Saturday, September 5, 2009

Perubahan baru Triton


TRITON yang telah menerima banyak pengiktirafan kini sudah berwajah baru.

PADA bulan lalu, pasaran automotif tempatan dihidangkan dengan dua model facelift iaitu Lancer dan Grandis daripada pihak Mitsubishi Motors Malaysia. Trak pikap edaran syarikat itu kini telah mengalami proses serupa.

Setelah memperoleh pelbagai anugerah pemotoran dalam dan luar negara, Mitsubishi Triton yang merupakan salah satu daripada jenama trak pikap paling popular dalam negara sudah bersedia untuk bertemu peminatnya menerusi pakej lebih menarik.

Trak pikap itu telah memenangi anugerah Pick-up of the Year daripada Autocar ASEAN sejak tahun 2006 menerusi model L200 (Mitsubishi Storm).

Pada tahun 2007 dan 2008, anugerah itu sekali lagi diberikan melalui model Triton 2.5 serta Triton Lite. Sebagai tambahan , model premium Triton 3.2 dinamakan sebagai Pick-up of the Year oleh pihak NST-Maybank Car of the Year Awards pada tahun lalu.

Sejak dilancarkan pada tahun 2006, Triton nyata mencatat jualan memberangsangkan dan memberi impak signifikan dalam segmen tersebut.

Pengukuhan model Triton dalam kalangan pengguna kian jelas dengan pengenalan dua lagi variannya iaitu Triton 3.2 dan Triton Lite pada tahun 2008. Kedua-dua model itu telah menyumbang kepada peningkatan jualan sebanyak 45.9 peratus, berbanding angka yang dicatatkan sepanjang tahun 2007.

Bagi pasaran Malaysia, Triton meliputi varian Triton 3.2 automatik, Triton 2.5 liter 4x4 bertransmisi automatik dan manual, serta Triton Lite 2.5 liter 4x2 (manual sahaja).

"Jadi, model facelift Triton ini membuatkan jentera yang sudah dikira terbaik semakin bagus, bergaya dan lebih versatil. Dari aspek keluasan, ruang kabin Triton sudah pun menjadi peneraju dalam kelasnya.

"Kini, ciri-ciri itu ditambah dengan kargo yang lebih dalam dan panjang bagi meningkatkan kapasiti barang yang ingin dibawa," kata Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Keizo Ono.

Penampilan bahagian hadapan trak pikap itu diserlahkan menerusi penggunaan bampar yang diprofil semula, selain kemasan bahagian bawahnya dan gril radiator berbentuk sarang lebah.

Ono sendiri mengakui bahawa dia teruja apabila melihat varian Triton 3.2 dilengkapi dengan rim aloi bersaiz 17 inci.

Perubahan itu hanya melibatkan peningkatan harga yang minimum. Bagi model Triton Lite, harganya bermula daripada RM61,484. Sementara Triton 2.5 (transmisi manual) dijual pada harga RM87,051 dan RM91,921 bagi Triton transmisi automatik. Triton 3.2 pula berharga RM99,143 seunit. Perlu diingatkan bahawa harga untuk model Triton 2.5 terhad pada tempoh pengenalan sahaja.

Diimport sepenuhnya dari Thailand, Triton hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan 100,000 kilometer (yang mana terdahulu).

No comments: