Monday, August 3, 2009

Penampilan Schumi dinanti-nanti



LOMPATAN LEGENDA... Kehadiran Schumacher bakal memberi impak besar kepada perlumbaan F1 musim ini.

PERLUMBAAN kereta Formula Satu (F1) musim ini bagaikan sudah hilang serinya.

Politik dalaman yang melanda Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) 'menghiasi' aksi di luar litar sementara kemalangan ngeri terus menghangatkan lagi derita perlumbaan paling berprestij itu.

Selepas gelora dalaman FIA senyap seketika, insiden kemalangan ngeri menyusul yang hampir meragut nyawa pemandu Ferrari, Felipe Massa pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Hungary Sabtu lalu.

Tiga hari selepas itu, peminat perlumbaan berprestij itu dikejutkan dengan pengumuman BMW Sauber yang akan menarik diri daripada sukan F1 pada penghujung musim 2009.

Begitupun, kurang 24 jam selepas episod sedih yang 'dijelmakan' BMW Sauber itu, peminat fanatik F1 kembali ceria.

Semuanya gara-gara kenyataan daripada bekas juara dunia tujuh kali yang juga legenda F1, Michael Schumacher yang berhasrat untuk kembali ke litar perlumbaan.

Schumacher, 40, yang telah bersara daripada sukan itu pada tahun 2006 diumumkan akan kembali beraksi di litar F1 bermula pada Grand Prix (GP) Eropah bulan depan.

Menariknya, penampilan legenda Jerman itu adalah bersama pasukan Ferrari, pasukan yang telah menghadiahkan lima kejuaraan dunia kepadanya bermula dari tahun 2000 hingga 2004.

Apa yang pasti, ia merupakan hadiah paling istimewa buat seluruh peminat Schumacher yang masih setia mengikuti perkembangannya sejak penampilan sulung pada tahun 1991.

Schumacher akan menggantikan Massa bermula pada GP Eropah di Valencia pada 23 Ogos ini selepas pemandu Brazil itu dijangka mengambil masa agak lama untuk kembali pulih selepas menjalani pembedahan tempurung kepala.

"Pasukan Ferrari-Marlboro bercadang untuk memberi pe luang kepada Michael Schumacher menggunakan kereta Felipe Massa sehingga pemandu Brazil itu kembali bersaing," jelas kenyataan pasukan dari Itali itu.

"Michael Schumacher juga mengesahkan dia boleh beraksi dan dalam beberapa hari ini, dia akan mengikuti program khas sebagai persiapan menghadapi GP Eropah."

Schumacher membuat penampilan pertama dalam perlumbaan F1 pada GP Belgium 1991 apabila menjadi pemandu gantian bagi pasukan Jordan.

Begitupun, dengan bakat luar biasanya, Schumacher tidak mengambil masa yang lama untuk 'diikat' Flavio Briatore bagi menyertai Bennetton.

Kejuaraan pertamanya selaku pemandu F1 hadir pada GP Belgium sebelum merangkul dua gelaran dunia pada tahun 1994 dan 1995.

Setahun kemudian, Schumacher menyertai Ferrari dan meraih kejuaraan dunia lima kali berturut-turut bermula pada tahun 2000 hingga 2004.

Sepanjang kariernya juga, Schumacher berjaya meraih 91 kemenangan selain merekodkan 68 kedudukan petak hadapan.

Schumacher juga boleh mendabik dada, apabila dia menjadi satu-satunya pemandu yang memenangi 13 perlumbaan dalam satu musim.

"Michael (Schumacher) adalah salah seorang daripada pencabar terhebat dalam sukan ini dan dia adalah legenda. Bagi saya, ia akan menjadi hebat apabila dapat berlumba bersamanya," jelas juara dunia 2008, Lewis Hamilton.

"Peminat seluruh dunia juga akan menyaksikan penampilan semula Michael di litar pada GP Eropah nanti.

"Mereka bukan hanya mahu melihat penampilan semula pemandu itu, tetapi bagi saya, ia adalah satu penghargaan dan penghormatan apabila dapat berlumba bersamanya," tambah Hamilton.

Sementara itu, bekas juara dunia yang juga rakan sepasukan Schumacher, Kimi Raikkonen mengakui dia sudah tidak sabar untuk bekerjasama dengan pemandu Jerman itu.

"Sekiranya ia benar berlaku, saya sangat gembira untuk bergandingan dengannya walaupun ia mungkin tidak banyak memberi kesan terhadap prestasi saya," kata Raikkonen yang muncul juara F1 pada 2007. - Agensi

2 comments:

PK said...

yeeeahhh!!!tk sbr nk tggu penampilannya...

ise said...

PK bagus gak,kita sama2 tengok otai racing balik