Saturday, February 13, 2010

Kini Giliran Volkswagen tarik kereta


SEJUMLAH kereta Volkswagen Novo Gol dan Voyage diletakkan di luar bilik pameran di Rio de Janeiro kelmarin.

SAO PAULO - Pengeluar kereta kedua terbesar di Brazil selepas Fiat, Volkswagen kelmarin mengumumkan penarikan balik hampir 200,000 unit model Novo Gol dan Voyage yang dikeluarkan di Brazil sebelum Julai 2009 berikutan masalah roda belakang yang mungkin boleh tertanggal.

Pengumuman itu mengikuti proses penarikan balik kenderaan Toyota di seluruh dunia akibat masalah brek dan pedal minyak, selain Honda di Amerika Utara, Jepun, Taiwan dan Australia ke atas model-model yang mengalami kegagalan beg udara.

Di laman webnya, Volkswagen Brazil menyatakan sebanyak 193,620 unit Novo Gol dan Voyage berisiko tidak mempunyai pelinciran yang mencukupi pada roda belakang dan boleh menyebabkan bunyi bising.

Penggunaan secara berterusan boleh menyebabkan roda itu tersekat.

"Dalam kes-kes yang ekstrem, roda itu boleh tercabut," jelas kenyataan tersebut.

"Perlu diingatkan bahawa penarikan ini hanya melibatkan kenderaan yang dikeluarkan di antara tahun 2009 hingga 2010. Kereta yang dibuat selepas Julai tidak mengalami masalah pelinciran ini," kata seorang jurucakap Volkswagen.

Beliau menafikan Volkswagen lambat bertindak.

"Masa diperlukan untuk mengenal pasti masalah. Apa yang lebih penting ialah masalah telah dikenal pasti dan diselesaikan," katanya.

Ia merupakan tindakan kali ketiga Volkswagen menarik kereta keluarannya di Brazil.

Pada April 2008, ia memanggil balik 477,000 unit model kompak Fox kerana berdepan masalah tempat duduk belakang. Sementara pada Disember tahun yang sama, 120,000 unit model lama Fox, Novo Gol dan Voyage diperiksa kerana masalah brek. - AFP

No comments: