Tuesday, August 4, 2009

Toyota Prius boleh ditempah Jumaat ini



DUA model mempamerkan model kereta hibrid Toyota Prius pada majlis pelancarannya di Subang Jaya, Selangor semalam.

SUBANG - Industri automobil negara semalam melangkah ke satu lagi era baru menerusi pengenalan kereta hibrid terkini daripada UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota), iaitu Toyota Prius generasi ketiga.

Presidennya, Kuah Kock Heng berkata, pihaknya menyasarkan penjualan sebanyak 100 unit kereta hibrid menjelang hujung tahun ini serta 300 unit lagi pada tahun 2010.

Katanya, jumlah unjuran itu mampu dicapai ekoran maklum balas positif yang diterima daripada rakyat negara ini serta kejayaan yang ditempanya di pasaran Jepun dan Amerika Syarikat.

"Walaupun Jepun mengalami kelembapan ekonomi tetapi Toyota Prius menjadi pilihan utama pembeli di negara itu apabila 31,000 unit telah dijual dan masih ada 200,000 tempahan lagi diterima,'' katanya pada sidang media selepas pelancaran model kereta tersebut di sini.

Turut hadir ialah Pengerusi UMW Toyota, Tan Sri Asmat Kamaluddin, Naib Pengerusi Takashi Hibi dan Ketua Kejuruteraan Toyota Prius Toyota Motor Corporation, Akihiko Otsuka.

Menurut Kock Heng, teknologi hibrid Toyota Prius mempunyai kelebihan tersendiri kerana cekap dalam pemuliharaan alam sekitar dan kurang bergantung kepada sumber bahan api.

Di samping itu, ia juga memiliki enjin berkapasiti 1.8 liter gabungan enjin petrol dengan motor elektrik yang tidak perlu dicaj daripada luar.

Monday, August 3, 2009

Penampilan Schumi dinanti-nanti



LOMPATAN LEGENDA... Kehadiran Schumacher bakal memberi impak besar kepada perlumbaan F1 musim ini.

PERLUMBAAN kereta Formula Satu (F1) musim ini bagaikan sudah hilang serinya.

Politik dalaman yang melanda Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) 'menghiasi' aksi di luar litar sementara kemalangan ngeri terus menghangatkan lagi derita perlumbaan paling berprestij itu.

Selepas gelora dalaman FIA senyap seketika, insiden kemalangan ngeri menyusul yang hampir meragut nyawa pemandu Ferrari, Felipe Massa pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Hungary Sabtu lalu.

Tiga hari selepas itu, peminat perlumbaan berprestij itu dikejutkan dengan pengumuman BMW Sauber yang akan menarik diri daripada sukan F1 pada penghujung musim 2009.

Begitupun, kurang 24 jam selepas episod sedih yang 'dijelmakan' BMW Sauber itu, peminat fanatik F1 kembali ceria.

Semuanya gara-gara kenyataan daripada bekas juara dunia tujuh kali yang juga legenda F1, Michael Schumacher yang berhasrat untuk kembali ke litar perlumbaan.

Schumacher, 40, yang telah bersara daripada sukan itu pada tahun 2006 diumumkan akan kembali beraksi di litar F1 bermula pada Grand Prix (GP) Eropah bulan depan.

Menariknya, penampilan legenda Jerman itu adalah bersama pasukan Ferrari, pasukan yang telah menghadiahkan lima kejuaraan dunia kepadanya bermula dari tahun 2000 hingga 2004.

Apa yang pasti, ia merupakan hadiah paling istimewa buat seluruh peminat Schumacher yang masih setia mengikuti perkembangannya sejak penampilan sulung pada tahun 1991.

Schumacher akan menggantikan Massa bermula pada GP Eropah di Valencia pada 23 Ogos ini selepas pemandu Brazil itu dijangka mengambil masa agak lama untuk kembali pulih selepas menjalani pembedahan tempurung kepala.

"Pasukan Ferrari-Marlboro bercadang untuk memberi pe luang kepada Michael Schumacher menggunakan kereta Felipe Massa sehingga pemandu Brazil itu kembali bersaing," jelas kenyataan pasukan dari Itali itu.

"Michael Schumacher juga mengesahkan dia boleh beraksi dan dalam beberapa hari ini, dia akan mengikuti program khas sebagai persiapan menghadapi GP Eropah."

Schumacher membuat penampilan pertama dalam perlumbaan F1 pada GP Belgium 1991 apabila menjadi pemandu gantian bagi pasukan Jordan.

Begitupun, dengan bakat luar biasanya, Schumacher tidak mengambil masa yang lama untuk 'diikat' Flavio Briatore bagi menyertai Bennetton.

Kejuaraan pertamanya selaku pemandu F1 hadir pada GP Belgium sebelum merangkul dua gelaran dunia pada tahun 1994 dan 1995.

Setahun kemudian, Schumacher menyertai Ferrari dan meraih kejuaraan dunia lima kali berturut-turut bermula pada tahun 2000 hingga 2004.

Sepanjang kariernya juga, Schumacher berjaya meraih 91 kemenangan selain merekodkan 68 kedudukan petak hadapan.

Schumacher juga boleh mendabik dada, apabila dia menjadi satu-satunya pemandu yang memenangi 13 perlumbaan dalam satu musim.

"Michael (Schumacher) adalah salah seorang daripada pencabar terhebat dalam sukan ini dan dia adalah legenda. Bagi saya, ia akan menjadi hebat apabila dapat berlumba bersamanya," jelas juara dunia 2008, Lewis Hamilton.

"Peminat seluruh dunia juga akan menyaksikan penampilan semula Michael di litar pada GP Eropah nanti.

"Mereka bukan hanya mahu melihat penampilan semula pemandu itu, tetapi bagi saya, ia adalah satu penghargaan dan penghormatan apabila dapat berlumba bersamanya," tambah Hamilton.

Sementara itu, bekas juara dunia yang juga rakan sepasukan Schumacher, Kimi Raikkonen mengakui dia sudah tidak sabar untuk bekerjasama dengan pemandu Jerman itu.

"Sekiranya ia benar berlaku, saya sangat gembira untuk bergandingan dengannya walaupun ia mungkin tidak banyak memberi kesan terhadap prestasi saya," kata Raikkonen yang muncul juara F1 pada 2007. - Agensi

Button pemandu emas Brawn GP


BUTTON dapat kepercayaan
untuk kekal
dalam pasukan Brawn GP musim depan.

LONDON - "Jenson Button 99 peratus akan kekal bersama kami"

Demikian tegas ketua pasukan Brawn GP, Ross Brawn mengenai masa depan Button pada perlumbaan Formula Satu (F1) tahun depan.

"Saya tidak katakan seratus peratus, tetapi kedudukan Jenson dalam pasukan ini cukup selesa," jelasnya kepada agensi Auto Bild.

Namun, Brawn sedar bahawa harga Button selepas ini pasti meningkat jika pemandu Britain itu mengekalkan kedudukannya selaku pendahulu keseluruhan, sekali gus muncul juara dunia.

"Seperti biasa, saya akan tawarkan dia sejumlah wang yang besar kerana dia merupakan calon juara dunia," tambah Brawn.

Mengulas mengenai senarai penuh pemandu Brawn GP musim depan, Brawn enggan mengesahkannya, namun dia cukup senang untuk mengekalkan Button dengan Rubens Barrichello.

Brawn juga mengakui beliau cukup senang bekerjasama dengan pengedar enjin pasukan mereka.

"Saya harap, kami akan terus bekerjasama dengan Mercedes untuk beberapa tahun akan datang," tambahnya. - Agensi

Sauber selamatkan pasukan BMW Sauber?



IMBAS KEMBALI... Sauber (tengah) bergambar bersama
pemandu pasukan Sauber Petronas pada tahun 2002.

LONDON - Peter Sauber bertekad untuk membuat penampilan semula dalam perlumbaan Formula Satu (F1) sebagai pemilik dan ketua pasukan.

Dia juga berjanji akan cuba menyelamatkan pasukan yang berpangkalan di Hinwil itu untuk kekal dalam F1 sejak ditubuhkan pada tahun 1993.

Sauber, 65, dan berasal dari Switzerland menjual kepentingan dalam pasukan Sauber F1 kepada syarikat pengeluar kereta Jerman pada tahun 2005.

Sejak itu, pasukan tersebut dikenali dengan nama BMW Sauber dan membuat penampilan sulung pada tahun 2006.

Namun, Sauber mengakui keputusan BMW untuk menarik diri daripada kempen Formula Satu (F1) hujung tahun ini adalah sesuatu yang mengejutkan.

"Satu perkara yang jelas, saya akan melakukan apa yang termampu untuk menyelamatkan bekas pasukan saya ini," jelas Sauber kepada Auto Bild.

Begitupun, Sauber yang mempunyai 20 peratus kepentingan dalam pasukan BMW Sauber mengakui ia (selamatkan BMW Sauber) bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan.

"Saya tidak mempunyai keajaiban dan saya sendiri tidak tahu berapa lama saya boleh mengetuai pasukan ini di kawasan pit," ujarnya.

"Saya akan bagi tahu mereka bahawa saya akan menghubungi semua kenalan saya, tetapi ia masih belum memberi jaminan.

"Saya akui saya hanya boleh menjadi konsultan, dan hanya BMW di Munich yang mampu memutuskan bagaimana proses ini berlaku."

Ahad lalu, BMW Sauber secara rasmi mengumumkan penarikan diri daripada perlumbaan F1 bermula hujung tahun ini.

Menurut kenyataan pasukan itu, keputusan penarikkan diri itu adalah untuk menyalurkan bajet yang mereka miliki kepada pembangunan sektor lain. - Agensi

Berebut Internet


Bini aku tak habis2 berebut Internet dengan aku,
biasa ah ada laptop sebijik jek buat peneman masa boring...

tapi apapun bini kan bagi jelah...
sape tak sayang bini oiiii

so kena gilir2 he he

Saturday, August 1, 2009

Volvo XC60

Bagi yang mementingkan keselamatan, Volvo XC60 boleh menjadi model terbaik buat anda.


SUKAR untuk menafikan tarikan fizikal Volvo XC60.

APAKAH perasaan anda jika memandu sebuah kenderaan antara yang paling selamat di dunia?

Adakah gaya pemanduan yang sebelum ini boleh dikira berhemah akan bertukar? Semata-mata kerana beranggapan sistem keselamatan yang ada boleh melindungi diri daripada terlibat dalam kecelakaan.



Pengalaman memandu model yang digolongkan dalam segmen crossover ini mengukuhkan lagi pendirian saya bahawa pemandulah yang mesti mengawal keadaan dan bukan sebaliknya.

PAPARAN butang sistem audio yang dipadankan dengan 12 buah pembesar suara Dynoaudio.

Sedia maklum, pengeluar dari Sweden ini begitu terkenal dalam menghasilkan model-model yang ciri-ciri keselamatannya lebih prestij berbanding mana-mana pesaingnya.

JARUM meter kelihatan seperti terapung.

Justeru, jentera terbaru daripada Volvo ini tidak terkecuali. Cukup mewah dengan pelbagai sistem keselamatan.

MESRA pemandu. Butang kawalan audio dan cruise control yang mudah dioperasikan.

Tidak percaya? Sebaik sahaja saya sampai di parkir kenderaan di pusat beli-belah Mid Valley dan memegang kuncinya, penerangan yang diberi lebih panjang daripada biasa.

Sambil memegang brosur, Serena dari Volvo Malaysia mula menerangkan semua sistem keselamatan yang sebelum ini tidak pernah ada dalam model yang telah dipandu uji. Antaranya Volvo S40, V50, XC90 dan Volvo C30.

Walaupun agak sukar membayangkan bagaimana semua sistem itu berfungsi, terutamanya ketika ia berada dalam keadaan statik, saya mula kagum dengan jentera yang diberi nama Volvo XC60.

Sejak diperkenalkan di pasaran Eropah beberapa bulan lalu, XC60 yang bersaing dengan model Audi Q5 (bagi pasaran Malaysia) sememangnya mendapat sambutan hangat.

Malah, sejak diperkenalkan kepada khalayak bulan lalu, 19 unit yang dibawa masuk sudah habis dijual. Sementara beberapa unit yang bakal sampai tidak lama lagi juga telah pun ditempah.

Unit yang dipandu uji kali ini ialah model LE. Maksudnya, ia dilengkapi dengan pelbagai ciri tambahan berbanding satu lagi variannya, Volvo XC60 SE. Memandangkan perbezaan harganya mencecah RM30,000 semua yang terpasang pada Volvo XC60 LE bersifat premium.

Ini termasuklah aksesori-aksesori seperti bumbung panoramik, sistem navigasi Volvo (Volvo Navigation System) yang menggunakan aplikasi GPS Garmin dan peta daripada MapKing. Selain itu, skrin sentuh tersebut turut berfungsi sebagai paparan kamera apabila pemandu mengundur atau memakir kenderaan.

Pelantar kaki, skid plate pada bumper belakang, poket kargo, jaring untuk digunakan pada lantai kargo dan pedal sport R-Design melengkapkan lagi senarai aksesori tersebut.

Fizikal XC60 kelihatan kompak dan maskulin menerusi rekaan bumper hadapan dengan gril radiator, sepasang lampu LED serta emblem Volvo lebih besar.

Lampu belakang yang menjadi identiti model-model generasi baru keluaran Volvo pula seakan-akan memberitahu bahawa XC60 dibina untuk mereka yang tahu menghargai keindahan sebuah kenderaan. Gaya itu kemudiannya disempurnakan dengan rim aloi bersaiz 18 inci.

Masuk ke dalam XC60, bau kulit berwarna hitam yang memenuhi ruangnya memberikan satu perasaan puas. Memegang sterengnya, mata pula memandang ke arah paparan meter analog yang jarumnya seakan-akan terapung. Bahagian bawahnya pula terpapar pelbagai maklumat yang dapat membantu pemanduan.

Anda pasti berpuas hati dengan sistem audio yang tersedia. 12 buah pembesar suara Dynoaudio dengan amplifier 5x130W memberikan pengalaman mendengar muzik seperti di dalam studio.

Mudah dioperasi, sistem audio ini membolehkan anda menukar enam keping cakera padat. Selain mengekstrak lagu-lagu kegemaran daripada fail MP3 yang ada di dalam thumb drive atau pemain MP3.

Bagi penumpang belakang yang tidak gemar mendengar lagu dimainkan oleh pemandu, cucuk sahaja ear phone pada konsol tengah dan dengar lagu kegemaran anda.

Sebagai sebuah jentera yang berorientasikan keluarga, tempat duduk belakang mesra kanak-kanak. Ia boleh dilipat agar kedudukannya menjadi tinggi, sekali gus membuatkan anak kecil berasa selesa dan dapat sama-sama melihat pemandangan menerusi tingkap.

Dibekalkan dengan unit enjin bersesaran 3.0 liter, kuasa yang dijananya tidak pernah mengecewakan. Tekanan yang sedikit ke atas pedal sudah membolehkan anda merasai kuasanya dengan ketara.

Enjin turbo enam silinder (T6) itu mampu menghasilkan sehingga 285 hp pada putaran enjin @5,600 dan kuasa tork 400 Nm pada 1,500 - 4,800 rpm sahaja!

Lebih penting lagi, semua kuasa itu dibahagikan dengan lancar menerusi transmisi automatik Geartronic enam kelajuan.

Bergerak atas sistem pacuan All Wheel Drive (AWD), XC60 menjanjikan pemanduan yang rigid dan meyakinkan. Ditambah pula dengan deretan sistem yang membantu pemandu agar lebih peka ketika berada di belakang stereng.

Antaranya ialah Lane Departure Warning (LDW). LDW berfungsi dengan membunyikan 'beep' apabila kenderaan melebihi garisan putih di kiri dan kanan yang telah dikenal pasti setelah memandu berapa ketika. Agak menjengkelkan, tetapi ia mengajar anda supaya tidak lupa menggunakan isyarat membelok jika hendak menukar haluan.

Di bahagian bawah cermin sisi, terdapat alat pengesan yang mengesan kehadiran kenderaan di tepi kenderaan. Indikator sistem titik buta atau Blind Spot Information System (BLIS) ini hanyalah melibatkan kerlipan lampu kecil berwarna merah. Apabila ia berkelip, itu menandakan ada kenderaan di sebelah kiri atau kanan anda. Jadi, berhati-hati.

Selepas memandu agak lama dan tahap kepekaan kian menurun, ciri Driver Alert Control (DAC) akan berfungsi. Selepas satu bunyi 'beep', ikon kopi panas akan terpapar. Ia membayangkan anda mungkin perlu berehat buat seketika.

Memandu dalam kesesakan jalan raya, ciri City Safety pasti membantu. Sistem ini akan membrek XC60 secara automatik sekiranya di hadapannya terdapat halangan dan bergerak pada kelajuan di bawah 15 km/j.

Memandangkan jarak berhentinya hanya 15 inci daripada objek yang memiliki pantulan, saya mengambil keputusan untuk tidak mengujinya. Bukan tidak percaya, tetapi saya sudah melihat keberkesanannya ketika demonstrasi sewaktu majlis pelancaran XC60 sebelum ini.

Untuk semua pakej premium ini, seunit Volvo XC60 ditawarkan pada harga RM360,200 untuk varian LE dan RM330,200 (SE) tanpa insurans.

Tayar salji bahaya

Puspakom tidak akan beri pelepasan dalam pemeriksaan rutin


TAYAR salji (gambar kecil) hanya sesuai digunakan di negara sejuk yang dilanda salji dan tidak di Malaysia yang boleh mengundang kemalangan. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Lebih 30 peratus kenderaan komersial dikesan menggunakan tayar salji yang boleh membawa kepada berlakunya kemalangan jalan raya di negara ini.

Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh berkata, perkara ini sangat membimbangkan pihaknya kerana tayar salji ini sama ada baru atau terpakai tidak sesuai digunakan di negara ini kerana faktor cuaca.

"Berdasarkan pemerhatian saya baru-baru ini di Johor dan Wangsa Maju, didapati lebih 30 peratus lori dan trak besar menggunakan tayar ini yang sangat tidak sesuai dengan cuaca di negara kita.

"Tayar ini hanya digunakan di negara yang mempunyai musim salji tetapi ia diimport ke negara kita (untuk tujuan pengangkutan barangan dan komersial)," katanya.