NUERBURGRING, Jerman - Pemandu Red Bull, Mark Webber melakar sejarah tersendiri apabila meraih petak hadapan buat kali pertama pada perlumbaan kereta Formula Satu (F1).
Semalam Webber mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Jerman, sekali gus membolehkan dia bermula di petak hadapan pada perlumbaan akhir hari ini.
Webber memperoleh petak utama sulung sepanjang kariernya itu selepas mencatat masa satu minit dan 32.23 saat di Litar Nuerburgring.
Dua pemandu Brawn GP, Rubens Barrichello dan Jenson Button pula masing-masing akan bermula di petak kedua dan ketiga.
Mengulas kejayaannya meraih petak hadapan, Webber berkata, dia masih memburu kemenangan sulungnya selepas mengharungi 132 perlumbaan GP sejak menyertai F1.
"Saya kini berada di kedudukan terbaik untuk melakukannya. Perlumbaan yang bosan boleh menjadi menarik bagi saya," kata Webber.
Perlumbaan 60 pusingan hari ini diramal bakal berlangsung dalam cuaca hujan dengan suhu rendah sekitar 12 darjah celsius dan ia pasti menyukarkan para pemandu mengawal jentera masing-masing di atas litar yang kurang mencengkam.
"Sudah tentu ia bukan tayar yang sesuai kami gunakan untuk suhu litar ini. Tiada siapa menjangkakan suhu serendah ini," jelas Webber.
Perlumbaan hari ini juga bakal menyaksikan peluang pesaing lain untuk merapatkan jurang dengan pendahulu keseluruhan, Button yang kini mengumpul 64 mata diikuti Barrichello (41) mata, pemandu Red Bull, Sebastian Vettel (39) dan Webber (35.5).
"Jika perlumbaan sebenar nanti serumit sesi kelayakan, kamu pasti akan cuba berlumba untuk menamatkan perlumbaan saja," kata Barrichello.
Button pula menambah: "Sesi kelayakan ini sesuatu yang gila. Apa saja boleh terjadi dengan cuaca sebegini."
Jentera McLaren yang dipertingkatkan juga telah membantu juara bertahan, Lewis Hamilton bermula di petak kelima diikuti rakan sepasukannya, Heikki Kovalainen di petak keenam. - AP
No comments:
Post a Comment