Tuesday, August 4, 2009

Lebih kuasa, lebih gaya































SELEPAS menerima pujian terhadap model kompak i10, Hyundai-Sime Darby Motors Sdn Bhd (HSDM) membawa model sedan terbaru, i30 yang lebih berkuasa dan bergaya.

Model terbaru itu dilancarkan serentak dengan pameran kereta besar-besaran Hyundai di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Model i30 itu didatangkan dengan tiga versi berbeza iaitu 1.6L manual dan automatik serta 2.0L automatik.

Pengarah Urusan HSDM, Dennis Ho, berkata i30 mampu mengekalkan jualan yang baik tahun ini.

"Syarikat berharap pengenalan model ini membolehkan Hyundai mencapai jualan antara 7,000 dan 8,000 kenderaan menjelang akhir tahun ini," katanya.

Hadir sama wakil dari Korea Selatan merangkap Naib Presiden Kanan Bahagian Asia Pasifik dan Perniagaan Global, Hyundai Motor Company, Y K Chun.

Model i30 menampilkan beberapa perubahan berciri global seperti keluasan ruang menyimpan barang, kerusi penumpang kedua fleksibel selain suntikan kejuruteraan terkini Hyundai.

Antara ciri luaran menarik terbaru termasuk lampu projektor berpasangan dengan lampu antikabus rekaan terkini, lampu brek ketiga dengan penyembur air dan reka bentuk lampu belakang memanjang ke bumbung.

Selain itu, i30 dijana enjin 16 injap DOHC CVVT yang menawarkan 121 PS dan 154 Nm tork bagi versi 1.6 manakala 143 PS dengan tork 186.3 Nm untuk versi 2.0L.

Ciri dalaman termasuk konsol tengah bagi penumpang belakang, kemasan ruang kokpit moden, paparan panel meter warna biru dan stereng boleh laras umpama jentera mewah.

Model terbaru ini turut dilengkapi sistem keselamatan terbaik antaranya beg udara, ABS dan EBD serta ESP untuk versi 2.0L.

Sebanyak lima pilihan warna ditawarkan iaitu Biru Indigo, Hitam Stone, Perak Continental, Kelabu Steel dan Putih Kristal.

Harga Hyundai i30 ialah RM92,388 bagi 1.6L (manual), RM97,888 1.6L (automatik) dan RM112,888 bagi 2.0L.

No comments: