Saturday, July 11, 2009

Idam Vios, dapat Myvi

Walaupun Myvi awalnya tidak berada dalam senarai kereta idaman Nora, namun setelah memandu kenderaan itu, dia mengakui banyak kelebihan ada pada jentera Perodua itu.


NORA menganggap keretanya seperti kedai kasut kerana banyak koleksi sepatu yang diletakkan di dalam kereta itu.


WALAUPUN sudah hampir tiga tahun menetap di Kuala Lumpur demi meneruskan kerjaya sebagai anak seni, bekas pelajar rancangan Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Nordawati Daud atau Nora tidak pernah lupa pulang ke kampung halamannya yang terletak di Sandakan, Sabah.

Ada masanya, wanita kecil molek berusia 24 tahun itu akan pulang selama beberapa hari atau seminggu dua untuk mengubat kerinduan kepada keluarga.

Cuma setiap kali dia mengambil keputusan untuk balik sambil berehat seketika di negeri Di Bawah Bayu, maka setiap kali itu jugalah hatinya akan merindui ‘seseorang’ yang ditinggalkan di Kuala Lumpur. Rupa-rupanya, Nora mengaku tidak boleh berpisah dengan kereta miliknya, Perodua Myvi SE yang dibeli sejak setahun lebih yang lalu.

Ingatkan Nora merindui teman lelaki, sebaliknya kereta berwarna putih itu yang membuatkan hatinya tidak keruan apabila mula berjauhan.

Setiap kali meninggalkan kereta tersebut di kediamannya yang terletak di pinggir ibu negara, Nora akan meminta bantuan daripada rakan-rakan untuk memerhati keretanya.


KERETA keluaran Perodua itu kini menjadi kesayangan Nora.


“Sedih sangat kerana saya terpaksa berpisah dengan kereta ini apabila pulang ke kampung. Selalunya, ia berada di depan mata. Tetapi kalau balik kampung, seminggu jugalah tidak memegang sterengnya.

“Bagaimanapun, saya tetap berterima kasih kepada Candy (pelajar AF5) dan rakan-rakan lain yang sanggup menghulurkan bantuan untuk menjaga kereta ini sepanjang ketiadaan saya di Kuala Lumpur,” kata Nora ketika ditemui Kosmo! di Taman Pudu Ulu, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebelum membuat keputusan untuk membeli kereta Perodua Myvi, Nora sudah memasang angan-angan untuk memiliki Toyota Vios, sebuah kereta sedan yang lebih luas fizikal dalamannya.

Memang menjadi idaman Nora untuk memandu Vios, apatah lagi sebelum ini rakan-rakan baiknya dalam kalangan pelajar AF turut memandu kereta Toyota Vios.


RUANG bonet yang luas memikat hati Nora.


“Saya sudah menyediakan bajet untuk membayar wang pendahuluan kereta Vios, tetapi oleh kerana proses menunggunya terlalu lama sehingga beberapa bulan, saya terpaksa memilih kenderaan lain.

“Ketika itu, kereta Perodua Myvi paling mudah dan cepat diperoleh membuatkan saya terdorong untuk terus membeli kereta ini.

“Syukurlah, sebab selepas dapat kereta ini, saya mula berasa selesa dan terpesona dengan kemampuan kereta jenama Malaysia,” katanya sambil memberitahu ruang dalam yang luas adalah kelebihan Myvi.

Toyota: Mendahului pasaran dunia

Kedudukan Toyota hari ini adalah hasil usaha tanpa henti sejak pengasasnya mula membuat lakaran pertama kereta mereka.




TOYOTA Motor Corporation, syarikat yang diasaskan oleh Kiichiro Toyoda ini mengetuk pintu 2009 dengan cukup bersemangat menerusi kejayaan bersejarah automotif dunia, sekali gus meletakkan mereka di tempat pertama selepas runtuhnya empayar automotif terbesar General Motor (GM) dan Chrysler.

Toyota diiktiraf sebagai pembuat kenderaan terbesar dengan rekod jualan hampir 10 juta kenderaan pada 2007 dan 2008.

Namun kejayaan ini bukan datang bergolek. Mereka menanti hampir lapan dekad untuk berada pada peringkat ini, sesuatu yang satu ketika dahulu dianggap amat mustahil.

Apatah lagi syarikat ini terpaksa bangkit selepas Perang Dunia Kedua. Lebih ironik lagi, kilang asal Toyota di Aichi juga terlibat dalam pengeboman sewaktu perang.


MODEL Corolla nyata diterima baik di semua pasaran yang ditembusinya.


Namun ada sesuatu yang menarik apabila anda memperkatakan tentang bangsa dan budaya Jepun. Sebuah kepulauan kecil yang hampir tidak mempunyai sumber asli mampu menguasai sebahagian besar produk konsumer hari ini.

Bangsa yang mempunyai keazaman dan cara kerja yang sangat berbeza. Budaya yang tidak pernah berubah dalam merevolusikan dunia moden, mencakupi segenap aspek kehidupan kita.

Penulis berkesempatan beberapa kali ke Jepun dan secara peribadi amat kagum dengan cara kerja dan sikap mereka. Budaya, disiplin dan cara hidup merekalah yang menjadi tunjang kejayaan setiap syarikat yang kini berkembang di seluruh dunia.




Industri automotif adalah industri kritikal yang berpeluang untuk tumbang dalam seminit jika anda tidak peka dengan keadaan semasa.

Trak tentera

Ia juga industri yang penuh dengan cabaran, strategi, kekangan politik dan juga pengaruh yang dominan. Sejarah telah membuktikannya.

Syarikat-syarikat seperti Alfa, Benz, BMW juga merupakan antara yang telah lama bertapak. Namun akhirnya, penentu kejayaan sesebuah jenama ialah konsumer.

Pengguna juga yang telah meletakkan kejayaan Toyota di tempat pertama pada hari ini. Meskipun GM dilihat seperti tidak mampu digugat, penguasaan model penting seperti Camry di Amerika dan kereta jualan terbaik dunia Corolla adalah bukti bahawa Toyota tidak memerlukan keruntuhan GM untuk memiliki takhta nombor satu.


TOYOTA Prius merupakan model hibrid paling berjaya di dunia.


Malah semenjak 2006, Toyota sudah menghampiri jumlah jualan GM dengan julat kurang dari 100 ribu hingga 10 ribu unit.

Toyota bermula sekitar 1930-an dan menghasilkan kenderaan trak tentera sewaktu perang.

Bagi mengesploitasi sumber yang terhad dan kos yang rendah, trak asal tentera ini hanya dipasangkan dengan satu lampu utama di atas hud.

Perang yang tamat tidak lama selepas itu meletakkan Toyota antara syarikat automotif terawal selain Honda dan Nissan yang mendapat insentif daripada kerajaan untuk membangunkan sektor automotif.

Model komersil Toyota pertama lahir pada 1947 menerusi model yang dikenali sebagai SA. 40 tahun lewat berbanding kereta produksi massa Ford model T.


AKIO TOYODA


Perkembangan sebenar industri automotif Jepun bermula pada penghujung 1970-an sewaktu krisis harga minyak dan ekonomi dunia menyaksikan arus permintaan terhadap segmentasi kenderaan.

Pembeli tidak lagi mementingkan gaya, malah praktikaliti dan ekonomikal menjadi pilihan. Pengeluar kereta Jepun telah bersedia untuk itu kerana mereka telah belajar dari kepayahan pasca perang.

Toyota menghasilkan model-model enjin ekonomikal pada harga jualan yang sangat kompetitif. Era 80-an dan 90-an pula menyaksikan syarikat ini berkembang pesat, memperkenalkan Scion dan Lexus, memiliki Hino dan Daihatsu serta kepentingan dalam Fuji Heavy Industries yang membina Subaru.

Optimis

Sehingga penghujung 90-an, pesaing terdekat Toyota ialah GM yang memiliki Buick, Cadillac, Chevrolet, GMC, Holden, Hummer, Opel, Pontiac, Saab, Saturn, Vauxhall dan Daewoo.

Kedua-dua konglomerat automotif ini saling bersaing merebut pasaran baru. Keupayaan Toyota hari ini turut didorong oleh penguasaan pasaran di Asia yang sebelum ini dipinggirkan GM.

Toyota lebih awal bertapak di China dan Asia Tenggara. Dengan mengambil kira pembangunan Asia yang cukup pesat, jenama Toyota lebih mudah diterima di rantau ini.


TEKNOLOGI enjin Prius menjadi penanda aras terhadap model-model hibrid di pasaran.


Sedangkan GM bertungkus lumus cuba untuk melebarkan empayar. Ketika berada di tangga pertama sekalipun, Toyota tetap unggul dengan budaya perniagaan yang memandang optimis jauh ke hadapan.

Mereka menyedari kepayahan kelembapan ekonomi hari ini, justeru mengambil langkah lebih awal berbanding mana-mana syarikat automotif.

Presiden Toyota baru, Akio Toyoda yang merupakan cucu kepada pengasas Toyota Kiichiro Toyoda, mengambil langkah awal dengan memaksimumkan sistem automasi penuh dalam sektor pengeluaran mereka.

Beliau juga mengambil keputusan mengambil hanya 30 peratus bayaran sebagai CEO pada tahun ini. Nekad untuk untuk memastikan bahawa Toyota akan terus kukuh, beliau mengelak menutup mana-mana kilang pengeluaran mereka dan mendesak kerajaan Jepun memperkenalkan dasar automotif yang mampu menyokong industri automotif secara keseluruhan.

Sukar digugat

Beliau optimis bahawa sektor automotif dan ekonomi akan pulih selewat-lewatnya dalam tempoh dua tahun lalu. Kemudian merebut peluang dengan memenuhi kehendak konsumer.

Era Toyoda dijangka bermulanya dimensi baru dalam lembaran keadaan ekonomi lembap dunia hari ini. Beliau turut dibantu oleh muka-muka baru yang terdiri daripada lima naib presiden eksekutif serta lapan muka baru dalam lembaga pengarah Toyota Motor Corporation.

Bijak mengenali pasaran terpenting Amerika Syarikat (AS), Toyoda melantik semula Yoshimi Inaba yang meninggalkan Toyota pada 2007.

Produk Hybrid terbaik mereka, Prius, terus ditatang dengan mengekalkan ketua juruteranya Takeshi Uchiyamada sebagai naib presiden ekskutif.

Bagaimanapun portfolio Uchiyamada ditukar, daripada seorang yang bertanggungjawab di bahagian pembuatan kepada R&D dan pengurusan produk.

Sehingga hari ini, Prius merupakan sebuah kereta hybrid paling berjaya di dunia. Ia juga menjadi penanda aras terhadap mana-mana kenderaan komersial hybrid yang ada dipasaran.

Toyota sukar untuk digugat. Kedudukan mereka hari ini adalah hasil usaha tanpa henti sejak pengasasnya mula membuat lakaran pertama kereta mereka.

Hari ini, mereka berfikir pantas untuk teknologi 10 tahun akan datang. Kita telah menerima hakikat, bahawa kini Jepun benar-benar mendahului pasaran.

Jika ada sebuah syarikat Jepun lain yang boleh dijadikan contoh, ia adalah Sony.

NGV selamat jika diguna dengan betul

BANGI: “Bukan hendak menyalahi pihak media kerana melaporkan apa yang terjadi, tetapi kami tampil untuk membetulkan keadaan supaya orang ramai terutama pengguna gas asli kenderaan (NGV) tidak berasa risau dan boleh memandu dengan aman.


“Disebabkan terdapat kejadian membabitkan kenderaan NGV yang terbakar, ramai yang membuat spekulasi NGV adalah berbahaya,” kata Pengerusi Persatuan NGV Malaysia (MANGVA), M Suaparmanyam.

Menurutnya, masyarakat perlu diberi pendedahan yang betul mengenai NGV kerana penggunaannya adalah selamat dan jimat, namun beliau tidak dapat menyangkal terdapat pihak yang memasang NGV di bengkel yang tidak diiktiraf menyebabkan berlaku perkara tidak diingini.

“Mengikut statistik, hanya 40,000 kenderaan NGV berdaftar dengan JPJ walhal jumlah yang menggunakannya lebih daripada itu dan kami menasihatkan supaya selebihnya mendaftar serta memeriksa kenderaan mereka di Puspakom.




“Ini penting kerana ada juga yang menggunakan tong gas petroleum cecair (LPG), sedangkan terdapat silinder khas untuk NGV dan orang ramai sepatutnya memahami serta mengambil tahu cara penggunaan NGV yang betul,” katanya pada sidang media bersama MANGVA, semalam.


Katanya, NGV masih alternatif bahan bakar yang paling murah serta selamat digunakan selain memenuhi piawaian tempatan (MS1096) dan antarabangsa (ISO11439).

Sementara itu, MANGVA juga mengeluarkan Pengesan Kebocoran Gas (GLD) sebagai langkah keselamatan iaitu dengan memberi amaran kepada pemandu.

“Alat terbabit berfungsi memberi amaran kepada pemandu sekiranya berlaku sebarang kebocoran gas dan kami menghantar kertas kerja kepada kementerian pengangkutan untuk mewajibkan penggunaan GLD terutama kenderaan NGV.

“Bagaimanapun, kami ingin menekankan sekali lagi NGV selamat digunakan serta mesra alam dan murah (68 sen seliter),” kataya.

Friday, July 10, 2009

‘Kami sahut cabaran’



CERIA...Shahrol (kiri) menyemarakkan semangat Iskandar (dua kiri),
Elly (tengah), Zulfahmi (dua kanan) dan Farid
selepas sidang media memperkenalkan pelumba yang
akan menyertai MotoGP di Sepang.




EMPAT pelumba tempatan yang terpilih secara wildcard untuk membawa cabaran Malaysia di Grand Prix MotoGP di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC), Oktober depan, mahu mencabar kelibat handalan dunia dengan mempamer aksi terbaik di depan penyokong tempatan.

Elly Idzlianizar Ilias, Md Iskandar Raduan, Mohd Farid Ahmad dan Mohd Zulfahmi Khairuddin, terpilih daripada seramai 17 pelumba Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas dan dua daripada Super Siri Malaysia Bikerz Mags 150cc terbabit dalam program pemilihan itu.

Elly dan Iskandar, pelumba Expert beraksi bersama Petronas Sprinta Ah Hong serta Petronas Sprinta Raceline manakala Farid dan Zulfahmi, pelumba Novis Modenas Yuzy Pachi, akan terus berentap bagi mencari siapa paling layak berada pada petak perlumbaan 125cc di Sepang, nanti.

Elly, 25, berkata pemilihan itu memberi semangat baru kepadanya untuk mengembangkan karier ke tahap lebih tinggi pada masa depan.





“Peluang seperti ini sudah pasti menjadi impian mana-mana pelumba dan saya tidak mahu melepaskannya (membawa cabaran Malaysia). Saingan seperti ini memerlukan mentaliti yang tepat, tahap kecergasan tinggi dan mencabar kerana jentera digunakan lebih pantas berbanding Cub Prix,” kata Elly, juara Expert di Kluang dan Melaka musim ini.


Iskandar, 24, pula berkata, banyak kriteria Grand Prix yang perlu dipelajari, tapi tidak akan mengabaikan aspek kecergasan.

“Saya tidak sabar-sabar mahu mencuba jentera Aprilia spesifikasi lumba digunakan pada latihan minggu depan. Buat masa ini, tahap kecergasan perlu ditingkatkan kerana jentera GP lebih mudah mendapatkan kepantasan diharapkan jika pelumba cergas,” katanya yang pernah muncul Wira epg 2005.

Farid, 21, berkata, dia mahu membalas kepercayaan diberikan jurulatih, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.

“Tiga bulan dari sekarang, segala-galanya penting. Saya terharu dipilih memacu jentera GP dan saya mahu memberi aksi terbaik dan mendapatkan tempat bertarung di grid lumba dunia. Piawaian kompetitif menjadikan seseorang pelumba lebih matang,” kata Farid.

Pelumba termuda daripada kuartet itu, Zulfahmi, 18, mahu serius terhadap prospek berlumba dalam kategori 125cc dunia di Sepang.

“Ini bukan peluang mudah dan datang sekali, sama ada melakukannya atau tidak. Diberi pilihan, saya tidak mahu mensia-siakannya dan mengharumkan nama Malaysia di pentas lumba antarabangsa,” kata Zulfahmi.

Sementara itu, Shahrol Yuzy berkata, motosikal digunakan memerlukan sentuhan pelumba berbakat untuk mengendalikannya.

Raikkonen ubah angin





BEKAS juara dunia Formula Satu, Kimi Raikkonen mahu melupakan seketika prestasi hambarnya dalam kejuaraan dunia tahun ini dengan melepaskan geram tampil buat julung kali dalam kejuaraan rali dunia di tanah airnya sendiri pada Rali Finland hujung bulan ini.

Pelumba berusia 29 tahun itu baru-baru ini bertanding dalam tiga perlumbaan kecil di Finland dan Itali dan kini sudah mengesahkan untuk berlumba pada pusingan kesembilan Kejuaraan Rali Dunia (WRC).

Dia akan memandu kereta Fiat Abarth Grande Punto S2000 dengan bantuan jurupandu Kaj Lindstrom, bekas jurupandu juara dunia empat kali, Tommi Makinen.

Perlumbaan rali itu menarik minat 90 penyertaan, satu rekod bagi mana-mana siri WRC tahun ini. Namun adalah jelas kehadiran bintang Finland itu mampu menarik minat penonton menyaksikan perlumbaan pada 30 Julai ini.





Simon Long, bos syarikat promoter WRC, ISC berkata: “Saya sudah katakan sebelum ini WRC dibentuk menerusi wira-wira dan pelumba ikon - dan ia pasti menarik dengan kehadiran Kimi Raikkonen.


“Ia satu berita menakjubkan buat kejuaraan ini dan amat menarik sekali dia akan bertanding pada Rali Finland.”

Lindstrom berkata: “Ia memang selalunya perlumbaan rali yang hebat dan buat Kimi ia pastinya satu pengalaman besar kerana ini adalah kemunculannya buat julung kali. Ia adalah salah satu perlumbaan rali terpantas di dunia dan dua kali ganda jaraknya daripada perlumbaan seperti Rali Artik.

Pendahulu kejuaraan Mikko Hirvonen (58) mempunyai kelebihan satu mata di depan penyandang juara dunia, Sebastian Loeb (57).

Pemandu F1 itu mendapat kebenaran daripada pasukan Ferrari untuk berlumba pada perlumbaan rali itu. Dia akan menggunakan sepenuhnya empat minggu rehat antara Grand Prix Hungary dan Eropah untuk berlumba rali.

Raikkonen sebelum ini pernah bertanding dalam rali musim sejuk di atas salji awal tahun ini dan sebulan lalu dia kali pertama berlumba di atas jalanan apabila keretanya melanggar dinding kerana masalah teknikal.

Bos Ferrari, Stefano Domenicali sebelum ini berkata, pasukannya tidak pernah menghalang pemandu mereka membabitkan diri dalam perlumbaan lain.

“Ini adalah satu pendekatan tradisi kami terhadap pemandu kami,” katanya.

“Kami sering cuba mengambil pendekatan terbuka terhadap apa yang mereka lakukan. Saya anggap ia satu ujian tambahan menguji ketahanan Kimi,” katanya.

Raikkonen memang sudah lama berminat untuk berlumba rali dan pembabitan yang lebih serius menjadi agendanya apabila dia bersara daripada F1 nanti.

“Rali Finland pastinya bukan mudah,” kata Lindstrom. “Perlumbaan yang kami lalui sebelum ini adalah acara kecil, pusingan WRC selama tiga hari lebih panjang dan menyukarkan berbanding acara kecil itu.

“Satu perkara paling sukar buat Kimi adalan kepantasan acara ini. Rali Finland dan jalan yang digunakan adalah pantas, tidak seperti kami lakukan sebelum ini.

“Tapi, perlu diingati, lelaki ini adalah pemandu yang bagus. Dia amat berbakat dan saya pasti dia mampu melakukannya.”

Perubahan Vs Gubahan

Ni ah background blog aku yang baru,
aku mintak tolong dari orang rumah aku ubahkan.
tapi idea dari aku,dia ikut jek...

so amacam!!
cantik ke, ok ke, @ ok ok jek...

apapun bagi aku ni yang terbaik,
kalo tak pun layaaan jek k.




Thursday, July 9, 2009

Super GT Jepun pasti sengit


pelbagai kereta sports yang menjadi kegilaan ramai diubah suai supaya lebih pantas untuk beraksi perlumbaan Super GT Jepun.











JANGAN terkejut jika anda melalui Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini dengan menyaksikan dari luar beberapa kereta lumba touring terutamanya buatan Jepun mempamerkan kehebatan masing-masing. Ia adalah sesi ujian masa untuk perlumbaan Super GT Jepun buat kali ke-10 di Malaysia.

Luangkan sedikit masa untuk menyaksikan perlumbaan sebenar di depan mata esok. Anda bukan sahaja dapat menyaksikan perlumbaan yang sengit tetapi melihat kereta idaman anda yang diubahsuai menjadi kereta lumba touring yang mengagumkan.

Di Jepun perlumbaan ini begitu digilai oleh peminat sukan lumba kereta mereka, bukan sahaja kerana mengambil tahu tentang kereta dan pelumba setiap 33 pasukan dari GT500 dan GT300 tetapi juga ingin melihat lebih dekat setiap gadis litar pasukan masing-masing yang dikenali sebagai GT Queens.

Perlumbaan kali ini adalah yang keempat bagi musim 2009 selepas perlumbaan pusingan ketiga berlangsung di Litar Fuji Speedway Mei lalu dan berada di tangga teratas kedudukan keseluruhan ialah pasukan Kondo Racing yang muncul juara di SIC tahun lalu.

Pasukan Kondo Racing dari GT500 yang menggunakan enjin Nissan His Advan Kondo GT-R membariskan pelumba Joao Paulo Lima de Oliveira bersama pasangan Seiji Ara dilihat bersedia untuk mencatatkan kejuaraan ketiga berturut-turut di SIC.

Bagaimanapun mereka dijangka akan dicabar sengit oleh tiga pasukan yang mengekori rapat dalam kedudukan keseluruhan Lexus Petronas Tom's, Lexus Zent Cerumo dan Autobacs Racing Aguri.

Siapa yang akan menduduki petak utama bakal terjawab hari ini dalam saingan ujian masa. Namun mereka yang berada di kedudukan paling depan tidak semestinya mampu untuk memenangi perlumbaan yang merangkumi 54 pusingan.

Ini telah terbukti dalam perlumbaan tahun lalu di SIC apabila pasukan Nismo yang memulakan perlumbaan di petak depan sekadar berpuas hati di tempat kedua.

Nismo yang membariskan Michael Krumm sebagai pelumba pertamanya di peringkat awal perlumbaan berjaya mengekalkan kedudukan di tempat pertama sehinggalah pertukaran kepada pelumba kedua, Masataka Yanagida pada pusingan ke-27.

Hanya satu pusingan selepas pertukaran itu, Yanagida berjaya dipintas pelumba kedua Autobacs Racing Aguri, Takuya Izawa yang turut menggantikan pelumba pertamanya, Ralph Firman pada pusingan ke-27.

GT Jepun yang mula diperkenalkan pada 1994 oleh Persatuan Grand Touring Car Jepun (JGTCA) ini tidak pernah menunjukkan bilangan kehadiran penonton yang mengecewakan di SIC sebelum ini apabila 50,000 hingga 60,000 bilangan penonton tempatan akan menyaksikan perlumbaan tersebut.

SIC sudah bersedia untuk menganjurkan perlumbaan yang bakal berlangsung sengit ini dengan semua persiapan akhir sudah dijalankan termasuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menempatkan 100 orang anggota termasuk 100 lagi aggota keselamatan dari SIC sendiri.

"Kami menjangkakan 50,000 penonton akan menyaksikan perlumbaan tahun ini dan kami menggunakan pendekatan yang sama seperti penganjuran Formula Satu (F1) sebelum ini," kata Pengurus Sumber Manusia SIC, Fahmi Wahab yang juga bertanggungjawab tentang soal keselamatan.

Jelasnya, penonton perlu mematuhi arahan pihak berkuasa agar kelancaran perlumbaan berlangsung dengan selamat dan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Masalah utama yang dihadapi sejak kebelakangan ini ialah penonton gemar meletak kenderaan di tepi jalan yang berdekatan dengan pintu masuk, Ia akan mewujudkan halangan dan berlakunya kesesakan jalan raya," katanya.

Bagi memeriahkan lagi perlumbaan Super GT Jepun beberapa perlumbaan sokongan akan diadakan antaranya ialaha Formula V6 Asia, GT3 Asia dan Piala Aston Martin Asia.

Selain itu menonton juga akan dapat melihat layanan GT Queens terkenal Sana dan Nana bersama GT Queens yang lain dari pasukan yang mengambil bahagian.

Aktiviti lain yang bakal berlangsung ialah pertunjukkan drift, pameran kereta Super GT Jepun dan persembahan dari kumpulan rock tempatan, Dragon Red.

Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak mereka untuk menyertai Program Berjalan Di Pit selepas sesi ujian masa kedua hari ini dan program percuma ini hanya terhad kepada 1,000 kanak-kanak bersama ibu bapa masing-masing.

Tiket bagi tempat duduk utama bernilai RM100 dan SIC menawarkan pakej istimewa bagi keluarga dengan bayaran RM250 untuk empat ahli keluarga di tempar duduk utama.

Kanak-kanak berusia tujuh tahun ke bawah tidak dikenakan sebarang bayaran manakala pas untuk berjalan di pit pada hari perlumbaan esok dijual dengan harga RM100.