KUALA LUMPUR: “Satu-satunya yang satu” Itulah makna dalam Bahasa Malaysia untuk nombor pendaftaran kenderaan TAY 1 yang disebut ‘Tei Yit’ mengikut loghat Hokkien dan ‘Tai Yat’ dalam loghat Kantonis.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata di kalangan masyarakat Cina terutamanya, nombor pendaftaran kenderaan sering dikaitkan dengan pemiliknya sama ada dirinya saja atau keturunannya.
“Nombor pendaftaran kenderaan boleh menggambarkan perasaan bangga pemilik, kaitan keluarga, kenangan sesuatu tarikh tertentu dan bunyi di sebalik abjad serta nombor jika disebut penuh.
“Begitu juga dengan TAY 1. Jika abjad serta nombor disebut penuh maka bunyinya hampir menyamai dialek bermaksud satu-satunya yang satu. Ia boleh dianggap satu kebanggaan,” katanya.
Menurut beliau, satu contoh yang boleh dikaitkan dengan kebanggaan keluarga ialah TAN 1 yang dibida dan dibeli pada harga RM200,090 juga di Terengganu.
Selain nombor pendaftaran untuk bidaan, JPJ juga ada menyediakan siri nombor pendaftaran yang boleh dibeli mengikut abjad serta nombor sedia ada seperti idaman pelanggan.
“Satu contoh unik ialah nombor pendaftaran TAK 121. Ada individu sanggup mendapatkannya kerana TAK 121 itu dianggapnya sebagai akronim kepada ‘Tarikh Aku Kahwin 12 haribulan 1’.
“Saya tidak pasti sama ada individu berkenaan dapat memiliki nombor pendaftaran berkenaan atau sebaliknya tetapi ia menunjukkan keunikan minat setiap individu terhadap sesuatu nombor pendaftaran,” katanya.
Menurut Solah, banyak lagi nombor pendaftaran kenderaan yang menjadi pilihan individu mengikut cita rasa sendiri seperti tarikh lahir, dianggap nombor bertuah dan sebagainya.
Bagaimanapun, tidak semua nombor pendaftaran cantik itu melalui proses bidaan sebaliknya ada yang dipilih atau diterima secara terus apabila membeli kenderaan baru.
“Ada yang beranggapan bahawa nombor 1 itu hanya eksklusif kepada VVIP dan sebagainya. Bukan begitu sebenarnya kerana ada juga nombor 1 yang tidak diperoleh mana-mana pihak dalam siri nombor pendaftaran kenderaan.
“Jika ia berlaku, JPJ akan menarik semula nombor berkenaan dan menawarkan proses bidaan kepada sesiapa saja yang berminat kerana ia sebenarnya bernilai tinggi dan lebih penting, penjualannya memberi sumbangan kewangan kepada negara,” katanya.
Dalam masa sama, Solah turut memaklumkan bahawa proses menukar siri akan dibuat kira-kira dua bulan sebelum siri nombor pendaftaran kenderaan sedia ada tamat. Bagi proses bidaan, ia memakan masa dua minggu dan setiap pembida hanya boleh melakukan satu-satu bidaan sekali saja untuk nombor pendaftaran yang menjadi pilihan.
Menurut beliau, ketika itu, pembida perlu memasukkan 50 peratus deposit harga penuh dalam bidaan dan jika berjaya, mereka perlu melunaskan baki 50 peratus lagi dalam tempoh dua minggu.
“Selepas itu, mereka diberi tempoh dua minggu lagi untuk mendaftar nombor pendaftaran kenderaan yang baru. Jika gagal melakukan sama ada membayar baki 50 peratus atau mendaftarkan nombor berkenaan dalam tarikh ditetapkan, wang berkenaan dikira hangus dan JPJ boleh membuat tawaran bidaan sekali lagi pada nombor pendaftaran sama.
“Ramai yang tidak faham dengan perkara berkenaan menyebabkan ada di kalangan pembida yang berjaya berputih mata kerana gagal menuruti syarat dikenakan. Bagaimanapun, deposit pembida yang gagal dalam bidaan akan dikembalikan,” katanya.
No comments:
Post a Comment