TAYAR adalah sebahagian daripada komponen utama sesebuah kenderaan yang diperlukan untuk bergerak selain menjadi satu ciri keselamatan terpenting yang mampu menyelamatkan nyawa pemandu.
Kebanyakan tayar akan hilang ciri cengkamannya apabila tiada penjagaan atau melebihi tempoh ditetapkan walaupun bunga tayar masih elok.Bertindak atas permintaan pengguna, syarikat pengeluar tayar terkenal, Goodyear melancarkan siri tayar terbarunya, DuraPlus yang direka cipta untuk memberikan jarak perbatuan luar biasa di jalan raya Asia.
Jemputan media permotoran untuk menguji tayar berkenaan sejauh lebih 200 kilometer (km) di Bangkok, baru-baru ini, membuktikan tayar berkenaan mampu memberi kepuasan serta nilai wang kepada pengguna.
Ini kerana, Goodyear memberi jaminan tayar baru itu mampu mencapai jarak perbatuan sehingga 100,000 km atau 80 peratus lebih jauh daripada pesaing utamanya.
Naib Presiden Tayar Pengguna Asia Pasifik, Dan Smytka, berkata, Goodyear berjaya menetapkan tahap piawaian baru bagi hayat bunga tayar bagi siri terbaru berkenaan.
"Berteraskan TredLife TechnologyTM yang inovatif, tayar ini menjanjikan jarak perbatuan lebih lama tanpa menjejaskan ciri keselamatan dan prestasi yang menjadi ciri teras semua tayar Goodyear.
"Dalam suasana ekonomi kini, pengguna Asia mahukan nilai yang tiada tandingan. Penyelidikan menyeluruh kami menunjukkan pemandu kenderaan penumpang lebih kecil mahukan hayat bunga tayar yang lebih panjang selain jarak perbatuan lebih jauh," katanya.
Menurutnya, Goodyear DuraPlus membolehkan kenderaan pelanggan dilengkapi tayar paling sesuai untuk memastikan setiap batu dan wang ringgit mereka dimanfaatkan sepenuhnya.
Perjalanan merentasi beberapa permukaan jalan bermula di lebuh raya sehingga berakhir di laluan kampung sebelum bermalam di Kirimaya Resort, Khaoyai, Thailand membuktikan DuraPlus bakal menjadi produk digilai.
DuraPlus dicipta lebih 100 jurutera, ahli fizik, pakar kimia dan pakar penilaian tayar yang bekerja secara terperinci untuk menghasilkan tayar berupaya memberikan peningkatan jarak perbatuan ketara tanpa menjejaskan ciri keselamatan.
Sebelum pelancarannya, jurutera Bahagian Ujian Goodyear sudah menguji DuraPlus di litar syarikat di Mireval, Perancis dan Colmar-Berg, Luxembourg sebelum menggunakannya di jalan raya terbuka di Thailand.
Hasilnya, Goodyear DuraPlus lebih tahan sehingga 80 peratus lebih lama berbanding pesaing lain.
Ujian prestasi berasaskan pengendalian, keselesaan, cengkaman dan ketahanan terhadap olengan juga membuktikan kelebihan DuraPlus.
Ketahanan bunga tayar DuraPlus dibantu TredLife TechnologyTM yang direka cipta berasaskan beberapa inovasi reka bentuk untuk memberikan bunga tayar tahan lebih lama.
Prestasi penggunaan bunga lebih baik bermakna menyediakan getah boleh guna sebanyak mungkin pada tayar dan selepas mengambil kira perkara itu, Goodyear mencipta rongga muka lebar generasi baru yang menghasilkan tapak lebih luas dan keluasan getah boleh guna lebih tinggi yang bersentuhan dengan jalan raya.
Difahamkan, bilangan getah maksimum juga membolehkan sentuhan tayar lebih luas pada jalan raya dan kedalaman permukaan ke lurah yang lebih tinggi juga memberikan lebih banyak getah boleh guna ketika bersentuhan dengan permukaan jalan.
Tambahan lagi, DuraPlus mempunyai sebatian bunga berasaskan karbon supaya tayar mempunyai tahap rintangan lebih tinggi kepada kehausan akibat geseran dan dengan itu melanjutkan hayat bunga tayar dan jarak perbatuan.
DuraPlus menggabungkan reka bentuk rangka baru menggunakan fabrik lebih kuat yang memberikan tahap rintangan lebih rendah kepada putaran tayar, menghasilkan penjimatan minyak lebih tinggi.
Reka bentuk bunga tayar tidak simetri pula meletakkan lebih banyak getah pada bahu luar tayar, memberikan cengkaman lebih tinggi ketika membelok selain tahap pengendalian jitu. Ia turut direka untuk menerapkan ciri terbaru pemanduan lebih senyap dan selesa, seperti bahu luar tertutup bagi bunga tayar tidak simetri dan reka bentuk susunan terkini.
Goodyear DuraPlus dengan Tredlife TechnologyTM boleh didapati dalam saiz 13, 14 dan 15 inci di seluruh gedung Goodyear Servitekar dan Autocare di seluruh negara.
Saiz berkenaan sesuai bagi kebanyakan model Proton (Saga, Iswara, Wira, Persona), Perodua (Kenari, Kancil, Kelisa, Viva), Toyota (Avanza, Unser), Hyundai (Matrix, Accent), Naza Citra dan Honda City.
No comments:
Post a Comment