BAGI mereka yang mencari trak pikap 4X4 yang sasa, tetapi menjimatkan kos, Ford Ranger baru kini boleh didapati dalam versi harga mampu milik namun tidak berkompromi dengan kualiti, keupayaan tinggi dan paling penting, boleh dipercayai.
Ford Ranger XL versi 2009 dengan transmisi manual lima kelajuan menggunakan enjin Turbo Diesel Intercooler (TDI) Ford 2.5 liter dengan kuasa maksimum 109PS dan tork 257Nm pada 2,000 rpm.
Meskipun harganya antara trak pikap versi manual termurah di pasaran, Ford Ranger XL 2009 baru dipasang rim aloi 16 inci bergaya, lampu kabut dan untuk tempoh pengenalan terhad, bedliner dan tangga tepi ditawarkan secara percuma.
Gaya luarannya tetap sehebat Ranger XLT baru dengan spesifikasi lebih tinggi yang dilancarkan pada April tahun ini.
Ford Ranger XL baru membawa kemasan dalaman sama seperti kereta dan keselesaan seperti XLT, mengekalkan hampir semua ciri penting seperti pemain cakera padat dengan keupayaan MP3, cermin tepi kawalan elektronik dan roda stereng dengan kecondongan boleh laras.
Sistem masuk tanpa kunci kawalan jauh dan penggera kenderaan yang boleh mematikan enjin secara automatik sekiranya terdapat 'tindakan' luar biasa pada sistem penghidup membantu menjamin keselamatan kenderaan dan memberi ketenangan fikiran kepada pemilik.
Dengan kualiti Binaan Teguh Ford yang mendapat sanjungan Tinjau Selidik Kualiti Awal JD Power Asia Pasifik pada 2006 dan 2007, Ford Ranger XL baru seharusnya lebih daripada mampu untuk memenuhi keperluan mereka yang mencari kenderaan bekerja atau beriadah.
Lebih menarik lagi, harga berpatutan yang ditawarkan oleh Auto ConneXion menjadikannya lebih mampu dimiliki.
Dijual pada harga RM72,888 (tanpa insurans) Ford sekali lagi menawarkan produk yang mampu menyaingi jentera dalam kelas sama, tetapi pada harga jauh lebih rendah.
Ford Ranger XL kini boleh didapati di semua 29 bilik pameran Ford di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment