Saturday, March 6, 2010

Emas bawa Proton ke pentas dunia


Proton Emas yang merupakan model konsep utama Proton.
















SELEPAS 25 tahun, Proton Holdings Berhad (Proton) melakar satu lagi sejarah penting buat negara melalui kelahiran tiga buah kereta konsep yang bakal melonjak jenama kebangsaan itu ke persada dunia.

Detik penuh bersejarah itu turut disaksikan oleh ribuan pelawat yang berkunjung di Pameran Motor Antarabangsa Geneva (IGMS) di Geneva, Switzerland.

Yang pasti, kemunculan tiga jentera kecil molek itu turut mencuri perhatian umum dan meletakkan Proton sebaris dengan pengeluar daripada jenama terkenal dan mewah.

Kejayaan terbaru itu membukitkan kesungguhan Proton untuk bersaing di peringkat global dan bukannya sekadar menghasilkan kenderaan untuk pasaran tempatan.

Proton Emas, Emas Country dan Emas-3 adalah model konsep keluaran Proton bersama anak syarikatnya, Lotus yang direka oleh firma automotif terkemuka Itali iaitu Italdesign Giugiaro.

Emas yang menggunakan akronim "Eco Mobility Advance Solution" adalah kereta konsep hibrid yang dijangka berada di pasaran menjelang tahun 2012.

Ketiga-tiga konsep berkenaan dibangunkan di atas platform yang sama tetapi mempunyai konfigurasi berbeza dari aspek penjanaan kuasa dengan tumpuan khusus terhadap aplikasi teknologi hibrid.

Emas adalah jentera hibrid dengan kerangka atau casis rekaan khas yang menggunakan enjin endothermic di depan khusus untuk mengecas bateri ion litium yang menghasilkan janaan kuasa elektrik dan bateri di belakang.

Sistem enjin Lotus Range Extender menggunakan enjin tiga silinder sesondol tunggal empat injap dengan jumlah berat hanya 56 kilogram yang dioptimumkan dengan dua nilai rpm. Dengan kuasa itu, Emas mempunyai jumlah 107 Nm tork pada kelajuan 2,500rpm.

Emas adalah model utama lima pintu dengan empat tempat duduk. Emas Country pula adalah jenis hatchback yang memiliki gaya kenderaan utili sukan (SUV) dan suspensi tinggi dengan lima tempat duduk manakala Emas-3 mempunyai tiga pintu 3+1 tempat duduk dan sesuai untuk pemanduan bandar.

Maklumat awal menyatakan Emas Country dan Emas-3 akan dibangun berasaskan teknologi hibrid plug-in selain pemasangan enjin konvensional yang digerakkan bahan api petrol, etanol, metanol dan gas asli.

Kesemua model Emas berkuasa 1.2 liter dengan 51 kuasa kuda direka untuk beroperasi dalam kelajuan rpm tertentu sahaja, bersesuaian dengan kapasiti kereta hibrid.

Dengan berukuran hanya tiga meter panjang, ketiga-tiga kereta konsep tersebut bagaimanapun direka khusus untuk memaksimumkan ruang dan pada masa sama mengekalkan konsep kereta kompak berciri kontemporari.

Bahagian dalaman kenderaan ini juga boleh dibanggakan. Semuanya disusun kemas dan dengan kepelbagaian butang fungsi.

Emas dilengkapi dua monitor yang memaparkan maklumat berkaitan sistem hibrid di sebelah kanan manakala monitor di sebelah kiri menyajikan kepuasan multimedia seperti akses Internet dan paparan penyambungan peralatan elektronik.

Begitu juga dengan reka bentuknya. Walaupun dibina dengan rekaan bumbung tinggi, Emas sebenarnya 36 sentimeter lebih rendah daripada Proton Savvy. Majalah Autocar UK semasa memaparkan imej Emas buat kali pertama menggunakan istilah supermini di dalam ulasannya.

Pelancaran ketiga-tiga kereta konsep itu disempurnakan bekas Perdana Menteri yang juga pengasas dan Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada hari pertama Pameran Motor Antarabangsa Geneva Ke-80, baru-baru ini.

Dr. Mahathir berkata, Proton, Lotus dan Italdesign sedang dalam proses memuktamadkan reka bentuk sebelum dijangka dikeluarkan untuk pasaran dalam tempoh dua tahun lagi.

Turut sama Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Pengerusi Proton, Datuk Mohd. Nazmi Mohd. Salleh; Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir dan Pengerusi Italdesign Giugiaro, Fabrizio Giugiaro.

Sementara itu, Syed Zainal Abidin yang hadir menyaksikan pelancaran bersejarah itu berkata, Proton memerlukan tempoh antara 17 hingga 24 bulan untuk memasukkan kereta itu ke pasaran.

Giugiaro pula menyifatkan konsep itu sebagai kereta hari ini yang memiliki rekaan masa depan.

"Kita tidak mahu Emas dipanggil kereta konsep sebaliknya ia adalah satu konsep untuk kereta-kereta masa depan,"ujarnya.

No comments: