Monday, March 8, 2010

Masalah tempoh mansuh AP

JIKA 30 tahun lalu, tiada siapa yang dapat menjangkakan bakal ada usahawan bumiputera yang berkecimpung dalam industri mengimport kereta terpakai yang berjenama. Ketika itu, industri pengimportan kereta-kereta mewah seperti jenama Porshe, Opel, Suzuki, Alfa Romeo, Rover dan banyak lagi dikuasai oleh kaum bukan bumiputera.

Bagaimanapun, pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971 membuka peluang kepada bukan bumiputera terutamanya orang Melayu untuk berjinak-jinak dalam cabang sektor automotif.

Pengeluaran AP kepada pengimport kereta di kalangan usahawan bumiputera misalnya, adalah antara usaha kerajaan untuk mendekatkan jurang ekonomi di kalangan rakyat.

Dasar pengimportan kenderaan bermotor secara terkawal itu bagaimanapun bermula lebih awal berbanding DEB iaitu pada 1970 dan diperkenalkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman.

Ketika itu, peruntukan AP secara kuota tetap iaitu antara 30 hingga 200 unit setahun diberikan kepada kira-kira 269 syarikat pengimport bumiputera.

Dengan bermodalkan antara RM50,000 hingga RM100,000, syarikat bumiputera itu melibatkan diri secara aktif dalam usaha memecah monopoli syarikat bukan bumiputera. Sebahagian besar daripada mereka bermula dari bawah dengan modal, kepakaran dan rangkaian yang terhad.

Kerana itu ramai daripada mereka yang tidak dapat bertahan dan muflis terutamanya selepas tiga kali pusingan kegawatan ekonomi iaitu pada 1985,1994 dan 1997/1998. Ketika ini, jumlah syarikat pengimport ialah sebanyak 93 buah.

Namun apa yang lebih membimbangkan, syarikat pengimport kereta bumiputera selepas ini kemungkinan tidak akan wujud lagi. Ini bersandarkan kepada dasar baru kerajaan yang akan menamatkan jangka hayat AP terpakai pada 31 Disember 2015.

Dasar itu merupakan antara intipati kajian kajian semula Dasar Automotif Negara (DAN) yang diumumkan oleh kerajaan pada Oktober 2009. Selain pemansuhan AP, kajian semula DAN itu juga memerlukan syarikat-syarikat pengimport kereta membayar caj sebanyak RM10,000 bagi setiap kereta yang dibawa masuk.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Pemangku Presiden Persatuan Pengimport Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abd. Rahman berkata, perkara itu sangat mengejutkan kerana ia dibuat secara sebelah pihak.

Pandangan Pekema selaku wakil kepada pemain industri automatif bumiputera tidak diambil kira dalam dasar itu. Dasar itu benar- benar memberi impak negatif dan boleh membunuh pengimport kereta bumiputera khususnya orang Melayu.

Sedangkan, tegas beliau, pemansuhan AP terpakai atau terbuka sebelum ini yang menjadi antara intipati awal DAN, sudah pun dipersetujui untuk dilanjutkan sehingga 2020.

Pelaksanaan caj sebanyak RM10,000 bagi setiap AP yang dikeluarkan kerajaan pula tambah beliau, akan menyebabkan ramai pengimport kereta menanggung kerugian. Ini kerana banyak syarikat yang tidak mampu untuk menghabiskan kuota AP yang diberikan kepada mereka.

Zainuddin mengambil contoh sekiranya sesebuah syarikat mendapat 500 AP, syarikat itu perlu membayar caj sebanyak RM5 juta.

''Jumlah itu terlalu besar dan ia belum mengambil kira bayaran lain seperti cukai perniagaan dan sebagainya. Sementelah bayaran caj itu pula perlu dibayar sebaik pengimport mendapat AP dan bukannya selepas kereta terjual," katanya.

Justeru, kerajaan sewajarnya mengkaji semula dasar itu dan mengambil kira survivor pengimport bumiputera yang sudah lama berkecimpung dalam dunia automotif. Pengimport seperti yang dijelaskan oleh Zainuddin, tidak mempunyai halangan untuk membayar caj itu kerana menyedari kebaikannya yang ditubuhkan sebagai tabung pembangunan bumiputera.

Bagaimanapun, katanya, caj itu biarlah pada kadar yang berpatutan dan mampu ditanggung oleh mereka. ''Pekema sudah menghantar permohonan untuk kerajaan menyemak semula caj tersebut dan menurunkannya kepada hanya RM5,000 dan dibayar selepas kereta dijual. Tetapi sehingga kini, kami masih belum mendapat jawapan," katanya.

Dalam isu pemansuhan AP itu, tambah Zainuddin, kerajaan tidak seharusnya terikut- ikut dengan desakan sesetengah pihak yang meminta ia dihapuskan. Alasannya kerana pemberian AP itu hanya memberi keuntungan kepada segelintir pihak semata-mata dan berlakunya penipuan.

Sedangkan Pekema sendiri sudah memberi jaminan kepada kerajaan untuk bertindak ke atas mana-mana pengimport yang melakukan kesalahan itu. Dalam masa yang sama, kerajaan perlu melihat bagaimana dasar AP ini berjaya melahirkan ramai jutawan Melayu dalam bidang yang sebelum ini lebih banyak dikuasai oleh sektor asing.

Dasar pemberian AP itu juga tidak membebankan kerajaan dari mana-mana sudut sekali pun seperti kewujudan tabung khas atau sebagainya. Sebaliknya, usahawan bumiputera itu berdiri di atas tapak sendiri dan melalui pelbagai keperitan, cabaran dan halangan untuk bertahan dalam industri tersebut.

Sementelah, kewujudan dasar pemberian AP kereta terpakai itu juga tidak mengganggu pasaran kereta tempatan kerana ia hanya ditetapkan pada kadar 10 peratus sahaja daripada pengeluaran kereta tempatan. Malah pada tahun lalu misalnya, hanya tiga peratus kereta terpakai sahaja dibawa masuk iaitu sebanyak 17,983 buah.

Selain itu, kereta terpakai juga mempunyai kelompok pasaran tersendiri yang jauh berbeza dengan kelompok pasaran kereta tempatan. Seperkara yang perlu diberi perhatian ialah sumbangan industri kereta import ini kepada pembangunan dan pendapatan negara.

Syarikat pengimport kereta bumiputera ini telah mengeluarkan pelaburan bernilai puluhan juta ringgit dalam bentuk pinjaman jangka panjang dengan bank.

Mereka juga menyumbang lebih RM1 bilion setahun melalui pungutan duti eksais dan duti import iaitu 30 peratus daripada pungutan cukai industri automotif keseluruhannya.

Kebanyakan pengimport kereta bumiputera yang berjaya turut membuka rantaian perniagaan dalam pelbagai bidang seperti hartanah, perhotelan perladangan dan sebagainya membabitkan pelaburan yang dianggarkan berjumlah RM1.5 bilion

Industri-industri lain seperti perkhidmatan pelabuhan tempatan, syarikat dan ejen forwading, syarikat pengangkutan, sektor baik pulih kenderaan, insurans, syarikat alat ganti dan aksesori turut merasai keuntungan daripada kerancakan sektor automotif itu.

Industri ini serta rantaian industri yang diwujudkan telah memberi peluang pekerjaan kepada kira-kira 70,000 orang rakyat tempatan.

''Kejayaan bumiputera dalam perniagaan kereta ini adalah antara hasil kejayaan daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB). Justeru, kenapa dalam 30 tahun kewujudannya yang melahirkan ramai bumiputera berjaya, ia mahu dihapuskan begitu sahaja?" tegas Zainuddin.

info Utusan Malaysia

No comments: