini.
Sistem keselamatan lain seperti WHIPS (Sistem Perlindungan Piat), SIPS (Sistem Perlindungan Impak Sisi) dan IC (Tirai Boleh Kembung) adalah ciri standard pada Volvo V50."Volvo mengamalkan pandangan menyeluruh bagi keselamatan yang merangkumi kedua-dua keselamatan pencegahan dan perlindungan.
"Sejajar dengan aspek keselamatan terbaik daripada Volvo, visi kami menjelang 2020 ialah tiada seorang pun yang terbunuh atau tercedera dalam Volvo," kata Larsson.Volvo V50 2.0 Powershift dengan 145 kuasa kuda (hp), empat silinder enam kelajuan didatangkan dalam warna baru, Brilliant Blue berharga RM185,950 (tanpa insurans).
No comments:
Post a Comment