Monday, March 8, 2010

Masalah tempoh mansuh AP

JIKA 30 tahun lalu, tiada siapa yang dapat menjangkakan bakal ada usahawan bumiputera yang berkecimpung dalam industri mengimport kereta terpakai yang berjenama. Ketika itu, industri pengimportan kereta-kereta mewah seperti jenama Porshe, Opel, Suzuki, Alfa Romeo, Rover dan banyak lagi dikuasai oleh kaum bukan bumiputera.

Bagaimanapun, pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971 membuka peluang kepada bukan bumiputera terutamanya orang Melayu untuk berjinak-jinak dalam cabang sektor automotif.

Pengeluaran AP kepada pengimport kereta di kalangan usahawan bumiputera misalnya, adalah antara usaha kerajaan untuk mendekatkan jurang ekonomi di kalangan rakyat.

Dasar pengimportan kenderaan bermotor secara terkawal itu bagaimanapun bermula lebih awal berbanding DEB iaitu pada 1970 dan diperkenalkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman.

Ketika itu, peruntukan AP secara kuota tetap iaitu antara 30 hingga 200 unit setahun diberikan kepada kira-kira 269 syarikat pengimport bumiputera.

Dengan bermodalkan antara RM50,000 hingga RM100,000, syarikat bumiputera itu melibatkan diri secara aktif dalam usaha memecah monopoli syarikat bukan bumiputera. Sebahagian besar daripada mereka bermula dari bawah dengan modal, kepakaran dan rangkaian yang terhad.

Kerana itu ramai daripada mereka yang tidak dapat bertahan dan muflis terutamanya selepas tiga kali pusingan kegawatan ekonomi iaitu pada 1985,1994 dan 1997/1998. Ketika ini, jumlah syarikat pengimport ialah sebanyak 93 buah.

Namun apa yang lebih membimbangkan, syarikat pengimport kereta bumiputera selepas ini kemungkinan tidak akan wujud lagi. Ini bersandarkan kepada dasar baru kerajaan yang akan menamatkan jangka hayat AP terpakai pada 31 Disember 2015.

Dasar itu merupakan antara intipati kajian kajian semula Dasar Automotif Negara (DAN) yang diumumkan oleh kerajaan pada Oktober 2009. Selain pemansuhan AP, kajian semula DAN itu juga memerlukan syarikat-syarikat pengimport kereta membayar caj sebanyak RM10,000 bagi setiap kereta yang dibawa masuk.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Pemangku Presiden Persatuan Pengimport Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abd. Rahman berkata, perkara itu sangat mengejutkan kerana ia dibuat secara sebelah pihak.

Pandangan Pekema selaku wakil kepada pemain industri automatif bumiputera tidak diambil kira dalam dasar itu. Dasar itu benar- benar memberi impak negatif dan boleh membunuh pengimport kereta bumiputera khususnya orang Melayu.

Sedangkan, tegas beliau, pemansuhan AP terpakai atau terbuka sebelum ini yang menjadi antara intipati awal DAN, sudah pun dipersetujui untuk dilanjutkan sehingga 2020.

Pelaksanaan caj sebanyak RM10,000 bagi setiap AP yang dikeluarkan kerajaan pula tambah beliau, akan menyebabkan ramai pengimport kereta menanggung kerugian. Ini kerana banyak syarikat yang tidak mampu untuk menghabiskan kuota AP yang diberikan kepada mereka.

Zainuddin mengambil contoh sekiranya sesebuah syarikat mendapat 500 AP, syarikat itu perlu membayar caj sebanyak RM5 juta.

''Jumlah itu terlalu besar dan ia belum mengambil kira bayaran lain seperti cukai perniagaan dan sebagainya. Sementelah bayaran caj itu pula perlu dibayar sebaik pengimport mendapat AP dan bukannya selepas kereta terjual," katanya.

Justeru, kerajaan sewajarnya mengkaji semula dasar itu dan mengambil kira survivor pengimport bumiputera yang sudah lama berkecimpung dalam dunia automotif. Pengimport seperti yang dijelaskan oleh Zainuddin, tidak mempunyai halangan untuk membayar caj itu kerana menyedari kebaikannya yang ditubuhkan sebagai tabung pembangunan bumiputera.

Bagaimanapun, katanya, caj itu biarlah pada kadar yang berpatutan dan mampu ditanggung oleh mereka. ''Pekema sudah menghantar permohonan untuk kerajaan menyemak semula caj tersebut dan menurunkannya kepada hanya RM5,000 dan dibayar selepas kereta dijual. Tetapi sehingga kini, kami masih belum mendapat jawapan," katanya.

Dalam isu pemansuhan AP itu, tambah Zainuddin, kerajaan tidak seharusnya terikut- ikut dengan desakan sesetengah pihak yang meminta ia dihapuskan. Alasannya kerana pemberian AP itu hanya memberi keuntungan kepada segelintir pihak semata-mata dan berlakunya penipuan.

Sedangkan Pekema sendiri sudah memberi jaminan kepada kerajaan untuk bertindak ke atas mana-mana pengimport yang melakukan kesalahan itu. Dalam masa yang sama, kerajaan perlu melihat bagaimana dasar AP ini berjaya melahirkan ramai jutawan Melayu dalam bidang yang sebelum ini lebih banyak dikuasai oleh sektor asing.

Dasar pemberian AP itu juga tidak membebankan kerajaan dari mana-mana sudut sekali pun seperti kewujudan tabung khas atau sebagainya. Sebaliknya, usahawan bumiputera itu berdiri di atas tapak sendiri dan melalui pelbagai keperitan, cabaran dan halangan untuk bertahan dalam industri tersebut.

Sementelah, kewujudan dasar pemberian AP kereta terpakai itu juga tidak mengganggu pasaran kereta tempatan kerana ia hanya ditetapkan pada kadar 10 peratus sahaja daripada pengeluaran kereta tempatan. Malah pada tahun lalu misalnya, hanya tiga peratus kereta terpakai sahaja dibawa masuk iaitu sebanyak 17,983 buah.

Selain itu, kereta terpakai juga mempunyai kelompok pasaran tersendiri yang jauh berbeza dengan kelompok pasaran kereta tempatan. Seperkara yang perlu diberi perhatian ialah sumbangan industri kereta import ini kepada pembangunan dan pendapatan negara.

Syarikat pengimport kereta bumiputera ini telah mengeluarkan pelaburan bernilai puluhan juta ringgit dalam bentuk pinjaman jangka panjang dengan bank.

Mereka juga menyumbang lebih RM1 bilion setahun melalui pungutan duti eksais dan duti import iaitu 30 peratus daripada pungutan cukai industri automotif keseluruhannya.

Kebanyakan pengimport kereta bumiputera yang berjaya turut membuka rantaian perniagaan dalam pelbagai bidang seperti hartanah, perhotelan perladangan dan sebagainya membabitkan pelaburan yang dianggarkan berjumlah RM1.5 bilion

Industri-industri lain seperti perkhidmatan pelabuhan tempatan, syarikat dan ejen forwading, syarikat pengangkutan, sektor baik pulih kenderaan, insurans, syarikat alat ganti dan aksesori turut merasai keuntungan daripada kerancakan sektor automotif itu.

Industri ini serta rantaian industri yang diwujudkan telah memberi peluang pekerjaan kepada kira-kira 70,000 orang rakyat tempatan.

''Kejayaan bumiputera dalam perniagaan kereta ini adalah antara hasil kejayaan daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB). Justeru, kenapa dalam 30 tahun kewujudannya yang melahirkan ramai bumiputera berjaya, ia mahu dihapuskan begitu sahaja?" tegas Zainuddin.

info Utusan Malaysia

Saturday, March 6, 2010

Kereta super memukau


Hispano Suiza










Hispano Suiza sSejak menghentikan pengeluaran selepas Perang Dunia Kedua, jenama asal Sepanyol iaitu Hispano Suiza membuat penampilan semula dengan jentera terbarunya. Model mewah itu bagaimanapun tidak menggunakan sebarang nama model khas.

Reka bentuk pelik seakan-akan sebuah bot laju dan spesifikasi yang hebat berjaya mencuri tumpuan pelawat sepanjang IGMS.

Hispano Suiza menggunakan enjin V10 5.2 liter Audi R8 dengan tambahan dua pengecas lampau elektrik. Hasilnya adalah tambahan kuasa kuda daripada 525 kepada 750. Ia memiliki capaian 100 km/j dalam masa 3.3 saat dengan kelajuan maksimum 330 km/j.

Jentera ini keluaran Switzerland ini dibina melalui tempahan dengan pilihan enam transmisi automatik atau manual automatik klac dan menggunakan suspensi Hispano Suiza.

Pengeluar menjangkakan penjualan antara 20 hingga 25 buah setiap tahun pada harga AS$949,300 walaupun tanda harga yang ditetapkan itu agak tidak masuk akal dengan nama yang digunakan. Sebagai perbandingan, harga bagi sebuah Audi R8 5.2 sekitar AS$221,300.

Emas bawa Proton ke pentas dunia


Proton Emas yang merupakan model konsep utama Proton.
















SELEPAS 25 tahun, Proton Holdings Berhad (Proton) melakar satu lagi sejarah penting buat negara melalui kelahiran tiga buah kereta konsep yang bakal melonjak jenama kebangsaan itu ke persada dunia.

Detik penuh bersejarah itu turut disaksikan oleh ribuan pelawat yang berkunjung di Pameran Motor Antarabangsa Geneva (IGMS) di Geneva, Switzerland.

Yang pasti, kemunculan tiga jentera kecil molek itu turut mencuri perhatian umum dan meletakkan Proton sebaris dengan pengeluar daripada jenama terkenal dan mewah.

Kejayaan terbaru itu membukitkan kesungguhan Proton untuk bersaing di peringkat global dan bukannya sekadar menghasilkan kenderaan untuk pasaran tempatan.

Proton Emas, Emas Country dan Emas-3 adalah model konsep keluaran Proton bersama anak syarikatnya, Lotus yang direka oleh firma automotif terkemuka Itali iaitu Italdesign Giugiaro.

Emas yang menggunakan akronim "Eco Mobility Advance Solution" adalah kereta konsep hibrid yang dijangka berada di pasaran menjelang tahun 2012.

Ketiga-tiga konsep berkenaan dibangunkan di atas platform yang sama tetapi mempunyai konfigurasi berbeza dari aspek penjanaan kuasa dengan tumpuan khusus terhadap aplikasi teknologi hibrid.

Emas adalah jentera hibrid dengan kerangka atau casis rekaan khas yang menggunakan enjin endothermic di depan khusus untuk mengecas bateri ion litium yang menghasilkan janaan kuasa elektrik dan bateri di belakang.

Sistem enjin Lotus Range Extender menggunakan enjin tiga silinder sesondol tunggal empat injap dengan jumlah berat hanya 56 kilogram yang dioptimumkan dengan dua nilai rpm. Dengan kuasa itu, Emas mempunyai jumlah 107 Nm tork pada kelajuan 2,500rpm.

Emas adalah model utama lima pintu dengan empat tempat duduk. Emas Country pula adalah jenis hatchback yang memiliki gaya kenderaan utili sukan (SUV) dan suspensi tinggi dengan lima tempat duduk manakala Emas-3 mempunyai tiga pintu 3+1 tempat duduk dan sesuai untuk pemanduan bandar.

Maklumat awal menyatakan Emas Country dan Emas-3 akan dibangun berasaskan teknologi hibrid plug-in selain pemasangan enjin konvensional yang digerakkan bahan api petrol, etanol, metanol dan gas asli.

Kesemua model Emas berkuasa 1.2 liter dengan 51 kuasa kuda direka untuk beroperasi dalam kelajuan rpm tertentu sahaja, bersesuaian dengan kapasiti kereta hibrid.

Dengan berukuran hanya tiga meter panjang, ketiga-tiga kereta konsep tersebut bagaimanapun direka khusus untuk memaksimumkan ruang dan pada masa sama mengekalkan konsep kereta kompak berciri kontemporari.

Bahagian dalaman kenderaan ini juga boleh dibanggakan. Semuanya disusun kemas dan dengan kepelbagaian butang fungsi.

Emas dilengkapi dua monitor yang memaparkan maklumat berkaitan sistem hibrid di sebelah kanan manakala monitor di sebelah kiri menyajikan kepuasan multimedia seperti akses Internet dan paparan penyambungan peralatan elektronik.

Begitu juga dengan reka bentuknya. Walaupun dibina dengan rekaan bumbung tinggi, Emas sebenarnya 36 sentimeter lebih rendah daripada Proton Savvy. Majalah Autocar UK semasa memaparkan imej Emas buat kali pertama menggunakan istilah supermini di dalam ulasannya.

Pelancaran ketiga-tiga kereta konsep itu disempurnakan bekas Perdana Menteri yang juga pengasas dan Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada hari pertama Pameran Motor Antarabangsa Geneva Ke-80, baru-baru ini.

Dr. Mahathir berkata, Proton, Lotus dan Italdesign sedang dalam proses memuktamadkan reka bentuk sebelum dijangka dikeluarkan untuk pasaran dalam tempoh dua tahun lagi.

Turut sama Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Pengerusi Proton, Datuk Mohd. Nazmi Mohd. Salleh; Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir dan Pengerusi Italdesign Giugiaro, Fabrizio Giugiaro.

Sementara itu, Syed Zainal Abidin yang hadir menyaksikan pelancaran bersejarah itu berkata, Proton memerlukan tempoh antara 17 hingga 24 bulan untuk memasukkan kereta itu ke pasaran.

Giugiaro pula menyifatkan konsep itu sebagai kereta hari ini yang memiliki rekaan masa depan.

"Kita tidak mahu Emas dipanggil kereta konsep sebaliknya ia adalah satu konsep untuk kereta-kereta masa depan,"ujarnya.

UMW Toyota sasar jual 88,000 kenderaan




UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota) menyasarkan menjual 88,000 unit kenderaan tahun ini, peningkatan 6,000 unit berbanding tahun lalu.

Presidennya, Kuah Kock Heng berkata, syarikat itu menyasarkan penguasaan pasaran 16 peratus tahun ini, naik 15.4 peratus berbanding tahun lalu.Menurutnya, keadaan itu selaras dengan pemulihan sentimen perniagaan dan pengguna.

“Bagi dua bulan pertama tahun ini, kami meletakkan hampir 13,000 kenderaan baru di jalan raya,” katanya selepas pelancaran pusat servis Puchong Jaya oleh Pengerusinya, Tan Sri Asmat Kamaludin, semalam.

Beliau berkata, Toyota Vios, Camry dan Hilux kekal sebagai model popular syarikat.

Terdahulu dalam ucapannya, Kuah berkata, UMW Toyota memperuntukkan RM170 juta untuk perbelanjaan modal bagi meningkatkan kemudahan jualan, servis, logistik dan pembuatan.

“Ini bagi menampung bilangan kenderaan Toyota yang semakin bertambah serta meningkatkan kepuasan pengguna,” katanya.

UMW Toyota kini mempunyai 60 pusat servis di seluruh negara.

Beliau berkata, syarikat itu mencatatkan rekod baru apabila menyelenggara lebih satu juta unit kenderaan Toyota tahun lalu berbanding 900,000 unit tahun sebelumnya.

Menurutnya, bagi pusat servis baru itu, syarikat melabur kira-kira RM24 juta untuk membeli tanah dan melengkapkan pusat itu dengan kemudahan dan kapasiti untuk menyelenggara sehingga 145 kereta sehari. - Bernama

Friday, March 5, 2010

DAN: Banyak reaksi teknologi hijau

KUALA LUMPUR 4 Mac - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerima banyak maklum balas daripada para pengeluar kereta mewah berhubung lesen pengilang bagi segmen tersebut.

Ketua Setiausaha MITI, Tan Sri Rahman Mamat berkata, maklum balas itu diterima dari kalangan syarikat multinasional yang ingin mendapatkan penjelasan lanjut tentang insentif yang ditawarkan dalam Dasar Automotif Nasional (DAN).

''Mereka yang berminat itu terdiri daripada pembuat kenderaan teknologi hijau dan ini merupakan satu perkembangan positif kepada industri automotif negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis perjanjian pengedaran kenderaan Chevrolet di antara Kumpulan Naza dan General Motors di sini hari ini.

Beliau hadir bagi mewakili Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sementara itu, dalam teks ucapannya, Mustapa menyeru syarikat-syarikat automotif tempatan supaya lebih berani meneroka pasaran dan mempelajari amalan terbaik dalam pasaran-pasaran lain untuk menjadi lebih kompetitif di peringkat global.

Jelasnya, industri berkenaan juga diminta bersedia merebut manfaat-manfaat baru yang diperoleh dalam setiap Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

''Pengurangan dan pemansuhan tarif di bawah FTA akan membantu menyediakan peluang terbuka lebih baik kepada pasaran alat ganti dan komponena dalam negara-negara rakan kongsi,'' tambahnya.

Mustapa berkata, industri automotif tempatan mempunyai kitaran pusingan produk yang pendek berikutan perubahan pilihan pengguna yang pantas.

Kereta elektrik buatan tangan


GAMBAR menunjukkan sebuah kereta elektrik buatan tangan yang dikeluarkan dari sebuah garaj di bandar Toyama pada 24 Februari lalu.

TOYAMA, Jepun - Banyak syarikat gergasi automotif di dunia membelanjakan jutaan ringgit untuk mengeluarkan kereta elektrik mesra alam.

Namun, sebuah syarikat kecil di Jepun mengambil pendekatan berbeza apabila mengeluarkannya dengan menggunakan tangan.

Takeoka Jidosha Kogei merintis perniagaan itu sejak 1981 dengan membina kereta mini untuk golongan kurang upaya, sebelum membuat kereta elektrik pada tahun 1990-an dengan bantuan syarikat elektrik tempatan.

Bisnes keluarga itu ialah mengeluarkan kereta di sebuah bengkel di kaki bukit bersalji di Toyama, Jepun.

Pengeluaran kereta itu melibatkan beberapa mekanik yang sibuk menyiapkannya dengan menggunakan tangan.

Kereta elektrik model T-10 yang dikeluarkan itu mempunyai satu tempat duduk itu cukup untuk menempatkan seorang pemandu dewasa, selain ruang ekstra bagi binatang peliharaan kecil sebagaimana diminta oleh pelanggan.

Berbentuk kotak, kereta dua pintu itu berwarna hijau, putih, merah dan kuning dan dijual pada harga AS$9,600 (RM32,376) seunit.

Angka jualannya ialah sekitar 100 unit setahun.

Sama seperti kereta elektrik yang lain, ia menggunakan bateri lithium-ion dan boleh dicaj dari soket elektrik konvensional.

Subsidi petrol berperingkat batal


ISMAIL SABRI bertemu dengan pengguna di stesen minyak Petronas di Presint 16, Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA - Kerajaan semalam mengesahkan tidak akan meneruskan cadangan mengadakan sistem subsidi minyak berperingkat yang sepatutnya dilaksanakan pada 1 Mei depan dan tiada kenaikan harga bahan api itu buat masa sekarang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat.

"Keputusan ini bermakna sistem petrol bersubsidi negara kekal seperti biasa dan rakyat asing di negara ini masih boleh membeli petrol dengan harga subsidi.

"Saya juga ingin nyatakan tidak ada kenaikan harga petrol setakat ini," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Sebelum ini, kerajaan bercadang melaksanakan penggunaan MyKad sebagai mekanisme kepada sistem dua harga petrol untuk rakyat tempatan dan bukan warganegara mulai 1 Mei depan.