Tuesday, September 8, 2009

New D-Max


BUDAYA memilih trak pikap sebagai kenderaan kegunaan harian bukanlah perkara baru di negara ini.

Kini, ramai gemar memandu trak berikutan keadaan fizikalnya besar selain tahan lasak.Minat rakyat tempatan itu mendorong Isuzu Malaysia Sdn Bhd memperkenalkan model terbaru, Isuzu New D-Max 3.0L versi Hi-Def.

Ia hanya ditawarkan 200 unit tahun lalu dan habis dijual.

New D-Max masih menggunakan enjin Ddi iTEQ empat silinder turbo intercooler dengan Super Commonrail yang menghasilkan 134 hp pada 3,400rpm manakala tork pula pada 294Nm antara 1,400 hingga 3,000rpm.

Enjin berkenaan menawarkan penjimatan maksimum dan tidak hairanlah setangki penuh diesel mampu membawa penulis dari ibu kota ke Haadyai.

Bagaimanapun, pihak Isuzu yang memberi unit pandu uji pada hari bekerja menyukarkan penulis menguji tahap penggunaan bahan api yang diisi penuh di dalam tangki.

Sepanjang empat hari memandu uji di sekitar ibu kota seperti menempuh kesesakan jalan raya ketika berulang- alik dari rumah ke pejabat dalam jarak 40 kilometer sehari, penulis mendapati tolok bahan apinya hampir tidak bergerak. Menakjubkan!

Perkara ini tidak mustahil kerana D-Max terbaru ini dibekalkan enjin terbaru dikenali High Frequency Induction Hardening (HFIH) yang menawarkan mampatan lebih baik pada kebuk pembakaran serta omboh aloi ringan.

Selain itu, model ini dipadankan dengan rantai pemasa yang lebih lasak berbanding tali pemasa yang perlu ditukar setiap 80,000 kilometer.

Dari segi gaya luaran, D-Max terbaru masih lampu hadapan projektor Ellipsoid dalam perumah bertingkat, tetapi gril hadapan diberikan rupa baru lebih bergaya.

Bahagian hadapan terserlah wajah perkasa D-Max dan jentera pacuan empat roda ini tidak memerlukan sebarang aksesori tambahan melampau.

Bahagian sisi turut dipertingkatkan apabila pemijak sisi dilebarkan bagi memudahkan penumpang terutama kanak-kanak memasuki ruang kabin.

Ruang belakang hanya dipadankan dengan 'Roll Bar' tidak seperti model Hi-Def yang ditawarkan dengan D-Box.

Bagaimanapun, Roll Bar krom kalis calar sudah memadai bagi New D-Max kelihatan tegap dan maskulin.

Kabin juga dipertingkatkan dengan salutan kulit kemas seperti sebuah kereta sedan.

Sistem audio 'In-Car DVD' bukan sahaja menawarkan sistem audio dan gambar jelas, tetapi disatukan dengan sistem navigasi terbina.

Sistem hiburan berkenaan kelihatan menarik bersama kokpit kemasan titanium yang bukan sahaja lebih menarik, malah kemas dan cantik.

Walaupun New D-Max transmisi automatik ini dipandu secara agresif di kawasan bandar, ia menawarkan keselesaan walaupun masih kekal konsep pikap.

Penumpang belakang masih terasa terlompat-lompat kerana spring belakang direka untuk muatan, bukan penumpang.

Bagaimanapun, dengan sistem hiburan terbaik, kerusi balutan kulit dan penjimatan minyak terunggul dalam kategori pikap menjadikan New D-Max tetap pilihan berbaloi.

Berharga RM84,638.40 (tanpa insurans), New D-Max adalah jentera pikap terbaik daripada Isuzu.

>SPESIFIKASI

Isuzu New D-Max

Enjin: 4JJ1 2,999cc empat silinder sebaris Intercooler Turbo Diesel DOHC 16V

Sistem Bahan Api: Suntikan Terus Elektronik Commonrail

Kuasa maksimum: 134 hp pada 3,400rpm.

Tork maksimum: 294Nm antara 1,400 hingga 3,000rpm.

Transmisi: Automatik empat kelajuan dengan Grade Logic Control.

Ciri keselamatan: Beg Udara berkembar SRS, ABS, EBD, LSD dan penghadang sisi

Harga: RM84,634.40 tanpa insurans

Tayar Dicadangkan: ContiCrossContact LX 245/70R16 107T

No comments: