Saturday, July 11, 2009

NGV selamat jika diguna dengan betul

BANGI: “Bukan hendak menyalahi pihak media kerana melaporkan apa yang terjadi, tetapi kami tampil untuk membetulkan keadaan supaya orang ramai terutama pengguna gas asli kenderaan (NGV) tidak berasa risau dan boleh memandu dengan aman.


“Disebabkan terdapat kejadian membabitkan kenderaan NGV yang terbakar, ramai yang membuat spekulasi NGV adalah berbahaya,” kata Pengerusi Persatuan NGV Malaysia (MANGVA), M Suaparmanyam.

Menurutnya, masyarakat perlu diberi pendedahan yang betul mengenai NGV kerana penggunaannya adalah selamat dan jimat, namun beliau tidak dapat menyangkal terdapat pihak yang memasang NGV di bengkel yang tidak diiktiraf menyebabkan berlaku perkara tidak diingini.

“Mengikut statistik, hanya 40,000 kenderaan NGV berdaftar dengan JPJ walhal jumlah yang menggunakannya lebih daripada itu dan kami menasihatkan supaya selebihnya mendaftar serta memeriksa kenderaan mereka di Puspakom.




“Ini penting kerana ada juga yang menggunakan tong gas petroleum cecair (LPG), sedangkan terdapat silinder khas untuk NGV dan orang ramai sepatutnya memahami serta mengambil tahu cara penggunaan NGV yang betul,” katanya pada sidang media bersama MANGVA, semalam.


Katanya, NGV masih alternatif bahan bakar yang paling murah serta selamat digunakan selain memenuhi piawaian tempatan (MS1096) dan antarabangsa (ISO11439).

Sementara itu, MANGVA juga mengeluarkan Pengesan Kebocoran Gas (GLD) sebagai langkah keselamatan iaitu dengan memberi amaran kepada pemandu.

“Alat terbabit berfungsi memberi amaran kepada pemandu sekiranya berlaku sebarang kebocoran gas dan kami menghantar kertas kerja kepada kementerian pengangkutan untuk mewajibkan penggunaan GLD terutama kenderaan NGV.

“Bagaimanapun, kami ingin menekankan sekali lagi NGV selamat digunakan serta mesra alam dan murah (68 sen seliter),” kataya.

No comments: