Saturday, March 6, 2010

UMW Toyota sasar jual 88,000 kenderaan




UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota) menyasarkan menjual 88,000 unit kenderaan tahun ini, peningkatan 6,000 unit berbanding tahun lalu.

Presidennya, Kuah Kock Heng berkata, syarikat itu menyasarkan penguasaan pasaran 16 peratus tahun ini, naik 15.4 peratus berbanding tahun lalu.Menurutnya, keadaan itu selaras dengan pemulihan sentimen perniagaan dan pengguna.

“Bagi dua bulan pertama tahun ini, kami meletakkan hampir 13,000 kenderaan baru di jalan raya,” katanya selepas pelancaran pusat servis Puchong Jaya oleh Pengerusinya, Tan Sri Asmat Kamaludin, semalam.

Beliau berkata, Toyota Vios, Camry dan Hilux kekal sebagai model popular syarikat.

Terdahulu dalam ucapannya, Kuah berkata, UMW Toyota memperuntukkan RM170 juta untuk perbelanjaan modal bagi meningkatkan kemudahan jualan, servis, logistik dan pembuatan.

“Ini bagi menampung bilangan kenderaan Toyota yang semakin bertambah serta meningkatkan kepuasan pengguna,” katanya.

UMW Toyota kini mempunyai 60 pusat servis di seluruh negara.

Beliau berkata, syarikat itu mencatatkan rekod baru apabila menyelenggara lebih satu juta unit kenderaan Toyota tahun lalu berbanding 900,000 unit tahun sebelumnya.

Menurutnya, bagi pusat servis baru itu, syarikat melabur kira-kira RM24 juta untuk membeli tanah dan melengkapkan pusat itu dengan kemudahan dan kapasiti untuk menyelenggara sehingga 145 kereta sehari. - Bernama

No comments: