KUALA LUMPUR: Bidang ‘perniagaan’ ini mungkin kurang disedari ramai, namun fakta menunjukkan sepanjang 2005 hingga tahun lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperoleh pendapatan cukup lumayan apabila mengutip RM592.7 juta hasil jualan nombor pendaftaran kenderaan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan, berkata jumlah kutipan yang mencecah RM600 juta untuk tempoh empat tahun adalah cukup tinggi dan ia diperoleh berdasarkan faktor sambutan tinggi individu terhadap nombor pendaftaran kenderaan yang menjadi pilihan.
“Setiap siri nombor pendaftaran kenderaan adalah dari nombor 1 hingga 9999 dan siri paling mahal pernah dibida dan dibeli ialah TAY 1 iaitu RM220,000 yang dibuka pada 2 Februari hingga 22 Februari lalu.
“Ia diikuti TAN 1 yang dibida dan dibeli pada harga RM200,090 serta siri JJJ 1 iaitu RM166,100. Siri nombor pendaftaran kenderaan yang paling banyak menjadi pilihan individu adalah dari WPKL, Johor, Pulau Pinang dan Selangor,” katanya.
Belian daripada bidaan untuk nombor pendaftaran kenderaan kini adalah hasil utama JPJ dan setiap kali tawaran dibuka, ia menarik perhatian antara 2,000 hingga 3,000 individu berminat. Mengambil contoh jumlah pembida di WPKL, sepanjang 2008, seramai 31,900 membida dan ia meningkat kepada 45,600 pada tahun berikutnya manakala bagi tempoh dua bulan tahun ini, 12,500 pembida sudah direkodkan.
“Secara purata, harga bidaan bagi nombor 1 hingga 10 atau digelar ‘Golden Number boleh dikatakan seperti berikut. Bagi nombor 1, harga bidaan awalnya ialah RM30,000, 2 (RM20,000), 3 (25,000), 4 (RM10,000), 5 (18,000), 6 (RM15,000), 7 (RM15,000), 8 (RM25,000), 9 (RM20,000) dan 10 (10,000).
“Jumlahnya meningkat apabila bidaan dibuka dan semua nombor berkenaan biasanya habis dibeli dalam tempoh tiga minggu. Selepas itu, JPJ akan membuka pula siri baru nombor pendaftaran kenderaan mengikut negeri untuk bidaan lain,” katanya.
Menurut Solah, negeri yang paling cepat menukar siri nombor pendaftaran kenderaan adalah WPKL, Selangor, Pulau Pinang serta Perak iaitu antara tiga minggu hingga tiga bulan manakala negeri yang paling lambat ialah Perlis iaitu kira-kira tiga tahun.
WPKL dianggap ramai peminat nombor pendaftaran kenderaan sebagai tumpuan utama mendapatkan nombor idaman dan kerana itu sirinya cepat habis.
Beliau berkata, berdasarkan rekod JPJ, nombor menarik yang sering mendapat perhatian membabitkan kombinasi abjad serta nombor yang disebut menjadi satu perkataan.
Menurut beliau, antaranya ialah ‘MAF 14’ yang disebut sebagai ‘MAFIA’, ‘DR 6161’ (DRGIGI), ‘RA 21’ (RAZI), ‘RA 12’ (RAIS) juga ‘DAV 10’ (DAVID).
“Selain itu, ‘JED 1’ yang disebut ‘JEDI’, ‘AFR 17’ (AFRIT), ‘MAN 15’ (MANIS), ‘DU 17’ (DUIT), ‘NAD 14’ (NADIA) serta ‘DAN 1’ (DANI).
“JPJ tidak melarang atau mengharamkan sebarang penggunaan nombor pendaftaran seperti MAF 14 yang disebut MAFIA selagi ia dipasang mengikut spesifikasi ditetapkan. “Jika sebaliknya, maka JPJ boleh mengambil tindakan undang-undang tetapi tidak sampai hingga menarik balik nombor pendaftaran terbabit,” katanya.
Dalam masa sama, menurut Solah, JPJ pernah menawarkan nombor pendaftaran kenderaan khas untuk syarikat pengeluar kenderaan nasional seperti siri ‘Proton’, ‘Waja’, ‘Perodua’, ‘Persona’ dan ‘Kriss’. Ada juga nombor pendaftaran kenderaan khas sempena sesuatu majlis atau konvensyen seperti ‘SUKOM’, ‘XII NAM’, ‘XI ASEAN’, ‘XXX IDB’ dan ‘X OIC’.
“JPJ melaksanakan proses bidaan secara telus dan mana-mana individu boleh membuat tawaran mengikut kemampuan masing-masing. Oleh itu, tidak timbul soal pilih kasih dan sebagainya sebaliknya semua dilakukan mengikut prosedur standard,” katanya.
No comments:
Post a Comment