Wednesday, October 21, 2009

Perodua buka pusat baik pulih dan cat kereta


SYED ABDULL HAFIZ (kanan) melihat kerja-kerja baik pulih kereta Perodua selepas merasmikan hab Perodua Body & Paint di Taman Perindustrian Subang semalam.

SUBANG - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) semalam membuka hab membaik pulih dan pusat mengecat kereta keluarannya yang pertama di Taman Perindustrian Subang di sini.

Hab itu bertujuan untuk memenuhi keperluan penggunanya untuk memperoleh perkhidmatan terbaik dalam aspek membaik pulih akibat pelanggaran, mengecat kereta dan penyelenggaraan.

Pengarah Jualan dan Lepas Jualan Perodua Sales Sdn. Bhd., Ahmad Suhaimi Mohd. Anuar berkata, hab yang bernilai RM6 juta itu merupakan salah satu daripada lima buah hab yang bakal didirikan sehingga tahun 2012.

"Pembukaan hab ini dijangka memenuhi permintaan pelanggan Perodua dari kawasan Subang Jaya, Shah Alam dan Petaling Jaya,'' katanya pada majlis perasmian pembukaan hab Body & Paint yang disempurnakan oleh Pengarah Urusan Perodua, Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar semalam.

Menurut Ahmad Suhaimi, hab seluas 5,159 meter persegi itu mengandungi 35 ruang membaik pulih akibat perlanggaran, empat bilik semburan cat dan tiga ketuhar untuk mengeringkan cat kenderaan serta pusat penjualan alat-alat ganti kereta Perodua.

Saturday, October 17, 2009

Taman Tema Ferrari


GAMBARAN Taman Tema Ferrari di Abu Dhabi yang akan dibuka pada 2010.

APABILA siap sepenuhnya tahun depan, Taman Tema Ferrari (Ferrari World) yang dibina di Pulau Yas, Abu Dhabi, Emeriyah Arab Bersatu (UAE) akan menjadi taman teman terbesar di dunia.

Taman tema yang dibina dengan kos AS$40juta (RM132juta) itu dilengkapi lebih daripada 20 jenis permainan berteknologi tinggi termasuk rollercoaster paling laju di dunia.

Di bawah lengkungan berkembar bumbung yang menyamai bentuk kereta klasik Ferrari itu adalah taman tema tertutup yang juga terbesar di dunia.

Tarikan paling istimewa adalah permainan simulasi lumba Formula Satu (F1) yang memberikan pelawat pengalaman seperti berlumba di litar-litar terkemuka F1.

Ferrari World dilengkapi dengan segala keseronokan untuk percutian seisi keluarga. Antara kemudahan yang tersedia adalah enam buah restoran, pusat hiburan dan kedai cenderahati yang menjual barangan Ferrari.

Pengarah Pemasaran Ferrari World, Nadine Traboulsi berkata, pembinaan taman tema itu kini siap 90 peratus dan dijangka beroperasi sepenuhnya tahun depan.

"Kita memerlukan tiga bulan untuk melakukan persediaan dan memberi latihan kepada beribu-ribu kaki tangan yang bertugas di situ,"katanya.

Turut dibangunkan di kawasan berhampiran adalah Taman Teman Warner Brothers dan tujuh hotel yang dihubungkan dengan Ferrari World.

Big MPV



WAJAH garang Hyundai Starex Royale.

HYUNDAI Starex generasi kedua diperkenalkan oleh Hyundai-Sime Darby Motors Sdn. Bhd. pada Mei tahun lalu. Ia sememangnya memberi peluang kepada pengguna untuk memiliki kenderaan mengangkut penumpang bersaiz penuh pada harga berpatutan.

Sebabnya, sebelum ini segmen tersebut lebih dimonopoli oleh unit-unit recond seperti Toyota Estima, Toyota Alphard, Nissan Elgrand atau Mercedes-Benz Vito yang hanya dibawa masuk oleh pengimport parlel (grey importer). Malangnya, tidak ramai yang mampu untuk membeli model-model itu yang harganya melebihi RM200,000.

Atas sebab itulah, Hyundai Starex pantas mengisi kekosongan tersebut. Kini, Hyundai Starex tampil dengan pembaharuan fizikal yang lebih menarik. Diberi nama Hyundai Starex Royale, ia dilengkapi dengan pelbagai aksesori yang menjadikannya lebih premium.

Secara jujurnya, saya tidak suka memandu kenderaan besar. Apatah lagi apabila memikirkan kawasan parkir di rumah yang hanya sesuai untuk kereta bersaiz sederhana.

Namun begitu, saya berikan pengecualian kepada Hyundai Starex Royale. Bukan bias tetapi banyak sebab yang boleh membuatkan sesiapa sahaja sukakan jentera berkapasiti 11 tempat duduk itu.

Hyundai Starex Royale tidak kalah dari aspek penampilan. Menerima facelift bodykit penuh, paling menyerlah adalah rekaan gril radiator pada bahagian hadapan. Di sekeliling tubuhnya sepanjang 5.1 meter itu pula, dipasang skirting.

Perumah cermin sisi ditambah fungsinya dengan menempatkan lampu indikator LED yang lebih praktikal dan mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain. Selain itu, lampu utama itu akan menyala secara automatik jika persekitaran semakin gelap.

Walaupun tubuhnya seperti tidak jauh beza dengan bas mini, mengendalikan Hyundai Starex Royale tidak sukar. Radius pusingan sterengnya membuatkan membelok dan memakir menjadi mudah.

Ditambah pula dengan skrin sesentuh sistem audionya bertukar kepada paparan kamera apabila gear undur dimasukkan. Dilengkapi dengan empat alat pengesan pada bumper belakang, bunyinya sedikit perlahan.

Perubahan besar pada kabin Hyundai Starex Royale adalah tempat duduk yang dibalut dengan kulit berwarna beige. Konsol tengahnya menempatkan tuil gear, butang kawalan pendingin hawa dan sistem audio yang mudah dicapai. Untuk menghilangkan kebosanan penumpang, skrin LCD bersaiz tujuh inci itu boleh memainkan filem kegemaran.

Sebagai sebuah kenderaan untuk seisi keluarga, ruang meletak botol minuman dan ruang penyimpanan barang cukup untuk semua. Kalau terpaksa membawa banyak kargo, apa yang boleh dibuat adalah gelongsorkan tempat duduk baris ketiga dan keempat ke hadapan. Ya, itu sahaja yang boleh anda lakukan

Untuk keselamatan, kesemua tempat duduknya dipasang dengan tali pinggang keledar. Bagi mereka yang membawa anak kecil, jangan lupa mengunci pintu dengan menekan butang yang ada pada panel sisi pintu. Sebabnya, ia tidak akan terkunci secara automatik walaupun kelajuan mencecah angka tiga digit.


RUANG kabin yang cukup luas untuk membawa seluruh ahli keluarga.

Prestasi enjin diesel bersesaran 2.5 liter itu sempat saya uji sewaktu menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Di lebuh raya, enjin CRDi Variable Geometry Turbocharger (VGT) dengan unit pendesak turbo itu dirasakan cukup berkuasa.

Dipadankan dengan gear automatik lima kelajuan, ciri tiptronic padanya membolehkan anda mengawal sendiri kedudukan gear mengikut kesesuaian pemanduan.

Sekali fikir, ia mungkin tidak berpadanan dengan berat kenderaan yang sarat dengan penumpang dan kargo tetapi hamburan kuasanya tidak mengecewakan. Enjin binaan sepenuhnya Hyundai Motor Corporation itu sekali lagi membuktikan keupayaannya apabila mampu mendaki tingkat-tingkat parkir di KLIA tanpa sebarang masalah. Lebih menarik lagi, enjin itu tidak membuatkan pemiliknya kerap ke stesen minyak.

Dengan binaan kerangka yang tinggi, olengan tubuhnya ketika mengambil selekoh tidak ketara. Lagipun, tidak mungkin anda mahu memandu kenderaan keluarga seperti itu selaju pemandu F1.

Suspensi yang tidak terlalu keras membolehkan semua penumpang terus berasa selesa biarpun tempoh perjalanan lama. Enam corong pendingin hawa yang boleh dilaras pada siling pula memastikan tiada siapa akan kepanasan.

Hyundai Starex Royale didatangkan dengan empat warna pilihan iaitu putih, hitam, kelabu dan perak. Harga? Hanya RM148,888 (Semenanjung) dan RM153,997.50 (Sabah dan Sarawak) di atas jalan.

Lengkap dengan jaminan eksklusif lima tahun atau perbatuan sejauh 300,000, saya boleh katakan ia satu pembelian yang sangat berbaloi.

Penalaan profesional Cartrade-ABT


Ilyas Mohamad (kiri) dan Wolfgang Kitzeder pada pelancaran Cartrade-ABT di Bangsar, baru-baru ini.



APA lagi yang boleh dipersoalkan pada sebuah kereta yang sudah terpilih antara model terbaik pernah dikeluarkan sejak tiga dekat lalu. Bahkan sehingga kini, Golf GTI masih menjadi penanda aras jenama kepada Volkswagen sejak diperkenalkan 35 tahun lalu.

Selain menjadi pacuan kegemaran di negara pengeluar (Jerman), model sport kompak yang membawa tiga singkatan huruf di belakangnya itu juga dikenali di seluruh dunia sebagai lambang prestasi pemanduan.

Baru-baru ini, model terbaru Golf iaitu Golf GTI Mk6 ditayangkan kepada umum di peringkat antarabangsa dan tidak lama lagi penantian peminat di negara ini juga akan berakhir.

Menariknya di pasaran tempatan, generasi terbaru Golf itu tampil dalam versi yang lebih mengagumkan, hasil sentuhan profesional oleh syarikat penalaan antarabangsa iaitu ABT.

Teknologi naik taraf ABT yang diperturunkan kepada anak syarikat Kumpulan Cartrade, Cartrade-ABT.

Bukan itu sahaja, kemunculan Golf GTI Mk6 juga serentak dengan model kembarnya iaitu Scirocco.

Penjelmaan semula dua jentera Volkswagen itu baru-baru ini dipertontonkan buat pertama kali di negara ini pada pelancaran Cartrade-ABT di bilik pamerannya di Bangsar yang beroperasi sejak Mei tahun lalu.

Pakej naik taraf ABT VSR pada Golf GTI Mk6 kini dibuka pada harga RM47,000 tidak termasuk harga asas model berkenaan yang dianggarkan kira-kira RM210,000. Bagi pakej model Scirocco, tambahan RM45,000 dikenakan daripada harga asas, kira-kira RM230,000.

Penalaan dua model baru itu merangkumi pakej roda, aero-dinamik, suspensi, sistem ekzos dan unit kawalan elektronik (ECU) yang terbukti meningkatkan prestasi kenderaan ke tahap maksimum.

Peningkatan kuasa kuda

Hasil daripada pembaharuan spesifikasi ABT, Golf GTI Mk6 yang memiliki kuasa 210 bhp dipertingkatkan kepada 260 bhp. Manakala bagi Scirocco, penalaan VSR menambah kuasa kepada 240 bhp dengan 360 Newton meter (Nm) kuasa tork.

Pakej yang ditawarkan itu termasuk rim BR 19 inci (hitam), tayar Continental, kit badan penuh, paip mafela tahan karat dan penalaan ECU.

Keistimewaan penalaan ABT yang diperakui itu adalah hasil ketepatan penyambungan yang dilakukan pada bahagian sisipan utama kenderaan. Bahkan, setiap tambahan bahagian kit dijamin menepati faktor aero-dinamik.

Dengan kepakaran teknologi penalaan sejak lebih lima dekad, versi naik taraf ABT pasti memberi kelebihan kepada peminat kereta di negara ini untuk memiliki jentera pemanduan berkuasa dan dinamik.

Volkswagen dan Audi

Pengarah Jualan Cartrade-ABT, Helmi Ilyas berkata, pakej penalaan itu memberi peluang kepada peminat kereta tempatan untuk memaksimumkan prestasi jentera ke peringkat tertinggi.

"ABT adalah jenama pengubahsuaian yang diperakui di peringkat antarabangsa dengan kepakaran penalaan kenderaan menepati spesifikasi perlumbaan," ujarnya pada pelancaran Cartrade-ABT, September lalu.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cartrade, Datuk Ilyas Mohamad bersama-sama Pengarah Urusan ABT-Asia, Wolfgang Kitzeder.

Menurut Helmi, versi naik taraf model Scirocco dijangka menemui pelanggan pada Oktober tahun ini selepas pelancaran rasmi model terbaru itu oleh Volkswagen.

Sementara itu, model Golf GTI Mk6 akan menemui dijangka sedia pada Disember selepas penghantaran pada November ini.

Dianggarkan 600 unit Golf GTI dan 250 unit Scirocco akan berada dalam pasaran dalam tempoh setahun selepas pelancarannya.

Daripada jumlah itu, Cartrade-ABT mensasarkan 50 peratus akan mendapatkan pakej penalaan ABT.

"Volkswagen dijangka menghantar 100 unit Golf GTI dan 90 unit Scirocco menjelang akhir tahun ini.

"Selain Volkswagen, Cartrade-ABT juga menyediakan pakej penalaan kepada beberapa model Audi," tambah Helmi.

Model talaan Volkswagen termasuk model Passat, Touareg, Tiguan, Polo GTIdan Eos manakala model Audi adalah A4, A6, TT, Q5, dan Q7.

Menurut Kitzeder, berdasarkan rekod penjualan 150 buah kenderaan talaan ABT pada tahun lalu, Malaysia kini diletakkan sebagai pasaran ketiga terpenting.

"Disokong oleh industri pemotoran yang berkembang rancak di negara ini, kita yakin Malaysia akan menjadi pasaran ABT terpenting di rantau ini,'' ujarnya.

Mereka yang berminat untuk melihat dengan lebih dekat modelmodel talaan ABT boleh berkunjung ke bilik pameran Cartrade-ABT yang terletak di No. 73, Jalan Maarof, Bangsar,

Thursday, October 15, 2009

Honda Stream RSZ

Dibina untuk keluarga dan digayakan untuk si bujang, Honda Stream generasi kedua yang dikenali sebagai Stream RSZ itu nyata memiliki banyak kelebihan tersendiri.



Saya harus mengakui bahawa jentera yang baru dipandu uji ini merupakan varian terbaik model Stream. Model yang terhasil daripada gabungan segmen MPV dan station wagon itu nyata mampu mengukuhkan lagi kenyataan bahawa kenderaan untuk keluarga juga boleh disuntik dengan elemen sporty.

Penampilan penuh gaya Honda Stream RSZ berwarna putih mutiara itu banyak disumbangkan oleh bodykit penuh RSZ. Ia meliputi bumper hadapan yang lengkap bersama sepasang lampu kabus, gril radiator dengan emblem Honda dan RSZ berwarna merah putih, skirt sisi serta bumper belakangnya. Lampu utama jenis HID (High Intensity Discharge) itu diletakkan dalam perumah berwarna hitam. Kemudian, wajah itu disempurnakan dengan rim aloi lima jejari bersaiz 17 inci.

Itu untuk bahagian luarnya. Secara peribadinya, saya cukup menyukai tona yang digunakan untuk kokpitnya. Warna hitam memonopoli setiap inci ruang. Sama ada papan pemuka, panel sisi mahupun tempat duduk. Tempat duduk yang dibalut dengan material berkualiti tinggi itu juga memberi sokongan sebaiknya kepada tubuh agar perjalanan jauh tidak terasa terlalu meletihkan.


PENAMPILAN penuh gaya Honda Stream RSZ ini banyak disumbangkan oleh bodykit penuh RSZ.

Tiada sebarang corong pendingin hawa khas untuk penumpang belakang. Jangan bimbang, udara sejuk mampu sampai kepada anda kerana empat corong udara bersaiz besar yang ada pada papan pemuka dapat menjalankan fungsinya dengan cukup baik.

Walaupun Stream RSZ boleh menempatkan tujuh orang dengan selesa, tetapi dua tempat duduk paling belakang boleh dikatakan lebih sesuai untuk kanak-kanak. Bagi memaksimumkan ruang penyimpanan barang dan menjadikannya lebih luas, tuil gear diletakkan pada konsol tengah bersebelahan dengan butang kawalan pendingin hawa. Tuil brek tangan juga ditiadakan dan diganti dengan brek yang diletakkan di sebelah pedal brek.

Benda pertama yang akan saya keluarkan daripada Stream RSZ adalah unit audio double DINnya. Bukan tidak cantik, tetapi pemain cakera padat, muzik format mp3 dan USB itu kurang mesra pengguna.


REKAAN konsol tengah yang \sporty dan ergonomik memudahkan pemandu mengekalkan konsentrasi di atas jalan raya.\

Percaya atau tidak, agak sukar untuk anda mencari frekuensi stesen radio secara manual. Kalau dilakukan secara automatik pula, susah sekali ia akan 'melekat' pada stesen radio yang anda mahukan. Mujur juga ia boleh memainkan muzik daripada mp3 dan bunyi yang dihasilkan oleh pembesar suaranya memuaskan.

Stream RSZ dipasang dengan unit enjin bersesaran 1.8 liter sebagaimana yang ada pada model Stream standard. Tidak dapat dinafikan bahawa enjin i-VTEC SOHC itu perlu dipaksa bekerja sedikit keras untuk mengheret tubuhnya yang agak besar.

Namun, ia tidaklah seteruk yang disangka kerana responsif enjinnya masih boleh dirasai dengan ketara apabila jarum memanjat angka 4,000 rpm ke atas.


BODYKIT RSZ mengubah 100 peratus penampilan model Honda Stream standard.

Bagi mereka yang gemar untuk mengawal sendiri kedudukan gear sewaktu memandu, anda boleh melakukannya menerusi paddle shifter pada bahagian belakang stereng. Harap-harap kuasa yang diagihkan menerusi gear lima kelajuan itu mampu menepati ekpektasi anda.

Kuasa membrek yang ditawarkan oleh sistem brek cakera ventilasi pada roda hadapan dan gelendong dalam cakera pasti menghilangkan keraguan setiap pemandunya. Dilengkapi bersama sistem brek anti kunci (ABS) dan EBD, keselamatan aktif yang dipadankan bersama dua beg udara SRS itu tidak pernah berkompromi dengan sebarang kemungkinan buruk yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Jika anda memandu dalam keadaan releks dan jarum rpm berlegar di antara 1,000 hingga 3,000 rpm, perkataan ECO pada paparan meter akan menyala. Itu maksudnya, enjin bergerak dalam mode ekonomi.

Berbanding model Stream standard, Stream RSZ telah direndahkan sebanyak 45mm bagi memberikannya titik graviti lebih rendah. Ciri itu mengoptimumkan rekaan lantai rata pada model stream untuk menawarkan tahap pemanduan yang lebih stabil.



Bersaing dengan model seperti Toyota Wish dan Mazda5, Stream RSZ turut dipasarkan di Hong Kong, Macau, Brunei dan Singapura, selain Jepun. Sejak menemui khalayak pada tahun 2006, jualannya mencecah lebih 59,000 unit.

Stream RSZ hadir dalam empat warna pilihan iaitu putih, hitam, merah dan kelabu. Ia dijual pada harga RM155,980 seunit (di atas jalan dengan insurans).

Tenaga dinamik BMW


MODEL BMW 730Ld ini menawarkan penggunaan bahan api yang cukup menjimatkan.

Akhirnya, teknologi yang menjadi dambaan peminat automotif dunia kini tiba di pasaran tempatan. Dibawakan oleh pihak BMW Malaysia, teknologi termaju enjin diesel yang dikenali sebagai Efficient Dynamics itu pasti membuka satu lembaran baru dalam usaha penggunaan bahan api lebih cekap di Malaysia.

Penerimaan pengguna terhadap teknologi itu terbukti menerusi angka jualannya di seluruh dunia. Pada tahun 2008 sahaja, sebanyak 700,000 unit kenderaan yang dilengkapi teknologi Efficient Dynamics berjaya dijual di Eropah.

Menjelang akhir tahun ini, dijangka sebanyak satu juta kenderaan BMW berteknologi itu akan berada di atas jalan raya. Populariti jentera keluaran BMW itu banyak disokong oleh lebih 30 anugerah yang diperolehnya dalam tempoh 10 tahun berikutan kecekapan penggunaan bahan api dan prestasi yang ditawarkannya. Tidak hairan juga jika enjinnya dinobatkan sebagai International Engine of the Year Awards.

Pihak Berkuasa Pengangkutann Motor Persekutuan Jerman mengiktiraf BMW sebagai jenama premium paling menjimatkan pada awal tahun ini.

Apa sebenarnya teknologi Efficient Dynamics? Ia terdiri daripada teknologi High Precision Injection (HPI), BMW Advanced Diesel Engine, Electric Power Steering, Brake Energy Regeneration, reka bentuk aerodinamik dan penggunaan material binaan yang ringan.

HPI yang menjadi teknologi utama dalam Efficient Dynamics dilengkapi dengan rangkaian penyuntik Piezo. Ia diletakkan di antara injap-injap bagi membolehkan proses pembakaran bahan api yang sempurna dan bercekapan tinggi.

Sementara teknologi Brake Energy Regeneration pula membolehkan bateri dicaj menggunakan tenaga kinetik apabila pemandu mengangkat kaki daripada pedal minyak dan menekan brek. Tenaga elektrik daripada bateri itu akan digunakan untuk operasi seluruh peralatan elektrikal dalam kenderaan tersebut.

Reka bentuk aerodinamik yang optimum digabungkan dengan inovasi pengurangan beban melalui penggunaan material ringan seperti aluminium dan magnesium. Hasilnya, ia bukan sahaja meningkatkan tahap penghantaran kuasa, malah menjadikan jentera berasa lebih tangkas.

Pengarah Urusan BMW Malaysia, Geoff Briscoe menyifatkan pengenalan model BMW berenjin diesel dilihat tepat pada masanya. Ia berikutan perubahan kesedaran pengguna Malaysia terhadap alam sekitar, selain inisiatif kerajaan memperkenalkan diesel gred Euro 2.

"Kami memberi fokus istimewa terhadap teknologi diesel di sini. Wujud banyak salah faham bahawa minyak diesel tidak bersih, mahal dan bising. Sedangkan enjin diesel menawarkan 20 peratus lebih kuasa kuda, 75 peratus lebih tork, 30 peratus pengurangan penggunaan bahan api dan 20 peratus kurang mengeluarkan gas karbon monoksida (CO2).

"Pengguna juga boleh berjimat kerana harga diesel 10 sen lebih murah berbanding petrol. Perkiraannya begini, jika memandu tujuh hari seminggu, dua hari daripadanya anda seakan-akan memandu menggunakan diesel secara percuma," kata Briscoe dalam ucapan alu-aluannya.

