Dibina untuk keluarga dan digayakan untuk si bujang, Honda Stream generasi kedua yang dikenali sebagai Stream RSZ itu nyata memiliki banyak kelebihan tersendiri.
Saya harus mengakui bahawa jentera yang baru dipandu uji ini merupakan varian terbaik model Stream. Model yang terhasil daripada gabungan segmen MPV dan station wagon itu nyata mampu mengukuhkan lagi kenyataan bahawa kenderaan untuk keluarga juga boleh disuntik dengan elemen sporty.
Penampilan penuh gaya Honda Stream RSZ berwarna putih mutiara itu banyak disumbangkan oleh bodykit penuh RSZ. Ia meliputi bumper hadapan yang lengkap bersama sepasang lampu kabus, gril radiator dengan emblem Honda dan RSZ berwarna merah putih, skirt sisi serta bumper belakangnya. Lampu utama jenis HID (High Intensity Discharge) itu diletakkan dalam perumah berwarna hitam. Kemudian, wajah itu disempurnakan dengan rim aloi lima jejari bersaiz 17 inci.
Itu untuk bahagian luarnya. Secara peribadinya, saya cukup menyukai tona yang digunakan untuk kokpitnya. Warna hitam memonopoli setiap inci ruang. Sama ada papan pemuka, panel sisi mahupun tempat duduk. Tempat duduk yang dibalut dengan material berkualiti tinggi itu juga memberi sokongan sebaiknya kepada tubuh agar perjalanan jauh tidak terasa terlalu meletihkan.
Tiada sebarang corong pendingin hawa khas untuk penumpang belakang. Jangan bimbang, udara sejuk mampu sampai kepada anda kerana empat corong udara bersaiz besar yang ada pada papan pemuka dapat menjalankan fungsinya dengan cukup baik.
Walaupun Stream RSZ boleh menempatkan tujuh orang dengan selesa, tetapi dua tempat duduk paling belakang boleh dikatakan lebih sesuai untuk kanak-kanak. Bagi memaksimumkan ruang penyimpanan barang dan menjadikannya lebih luas, tuil gear diletakkan pada konsol tengah bersebelahan dengan butang kawalan pendingin hawa. Tuil brek tangan juga ditiadakan dan diganti dengan brek yang diletakkan di sebelah pedal brek.
Benda pertama yang akan saya keluarkan daripada Stream RSZ adalah unit audio double DINnya. Bukan tidak cantik, tetapi pemain cakera padat, muzik format mp3 dan USB itu kurang mesra pengguna.
Percaya atau tidak, agak sukar untuk anda mencari frekuensi stesen radio secara manual. Kalau dilakukan secara automatik pula, susah sekali ia akan 'melekat' pada stesen radio yang anda mahukan. Mujur juga ia boleh memainkan muzik daripada mp3 dan bunyi yang dihasilkan oleh pembesar suaranya memuaskan.
Stream RSZ dipasang dengan unit enjin bersesaran 1.8 liter sebagaimana yang ada pada model Stream standard. Tidak dapat dinafikan bahawa enjin i-VTEC SOHC itu perlu dipaksa bekerja sedikit keras untuk mengheret tubuhnya yang agak besar.
Namun, ia tidaklah seteruk yang disangka kerana responsif enjinnya masih boleh dirasai dengan ketara apabila jarum memanjat angka 4,000 rpm ke atas.
Bagi mereka yang gemar untuk mengawal sendiri kedudukan gear sewaktu memandu, anda boleh melakukannya menerusi paddle shifter pada bahagian belakang stereng. Harap-harap kuasa yang diagihkan menerusi gear lima kelajuan itu mampu menepati ekpektasi anda.
Kuasa membrek yang ditawarkan oleh sistem brek cakera ventilasi pada roda hadapan dan gelendong dalam cakera pasti menghilangkan keraguan setiap pemandunya. Dilengkapi bersama sistem brek anti kunci (ABS) dan EBD, keselamatan aktif yang dipadankan bersama dua beg udara SRS itu tidak pernah berkompromi dengan sebarang kemungkinan buruk yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
Jika anda memandu dalam keadaan releks dan jarum rpm berlegar di antara 1,000 hingga 3,000 rpm, perkataan ECO pada paparan meter akan menyala. Itu maksudnya, enjin bergerak dalam mode ekonomi.
Berbanding model Stream standard, Stream RSZ telah direndahkan sebanyak 45mm bagi memberikannya titik graviti lebih rendah. Ciri itu mengoptimumkan rekaan lantai rata pada model stream untuk menawarkan tahap pemanduan yang lebih stabil.
Bersaing dengan model seperti Toyota Wish dan Mazda5, Stream RSZ turut dipasarkan di Hong Kong, Macau, Brunei dan Singapura, selain Jepun. Sejak menemui khalayak pada tahun 2006, jualannya mencecah lebih 59,000 unit.
Stream RSZ hadir dalam empat warna pilihan iaitu putih, hitam, merah dan kelabu. Ia dijual pada harga RM155,980 seunit (di atas jalan dengan insurans).
No comments:
Post a Comment