SEJAK mengambil hak francais bagi jenama Ford pada tahun 2008, Sime Darby Auto ConneXion dilihat cukup aktif untuk mengembalikan kegemilangan jenama tersebut.
Apatah lagi apabila menyedari penyokong setia Ford tetap ada, biarpun mereka ditawarkan dengan pelbagai jenama lain di pasaran.
Justeru, tidak hairanlah jika satu demi satu produknya diperkenalkan kepada khalayak. Biarpun, ia sekadar penyambung model sedia ada sebelum ini, tetapi pengenalannya tetap memberi nafas baru kepada populariti Ford yang nampaknya agak suram.
Setelah memperkenalkan model Ford Focus Ghia (sedan) dan hatchback, Sime Darby Auto ConneXion tampil dengan model trak pikap popularnya, Ford Ranger TDCi XLT.
Sungguhpun ia cuma sebuah model facelift, namun Ford Ranger telah mengalami proses evolusi, sekali gus menjadikannya sebuah jentera yang cukup matang.
Untuk makluman, Ford Ranger bermula dengan penghasilan trak pikap model T pada tahun 1917 oleh pengasasnya, Henry Ford. Penerimaan positif pengguna terhadap segmen itu membuatkan Ford memperkenalkan pula model trak F Series yang terus mendapat sambutan positif.
Buktinya, ia dikatakan sebagai trak paling laku selama 30 tahun dan dijual di 130 buah negara. Pada tahun 2005, ia menyambut ulang tahun ke-10 dengan menghasilkan unit ke-500,000 di kilangnya di Rayong, Thailand.
Cukup sinonim dengan penampilannya yang maskulin, ciri itu bagaimanapun sedikit berubah. Ford Ranger baru yang diimport sepenuhnya dari Thailand itu kelihatan lebih urban dan bergaya. Ia tetap mengekalkan warisan 'Built Ford Tough' yang sudah sekian lama menjadi identitinya.
|
|
"Reka bentuk kontemporari memberikan Ford Ranger yang baru ini kreadibiliti sebagai sebuah kenderaan urban. Aspek praktikaliti telah menjadikannya sebagai satu pilihan terbaik bagi memenuhi keperluan gaya hidup anda," kata Pengarah Reka Bentuk Ford Motor Company, Asia Pasifik dan Afrika, Scott Strong.
Ia bukan sekadar reka bentuk bersifat kosmetik. Rekaan itu berfungsi mengarahkan udara yang diperlukan untuk membantu keberkesanan sistem pendingin hawa dan penyejukan enjin, terutama ketika cuaca panas. Bukaan yang luas di bahagian bawahnya pula menyediakan bekalan udara ke unit intercooler enjinnya dengan lebih efisien.
Intercooler pula diletakkan di bahagian hadapan radiator dan menerima udara sejuk secara langsung sekali gus membolehkan enjin beroperasi dengan lebih baik.
"Beberapa pesaing Ford meletakkan intercooler di bahagian atas enjin dan menggunakan dramatic hood untuk mengarahkan udara kepadanya. Sedangkan, kami pula mendapati prestasi intercooler lebih baik apabila ia diletakkan pada kedudukan lebih bawah dan di laluan udara secara terus," jelas Pengarah Program Ranger Ford Motor Company, Asia Pasifik dan Afrika, Hiroaki Hashimoto.
Kuasa yang dijana oleh unit enjin Duratorq turbodiesel bersesaran 2.5 liter itu cukup bertenaga. Dengan keupayaan menghasilkan kuasa sehingga 143 PS dan tork maksimum 330 Nm, tiada laluan yang tidak boleh diharunginya.
Enjin itu dipadankan dengan kotak transmisi sama ada lima kelajuan automatik atau manual. Unit yang saya pandu uji itu bertransmisi automatik. Kelancaran penukaran gearnya memang sudah dijangka, malah penggunaan bahan apinya juga memuaskan.
Dari segi pengendaliannya pula, Ford Ranger menawarkan kualiti pemanduan sebuah trak yang tipikal. Penggunaan suspensi jenis rigid leaf spring pada roda belakangnya kadangkala membuatkan penumpang belakang mungkin berasa kurang selesa terutama ketika menempuh laluan yang teruk keadaannya.
Mujur juga tahap NVH yang ditawarkan boleh dikatakan bagus. Jarang sekali bunyi enjin dan angin masuk ke dalam kabin. Ini membolehkan anda menikmati muzik kegemaran tanpa sebarang gangguan.
Masuk ke dalam kabin, pemandu dihidangkan dengan paparan pemuka yang ringkas dan ergonomik. Tempat duduk yang disalut dengan material berwarna hitam juga seakan-akan memberi petanda bahawa ia akan tahan dalam tempoh masa yang lama.
Anda boleh memilih lima warna iaitu hitam, emas, putih, kelabu, biru dan perak. Harganya pula ialah RM88,888 untuk transmisi automatik dan RM82,388 (manual). Harga itu tidak termasuk kos pendaftaran, cukai jalan dan insurans.
No comments:
Post a Comment