Tuesday, August 4, 2009

Toyota Prius boleh ditempah Jumaat ini



DUA model mempamerkan model kereta hibrid Toyota Prius pada majlis pelancarannya di Subang Jaya, Selangor semalam.

SUBANG - Industri automobil negara semalam melangkah ke satu lagi era baru menerusi pengenalan kereta hibrid terkini daripada UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota), iaitu Toyota Prius generasi ketiga.

Presidennya, Kuah Kock Heng berkata, pihaknya menyasarkan penjualan sebanyak 100 unit kereta hibrid menjelang hujung tahun ini serta 300 unit lagi pada tahun 2010.

Katanya, jumlah unjuran itu mampu dicapai ekoran maklum balas positif yang diterima daripada rakyat negara ini serta kejayaan yang ditempanya di pasaran Jepun dan Amerika Syarikat.

"Walaupun Jepun mengalami kelembapan ekonomi tetapi Toyota Prius menjadi pilihan utama pembeli di negara itu apabila 31,000 unit telah dijual dan masih ada 200,000 tempahan lagi diterima,'' katanya pada sidang media selepas pelancaran model kereta tersebut di sini.

Turut hadir ialah Pengerusi UMW Toyota, Tan Sri Asmat Kamaluddin, Naib Pengerusi Takashi Hibi dan Ketua Kejuruteraan Toyota Prius Toyota Motor Corporation, Akihiko Otsuka.

Menurut Kock Heng, teknologi hibrid Toyota Prius mempunyai kelebihan tersendiri kerana cekap dalam pemuliharaan alam sekitar dan kurang bergantung kepada sumber bahan api.

Di samping itu, ia juga memiliki enjin berkapasiti 1.8 liter gabungan enjin petrol dengan motor elektrik yang tidak perlu dicaj daripada luar.

No comments: