Saturday, October 17, 2009

Penalaan profesional Cartrade-ABT


Ilyas Mohamad (kiri) dan Wolfgang Kitzeder pada pelancaran Cartrade-ABT di Bangsar, baru-baru ini.



APA lagi yang boleh dipersoalkan pada sebuah kereta yang sudah terpilih antara model terbaik pernah dikeluarkan sejak tiga dekat lalu. Bahkan sehingga kini, Golf GTI masih menjadi penanda aras jenama kepada Volkswagen sejak diperkenalkan 35 tahun lalu.

Selain menjadi pacuan kegemaran di negara pengeluar (Jerman), model sport kompak yang membawa tiga singkatan huruf di belakangnya itu juga dikenali di seluruh dunia sebagai lambang prestasi pemanduan.

Baru-baru ini, model terbaru Golf iaitu Golf GTI Mk6 ditayangkan kepada umum di peringkat antarabangsa dan tidak lama lagi penantian peminat di negara ini juga akan berakhir.

Menariknya di pasaran tempatan, generasi terbaru Golf itu tampil dalam versi yang lebih mengagumkan, hasil sentuhan profesional oleh syarikat penalaan antarabangsa iaitu ABT.

Teknologi naik taraf ABT yang diperturunkan kepada anak syarikat Kumpulan Cartrade, Cartrade-ABT.

Bukan itu sahaja, kemunculan Golf GTI Mk6 juga serentak dengan model kembarnya iaitu Scirocco.

Penjelmaan semula dua jentera Volkswagen itu baru-baru ini dipertontonkan buat pertama kali di negara ini pada pelancaran Cartrade-ABT di bilik pamerannya di Bangsar yang beroperasi sejak Mei tahun lalu.

Pakej naik taraf ABT VSR pada Golf GTI Mk6 kini dibuka pada harga RM47,000 tidak termasuk harga asas model berkenaan yang dianggarkan kira-kira RM210,000. Bagi pakej model Scirocco, tambahan RM45,000 dikenakan daripada harga asas, kira-kira RM230,000.

Penalaan dua model baru itu merangkumi pakej roda, aero-dinamik, suspensi, sistem ekzos dan unit kawalan elektronik (ECU) yang terbukti meningkatkan prestasi kenderaan ke tahap maksimum.

Peningkatan kuasa kuda

Hasil daripada pembaharuan spesifikasi ABT, Golf GTI Mk6 yang memiliki kuasa 210 bhp dipertingkatkan kepada 260 bhp. Manakala bagi Scirocco, penalaan VSR menambah kuasa kepada 240 bhp dengan 360 Newton meter (Nm) kuasa tork.

Pakej yang ditawarkan itu termasuk rim BR 19 inci (hitam), tayar Continental, kit badan penuh, paip mafela tahan karat dan penalaan ECU.

Keistimewaan penalaan ABT yang diperakui itu adalah hasil ketepatan penyambungan yang dilakukan pada bahagian sisipan utama kenderaan. Bahkan, setiap tambahan bahagian kit dijamin menepati faktor aero-dinamik.

Dengan kepakaran teknologi penalaan sejak lebih lima dekad, versi naik taraf ABT pasti memberi kelebihan kepada peminat kereta di negara ini untuk memiliki jentera pemanduan berkuasa dan dinamik.

Volkswagen dan Audi

Pengarah Jualan Cartrade-ABT, Helmi Ilyas berkata, pakej penalaan itu memberi peluang kepada peminat kereta tempatan untuk memaksimumkan prestasi jentera ke peringkat tertinggi.

"ABT adalah jenama pengubahsuaian yang diperakui di peringkat antarabangsa dengan kepakaran penalaan kenderaan menepati spesifikasi perlumbaan," ujarnya pada pelancaran Cartrade-ABT, September lalu.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cartrade, Datuk Ilyas Mohamad bersama-sama Pengarah Urusan ABT-Asia, Wolfgang Kitzeder.

Menurut Helmi, versi naik taraf model Scirocco dijangka menemui pelanggan pada Oktober tahun ini selepas pelancaran rasmi model terbaru itu oleh Volkswagen.

Sementara itu, model Golf GTI Mk6 akan menemui dijangka sedia pada Disember selepas penghantaran pada November ini.

Dianggarkan 600 unit Golf GTI dan 250 unit Scirocco akan berada dalam pasaran dalam tempoh setahun selepas pelancarannya.

Daripada jumlah itu, Cartrade-ABT mensasarkan 50 peratus akan mendapatkan pakej penalaan ABT.

"Volkswagen dijangka menghantar 100 unit Golf GTI dan 90 unit Scirocco menjelang akhir tahun ini.

"Selain Volkswagen, Cartrade-ABT juga menyediakan pakej penalaan kepada beberapa model Audi," tambah Helmi.

Model talaan Volkswagen termasuk model Passat, Touareg, Tiguan, Polo GTIdan Eos manakala model Audi adalah A4, A6, TT, Q5, dan Q7.

Menurut Kitzeder, berdasarkan rekod penjualan 150 buah kenderaan talaan ABT pada tahun lalu, Malaysia kini diletakkan sebagai pasaran ketiga terpenting.

"Disokong oleh industri pemotoran yang berkembang rancak di negara ini, kita yakin Malaysia akan menjadi pasaran ABT terpenting di rantau ini,'' ujarnya.

Mereka yang berminat untuk melihat dengan lebih dekat modelmodel talaan ABT boleh berkunjung ke bilik pameran Cartrade-ABT yang terletak di No. 73, Jalan Maarof, Bangsar,

No comments: