Bagi yang mementingkan keselamatan, Volvo XC60 boleh menjadi model terbaik buat anda.
Adakah gaya pemanduan yang sebelum ini boleh dikira berhemah akan bertukar? Semata-mata kerana beranggapan sistem keselamatan yang ada boleh melindungi diri daripada terlibat dalam kecelakaan.
|
|
|
|
|
|
|
|
Sambil memegang brosur, Serena dari Volvo Malaysia mula menerangkan semua sistem keselamatan yang sebelum ini tidak pernah ada dalam model yang telah dipandu uji. Antaranya Volvo S40, V50, XC90 dan Volvo C30.
Walaupun agak sukar membayangkan bagaimana semua sistem itu berfungsi, terutamanya ketika ia berada dalam keadaan statik, saya mula kagum dengan jentera yang diberi nama Volvo XC60.
Sejak diperkenalkan di pasaran Eropah beberapa bulan lalu, XC60 yang bersaing dengan model Audi Q5 (bagi pasaran Malaysia) sememangnya mendapat sambutan hangat.
Malah, sejak diperkenalkan kepada khalayak bulan lalu, 19 unit yang dibawa masuk sudah habis dijual. Sementara beberapa unit yang bakal sampai tidak lama lagi juga telah pun ditempah.
Unit yang dipandu uji kali ini ialah model LE. Maksudnya, ia dilengkapi dengan pelbagai ciri tambahan berbanding satu lagi variannya, Volvo XC60 SE. Memandangkan perbezaan harganya mencecah RM30,000 semua yang terpasang pada Volvo XC60 LE bersifat premium.
Ini termasuklah aksesori-aksesori seperti bumbung panoramik, sistem navigasi Volvo (Volvo Navigation System) yang menggunakan aplikasi GPS Garmin dan peta daripada MapKing. Selain itu, skrin sentuh tersebut turut berfungsi sebagai paparan kamera apabila pemandu mengundur atau memakir kenderaan.
Pelantar kaki, skid plate pada bumper belakang, poket kargo, jaring untuk digunakan pada lantai kargo dan pedal sport R-Design melengkapkan lagi senarai aksesori tersebut.
Fizikal XC60 kelihatan kompak dan maskulin menerusi rekaan bumper hadapan dengan gril radiator, sepasang lampu LED serta emblem Volvo lebih besar.
Lampu belakang yang menjadi identiti model-model generasi baru keluaran Volvo pula seakan-akan memberitahu bahawa XC60 dibina untuk mereka yang tahu menghargai keindahan sebuah kenderaan. Gaya itu kemudiannya disempurnakan dengan rim aloi bersaiz 18 inci.
Masuk ke dalam XC60, bau kulit berwarna hitam yang memenuhi ruangnya memberikan satu perasaan puas. Memegang sterengnya, mata pula memandang ke arah paparan meter analog yang jarumnya seakan-akan terapung. Bahagian bawahnya pula terpapar pelbagai maklumat yang dapat membantu pemanduan.
Anda pasti berpuas hati dengan sistem audio yang tersedia. 12 buah pembesar suara Dynoaudio dengan amplifier 5x130W memberikan pengalaman mendengar muzik seperti di dalam studio.
Mudah dioperasi, sistem audio ini membolehkan anda menukar enam keping cakera padat. Selain mengekstrak lagu-lagu kegemaran daripada fail MP3 yang ada di dalam thumb drive atau pemain MP3.
Bagi penumpang belakang yang tidak gemar mendengar lagu dimainkan oleh pemandu, cucuk sahaja ear phone pada konsol tengah dan dengar lagu kegemaran anda.
Sebagai sebuah jentera yang berorientasikan keluarga, tempat duduk belakang mesra kanak-kanak. Ia boleh dilipat agar kedudukannya menjadi tinggi, sekali gus membuatkan anak kecil berasa selesa dan dapat sama-sama melihat pemandangan menerusi tingkap.
Dibekalkan dengan unit enjin bersesaran 3.0 liter, kuasa yang dijananya tidak pernah mengecewakan. Tekanan yang sedikit ke atas pedal sudah membolehkan anda merasai kuasanya dengan ketara.
Enjin turbo enam silinder (T6) itu mampu menghasilkan sehingga 285 hp pada putaran enjin @5,600 dan kuasa tork 400 Nm pada 1,500 - 4,800 rpm sahaja!
Lebih penting lagi, semua kuasa itu dibahagikan dengan lancar menerusi transmisi automatik Geartronic enam kelajuan.
Bergerak atas sistem pacuan All Wheel Drive (AWD), XC60 menjanjikan pemanduan yang rigid dan meyakinkan. Ditambah pula dengan deretan sistem yang membantu pemandu agar lebih peka ketika berada di belakang stereng.
Antaranya ialah Lane Departure Warning (LDW). LDW berfungsi dengan membunyikan 'beep' apabila kenderaan melebihi garisan putih di kiri dan kanan yang telah dikenal pasti setelah memandu berapa ketika. Agak menjengkelkan, tetapi ia mengajar anda supaya tidak lupa menggunakan isyarat membelok jika hendak menukar haluan.
Di bahagian bawah cermin sisi, terdapat alat pengesan yang mengesan kehadiran kenderaan di tepi kenderaan. Indikator sistem titik buta atau Blind Spot Information System (BLIS) ini hanyalah melibatkan kerlipan lampu kecil berwarna merah. Apabila ia berkelip, itu menandakan ada kenderaan di sebelah kiri atau kanan anda. Jadi, berhati-hati.
Selepas memandu agak lama dan tahap kepekaan kian menurun, ciri Driver Alert Control (DAC) akan berfungsi. Selepas satu bunyi 'beep', ikon kopi panas akan terpapar. Ia membayangkan anda mungkin perlu berehat buat seketika.
Memandu dalam kesesakan jalan raya, ciri City Safety pasti membantu. Sistem ini akan membrek XC60 secara automatik sekiranya di hadapannya terdapat halangan dan bergerak pada kelajuan di bawah 15 km/j.
Memandangkan jarak berhentinya hanya 15 inci daripada objek yang memiliki pantulan, saya mengambil keputusan untuk tidak mengujinya. Bukan tidak percaya, tetapi saya sudah melihat keberkesanannya ketika demonstrasi sewaktu majlis pelancaran XC60 sebelum ini.
Untuk semua pakej premium ini, seunit Volvo XC60 ditawarkan pada harga RM360,200 untuk varian LE dan RM330,200 (SE) tanpa insurans.
No comments:
Post a Comment