Perlu diingatkan bahawa teknologi ini tidak terhad kepada model-model tertentu sahaja. Justeru, BMW Malaysia menawarkan empat model diesel terbaru seperti BMW 320d Sports, BMW 520d Sports Edition, BMW X3 xDrive20d Executive Edition dan BMW 730Ld. Lebih menarik lagi, model paling laris iaitu BMW 320i Sports hanya kurang RM7,000 berbanding BMW 320d Sports. Satu tawaran yang nyata sukar untuk diketepikan.




Model BMW X3 xDrive20d Executive Edition misalnya dipasang dengan enjin diesel terkini. Enjin empat silinder dengan blok aluminium sepenuhnya itu mampu menghasilkan kuasa sehingga 130kW dan 20 kilogram lebih ringan.

Enjin diesel binaan BMW juga memberikan model BMW 320d tork maksimum sehingga 350Nm, terbaik dalam kelasnya. Ini membolehkannya mencecah kelajuan 100 km/j dalam hanya 8.4 saat.


BMW juga mendakwa dengan satu tangki penuh, enjin itu membolehkan anda boleh pergi sejauh 1,000 kilometer!

Menjawab skeptikal pengguna Malaysia terhadap kualiti diesel yang ada di stesen minyak seluruh negara, Pengurus Pembangunan Produk BMW Malaysia, Daren Ching menegaskan bahawa model-model diesel BMW itu tidak berdepan sebarang masalah dengan realiti diesel tempatan yang bersulfur tinggi.

"Kami cuma mengalihkan diesel particle filter (penapis partikel diesel) daripada model-model yang dipasarkan di Malaysia. Pengguna tidak perlu bimbang tentang prestasinya," kata Daren.

Ditanya mengenai penerimaan orang ramai terhadap produk terbaru itu, Briscoe yakin permintaan akan meningkat menerusi promosi dari mulut ke mulut.

Bermula 3 Oktober, kesemua empat model BMW EfficientDynamics itu boleh dilihat secara dekat di 14 buah bilik pameran BMW di seluruh negara.

Harga jualan bagi model-model ini tidak termasuk insuran, tetapi ia hadir bersama BMW servis yang meliputi jaminan selama tiga tahun atau 60,000 km perbatuan dan penyelenggaraan.

*BMW 320d Sports: RM255,800

*BMW 520d Sports Edition: RM379,800

*BMW X3 xDrive20d Executive Edition: RM333,800

*BMW 730Ld: RM698,800

Bahana ejen Kereta

Ejen semakin agresif - Banyak ejen tawar pakej lebih hebat daripada pengeluar kereta


PERSAINGAN merebut pelanggan menyebabkan jurujual kereta berlumba-lumba menawarkan pakej pembelian mengatasi apa yang ditawarkan oleh syarikat pengeluar.

KUALA LUMPUR - Persaingan merebut pelanggan menyebabkan ada ejen menjual kereta meneruskan pakej promosi hari raya sehingga akhir tahun ini bagi mencapai sasaran jualan.

Untuk memastikan stok mereka lebih laris daripada bilik pameran syarikat pengeluar kereta, semakin ramai ejen sanggup mengurangkan komisen dengan menawarkan sendiri pakej seperti rebat tunai, Astro, kad Touch n Go, petrol percuma dan televisyen.

Seorang jurujual Perodua di Damansara yang dikenali sebagai Ali memberitahu, tawaran promosi bagi semua model kereta nasional kedua itu diteruskan ekoran sambutan menggalakkan.

Bagi model laris seperti Perodua MyVi, Ali meletakkan syarat bayaran pendahuluan serendah RM100 dan kadar faedah 3.5 peratus jika pinjaman dibuat selama lima tahun.

"Kami juga tawarkan filem penapis haba cermin, petrol percuma penuh tangki, Astro serta kad Touch n Go bernilai RM50," katanya.

Tidak cukup dengan itu, dia juga sedia mengatur pinjaman termasuk kepada kakitangan kerajaan yang disenaraihitamkan oleh institusi kewangan.

Jurujual kereta Hyundai yang dikenali sebagai Anie pula memberitahu, hadiah utama mereka untuk pelanggan ialah televisyen LCD 32 inci.