JERMAN - Selepas lapan tahun, pemandu Red Bull, Mark Webber akhirnya meraih kejuaraan sulungnya dalam perlumbaan Formula Satu (F1) semalam.
Pemandu Australia itu mengetuai rakan sepasukannya, Sebastian Vettel untuk menghadiahkan kemenangan 1-2 buat Red Bull pada Grand Prix (GP) Jerman di Litar Nurburgring.
Lebih membanggakan, ia juga merupakan kejuaraan pertama buat negaranya sejak kali terakhir Alan Jones muncul juara di Las Vegas buat pasukan Williams pada tahun 1981.
Webber yang beraksi dalam perlumbaan ke-130, memulakan saingan di petak pertama tetapi dikenakan penalti memandu di laluan pit selepas terlibat dengan kemalangan pada pusingan pertama.
Begitupun, pelumba berusia 32 tahun dari Queanbeyan, New South Wales itu berjaya bangkit untuk muncul juara dengan catatan masa satu jam 36 minit, 43.310 saat, 9.3s di hadapan Vettel.
"Ini merupakan hari yang cukup bermakna buat saya. Saya memang terlalu ingin untuk meraih kemenangan," kata pemandu berusia 32 tahun itu.
Pemandu Brazil, Felipe Massa pula meraih kejayaan podium pertamanya dan juga buat pasukan Ferrari musim ini dengan menduduki tempat ketiga sementara pemandu Williams, Nico Rosberg menduduki tempat keempat.
Pendahulu keseluruhan, Jenson Button dari pasukan Brawn GP pula menamatkan perlumbaan di tempat kelima diikuti rakan sepasu- kannya, Rubens Barrichello.
Sementara itu, juara dunia, Lewis Hamilton terus malang apabila menduduki tempat ke-18 dan terakhir selepas terlibat dalam kemalangan dengan Webber di awal perlumbaan.
Selepas perlumbaan kesembilan dalam kalendar F1 2009 semalam, Button kekal di tangga teratas dengan mengumpul 68 mata.
Vettel pula yang telah memenangi dua perlumbaan musim ini melonjak ke tangga kedua dengan memperoleh 47 mata diikuti Webber (45.5) dan Barrichello (44). - AP
1 comment:
Slm bro..
Massa klh lagi la...wawawawa..
Post a Comment