Sunday, August 9, 2009

Model Ikonik

Model ini telah memaksa pesaingnya membuat satu lagi model untuk memastikan pembeli meletakkan Civic pada posisi yang betul.



HONDA Civic, kereta yang anda tidak akan menyesal jika dibeli, sama ada baru atau model terpakai. Kereta ini menawarkan hampir segala-galanya apabila bercerita berkenaan pemilikan kereta segmen C di Malaysia.

Civic ada rupa, gaya, kuasa, prestasi selain praktikal dan ekonomikal. Ia sebuah kereta yang dicipta untuk disesuaikan apa jua karektor anda. Dari suri rumah kepada eksekutif pejabat, usahawan atau seorang pelajar yang gemar bergaya untuk dipandu ke kolej.

Sejak model pertamanya direka pada tahun 1972, Civic kini telah mengisi segmen C premium Honda, diposisikan di antara Jazz/City dan Accord. Kereta ini tidak lagi duduk sebumbung dengan generasi sebelumnya.


SEKALI pandang, sukar untuk melihat pembaharuan yang diterima oleh model Civic facelift ini.

Asasnya, model ini telah dinaik taraf menjadi lebih 'eksekutif'. Atau dengan kata mudahnya, lebih mahal daripada model beberapa generasi sebelumnya. Ia bukan lagi model sub RM100,000 di Malaysia.

Malah, sekurang-kurangnya pengenalan model ini telah memaksa pesaingnya membuat satu lagi model untuk memastikan pembeli meletakkan Civic pada posisi yang betul. Toyota menghasilkan Yaris dan Vios, Mitsubishi dengan Colt dan Nissan menerusi model Latio.


RUANG kabin dengan rekaan papan pemuka futuristik. Segala butang kawalannya juga menitikberatkan aspek ergonomik.




Apapun natijahnya, Civic tetap dominan di mata rakyat Malaysia. Ketika generasi kelapan ini dilancarkan, ia seolah-olah menghentikan seketika putaran cerita kereta baru.

Pada tangga harga RM113,800, ia sebuah kereta yang direka jauh lebih menarik daripada model ES generasi sebelumnya. Enjinnya juga dipertingkatkan kepada 1.8 liter.


LAMPU utama diletakkan dalam perumah berwarna hitam yang dipinjam daripada model berprestasi tinggi, Civic Type R.

Sedangkan Civic generasi ke-7 pernah mengalami proses facelift menerusi enjin bersesaran 2.0 liter dengan aplikasi kotak gear lima kelajuan automatik yang dikenali sebagai RS. Enjin ini juga dipuji oleh kebanyakan orang sebagai enjin model i-VTEC yang ekonomikal dan reliable.

Tiga tahun selepas pelancarannya, kereta ini masih mencatat jualan lebih baik berbanding pesaingnya (Mitsubishi Lancer, Nissan Sylphy dan Toyota Altis). Satu situasi yang agak aneh untuk kereta yang lebih awal diperkenalkan dalam kelasnya.


LAMPU belakang berbentuk oktagon tidak sekata menjadi indikator utama bahawa ini ialah varian Civic yang terbaru.



Anda harus ingat bahawa jenama Honda sebenarnya sudah lama berdiri teguh di hati rakyat Malaysia. Siapa lagi yang berani menawarkan jaminan sehingga 3 tahun, merangkumi hampir semua bahagian kereta? Saya juga berani bertaruh, harga jualan Civic terpakai lebih tinggi berbanding mana-mana kereta dalam kategorinya.

Kini, Civic telah disegarkan dengan penampilan baru. Saya pernah memandu uji kereta ini pada tahun 2006. Apa yang boleh dikatakan dari sudut pemanduan, kereta ini tidak banyak berubah. Setidak-tidaknya saya percaya tiada apa yang ditingkatkan pada enjin NP4 1.8 itu.


GRIL radiator krom ini dipadankan bersama bumper hadapan yang lebar.

Ia masih tidak mampu berentap dengan Type R, tapi bukan itu tujuan model ini dicipta. Anda hanya perlukan kereta yang boleh dipandu dari titik A ke B dengan pakej yang betul.

Bagaimanapun, suspensinya boleh saya katakan agak keras sedikit berbanding model sebelumnya. Benar, jika anda letakkan perbandingan bersebelahan pada mana-mana model Toyota atau Mitusbishi dalam kelas yang sama, Honda biasanya hadir bersama suspensi yang lebih keras.


TEMPAT duduk dimonopoli oleh warna coklat cerah atau beige.



Ujian terbaik di Kuala Lumpur ialah di lebuh raya MRR2. Jika anda berkesempatan ke Pantai Timur, Lebuh Raya Pantai Timur juga tidak kurang hebatnya. Boleh terkeluar isi perut kalau memandu kereta sport. Mahu rasa lebih lagi, cuba pandu di jalan hubungan baru Bentong - Raub, ibarat jalan Hiroshima selepas dibom. Gelombang jalannya dapat dirasai hampir di sepanjang laluan yang berturap.

Suspensinya mengingatkan saya pada Audi A4 atau Nissan March Impul. Sesetengah orang mungkin tidak selesa dengannya, tapi ia terpulang kepada kecenderungan anda.

Suspensi yang jitu lazimnya memberikan kestabilan yang tinggi, baik di laluan lurus atau selekoh. Kurangnya olengan badan bermakna anda tidak terhuyung-hayang ketika keluar dari selekoh.

Patutlah ketika memandu, saya hampir tidak sedar meter kelajuan perlahan-lahan mencecah 200km/j. Tahap NVHnya walaupun bagus, namun masih boleh diperbaiki. Pecutan enjinnya agak cepat walaupun dalam kereta dibebani oleh empat orang dewasa serta bagasi.

Apa yang sebenarnya facelift pada kereta ini? Saya sendiri pun tidak perasan pada peringkat awalnya. Tidak dinafikan, memang susah untuk mengubah muka sebuah model yang sedia cantik.


REKAAN rim aloi lima jejari ini sedikit membosankan.

Di pasaran Asia, hanya beberapa kemasan dikenakan. Secara kosmetiknya, lampu depan 'smoked' yang dipinjam dari Type R, grill radiator dengan jeriji lebih besar, lampu kabus baru serta lampu belakang yang dipasangkan dengan lensa berbentuk oktagon berbanding bulat pada model sebelumnya.

Dari segi segmentasinya pula, model Civic di Asia berkongsi kerangka dengan model yang dipasarkan di Amerika Syarikat. Jika diberi pilihan, secara peribadi saya lebih sukakan lampu belakang facelift spesifikasi Amerika dan lampu hadapan spesifikasi Asia. Lebih ketara perubahan bentuknya (oh ya, sekali imbas macam A4). Sekurang-kurangnya jiran anda sedar Civic yang anda beli semalam ialah model paling baru.

Jika saya diberi peluang untuk memberi pandangan tentang apa yang perlu diubah, mungkin skema warnanya. Lebih bagus lagi jika kereta-kereta facelift ini diperkenalkan dengan warna badan baru. Sama ada putih Angelic, British Racing Green atau mungkin merah. Jadi, barulah pembeli dapat membezakannya dari model terdahulu.

Bahagian kabin kereta ini berubah dari jenis fabriknya. Jahitannya lebih kasar namun warnanya tidak berubah. Masih dengan fabrik coklat terang (beige) yang mana amatlah tidak praktikal di Malaysia.

Sama ada jurutera terlepas pandang atau mungkin tidak sedar bahawa menjadi satu bebanan bagi pemilik yang terpaksa menjadi seorang yang sangat berhati-hati, hatta untuk meletakkan lengan di atas perehat tangan.

Tidak dinafikan, warna-warna sebegini hanya sesuai untuk permaidani rumah yang tiada kanak-kanak. Jika jurutera tiada jalan lain, masih mahukan warna sebegini supaya nampak luas, saya syorkan balut sahaja dengan kulit yang berkualiti.

Pada harga RM114,980 atas jalan lengkap dengan insurans, ia sukar untuk dibandingkan dengan mana-mana saingannya.

Pilihan lain ialah model 2.0 berharga RM129,980. Atau tambah lagi RM5,000 untuk mendapatkan aksesori dari Modulo (bersama kit badan). Model 2.0 mungkin telah begitu jauh dari jangkauan. Untuk RM130,000, saya tidak akan teragak-agak membeli Accord. Saiznya lebih besar dan dalaman yang super luas. Namun, ia masih terpulang pada kecenderungan individu.

Selepas empat hari memandu uji kereta ini dengan perjalanan sejauh 520 kilometer tercatat pada odometer, ia mengingatkan saya Accord (F20B) yang saya miliki beberapa tahun lalu.

Ekonomikal, tetapi tidak menghampakan dari segi kuasa, teknologi VTEC memang sangat membantu. Kuasa dihantar bila perlu. Suspensinya jitu. Akhir kata, tepuk dada, tengok slip gaji, kalau teringin, sila pandu uji. Jangan tunggu lagi!

Dua tahun fobia memandu


Selepas dua tahun tidak berani memegang stereng kereta gara-gara kemalangan jalan raya, kini Faezah semakin yakin memandu dengan Hyundai Getz miliknya.
BANYAK dugaan dihadapi oleh pelakon jelita ini sebelum dapat memandu kereta di jalan raya.

MEMANDU dan meminjam kereta seorang teman tanpa memiliki lesen, lalu mengalami kemalangan kecil beberapa tahun lalu membuatkan pendatang baru dalam dunia lakonan, Noorfaezah Elai Md. Elai, 27, mengalami trauma.

Sejak itu, wanita yang lebih dikenali dengan panggilan Faezah Elai tidak memiliki keberanian untuk memegang stereng kereta, apatah lagi untuk memandu kereta.


FAEZAH selesa memandu jentera Hyundai Getz yang bersaiz kompak.

"Waktu itu saya baru hendak belajar memandu kereta. Sudahlah tiada lesen memandu yang sah, saya juga mengalami kemalangan kecil berhampiran rumah.

"Memanglah kalau hendak diikutkan ia bukan kesalahan besar kerana pemandu lain yang melanggar saya. Tetapi siapa yang tidak gementar apabila terlibat dalam kemalangan.

"Waktu itu saya benar-benar ketakutan memikirkan impak terhadap insiden di luar kawalan ini. Selepas kejadian malang itu, saya terus fobia untuk memandu.



"Dua tahun saya tidak membawa kereta gara-gara trauma," katanya ketika ditemui pada sesi fotografi Ini Mobilku di perkarangan Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bekas pramugari Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) itu memberitahu, selepas dua tahun berlalu barulah dia ada keinginan untuk belajar memandu secara sah menerusi sekolah memandu di tempat kelahirannya di Pulau Pinang.

"Saya menggagahkan diri juga untuk belajar memandu dengan cara dan tempat yang betul setelah beberapa tahun tidak memegang stereng kereta.


"Namun, kenangan yang paling tidak dapat saya lupakan sewaktu belajar di sekolah memandu apabila terpaksa menduduki peperiksaan teori sehingga empat kali disebabkan gagal menjawab soalan ujian memandu berkomputer.

"Terus-terang, soalan yang diberikan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agak mengelirukan sehingga saya terkial-kial menjawab soalan yang rata-ratanya berkisar tentang peraturan lalu lintas dan kemahiran bergelar pemandu.

"Nasib malang saya tidak hanya terhenti setakat di situ saja. Bahkan saya turut gagal dalam ujian amali memandu kereta di jalan raya untuk kali pertama.

"Setelah dua kali menjalani peperiksaan ini, akhirnya saya lulus dengan cemerlang sekali gus berjaya menjadi pemandu yang memiliki lesen sah," jawab wanita berdarah kacukan hasil perkahwinan campur bapanya, seorang Punjabi dan ibunya Siam itu dalam nada girang.


PENGALAMAN terlibat dalam kemalangan jalan raya membuatkan Faezah fobia memandu.

Biarpun begitu, Faezah kini lebih selesa menggunakan khidmat adik kesayangan, Suzana Elai, 24, untuk mengangkut empunya diri ke mana-mana jua.

"Bukan saya sengaja atau mengada-ngada tidak mahu memandu kereta sendiri. Tetapi saya lebih gemar meminta bantuan adik yang juga bertindak sebagai pembantu peribadi saya untuk membawa kereta ini.

"Dengan jadual lakonan yang tidak mengira waktu, lokasi dan keadaan, kebiasaannya saya cepat berasa letih dan tidak bermaya untuk memandu.

"Nasib baiklah ada adik yang banyak membantu memudahkan pergerakan saya ke sana ke mari. Oleh itu saya memang berterima kasih kepada adik," luah Faezah sambil memandang Suzana yang setia berada di sisinya sejak bergelar seorang pelakon kira-kira dua tahun lalu.

Pembabitan pertama Faezah dalam dunia lakonan adalah menerusi filem Otai arahan Prof. Madya Razak Mohaideen pada tahun 2007 lantas dia mula meraih populariti apabila berlakon dalam beberapa drama lain yang mendapat sambutan membanggakan daripada khalayak.

Hyundai Getz banyak kelebihan

Mengulas lebih lanjut tentang kereta Hyundai Getz yang dibelinya pada Julai tahun lalu, anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia cukup senang memandu kereta jenis kompak tersebut setelah membelinya sejak setahun lalu.

"Banyak kemudahan yang saya dapat dengan menggunakan khidmat kereta ini. Salah satu yang boleh saya katakan adalah minyaknya yang jimat.

"Fizikalnya juga kecil sekali gus memudahkan saya untuk meletakkan kenderaan ini di tempat letak kereta.

"Bahkan semasa saya beli kereta ini, ejen jualan Hyundai turut memberikan pelbagai hadiah menarik dan perkhidmatan lain termasuk untuk servis kereta," jelasnya dalam nada ceria.

Saturday, August 8, 2009

Berapa Agaknya harga ni!!

Aku sekarang ni berada di KL atas urusan kerja aku dan isteriku,
biasa lah semenjak dua menjak ni aku selalu berurusan di KL
dan selalulah travel jauh jauh...
tapi tu semua bukan memenatkan aku dan bukan alasan untuk
aku kata tidak ke KL,
sebab aku suka datang KL kerana banyak kenangan susah senang
time belajar dulu dulu.

ok aku malas nak melalut panjang panjang
sebab story yang aku nak bagitau ni bukan mengenai kisah
yang boleh diketogorikan Bersamamu he he...

So sebab blog aku ni blog mengenai kereta,
jadi aku ceritalah pasal kereta...

Hari rabu lepas aku gi lah antar orang rumah aku kat UTM semarak
pas habis kerja dia,aku balik ah ikut jalan depan IJN,
tengah sesak sesak jem aku perati lah benda sekeliling,
biasa ah jarang jarang datang KL kena ah tengok pembaharuan sket,

Sambil drive tu aku tengok ah kat side miror,
ada satu kereta ni pelik dan gempak,
tapi bukan ketogori kereta ah tapi SUV
harga dia tak yah cerita lah berapa,
aku pun agak agak lah sambil cakap kat bini aku,
maybe dalam Rm 1,000,000 juta kot...

kalo tak pun,macam ah boleh beli kan ha ha
tapi aku tak sempat ambik gambar penuh takut lak dikatakan Jakun...
SUV ni jenis Porshe Magnum,
kalo dah namanya porshe mestilah mahal kan?


Friday, August 7, 2009

Usaha selamatkan BMW Sauber gagal?



MASA depan BMW Sauber
dalam perlumbaan F1 masih
tidak menentu.

LONDON - Masa depan BMW Sauber dalam perlumbaan Formula Satu (F1) masih menjadi tanda tanya selepas usaha pertama menyelamatkan pasukan itu menemui jalan buntu.

Pengasas yang juga pemegang 20 peratus saham dalam pasukan itu, Peter Sauber serta ketua pasukan, Mario Theissen dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan pegawai ekse- kutif BMW baru-baru ini.

Tujuannya ialah mengenai cadangan mengambil alih penguru- san pasukan tersebut bagi memastikan BMW Sauber yang beroperasi di Hinwil itu dapat terus beraksi tahun depan.

Begitupun, perbincangan tersebut dilaporkan menemui jalan buntu meskipun selepas tarikh akhir untuk Perjanjian Concorde berakhir 5 Ogos lalu.

"Kami telah cuba melakukan pelbagai usaha dalam masa yang singkat ini tetapi kami masih tidak menemui jalan penyelesaian," kata Thei- ssen.

Sauber menjual kepentingan dalam pasukan Sauber F1 kepada BMW pada tahun 2005 dan sejak itu, pasukan terbabit dikenali sebagai BMW Sauber.

Dalam pada itu, Sauber turut mendedahkan terdapat beberapa pelabur yang berpotensi untuk membantu meneruskan impian mereka beraksi dalam F1 tahun depan.

Sementara itu, bekas juara dunia, Nelson Piquet yang juga bapa kepada pemandu Renault yang baru digugurkan, Nelson Piquet Jr turut dikaitkan sebagai indivi- du yang akan bekerjasama untuk menyelamatkan masa depan BMW Sauber pada perlumbaan tahun depan. - Agensi

Thursday, August 6, 2009

Airbrush pilihan remaja

Sering digunakan dalam kerja-kerja ilustrasi dan sentuhan semula fotografi. Sebabnya, campuran warnanya yang halus membuatkan setiap gambaran yang ingin ditonjolkan kelihatan lebih menarik.



TAHUKAH anda, peralatan yang digunakan untuk menyiapkan lukisan berus angin ataupun airbrush memerlukan bajet lebih tinggi berbanding lukisan biasa?

Bayangkan sahaja, sebatang pen halus untuk membuat semburan warna pun sudah mencecah RM300. Bukan itu sahaja, anda juga memerlukan alat pemampat atau compressor bernilai RM2,400 yang akan disambungkan pada bahagian pen tersebut.

Pendek kata, jika anda ingin memulakan kerjaya dalam bidang airbrush, modal awalnya sudah melebihi kos RM2,700.

Itu tidak termasuk dengan warna-warna yang ingin digunakan. Alasannya, anda harus memilih warna bersesuaian dengan permukaan yang ingin dilukis. Kalau hendak digunakan atas kereta atau motosikal, warnanya dijual pada harga RM45 sehingga RM70 seliter.

Seandainya mahu mengikuti bengkel airbrush anjuran pihak-pihak tertentu, bayaran yang dikenakan biasanya mencecah RM800.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa seni ini agak mahal berbanding seni lukis biasa. Ini yang membuatkan pelukis airbrush mempunyai komuniti tersendiri.

"Mereka cenderung untuk berkongsi membeli peralatan. Selepas benar-benar mahir, barulah mereka memilikinya sendiri," beritahu pelukis airbrush berpengalaman, Muhammad Noor Md. Yussoff kepada Kosmo!.

Bengkel berus angin

Muhammad Noor atau lebih dikenali dengan panggilan Tony ditemui ketika mengendalikan bengkel berus angin anjuran Balai Seni Lukis Negara (BSLN) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bengkel selama empat hari itu diadakan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-52, sekali gus mempromosikan pertandingan mural 1Malaysia. Pada masa yang sama, ia merupakan usaha melaksanakan semangat kefahaman konsep 1Malaysia melalui seni visual.

Para peserta diperkenalkan dengan selok-belok lukisan berus angin. Mereka juga perlu menghasilkan kreativiti lakaran airbrush masing-masing di atas topi keledar, sehinggalah mampu menguasai teknik tersebut.


MAHFUZ menggunakan lapan jenis warna untuk menyiapkan lukisan semburan anginnya.

Walaupun berpegang pada konsep yang telah dipilih khas iaitu 1Malaysia, peserta tetap diberi kelonggaran untuk membuat corak yang diinginkan mengikut kreativiti sendiri.

Menurut Tony, bengkel sebegini sebenarnya perlu diperluaskan sejak dulu lagi. Sekurang-kurangnya, golongan remaja mempunyai aktiviti sampingan dan tidak membuang masa tidak tentu hala. Malah, mereka boleh menukar hobi ini menjadi satu sumber pendapatan sampingan.

Jika hendak dibandingkan dengan negara-negara luar yang sudah sekian lama mempraktikkannya, populariti lukisan airbrush masih belum meluas di Malaysia.

Sebenarnya, seni airbrush mula diperkenalkan pada tahun 1876 oleh seorang ahli perniagaan, Francis Edgar Stanley yang berasal dari Newton, Massachusetts Amerika Syarikat (AS).

Keunikan teknik tersebut kemudiannya dikembangkan oleh Abner Peeler yang merupakan seorang pereka mesin taip terkenal di AS.


PERMUKAAN topi keledar yang bulat menyukarkan para peserta untuk melukisnya.

Agak rugi rasanya jika tidak mendedahkan kemahiran lukisan airbrush di kalangan para pelukis remaja. Lagi pun, penggunaan airbrush cukup versatil. Bukan sekadar di atas sehelai kanvas atau permukaan kenderaan sahaja.

"Namun, apa yang lebih penting ialah mereka yang berminat perlu mempelajarinya terlebih dahulu kerana ia tidak semudah yang disangka," tambah Tony.

Bengkel yang diadakan di perkarangan BSLN secara percuma itu telah meraih penyertaan kira-kira 15 orang remaja. Kebanyakannya mempunyai latar belakang dalam bidang lukisan.

Buat lakaran kasar

Meskipun peralatannya agak mahal, pelaburan itu pasti berbaloi apabila menerima tempahan daripada orang ramai.

Sebabnya, setiap lukisan di atas badan kenderaan misalnya boleh dicaj sehingga RM7,000 atau RM8,000.

Bagi motor berkuasa tinggi pula, bayaran yang dikenakan ialah sekitar RM4,000. Sementara RM2,500 untuk lukisan pada sebuah skuter.


PEMINAT skuter sudah lama memilih airbrush untuk mencantikkan skuter mereka.

Mengulas lebih terperinci mengenai keunikan teknik airbrush, Tony memberitahu, ia melibatkan satu alat seperti pen yang berisi dakwat atau warna. Pen itu kemudiannya disambungkan kepada satu sumber udara termampat yang dinamakan compressor.

"Apabila mesin dipasang, semburan halus dakwat pada kanvas akan terhasil. Teknik ini akan memberikan kesan tona dan alunan warna yang sesuai pada sesuatu lukisan," jelasnya.

Bagaimanapun, bagi yang belum mahir, mereka mungkin memerlukan masa kira-kira dua bulan untuk memahami dengan lebih lanjut berkaitan lukisan airbrush.

Lazimnya, pelukis memulakan hasil kerjanya dengan membuat lakaran kasar sebelum melukisnya dengan airbrush. Teknik tersebut perlu dipraktikkan supaya dia mendapat gambaran yang jelas apa yang ingin dilukisnya nanti.

Apabila gambaran sudah ada, ia akan memudahkan pelukis dan tidak membuat banyak kesalahan apabila teknik airbrush mula digunakan.

"Namun perlu diingatkan, bukan hanya compressor, pen dan warna sahaja yang diperlukan. Alat-alat lain seperti kertas lukisan, pisau dan pita pelekat juga sangat penting," katanya.

Pita pelekat berfungsi melindungi warna tidak diingini daripada terkena pada bahagian yang ingin diwarnakan.

Konsep sama dengan graffiti

Bagi salah seorang peserta bengkel berus angin, Mohd. Mahfuz Ab. Rashid, 21, dia tidak mahu melepaskan peluang menyertai bengkel tersebut yang disifatkannya cukup berharga.

"Sebenarnya, sudah lama saya menantikan peluang untuk mempelajari teknik penggunaan airbrush dalam lukisan. Mulanya, nampak macam mudah kerana sekadar sembur sahaja. Tetapi selepas mencubanya, barulah saya rasa ia cukup remeh.

"Konsepnya lebih kurang sama dengan lukisan graffiti. Cuma airbrush lebih susah terutamanya untuk mengawal setiap semburan," beritahunya.

Mahfuz yang memiliki asas lukisan graffiti dilihat begitu bersungguh-sungguh mengendalikan peralatan tersebut ketika membuat semburan di atas permukaan topi keledar.


JIKA diberikan perhatian sepenuhnya, seseorang pelukis boleh menyiapkan lukisan seperti ini dalam masa satu hari sahaja.

Ditanya apakah perbezaan antara lukisan grafiti yang sering dihasilkannya berbanding lukisan airbrush, Mahfuz mengakui teknik lukisan ini mempunyai cabarannya tersendiri.

Walaupun kedua-duanya menerapkan teknik semburan, pelukis bukan sahaja perlu mengawal setiap semburan yang ingin dilepaskan, malah mesti banyak bersabar kerana mata pen airbrush sangat halus. Bagi yang pertama kali mencubanya, mereka pasti akan berasa kekok.

"Saya pernah cuba melukis menggunakan airbrush. Namun keinginan untuk memahirkan diri terbantut kerana tidak mempunyai peralatan yang lengkap.

"Jadi, lepas ini saya akan mendapatkan set peralatan airbrush untuk kegunaan sendiri," cerita Mahfuz yang tekun menyambung kerjanya.

Sementara itu, Teh Champ, 21, ingin mendalami teknik airbrush kerana ia mampu menjana pendapatan yang tinggi.

Malah permintaan daripada orang ramai juga boleh dikatakan cukup positif. Misalnya, peminat motosikal berkuasa tinggi sentiasa inginkan lukisan baru pada jentera masing-masing.

"Percaya atau tidak, peminat airbrush sanggup mengeluarkan belanja yang banyak semata-mata untuk mencantikkan aset mereka. Malah lukisan itu juga sentiasa bertukar-tukar," jelasnya yang baru hendak membiasakan diri dengan peralatan airbrush.

'Schumi mampu julang Ferrari'


SCHUMACHER bakal menjadi inspirasi kepada kebangkitan Ferrari pada perlumbaan F1 musim ini.

LONDON - Bernie Eccle- stone yakin Michael Schuma- cher mampu menghadiahkan kejayaan pertama buat Ferrari pada perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.

Pemilik F1 itu memanggil semula Schumacher untuk perlumbaan itu walaupun dia telah bersara pada tahun 2006.

Schumacher disenaraikan dalam pasukan Ferrari bagi kempen musim ini selepas pemandu Brazil, Felipe Massa terpaksa berehat panjang akibat kecede- raan.

Berdasarkan laporan terkini, pemandu Jerman itu dijangka membuat penampilan sulungnya musim ini pada Grand Prix (GP) Eropah di Valencia pertengahan bulan ini.

Namun, Ecclestone meramalkan, kehadiran Schuma- cher dalam pasukan Ferrari akan memberi impak besar kepada pasukan dari Itali itu, sekali gus membuka peluang mereka untuk meraih kemenangan sulung musim ini.

"Saya dapat rasa Michael akan memenanginya lagi. Jika ada sesiapa yang boleh melakukannya, Michael juga boleh.

"Dia tidak pernah bosan dan tidak akan merasa bosan lagi sekarang.

"Saya rasa dia akan beri pengajaran kepada satu atau dua pemandu dan saya juga mahu lihat dia terus memandu dalam saingan musim ini.

"Apa pun, kita tunggu dan lihat saja apa yang berlaku. Dia mungkin akan membuat keputusan yang penting." - Agensi

Tuesday, August 4, 2009

Lebih kuasa, lebih gaya































SELEPAS menerima pujian terhadap model kompak i10, Hyundai-Sime Darby Motors Sdn Bhd (HSDM) membawa model sedan terbaru, i30 yang lebih berkuasa dan bergaya.

Model terbaru itu dilancarkan serentak dengan pameran kereta besar-besaran Hyundai di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Model i30 itu didatangkan dengan tiga versi berbeza iaitu 1.6L manual dan automatik serta 2.0L automatik.

Pengarah Urusan HSDM, Dennis Ho, berkata i30 mampu mengekalkan jualan yang baik tahun ini.

"Syarikat berharap pengenalan model ini membolehkan Hyundai mencapai jualan antara 7,000 dan 8,000 kenderaan menjelang akhir tahun ini," katanya.

Hadir sama wakil dari Korea Selatan merangkap Naib Presiden Kanan Bahagian Asia Pasifik dan Perniagaan Global, Hyundai Motor Company, Y K Chun.

Model i30 menampilkan beberapa perubahan berciri global seperti keluasan ruang menyimpan barang, kerusi penumpang kedua fleksibel selain suntikan kejuruteraan terkini Hyundai.

Antara ciri luaran menarik terbaru termasuk lampu projektor berpasangan dengan lampu antikabus rekaan terkini, lampu brek ketiga dengan penyembur air dan reka bentuk lampu belakang memanjang ke bumbung.

Selain itu, i30 dijana enjin 16 injap DOHC CVVT yang menawarkan 121 PS dan 154 Nm tork bagi versi 1.6 manakala 143 PS dengan tork 186.3 Nm untuk versi 2.0L.

Ciri dalaman termasuk konsol tengah bagi penumpang belakang, kemasan ruang kokpit moden, paparan panel meter warna biru dan stereng boleh laras umpama jentera mewah.

Model terbaru ini turut dilengkapi sistem keselamatan terbaik antaranya beg udara, ABS dan EBD serta ESP untuk versi 2.0L.

Sebanyak lima pilihan warna ditawarkan iaitu Biru Indigo, Hitam Stone, Perak Continental, Kelabu Steel dan Putih Kristal.

Harga Hyundai i30 ialah RM92,388 bagi 1.6L (manual), RM97,888 1.6L (automatik) dan RM112,888 bagi 2.0L.