MEMILIKI motosikal klasik adalah satu hobi yang sangat menarik kerana peminatnya bukan saja dapat menikmati keunikan reka bentuk motosikal mereka miliki malah boleh ditunggang untuk kegunaan harian atau berkonvoi pada hujung minggu.
Hobi ini dikatakan membabitkan kos yang tinggi tetapi bagi mereka yang baru ingin menceburkan diri ke bidang ini, ia tidak akan membabitkan kos tinggi jika pemilihan teliti dilakukan.
Sebagai ahli yang baru menceburi arena berkenaan, pemilihan model motosikal adalah penting kerana ia bukan disebabkan faktor kos semata-mata tetapi faktor pengendalian.
Motosikal keluaran 1960-an lebih mudah dikendalikan kerana ia menggunakan teknologi lebih moden.
Sistem elektrik menggunakan altenator dan bateri, bukan seperti model terdahulu yang menggunakan magneto dan dynamo.
Magneto dan dynamo memerlukan penyelenggaraan rumit selain pemilik juga perlu mahir melakukan pelarasan sendiri secara advance dan retard ketika sedang menunggang motosikal mereka.
Hampir semua motosikal klasik keluaran sebelum 1940-an menggunakan sistem berkenaan.
Kelebihan menggunakan sistem magneto ialah motosikal boleh digerakkan tanpa perlu menggunakan kuasa bateri.
Rupa bentuk motosikal klasik menjadi perhatian utama ketika mahu menjadi peminat setia di mana lebih pelik keadaan motosikal itu, lebih ramai yang mengaguminya.
Terdapat beberapa reka bentuk kerangka yang digunakan oleh motosikal klasik iaitu rigid, plunger dan swing arm (lengan ayun) manakala reka bentuk fork pula ialah earls fork, girdle fork, springer, leaf spring dan teleskopik.
Kerangka yang menggunakan sistem rigid biasanya digunakan motosikal keluaran sebelum 1950-an dan ia tidak mempunyai sebarang penyerap hentak pada bahagian belakang.
Hanya spring yang terdapat pada pelana yang bertindak sebagai penyerap hentak. Ini jelas boleh dilihat menerusi model Triumph yang menghasilkan hub spring unik untuk motosikal rigid mereka.
Fork terawal adalah daripada jenis girdle fork, springer fork dan leaf spring.
Girdle fork biasanya digunakan motosikal keluaran British bermula pada awal kurun ke-20 iaitu 1900 sehinggalah 1940-an manakala springer fork lebih banyak digunakan motosikal buatan Amerika seperti Harley Davidson.
Penunggang yang mahu menceburi bidang motosikal klasik ini digalakkan supaya memilih jentera dari 1960 ke atas.
Ini kerana, motosikal selepas tahun 60-an menawarkan pengendalian lebih mudah kerana menggunakan kerangka lengan ayun dan fork teleskopik selain penyelenggaraan rendah.
Antara model motosikal sesuai dijadikan motosikal pertama ialah BSA C15 250cc, Triumph Tiger Cub 200cc, Norton Model 50 350cc, BSA BB31 350cc dan AJS Model 16 350cc.
Bagi mereka yang mahukan motosikal klasik lebih berkuasa, pilihan seperti Norton Model 88 500cc, Norton Model 99 600cc, Triumph Speed Twin 500cc, Triumph Tiger 100 500cc, Triumph Thunderbird 650cc, Norton Atlas 750cc, Triumph T140 750cc, Ariel Square 4 1000cc amat sesuai.
Berkenaan harga, kebanyakan model ini berharga lebih RM20,000 bergantung kepada keadaan dan penyelenggaraan yang diperlukan untuk memastikan motosikal ini terus meluncur laju di jalan raya.
No comments:
Post a Comment