Thursday, July 16, 2009

DuraPlus bakal digilai

TAYAR adalah sebahagian daripada komponen utama sesebuah kenderaan yang diperlukan untuk bergerak selain menjadi satu ciri keselamatan terpenting yang mampu menyelamatkan nyawa pemandu.

Kebanyakan tayar akan hilang ciri cengkamannya apabila tiada penjagaan atau melebihi tempoh ditetapkan walaupun bunga tayar masih elok.Bertindak atas permintaan pengguna, syarikat pengeluar tayar terkenal, Goodyear melancarkan siri tayar terbarunya, DuraPlus yang direka cipta untuk memberikan jarak perbatuan luar biasa di jalan raya Asia.

Jemputan media permotoran untuk menguji tayar berkenaan sejauh lebih 200 kilometer (km) di Bangkok, baru-baru ini, membuktikan tayar berkenaan mampu memberi kepuasan serta nilai wang kepada pengguna.

Ini kerana, Goodyear memberi jaminan tayar baru itu mampu mencapai jarak perbatuan sehingga 100,000 km atau 80 peratus lebih jauh daripada pesaing utamanya.

Naib Presiden Tayar Pengguna Asia Pasifik, Dan Smytka, berkata, Goodyear berjaya menetapkan tahap piawaian baru bagi hayat bunga tayar bagi siri terbaru berkenaan.

"Berteraskan TredLife TechnologyTM yang inovatif, tayar ini menjanjikan jarak perbatuan lebih lama tanpa menjejaskan ciri keselamatan dan prestasi yang menjadi ciri teras semua tayar Goodyear.

"Dalam suasana ekonomi kini, pengguna Asia mahukan nilai yang tiada tandingan. Penyelidikan menyeluruh kami menunjukkan pemandu kenderaan penumpang lebih kecil mahukan hayat bunga tayar yang lebih panjang selain jarak perbatuan lebih jauh," katanya.

Menurutnya, Goodyear DuraPlus membolehkan kenderaan pelanggan dilengkapi tayar paling sesuai untuk memastikan setiap batu dan wang ringgit mereka dimanfaatkan sepenuhnya.

Perjalanan merentasi beberapa permukaan jalan bermula di lebuh raya sehingga berakhir di laluan kampung sebelum bermalam di Kirimaya Resort, Khaoyai, Thailand membuktikan DuraPlus bakal menjadi produk digilai.

DuraPlus dicipta lebih 100 jurutera, ahli fizik, pakar kimia dan pakar penilaian tayar yang bekerja secara terperinci untuk menghasilkan tayar berupaya memberikan peningkatan jarak perbatuan ketara tanpa menjejaskan ciri keselamatan.

Sebelum pelancarannya, jurutera Bahagian Ujian Goodyear sudah menguji DuraPlus di litar syarikat di Mireval, Perancis dan Colmar-Berg, Luxembourg sebelum menggunakannya di jalan raya terbuka di Thailand.

Hasilnya, Goodyear DuraPlus lebih tahan sehingga 80 peratus lebih lama berbanding pesaing lain.

Ujian prestasi berasaskan pengendalian, keselesaan, cengkaman dan ketahanan terhadap olengan juga membuktikan kelebihan DuraPlus.

Ketahanan bunga tayar DuraPlus dibantu TredLife TechnologyTM yang direka cipta berasaskan beberapa inovasi reka bentuk untuk memberikan bunga tayar tahan lebih lama.

Prestasi penggunaan bunga lebih baik bermakna menyediakan getah boleh guna sebanyak mungkin pada tayar dan selepas mengambil kira perkara itu, Goodyear mencipta rongga muka lebar generasi baru yang menghasilkan tapak lebih luas dan keluasan getah boleh guna lebih tinggi yang bersentuhan dengan jalan raya.

Difahamkan, bilangan getah maksimum juga membolehkan sentuhan tayar lebih luas pada jalan raya dan kedalaman permukaan ke lurah yang lebih tinggi juga memberikan lebih banyak getah boleh guna ketika bersentuhan dengan permukaan jalan.

Tambahan lagi, DuraPlus mempunyai sebatian bunga berasaskan karbon supaya tayar mempunyai tahap rintangan lebih tinggi kepada kehausan akibat geseran dan dengan itu melanjutkan hayat bunga tayar dan jarak perbatuan.

DuraPlus menggabungkan reka bentuk rangka baru menggunakan fabrik lebih kuat yang memberikan tahap rintangan lebih rendah kepada putaran tayar, menghasilkan penjimatan minyak lebih tinggi.

Reka bentuk bunga tayar tidak simetri pula meletakkan lebih banyak getah pada bahu luar tayar, memberikan cengkaman lebih tinggi ketika membelok selain tahap pengendalian jitu. Ia turut direka untuk menerapkan ciri terbaru pemanduan lebih senyap dan selesa, seperti bahu luar tertutup bagi bunga tayar tidak simetri dan reka bentuk susunan terkini.

Goodyear DuraPlus dengan Tredlife TechnologyTM boleh didapati dalam saiz 13, 14 dan 15 inci di seluruh gedung Goodyear Servitekar dan Autocare di seluruh negara.

Saiz berkenaan sesuai bagi kebanyakan model Proton (Saga, Iswara, Wira, Persona), Perodua (Kenari, Kancil, Kelisa, Viva), Toyota (Avanza, Unser), Hyundai (Matrix, Accent), Naza Citra dan Honda City.

Mudah jaga motosikal klasik

MEMILIKI motosikal klasik adalah satu hobi yang sangat menarik kerana peminatnya bukan saja dapat menikmati keunikan reka bentuk motosikal mereka miliki malah boleh ditunggang untuk kegunaan harian atau berkonvoi pada hujung minggu.

Hobi ini dikatakan membabitkan kos yang tinggi tetapi bagi mereka yang baru ingin menceburkan diri ke bidang ini, ia tidak akan membabitkan kos tinggi jika pemilihan teliti dilakukan.

Sebagai ahli yang baru menceburi arena berkenaan, pemilihan model motosikal adalah penting kerana ia bukan disebabkan faktor kos semata-mata tetapi faktor pengendalian.

Motosikal keluaran 1960-an lebih mudah dikendalikan kerana ia menggunakan teknologi lebih moden.

Sistem elektrik menggunakan altenator dan bateri, bukan seperti model terdahulu yang menggunakan magneto dan dynamo.

Magneto dan dynamo memerlukan penyelenggaraan rumit selain pemilik juga perlu mahir melakukan pelarasan sendiri secara advance dan retard ketika sedang menunggang motosikal mereka.

Hampir semua motosikal klasik keluaran sebelum 1940-an menggunakan sistem berkenaan.

Kelebihan menggunakan sistem magneto ialah motosikal boleh digerakkan tanpa perlu menggunakan kuasa bateri.

Rupa bentuk motosikal klasik menjadi perhatian utama ketika mahu menjadi peminat setia di mana lebih pelik keadaan motosikal itu, lebih ramai yang mengaguminya.

Terdapat beberapa reka bentuk kerangka yang digunakan oleh motosikal klasik iaitu rigid, plunger dan swing arm (lengan ayun) manakala reka bentuk fork pula ialah earls fork, girdle fork, springer, leaf spring dan teleskopik.

Kerangka yang menggunakan sistem rigid biasanya digunakan motosikal keluaran sebelum 1950-an dan ia tidak mempunyai sebarang penyerap hentak pada bahagian belakang.

Hanya spring yang terdapat pada pelana yang bertindak sebagai penyerap hentak. Ini jelas boleh dilihat menerusi model Triumph yang menghasilkan hub spring unik untuk motosikal rigid mereka.

Fork terawal adalah daripada jenis girdle fork, springer fork dan leaf spring.

Girdle fork biasanya digunakan motosikal keluaran British bermula pada awal kurun ke-20 iaitu 1900 sehinggalah 1940-an manakala springer fork lebih banyak digunakan motosikal buatan Amerika seperti Harley Davidson.

Penunggang yang mahu menceburi bidang motosikal klasik ini digalakkan supaya memilih jentera dari 1960 ke atas.

Ini kerana, motosikal selepas tahun 60-an menawarkan pengendalian lebih mudah kerana menggunakan kerangka lengan ayun dan fork teleskopik selain penyelenggaraan rendah.

Antara model motosikal sesuai dijadikan motosikal pertama ialah BSA C15 250cc, Triumph Tiger Cub 200cc, Norton Model 50 350cc, BSA BB31 350cc dan AJS Model 16 350cc.

Bagi mereka yang mahukan motosikal klasik lebih berkuasa, pilihan seperti Norton Model 88 500cc, Norton Model 99 600cc, Triumph Speed Twin 500cc, Triumph Tiger 100 500cc, Triumph Thunderbird 650cc, Norton Atlas 750cc, Triumph T140 750cc, Ariel Square 4 1000cc amat sesuai.

Berkenaan harga, kebanyakan model ini berharga lebih RM20,000 bergantung kepada keadaan dan penyelenggaraan yang diperlukan untuk memastikan motosikal ini terus meluncur laju di jalan raya.

Kembali rebut pasaran




SUATU ketika dulu, jentera Ford seperti model Laser dan Telstar sangat popular sehinggakan ia mudah kelihatan di jalan raya.

Kini, jenama Ford kembali lagi apabila pengedar dan pengimport jenama berkenaan, AutoConnexion Sdn Bhd melancarkan model sedan terbarunya, Focus Ghia Sedan.


Peluang memandu uji jentera berkenaan memberi pengalaman baru kepada penulis terutama susun atur dan ruang dalamannya yang menampilkan identiti asli kereta buatan Eropah.

Model pertama yang diperkenalkan pada 2005 itu kini dipertingkatkan lagi dengan beberapa ciri luaran terbaru menjadikannya lebih segar dan berdaya saing.

Ford Focus Ghia sedan ini mengutamakan keselesaan dan keluasan ruang bagasi maksimum. Oleh itu, tidak hairanlah Ford mensasarkan kepada golongan berkeluarga.

Bagi mereka yang masih bujang, pastinya model Focus Sport Hatchback menjadi pilihan.

Dibekalkan dengan enjin Duratec 1-4 DOHC berkuasa 2.0L, model terbaru ini mempunyai imbangan kuasa dan berat yang boleh dikatakan stabil.

Ini kerana, Ghia sedan mempunyai panjang 4,337 milimeter (mm) dan selebar 2,019 mm, sesuai untuk lima penumpang dewasa menempuh perjalanan jauh lebih selesa.

Selain rekaan gril bersama lampu hadapan terbaru, Ghia sedan turut disuntik elemen keselamatan terkini seperti kerangka lebih keras dan jitu.

Ruang dalamannya dihiasi dengan latar belakang warna krim (biege) sebagai latar. Papan pemuka memperlihatkan ciri Eropah dengan ciri berkotak dengan kemasan kayu.

Konsol tengahnya pula dipadankan dengan beberapa butang dan tombol untuk mengendalikan sistem audio dan aksesori lainnya.

Memandu kereta ini sangat mudah dan santai. Penulis tidak perlu bimbang mengenai kuasanya yang sentiasa bersedia ketika mengharungi bukit atau memecut di jalan lurus.

Ketahanan enjin Ford sudah terbukti dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang diraih saban tahun.

Pedal minyak cukup responsif dan enjin sentiasa memberi tindak balas yang diperlukan sementara stereng berkuasa hidrolik elektrik (EHPAS) memastikan berat dan kelajuan kenderaan diseimbangkan secara automatik.

Ini bermakna, semakin laju kenderaan ini dipandu, stereng terasa lebih berat dan stabil.

Penumpang belakang juga dibekalkan dengan unit penyaman udara yang terletak di ruang belakang pada konsol tengah, menjadikan hawa dingin sampai ke kerusi baris kedua lebih cepat.

Model ini juga dibekalkan sistem pemain cakera padat dengan enam penukar terbina dan dihubungkan melalui enam pembesar suara berkualiti.

Satu keistimewaan atau unik bagi model terbaru ini adalah cara membuka bonet hadapan.

Kebiasaan kereta mempunyai tuil atau butang khas di bahagian dalam untuk membuka bonet hadapan tetapi model ini memerlukan pemandu keluar ke bahagian hadapan, pusing dan alihkan logo Ford pada gril.

Masukkan kunci pada slot berkenaan pemandu perlu membukanya secara manual.

Sistem suspensi topang MacPherson pada bahagian hadapan dan Control Blade Multi-Link dengan Anti Roll Bar menjadikan pemanduan lebih santai dan selesa.

Malah, sistem imbangan juga beroperasi cemerlang mengawal kestabilan kereta ketika mengambil selekoh.

Ruang menyimpan barangan pada but belakang cukup luas untuk memuatkan empat beg besar dan barang lain.

Secara keseluruhannya, Ford Focus Ghia sesuai sebagai kenderaan keluarga yang lengkap daripada segenap aspek keperluan.

Berharga RM111,888 dan diimport sepenuhnya, model ini berbaloi untuk dimiliki.

SPESIFIKASI

Ford Focus Ghia 2.0

Enjin: 1-4, DOHC, 1,999cc

Kuasa maksimum: 143hp pada 6,000rpm

Tork maksimum: 185Nm pada 4,500rpm

Transmisi: Automatik empat kelajuan dengan Sequential Sport Shift

Ciri-ciri keselamatan: ABS, beg udara, tali keledar ELR

Harga: RM111,888 (tanpa insurans)

Tayar yang dicadangkan: SportContact-1 205/55R16 91V

Monday, July 13, 2009

Webber tamatkan badi


WEBBER (tengah) bangga berdiri di podium utama selepas menjuarai perlumbaan GP Jerman di Litar Nurburgring semalam.


JERMAN - Selepas lapan tahun, pemandu Red Bull, Mark Webber akhirnya meraih kejuaraan sulungnya dalam perlumbaan Formula Satu (F1) semalam.

Pemandu Australia itu mengetuai rakan sepasukannya, Sebastian Vettel untuk menghadiahkan kemenangan 1-2 buat Red Bull pada Grand Prix (GP) Jerman di Litar Nurburgring.

Lebih membanggakan, ia juga merupakan kejuaraan pertama buat negaranya sejak kali terakhir Alan Jones muncul juara di Las Vegas buat pasukan Williams pada tahun 1981.

Webber yang beraksi dalam perlumbaan ke-130, memulakan saingan di petak pertama tetapi dikenakan penalti memandu di laluan pit selepas terlibat dengan kemalangan pada pusingan pertama.

Begitupun, pelumba berusia 32 tahun dari Queanbeyan, New South Wales itu berjaya bangkit untuk muncul juara dengan catatan masa satu jam 36 minit, 43.310 saat, 9.3s di hadapan Vettel.

"Ini merupakan hari yang cukup bermakna buat saya. Saya memang terlalu ingin untuk meraih kemenangan," kata pemandu berusia 32 tahun itu.

Pemandu Brazil, Felipe Massa pula meraih kejayaan podium pertamanya dan juga buat pasukan Ferrari musim ini dengan menduduki tempat ketiga sementara pemandu Williams, Nico Rosberg menduduki tempat keempat.

Pendahulu keseluruhan, Jenson Button dari pasukan Brawn GP pula menamatkan perlumbaan di tempat kelima diikuti rakan sepasu- kannya, Rubens Barrichello.

Sementara itu, juara dunia, Lewis Hamilton terus malang apabila menduduki tempat ke-18 dan terakhir selepas terlibat dalam kemalangan dengan Webber di awal perlumbaan.

Selepas perlumbaan kesembilan dalam kalendar F1 2009 semalam, Button kekal di tangga teratas dengan mengumpul 68 mata.

Vettel pula yang telah memenangi dua perlumbaan musim ini melonjak ke tangga kedua dengan memperoleh 47 mata diikuti Webber (45.5) dan Barrichello (44). - AP



NGV lebih selamat daripada petrol, diesel


KERATAN Kosmo! 11 Julai 2009.


KUALA LUMPUR - Jika Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) menyifatkan kenderaan gas asli (NGV) seperti 'peluru berpandu bergerak dengan bom', persatuan pengguna gas itu pula bangkit dengan dakwaan bahawa kenderaan mereka lebih selamat berbanding petrol atau diesel.

Malah, jika berlaku insiden tong NGV bocor, tidak akan berlaku letupan kerana gas itu lebih mudah meresap ke udara pada waktu kemalangan.

Presiden Persatuan NGV Malaysia (Mangva), M. Suaparmanyam berkata, WECAM cuba memesongkan tanggapan umum dengan memberikan fakta yang bukan sahaja tidak tepat tetapi menakutkan orang ramai.

Katanya, tangki silinder NGV bukan jenis mudah bocor dan meletup seperti tong gas memasak.

"Tangki silinder NGV tahan sehingga 15 tahun sebelum ditukar baru," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas amaran WECAM Sabtu lalu mengenai risiko kenderaan yang menggunakan tong NGV yang dipasang di bengkel-bengkel tidak bertauliah.

Sunday, July 12, 2009

Webber lakar sejarah tersendiri




NUERBURGRING, Jerman - Pemandu Red Bull, Mark Webber melakar sejarah tersendiri apabila meraih petak hadapan buat kali pertama pada perlumbaan kereta Formula Satu (F1).

Semalam Webber mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Jerman, sekali gus membolehkan dia bermula di petak hadapan pada perlumbaan akhir hari ini.

Webber memperoleh petak utama sulung sepanjang kariernya itu selepas mencatat masa satu minit dan 32.23 saat di Litar Nuerburgring.

Dua pemandu Brawn GP, Rubens Barrichello dan Jenson Button pula masing-masing akan bermula di petak kedua dan ketiga.

Mengulas kejayaannya meraih petak hadapan, Webber berkata, dia masih memburu kemenangan sulungnya selepas mengharungi 132 perlumbaan GP sejak menyertai F1.

"Saya kini berada di kedudukan terbaik untuk melakukannya. Perlumbaan yang bosan boleh menjadi menarik bagi saya," kata Webber.

Perlumbaan 60 pusingan hari ini diramal bakal berlangsung dalam cuaca hujan dengan suhu rendah sekitar 12 darjah celsius dan ia pasti menyukarkan para pemandu mengawal jentera masing-masing di atas litar yang kurang mencengkam.

"Sudah tentu ia bukan tayar yang sesuai kami gunakan untuk suhu litar ini. Tiada siapa menjangkakan suhu serendah ini," jelas Webber.

Perlumbaan hari ini juga bakal menyaksikan peluang pesaing lain untuk merapatkan jurang dengan pendahulu keseluruhan, Button yang kini mengumpul 64 mata diikuti Barrichello (41) mata, pemandu Red Bull, Sebastian Vettel (39) dan Webber (35.5).

"Jika perlumbaan sebenar nanti serumit sesi kelayakan, kamu pasti akan cuba berlumba untuk menamatkan perlumbaan saja," kata Barrichello.

Button pula menambah: "Sesi kelayakan ini sesuatu yang gila. Apa saja boleh terjadi dengan cuaca sebegini."

Jentera McLaren yang dipertingkatkan juga telah membantu juara bertahan, Lewis Hamilton bermula di petak kelima diikuti rakan sepasukannya, Heikki Kovalainen di petak keenam. - AP

Saturday, July 11, 2009

Faktor pertimbangan sebelum beli kenderaan

Industri automotif adalah perniagaan mencabar dengan banyak model terbaru dilancarkan setiap bulan oleh pengeluar kenderaan dunia.

Situasi berkenaan mungkin memberi kebaikan berikutan pelbagai model berada di pasaran, tetapi ia juga boleh memberi persepsi negatif kepada pembeli terutama apabila kenderaan baru itu tidak memberi lebih nilai kepada wang.

Sebelum membuat keputusan membeli kenderaan, pembeli perlu mendapatkan maklumat penuh mengenai kenderaan dihajati.

Ini kerana pembelian kereta mungkin menjadi pelaburan kedua terbesar dalam hidup dan pastinya pembeli mahukan pembelian berkenaan sesuatu yang berbaloi.

Jadi, kenderaan apakah yang dimahukan pembeli? Kenderaan sebagai ikon cara hidup pembeli.

Pertama, apa tujuan utama anda membeli kenderaan? Tanya diri mengenai kegunaan kenderaan itu, sama ada untuk perjalanan sekitar bandar raya atau kerap menggunakannya untuk perjalanan jauh berkaitan kerjaya atau menjadikannya kenderaan lebih selesa untuk seisi keluarga.

Kenderaan yang hendak dibeli pasti memenuhi kegunaan kenderaan itu sendiri dan kini terdapat pelbagai model terdiri daripada sedan, sedan sport, kompak, hatchback, kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan sport utiliti (SUV) atau trak pikap.

Mampukah saya memilikinya?

Kemampuan adalah faktor utama diambil kira ketika mahu membeli kenderaan. Biasanya kemampuan akan melebihi tarikan kereta diminati.

Faktor utama perlu diambil kira termasuk bayaran bulanan, kos penyelenggaraan, insurans, cukai jalan, kos bahan api mahupun nilai jualan balik.

Kebanyakan rakyat negara ini membelanjakan 30 peratus daripada gajinya untuk membayar ansuran bulanan kenderaan.

Penyelesaiannya mudah, bakal pembeli perlu menyenaraikan harga kenderaan sesuai dengan kemampuan mereka.

Kenderaan paling murah di negara ini berharga sekitar RM25,000 manakala termahal setinggi RM1.5 juta seunit.

Jenama

Jenama memainkan peranan penting ketika pembeli mahu membeli kereta. Tambahan pula kereta sesuai berada pada jenama yang diminati. Pengulas automotif bebas, Paul Tan menyatakan jenama yang menawarkan produk berkualiti pasti akan mendapat perhatian ramai.

Teknologi

Kebanyakan pengeluar kereta sentiasa memperkenalkan beberapa teknologi baru dalam masa beberapa tahun dalam produknya seperti reka bentuk, prestasi dan ciri keselamatan.

Beberapa perkara mengenai kenderaan yang perlu diketahui.

Kuasa - Digambarkan dengan liter (L) atau sesaran (cc). Ia adalah kuasa enjin di mana lebih besar enjinnya, lebih kuasa pecutannya.

Tork (Nm) - Tork adalah kuasa yang diperlukan untuk menggerakkan kereta kepada kelajuan yang dikehendaki. Semakin tinggi kuasa tork, semakin cepat kenderaan bergerak.

RPM (revolutions per minute, or revs) - RPM merujuk kepada kelajuan enjin atau berapa kuat daya kuasa enjin diperlukan untuk meningkatkan tork.

Kenderaan terbaik adalah kenderaan yang menawarkan RPM rendah, tetapi daya tork tinggi.

Kuasa kuda (hp) - Kuasa maksimum yang dihasilkan enjin. Semakin tinggi kuasa kuda, semakin tinggi prestasinya.

Keselamatan

Dalam soal keselamatan, kenderaan terkini memerlukan sekurang-kurangnya beg udara dan sistem brek antikekunci (ABS).

Kenderaan yang dilengkapi teknologi seperti bantuan kestabilan kenderaan (VSA) atau 'traction control' dan beg udara sisi adalah satu bonus.

VSA adalah satu sistem di mana ia membantu mengawal gelinciran roda akibat jalan licin atau tumpahan minyak di jalan raya.

Kerangka kukuh seperti teknologi G-Con yang terbukti dalam ujian pelanggaran berupaya menyerap impak rempuhan daripada menerjah masuk ke dalam ruang kabin.

Teknologi ini berjaya mengurangkan risiko kecederaan serius kepada pemandu dan penumpang.

Keputusan ujian boleh diperoleh melalui National Organization for Automotive Safety & Victims Aid Japan (www.nasva.go.jp), Euro NCAP (www.euroncap.com) dan Insurance Institute for Highway Safety (IIHS) (www.iihs.org).

Semua badan bebas ini sudah melakukan ujian terhadap semua jenis kenderaan yang dipasarkan di seluruh dunia.

Melawat Ruang Pameran

Melawat ke beberapa pusat pameran kereta membolehkan pembeli menilai sendiri kenderaan diminati.

Antaranya kelegaan ruang kepala dan kaki, kesesuaian stereng, kerusi pemandu, pemanduan, keluasan ruang penyimpanan dan keistimewaan lain.

Pelbagai ciri ini menjadi sangat penting dalam melengkapkan keperluan kereta itu sendiri. Ruang duduk dan simpanan barang menjadi faktor utama termasuk kerusi belakang boleh dibaringkan memberi kelebihan kepada penumpang.

Penggunaan Bahan Api

Keadaan ekonomi semasa tidak menentu menjadikan tahap penggunaan bahan api sangat penting ketika memilih kenderaan.

Kombinasi antara penggunaan gear, teknologi enjin dan faktor aerodinamik banyak membantu tahap penggunaan bahan api bagi kenderaan.

Menurut Paul, ramai beranggapan bahawa transmisi automatik dan enjin prestasi tinggi menggunakan bahan api yang tinggi sedangkan perkara itu tidak lagi relevan waktu ini.

"Kehadiran beberapa teknologi terkini seperti i-VTEC menawarkan prestasi mengagumkan dengan kuasa tork lebih tinggi, tetapi julat RPM rendah.

Mesra Alam

Gas ekzos adalah penyumbang terbesar pemanasan global. Teknologi hibrid berjaya mengurangkan tahap pencemaran yang disebabkan oleh pembakaran bahan api.

Teknologi hibrid biasanya menggunakan dua atau lebih kuasa alternatif bagi menggerakkan kenderaan sama ada kombinasi (petrol atau diesel) dan elektrik.

Kenderaan menggunakan kurang bahan bakar lebih mesra alam dan menjimatkan.

Menurut Tan, kereta hibrid yang menggunakan elektrik menawarkan kuasa tambahan kepada enjin. Sebagai contoh, kenderaan hibrid berkuasa 1.3L mempunyai kuasa seperti kenderaan berkuasa 1.8L.

"Honda adalah satu-satunya pengeluar kereta yang menawarkan kenderaan teknologi hibrid di Malaysia," katanya.

Nilai Jualan Balik

Kebanyakan pembeli bimbang mengenai nilai jualan balik kecuali mereka yang mahu menggunakan kenderaan terbabit sepanjang hayat.

Faktor seperti jenama, populariti, permintaan dan perkhidmatan selepas jualan mampu mengekalkan harga jualan balik lebih tinggi dan mampu mengurangkan kerugian pembeli.

Pandu Uji

Perkara terbaik adalah dengan memandu uji kenderaan dikehendaki sebelum membuat keputusan membeli. Faktor seperti kepuasan pemanduan, kawalan, keselesaan dan kualiti menjadi petunjuk model sesuai.

Kebanyakan model menawarkan keluasan dan harga hampir sama, tetapi ia hanya boleh dipastikan keselesaannya selepas melakukan pandu uji.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web www.smartwheels.com.my yang boleh membantu pembeli memilih kenderaan sesuai melalui tip dan maklumat terkini.

Malah, perunding bebas juga bersedia menjawab segala kemusykilan anda. Inisiatif ini dibawakan khas oleh Honda Malaysia.

Sekiranya anda memerlukan buku panduan, kunjungi mana-mana bilik pameran Honda berdekatan.