Wednesday, March 31, 2010

Kurangkan daya tujahan angin

KENDERAAN pelbagai guna (MPV) sememang sangat praktikal sama ada bagi mereka yang memiliki ahli keluarga yang ramai atau sekadar pengangkutan hujung minggu.

TEGAP...Grand Livina Impul menawarkan reka bentuk segar.

TEGAP...Grand Livina Impul menawarkan reka bentuk segar.
Pengenalan Nissan MPV Grand Livina di pasaran memang kena pada masanya dan tidak hairanlah dengan tema 'pemanduan ibarat sedan' berjaya melonjakkan jualan model berkenaan.

Bagi melengkapkan pemanduan sedan sporty, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM), selaku pengedar rasmi kenderaan Nissan tempatan turut melancarkan veris Impul yang lebih menarik dan bergaya.

Tumpuan utama pastinya rupa luaran yang menampilkan gril baru dengan tulisan Impul logo asal Nissan di tengahnya.

Tambahan aerokit Impul, Nissan Grand Livina tampak lebih terserlah dan garang termasuk pemecah angin (spoiler) belakang lebih panjang serta lebar.

Bagi menambahkan lagi kendalian jentera MPV ini, sistem suspensi sport Impul turut ditawarkan apabila Impul membekalkan set lengkap bagi menambahkan keseronokan pemanduan.

Sistem Suspensi Sport Impul ini menjadikan Grand Livina Impul 25 milimeter lebih rendah dan hasil gabungan Aerokit hadapan, ia mampu mengurangkan daya tujahan angin serta pusat graviti lebih rendah.

Peredam bunyi daripada Impul Blast II menjadi perkara terakhir yang dibekalkan Impul untuk kereta ini dan ngaumannya tidak membingitkan telinga, memadai dengan imej sporty yang dibawanya.

Tidak dinafikan penggunaan ekzos tulen berkenaan sedikit sebanyak membaiki tahap respons enjin lebih baik.

Paling menyerlah, padanan rim aloi berjejari 17 inci Impul Aura SX-10 berharga RM4,500 di mana 30 peratus lebih ringan daripada rim bersaiz sama.

Penggunaan tayar bersaiz 205 milimeter Siri 45 menjadikan jentera ini lebih stabil dan tegap ketika melalui jalan berselekoh selain dibantu sistem suspensi sport yang sedikit keras.

Walaupun tahap keselesaan berkurangan, tetapi kebaikannya pula dapat dirasai ketika melalui selekoh pada kelajuan tinggi.

Tiada rasa beroleng-oleng walaupun susuk tubuhnya lebih panjang. Bagaimanapun, hentakan pasti terasa apabila melalui jalan tidak rata dan perkara itu lumrah bagi sebuah jentera yang menggunakan suspensi sport.

Semua model Grand Livina menggunakan casis monocoque iaitu casis unibody seperti sebuah kereta yang berbeza daripada beberapa pesaingnya.

Melihat ruang dalamannya pula, bahagian kabin termasuk kerusi salutan fabrik Masumi berwarna cerah menjadikan ruang nampak lebih luas.

Ruang kokpit agak ringkas dan hanya dilengkapi dengan pemain cakera padat tunggal dan butang kawalan penyaman udara, tetapi kelihatan bergaya dengan kemasan alur kayu.

Kerusi barisan kedua boleh digerakkan ke depan dan belakang selain boleh dibaringkan bagi memperoleh ruang bagasi lebih luas.

Kerusi bahagian kedua yang senang digerakkan membolehkan penumpang barisan ketiga keluar masuk dengan mudah.

Bagaimanapun, kerusi bahagian ketiga sesuai untuk kanak-kanak atau dewasa bersaiz kecil kerana faktor bumbungnya agak rendah.

Pemanduan Grand Livina Impul memberi kepuasan sukar digambarkan dan faktor geografi kawasan perumahan penulis yang berbukit, ia tidak menjadi masalah kepada Grand Livina untuk memotong atau mendaki bukit yang tinggi.

Enjin aluminium MR18DE empat silinder DOHC 16 injap dengan sistem pemasa injap CVTC menghamburkan 123 kuasa kuda (hp) pada 5,200 rpm manakala tork juga sangat memberangsangkan iaitu pada 174 Nm pada 4,800 rpm.

Tidak terasa sebarang paksaan terhadap enjin ketika menekan pedal secara keras dan fungsi Overdrive menjadikan perjalanan lebih lancar.

Memang tidak dinafikan memandu Grand Livina seakan sama dengan sebuah kereta sedan dan paling menarik, ia mempunyai tujuh tempat duduk.

Berharga RM108,086 termasuk insurans, Grand Livina Impul mampu memberi kepuasan kepada mereka yang mahukan kenderaan dengan tujuh tempat duduk, pemanduan stabil dan paling menarik, gaya lebih sporty.

SPESIFIKASI
Nissan Grand Livina Impul 1.8L
ENJIN: MR18DE 1,798cc empat silinder 16 injap CVTC DOHC
KUASA MAKSIMUM: 123 hp pada 5,200 rpm
TORK MAKSIMUM: 174 Nm pada 4,800 rpm
TRANSMISI: Empat kelajuan automatik dengan Over Drive
CIRI KESELAMATAN: ABS, BAS, Beg udara SRS berkembar, Immobiliser
HARGA: RM108,086 termasuk insurans

TAYAR DICADANGKAN
Dunlop Direzza DZ 101
205/45 R17 84W

Takashimaya kena Bambooo

Baru sekejap tadi budak operator takashimaya
kol aku mintak tolong bayar
ansuran bulanan sebelum 2hb ni,

Aku taulah bulan lepas aku bayar lambat
dan kena bunga RM 25
tiap-tiap hari kol suh bayar
aku masih sabar lagi sebab memang salah aku
takpelah tak kesah pun.

Tapi ari ni kol lagi operator tu mintak bayar
dah lah dua ari lepas dah bayar,
pas bayar aku kol cawangan dia kat k.tganu
cakap ari ni dah bayar,

pastu tadi lak aku terima lak sms suh bayar,
aku reply lah cakap dah bayar 29 hb
masih ok lagi lah mood aku.

Tup-tup petang ni lak kol mintak bayar sebelum 2 hb ni,
apa lagi kena bamboo dan maki hamun aku lah,
Bodoh takkan sebesar syarikat tu takda online
nak check dah bayar ke tak.
Aku tau lah Due date bila
takyah kol-kol buat reminder.

Bangang betul lah berapa kali nak cakap tak taulah,
skali lagi kalo kau kol mintak duit bayar cepat,
aku cabut aku hantar balik.
Kau pasang ah ket kereta kau sampai penuh.

Special Edition Neo R3

PROTON Holdings Bhd (Proton), semalam, melancarkan Proton Satria Neo R3 Lotus Racing Edition, model edisi terhad siri Satria yang cuma dikeluarkan 25 unit.

BERGAYA...Proton Satria Neo R3 Lotus Racing Edition dijual pada RM115,000.



BERGAYA...Proton Satria Neo R3 Lotus Racing Edition dijual pada RM115,000.
Bagaimanapun, Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata jika model berkenaan mendapat sambutan hebat, Proton akan mengeluarkannya dalam kuantiti lebih banyak.

Katanya, setakat ini, model berkenaan yang dilancarkan sempena pembabitan Proton dalam perlumbaan Formula Satu (F1) itu sudah ditempah 11 unit.

“Kereta ini direka bentuk khusus sempena memperingati pasukan lumba Formula Satu Lotus. Untuk permulaan, kami mengeluarkan 25 unit kenderaan ini sempena sambutan 25 tahun Proton.

“Bagaimanapun, sekiranya mendapat sambutan, kami mungkin akan mengeluarkan lagi edisi ini pada masa akan datang,” katanya pada sesi soal jawab bersama media selepas majlis pelancaran model berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.Majlis pelancaran disempurnakan Mantan Perdana Menteri yang juga Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hadir sama, ketiga-tiga pe mandu pasukan F1 1Malaysia Lotus, Jarno Trulli, Heikki Kovalainen dan Fairuz Fauzy.Mengulas lanjut, Syed Zainal Abidin berkata, Proton turut membuat perancangan bagi memasarkan model berkenaan ke luar negara.

Kereta berkenaan yang mendapat inspirasi daripada pasukan Lotus Racing, mengguna pakai enjin CampPro CPS 1.6 liter Proton dan ditala semula R3 bagi tambahan kuasa


Tuesday, March 30, 2010

Mini Cooper berkilat tiada insurans


GAMBAR yang disiarkan oleh sebuah akhbar di Britain menunjukkan kereta Mini Cooper yang mencetuskan masalah kepada Ian (kanan) dan pasangannya, Toni.

NOTTINGHAMSHIRE, Britain - Nasib pasangan Ian dan Toni Grice amat malang selepas sebuah Mini Cooper bersadur krom berharga AS$56,956 (RM186,103) yang baru mereka beli tidak boleh dipandu di atas jalan raya kerana tidak memiliki insurans, lapor sebuah akhbar semalam.

Ian yang berusia 42 tahun ternampak model edisi terhad yang berkilat itu di sebuah bilik pameran di London pada Hari Kekasih lalu dan membelikannya untuk Toni, 41.

Beliau diberi insurans percuma selama seminggu oleh BMW yang membolehkannya memandu sejauh 193 kilometer ke rumahnya di Greasley, Nottinghamshire.

Namun, selepas tempoh itu tamat, Ian cuba untuk mendapatkan perlindungan insurans biasa tetapi permohonannya ditolak oleh semua firma insurans.

"Tiada firma insurans mahu memberi insurans kepadanya. Pihak insurans menyatakan kereta itu terlalu mudah calar dan rosak," kata Ian.

Jurucakap Persatuan Insurans Britain berkata: "Ia (kereta tersebut) mungkin menjadi sasaran pencuri. Nasihat saya, cuba tanya broker yang terlibat dengan pasaran khas. Namun, dia patut tahu sejumlah wang tertentu perlu dibayar untuk mendapatkannya."

Monday, March 29, 2010

Drift @ Mardi


Semalam aku pergi lah tengok Drift kat Mardi serdang,
best jugak layan drift ni,
last skali aku tengok pun tahun lepas kat
Stadium runtuh kuala Terengganu.

Tapi aku gi dah lewat lah,
kol 9 baru aku gi,
Biasa dia start pukul 6 ptg sampai 2 pagi.
Setiap hari sabtu jek game ni,
game pun halal,bukan haram ye
tiket satu kepala RM 5.
Bagi yang ingin belajar dan naik kereta drift
caj akan dikenakan,tapi aku tak taulah berapa.
Dengar cerita naik kereta drif RM 10 jek kot.

Tempat menonton pun selamat,
Penonton dok atas bukit,drift di bawah
aku pulak gi bawak budak-budak jadi Safety First
jadi elok sangat lah tu kan nak bawak family...

Game minggu ni kebanyakkanya pakai kereta Toyota GL
ada lah dua tiga bijik kereta Nissan Cefiro
Kereta-kereta yang stok macam
drifter profisional takda lak minggu ni.
Mungkin aku pegi tak kena hari kot,
Tapi takpe gambar dah aku snap serba sedikit
jadi layan jelah yok.


















Peminat cilik yang sukakan aksi Drift.

KL paling tinggi

KUALA LUMPUR: Bidang ‘perniagaan’ ini mungkin kurang disedari ramai, namun fakta menunjukkan sepanjang 2005 hingga tahun lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperoleh pendapatan cukup lumayan apabila mengutip RM592.7 juta hasil jualan nombor pendaftaran kenderaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan, berkata jumlah kutipan yang mencecah RM600 juta untuk tempoh empat tahun adalah cukup tinggi dan ia diperoleh berdasarkan faktor sambutan tinggi individu terhadap nombor pendaftaran kenderaan yang menjadi pilihan.

“Setiap siri nombor pendaftaran kenderaan adalah dari nombor 1 hingga 9999 dan siri paling mahal pernah dibida dan dibeli ialah TAY 1 iaitu RM220,000 yang dibuka pada 2 Februari hingga 22 Februari lalu.

“Ia diikuti TAN 1 yang dibida dan dibeli pada harga RM200,090 serta siri JJJ 1 iaitu RM166,100. Siri nombor pendaftaran kenderaan yang paling banyak menjadi pilihan individu adalah dari WPKL, Johor, Pulau Pinang dan Selangor,” katanya.

Belian daripada bidaan untuk nombor pendaftaran kenderaan kini adalah hasil utama JPJ dan setiap kali tawaran dibuka, ia menarik perhatian antara 2,000 hingga 3,000 individu berminat. Mengambil contoh jumlah pembida di WPKL, sepanjang 2008, seramai 31,900 membida dan ia meningkat kepada 45,600 pada tahun berikutnya manakala bagi tempoh dua bulan tahun ini, 12,500 pembida sudah direkodkan.

“Secara purata, harga bidaan bagi nombor 1 hingga 10 atau digelar ‘Golden Number boleh dikatakan seperti berikut. Bagi nombor 1, harga bidaan awalnya ialah RM30,000, 2 (RM20,000), 3 (25,000), 4 (RM10,000), 5 (18,000), 6 (RM15,000), 7 (RM15,000), 8 (RM25,000), 9 (RM20,000) dan 10 (10,000).

“Jumlahnya meningkat apabila bidaan dibuka dan semua nombor berkenaan biasanya habis dibeli dalam tempoh tiga minggu. Selepas itu, JPJ akan membuka pula siri baru nombor pendaftaran kenderaan mengikut negeri untuk bidaan lain,” katanya.

Menurut Solah, negeri yang paling cepat menukar siri nombor pendaftaran kenderaan adalah WPKL, Selangor, Pulau Pinang serta Perak iaitu antara tiga minggu hingga tiga bulan manakala negeri yang paling lambat ialah Perlis iaitu kira-kira tiga tahun.

WPKL dianggap ramai peminat nombor pendaftaran kenderaan sebagai tumpuan utama mendapatkan nombor idaman dan kerana itu sirinya cepat habis.

Beliau berkata, berdasarkan rekod JPJ, nombor menarik yang sering mendapat perhatian membabitkan kombinasi abjad serta nombor yang disebut menjadi satu perkataan.

Menurut beliau, antaranya ialah ‘MAF 14’ yang disebut sebagai ‘MAFIA’, ‘DR 6161’ (DRGIGI), ‘RA 21’ (RAZI), ‘RA 12’ (RAIS) juga ‘DAV 10’ (DAVID).

“Selain itu, ‘JED 1’ yang disebut ‘JEDI’, ‘AFR 17’ (AFRIT), ‘MAN 15’ (MANIS), ‘DU 17’ (DUIT), ‘NAD 14’ (NADIA) serta ‘DAN 1’ (DANI).

“JPJ tidak melarang atau mengharamkan sebarang penggunaan nombor pendaftaran seperti MAF 14 yang disebut MAFIA selagi ia dipasang mengikut spesifikasi ditetapkan. “Jika sebaliknya, maka JPJ boleh mengambil tindakan undang-undang tetapi tidak sampai hingga menarik balik nombor pendaftaran terbabit,” katanya.

Dalam masa sama, menurut Solah, JPJ pernah menawarkan nombor pendaftaran kenderaan khas untuk syarikat pengeluar kenderaan nasional seperti siri ‘Proton’, ‘Waja’, ‘Perodua’, ‘Persona’ dan ‘Kriss’. Ada juga nombor pendaftaran kenderaan khas sempena sesuatu majlis atau konvensyen seperti ‘SUKOM’, ‘XII NAM’, ‘XI ASEAN’, ‘XXX IDB’ dan ‘X OIC’.

“JPJ melaksanakan proses bidaan secara telus dan mana-mana individu boleh membuat tawaran mengikut kemampuan masing-masing. Oleh itu, tidak timbul soal pilih kasih dan sebagainya sebaliknya semua dilakukan mengikut prosedur standard,” katanya.

TAY 1 istimewa

KUALA LUMPUR: “Satu-satunya yang satu” Itulah makna dalam Bahasa Malaysia untuk nombor pendaftaran kenderaan TAY 1 yang disebut ‘Tei Yit’ mengikut loghat Hokkien dan ‘Tai Yat’ dalam loghat Kantonis.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata di kalangan masyarakat Cina terutamanya, nombor pendaftaran kenderaan sering dikaitkan dengan pemiliknya sama ada dirinya saja atau keturunannya.

“Nombor pendaftaran kenderaan boleh menggambarkan perasaan bangga pemilik, kaitan keluarga, kenangan sesuatu tarikh tertentu dan bunyi di sebalik abjad serta nombor jika disebut penuh.

“Begitu juga dengan TAY 1. Jika abjad serta nombor disebut penuh maka bunyinya hampir menyamai dialek bermaksud satu-satunya yang satu. Ia boleh dianggap satu kebanggaan,” katanya.

Menurut beliau, satu contoh yang boleh dikaitkan dengan kebanggaan keluarga ialah TAN 1 yang dibida dan dibeli pada harga RM200,090 juga di Terengganu.

Selain nombor pendaftaran untuk bidaan, JPJ juga ada menyediakan siri nombor pendaftaran yang boleh dibeli mengikut abjad serta nombor sedia ada seperti idaman pelanggan.

“Satu contoh unik ialah nombor pendaftaran TAK 121. Ada individu sanggup mendapatkannya kerana TAK 121 itu dianggapnya sebagai akronim kepada ‘Tarikh Aku Kahwin 12 haribulan 1’.

“Saya tidak pasti sama ada individu berkenaan dapat memiliki nombor pendaftaran berkenaan atau sebaliknya tetapi ia menunjukkan keunikan minat setiap individu terhadap sesuatu nombor pendaftaran,” katanya.

Menurut Solah, banyak lagi nombor pendaftaran kenderaan yang menjadi pilihan individu mengikut cita rasa sendiri seperti tarikh lahir, dianggap nombor bertuah dan sebagainya.

Bagaimanapun, tidak semua nombor pendaftaran cantik itu melalui proses bidaan sebaliknya ada yang dipilih atau diterima secara terus apabila membeli kenderaan baru.

“Ada yang beranggapan bahawa nombor 1 itu hanya eksklusif kepada VVIP dan sebagainya. Bukan begitu sebenarnya kerana ada juga nombor 1 yang tidak diperoleh mana-mana pihak dalam siri nombor pendaftaran kenderaan.

“Jika ia berlaku, JPJ akan menarik semula nombor berkenaan dan menawarkan proses bidaan kepada sesiapa saja yang berminat kerana ia sebenarnya bernilai tinggi dan lebih penting, penjualannya memberi sumbangan kewangan kepada negara,” katanya.

Dalam masa sama, Solah turut memaklumkan bahawa proses menukar siri akan dibuat kira-kira dua bulan sebelum siri nombor pendaftaran kenderaan sedia ada tamat. Bagi proses bidaan, ia memakan masa dua minggu dan setiap pembida hanya boleh melakukan satu-satu bidaan sekali saja untuk nombor pendaftaran yang menjadi pilihan.

Menurut beliau, ketika itu, pembida perlu memasukkan 50 peratus deposit harga penuh dalam bidaan dan jika berjaya, mereka perlu melunaskan baki 50 peratus lagi dalam tempoh dua minggu.

“Selepas itu, mereka diberi tempoh dua minggu lagi untuk mendaftar nombor pendaftaran kenderaan yang baru. Jika gagal melakukan sama ada membayar baki 50 peratus atau mendaftarkan nombor berkenaan dalam tarikh ditetapkan, wang berkenaan dikira hangus dan JPJ boleh membuat tawaran bidaan sekali lagi pada nombor pendaftaran sama.

“Ramai yang tidak faham dengan perkara berkenaan menyebabkan ada di kalangan pembida yang berjaya berputih mata kerana gagal menuruti syarat dikenakan. Bagaimanapun, deposit pembida yang gagal dalam bidaan akan dikembalikan,” katanya.