HYUNDAI Starex generasi kedua diperkenalkan oleh Hyundai-Sime Darby Motors Sdn. Bhd. pada Mei tahun lalu. Ia sememangnya memberi peluang kepada pengguna untuk memiliki kenderaan mengangkut penumpang bersaiz penuh pada harga berpatutan.
Sebabnya, sebelum ini segmen tersebut lebih dimonopoli oleh unit-unit recond seperti Toyota Estima, Toyota Alphard, Nissan Elgrand atau Mercedes-Benz Vito yang hanya dibawa masuk oleh pengimport parlel (grey importer). Malangnya, tidak ramai yang mampu untuk membeli model-model itu yang harganya melebihi RM200,000.
Atas sebab itulah, Hyundai Starex pantas mengisi kekosongan tersebut. Kini, Hyundai Starex tampil dengan pembaharuan fizikal yang lebih menarik. Diberi nama Hyundai Starex Royale, ia dilengkapi dengan pelbagai aksesori yang menjadikannya lebih premium.
Secara jujurnya, saya tidak suka memandu kenderaan besar. Apatah lagi apabila memikirkan kawasan parkir di rumah yang hanya sesuai untuk kereta bersaiz sederhana.
Namun begitu, saya berikan pengecualian kepada Hyundai Starex Royale. Bukan bias tetapi banyak sebab yang boleh membuatkan sesiapa sahaja sukakan jentera berkapasiti 11 tempat duduk itu.
Hyundai Starex Royale tidak kalah dari aspek penampilan. Menerima facelift bodykit penuh, paling menyerlah adalah rekaan gril radiator pada bahagian hadapan. Di sekeliling tubuhnya sepanjang 5.1 meter itu pula, dipasang skirting.
Perumah cermin sisi ditambah fungsinya dengan menempatkan lampu indikator LED yang lebih praktikal dan mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain. Selain itu, lampu utama itu akan menyala secara automatik jika persekitaran semakin gelap.
Walaupun tubuhnya seperti tidak jauh beza dengan bas mini, mengendalikan Hyundai Starex Royale tidak sukar. Radius pusingan sterengnya membuatkan membelok dan memakir menjadi mudah.
Ditambah pula dengan skrin sesentuh sistem audionya bertukar kepada paparan kamera apabila gear undur dimasukkan. Dilengkapi dengan empat alat pengesan pada bumper belakang, bunyinya sedikit perlahan.
Perubahan besar pada kabin Hyundai Starex Royale adalah tempat duduk yang dibalut dengan kulit berwarna beige. Konsol tengahnya menempatkan tuil gear, butang kawalan pendingin hawa dan sistem audio yang mudah dicapai. Untuk menghilangkan kebosanan penumpang, skrin LCD bersaiz tujuh inci itu boleh memainkan filem kegemaran.
Sebagai sebuah kenderaan untuk seisi keluarga, ruang meletak botol minuman dan ruang penyimpanan barang cukup untuk semua. Kalau terpaksa membawa banyak kargo, apa yang boleh dibuat adalah gelongsorkan tempat duduk baris ketiga dan keempat ke hadapan. Ya, itu sahaja yang boleh anda lakukan
Untuk keselamatan, kesemua tempat duduknya dipasang dengan tali pinggang keledar. Bagi mereka yang membawa anak kecil, jangan lupa mengunci pintu dengan menekan butang yang ada pada panel sisi pintu. Sebabnya, ia tidak akan terkunci secara automatik walaupun kelajuan mencecah angka tiga digit.
|
|
Dipadankan dengan gear automatik lima kelajuan, ciri tiptronic padanya membolehkan anda mengawal sendiri kedudukan gear mengikut kesesuaian pemanduan.
Sekali fikir, ia mungkin tidak berpadanan dengan berat kenderaan yang sarat dengan penumpang dan kargo tetapi hamburan kuasanya tidak mengecewakan. Enjin binaan sepenuhnya Hyundai Motor Corporation itu sekali lagi membuktikan keupayaannya apabila mampu mendaki tingkat-tingkat parkir di KLIA tanpa sebarang masalah. Lebih menarik lagi, enjin itu tidak membuatkan pemiliknya kerap ke stesen minyak.
Dengan binaan kerangka yang tinggi, olengan tubuhnya ketika mengambil selekoh tidak ketara. Lagipun, tidak mungkin anda mahu memandu kenderaan keluarga seperti itu selaju pemandu F1.
Suspensi yang tidak terlalu keras membolehkan semua penumpang terus berasa selesa biarpun tempoh perjalanan lama. Enam corong pendingin hawa yang boleh dilaras pada siling pula memastikan tiada siapa akan kepanasan.
Hyundai Starex Royale didatangkan dengan empat warna pilihan iaitu putih, hitam, kelabu dan perak. Harga? Hanya RM148,888 (Semenanjung) dan RM153,997.50 (Sabah dan Sarawak) di atas jalan.
Lengkap dengan jaminan eksklusif lima tahun atau perbatuan sejauh 300,000, saya boleh katakan ia satu pembelian yang sangat berbaloi.
No comments:
Post a Comment