Thursday, July 9, 2009

Super GT Jepun pasti sengit


pelbagai kereta sports yang menjadi kegilaan ramai diubah suai supaya lebih pantas untuk beraksi perlumbaan Super GT Jepun.











JANGAN terkejut jika anda melalui Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini dengan menyaksikan dari luar beberapa kereta lumba touring terutamanya buatan Jepun mempamerkan kehebatan masing-masing. Ia adalah sesi ujian masa untuk perlumbaan Super GT Jepun buat kali ke-10 di Malaysia.

Luangkan sedikit masa untuk menyaksikan perlumbaan sebenar di depan mata esok. Anda bukan sahaja dapat menyaksikan perlumbaan yang sengit tetapi melihat kereta idaman anda yang diubahsuai menjadi kereta lumba touring yang mengagumkan.

Di Jepun perlumbaan ini begitu digilai oleh peminat sukan lumba kereta mereka, bukan sahaja kerana mengambil tahu tentang kereta dan pelumba setiap 33 pasukan dari GT500 dan GT300 tetapi juga ingin melihat lebih dekat setiap gadis litar pasukan masing-masing yang dikenali sebagai GT Queens.

Perlumbaan kali ini adalah yang keempat bagi musim 2009 selepas perlumbaan pusingan ketiga berlangsung di Litar Fuji Speedway Mei lalu dan berada di tangga teratas kedudukan keseluruhan ialah pasukan Kondo Racing yang muncul juara di SIC tahun lalu.

Pasukan Kondo Racing dari GT500 yang menggunakan enjin Nissan His Advan Kondo GT-R membariskan pelumba Joao Paulo Lima de Oliveira bersama pasangan Seiji Ara dilihat bersedia untuk mencatatkan kejuaraan ketiga berturut-turut di SIC.

Bagaimanapun mereka dijangka akan dicabar sengit oleh tiga pasukan yang mengekori rapat dalam kedudukan keseluruhan Lexus Petronas Tom's, Lexus Zent Cerumo dan Autobacs Racing Aguri.

Siapa yang akan menduduki petak utama bakal terjawab hari ini dalam saingan ujian masa. Namun mereka yang berada di kedudukan paling depan tidak semestinya mampu untuk memenangi perlumbaan yang merangkumi 54 pusingan.

Ini telah terbukti dalam perlumbaan tahun lalu di SIC apabila pasukan Nismo yang memulakan perlumbaan di petak depan sekadar berpuas hati di tempat kedua.

Nismo yang membariskan Michael Krumm sebagai pelumba pertamanya di peringkat awal perlumbaan berjaya mengekalkan kedudukan di tempat pertama sehinggalah pertukaran kepada pelumba kedua, Masataka Yanagida pada pusingan ke-27.

Hanya satu pusingan selepas pertukaran itu, Yanagida berjaya dipintas pelumba kedua Autobacs Racing Aguri, Takuya Izawa yang turut menggantikan pelumba pertamanya, Ralph Firman pada pusingan ke-27.

GT Jepun yang mula diperkenalkan pada 1994 oleh Persatuan Grand Touring Car Jepun (JGTCA) ini tidak pernah menunjukkan bilangan kehadiran penonton yang mengecewakan di SIC sebelum ini apabila 50,000 hingga 60,000 bilangan penonton tempatan akan menyaksikan perlumbaan tersebut.

SIC sudah bersedia untuk menganjurkan perlumbaan yang bakal berlangsung sengit ini dengan semua persiapan akhir sudah dijalankan termasuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menempatkan 100 orang anggota termasuk 100 lagi aggota keselamatan dari SIC sendiri.

"Kami menjangkakan 50,000 penonton akan menyaksikan perlumbaan tahun ini dan kami menggunakan pendekatan yang sama seperti penganjuran Formula Satu (F1) sebelum ini," kata Pengurus Sumber Manusia SIC, Fahmi Wahab yang juga bertanggungjawab tentang soal keselamatan.

Jelasnya, penonton perlu mematuhi arahan pihak berkuasa agar kelancaran perlumbaan berlangsung dengan selamat dan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Masalah utama yang dihadapi sejak kebelakangan ini ialah penonton gemar meletak kenderaan di tepi jalan yang berdekatan dengan pintu masuk, Ia akan mewujudkan halangan dan berlakunya kesesakan jalan raya," katanya.

Bagi memeriahkan lagi perlumbaan Super GT Jepun beberapa perlumbaan sokongan akan diadakan antaranya ialaha Formula V6 Asia, GT3 Asia dan Piala Aston Martin Asia.

Selain itu menonton juga akan dapat melihat layanan GT Queens terkenal Sana dan Nana bersama GT Queens yang lain dari pasukan yang mengambil bahagian.

Aktiviti lain yang bakal berlangsung ialah pertunjukkan drift, pameran kereta Super GT Jepun dan persembahan dari kumpulan rock tempatan, Dragon Red.

Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak mereka untuk menyertai Program Berjalan Di Pit selepas sesi ujian masa kedua hari ini dan program percuma ini hanya terhad kepada 1,000 kanak-kanak bersama ibu bapa masing-masing.

Tiket bagi tempat duduk utama bernilai RM100 dan SIC menawarkan pakej istimewa bagi keluarga dengan bayaran RM250 untuk empat ahli keluarga di tempar duduk utama.

Kanak-kanak berusia tujuh tahun ke bawah tidak dikenakan sebarang bayaran manakala pas untuk berjalan di pit pada hari perlumbaan esok dijual dengan harga RM100.

No comments: