Monday, August 3, 2009

Sauber selamatkan pasukan BMW Sauber?



IMBAS KEMBALI... Sauber (tengah) bergambar bersama
pemandu pasukan Sauber Petronas pada tahun 2002.

LONDON - Peter Sauber bertekad untuk membuat penampilan semula dalam perlumbaan Formula Satu (F1) sebagai pemilik dan ketua pasukan.

Dia juga berjanji akan cuba menyelamatkan pasukan yang berpangkalan di Hinwil itu untuk kekal dalam F1 sejak ditubuhkan pada tahun 1993.

Sauber, 65, dan berasal dari Switzerland menjual kepentingan dalam pasukan Sauber F1 kepada syarikat pengeluar kereta Jerman pada tahun 2005.

Sejak itu, pasukan tersebut dikenali dengan nama BMW Sauber dan membuat penampilan sulung pada tahun 2006.

Namun, Sauber mengakui keputusan BMW untuk menarik diri daripada kempen Formula Satu (F1) hujung tahun ini adalah sesuatu yang mengejutkan.

"Satu perkara yang jelas, saya akan melakukan apa yang termampu untuk menyelamatkan bekas pasukan saya ini," jelas Sauber kepada Auto Bild.

Begitupun, Sauber yang mempunyai 20 peratus kepentingan dalam pasukan BMW Sauber mengakui ia (selamatkan BMW Sauber) bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan.

"Saya tidak mempunyai keajaiban dan saya sendiri tidak tahu berapa lama saya boleh mengetuai pasukan ini di kawasan pit," ujarnya.

"Saya akan bagi tahu mereka bahawa saya akan menghubungi semua kenalan saya, tetapi ia masih belum memberi jaminan.

"Saya akui saya hanya boleh menjadi konsultan, dan hanya BMW di Munich yang mampu memutuskan bagaimana proses ini berlaku."

Ahad lalu, BMW Sauber secara rasmi mengumumkan penarikan diri daripada perlumbaan F1 bermula hujung tahun ini.

Menurut kenyataan pasukan itu, keputusan penarikkan diri itu adalah untuk menyalurkan bajet yang mereka miliki kepada pembangunan sektor lain. - Agensi

No comments: