Sering digunakan dalam kerja-kerja ilustrasi dan sentuhan semula fotografi. Sebabnya, campuran warnanya yang halus membuatkan setiap gambaran yang ingin ditonjolkan kelihatan lebih menarik.
TAHUKAH anda, peralatan yang digunakan untuk menyiapkan lukisan berus angin ataupun airbrush memerlukan bajet lebih tinggi berbanding lukisan biasa?
Bayangkan sahaja, sebatang pen halus untuk membuat semburan warna pun sudah mencecah RM300. Bukan itu sahaja, anda juga memerlukan alat pemampat atau compressor bernilai RM2,400 yang akan disambungkan pada bahagian pen tersebut.
Pendek kata, jika anda ingin memulakan kerjaya dalam bidang airbrush, modal awalnya sudah melebihi kos RM2,700.
Itu tidak termasuk dengan warna-warna yang ingin digunakan. Alasannya, anda harus memilih warna bersesuaian dengan permukaan yang ingin dilukis. Kalau hendak digunakan atas kereta atau motosikal, warnanya dijual pada harga RM45 sehingga RM70 seliter.
Seandainya mahu mengikuti bengkel airbrush anjuran pihak-pihak tertentu, bayaran yang dikenakan biasanya mencecah RM800.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa seni ini agak mahal berbanding seni lukis biasa. Ini yang membuatkan pelukis airbrush mempunyai komuniti tersendiri.
"Mereka cenderung untuk berkongsi membeli peralatan. Selepas benar-benar mahir, barulah mereka memilikinya sendiri," beritahu pelukis airbrush berpengalaman, Muhammad Noor Md. Yussoff kepada Kosmo!.
Bengkel berus angin
Muhammad Noor atau lebih dikenali dengan panggilan Tony ditemui ketika mengendalikan bengkel berus angin anjuran Balai Seni Lukis Negara (BSLN) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bengkel selama empat hari itu diadakan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-52, sekali gus mempromosikan pertandingan mural 1Malaysia. Pada masa yang sama, ia merupakan usaha melaksanakan semangat kefahaman konsep 1Malaysia melalui seni visual.
Para peserta diperkenalkan dengan selok-belok lukisan berus angin. Mereka juga perlu menghasilkan kreativiti lakaran airbrush masing-masing di atas topi keledar, sehinggalah mampu menguasai teknik tersebut.
Walaupun berpegang pada konsep yang telah dipilih khas iaitu 1Malaysia, peserta tetap diberi kelonggaran untuk membuat corak yang diinginkan mengikut kreativiti sendiri.
Menurut Tony, bengkel sebegini sebenarnya perlu diperluaskan sejak dulu lagi. Sekurang-kurangnya, golongan remaja mempunyai aktiviti sampingan dan tidak membuang masa tidak tentu hala. Malah, mereka boleh menukar hobi ini menjadi satu sumber pendapatan sampingan.
Jika hendak dibandingkan dengan negara-negara luar yang sudah sekian lama mempraktikkannya, populariti lukisan airbrush masih belum meluas di Malaysia.
Sebenarnya, seni airbrush mula diperkenalkan pada tahun 1876 oleh seorang ahli perniagaan, Francis Edgar Stanley yang berasal dari Newton, Massachusetts Amerika Syarikat (AS).
Keunikan teknik tersebut kemudiannya dikembangkan oleh Abner Peeler yang merupakan seorang pereka mesin taip terkenal di AS.
Agak rugi rasanya jika tidak mendedahkan kemahiran lukisan airbrush di kalangan para pelukis remaja. Lagi pun, penggunaan airbrush cukup versatil. Bukan sekadar di atas sehelai kanvas atau permukaan kenderaan sahaja.
"Namun, apa yang lebih penting ialah mereka yang berminat perlu mempelajarinya terlebih dahulu kerana ia tidak semudah yang disangka," tambah Tony.
Bengkel yang diadakan di perkarangan BSLN secara percuma itu telah meraih penyertaan kira-kira 15 orang remaja. Kebanyakannya mempunyai latar belakang dalam bidang lukisan.
Buat lakaran kasar
Meskipun peralatannya agak mahal, pelaburan itu pasti berbaloi apabila menerima tempahan daripada orang ramai.
Sebabnya, setiap lukisan di atas badan kenderaan misalnya boleh dicaj sehingga RM7,000 atau RM8,000.
Bagi motor berkuasa tinggi pula, bayaran yang dikenakan ialah sekitar RM4,000. Sementara RM2,500 untuk lukisan pada sebuah skuter.
Mengulas lebih terperinci mengenai keunikan teknik airbrush, Tony memberitahu, ia melibatkan satu alat seperti pen yang berisi dakwat atau warna. Pen itu kemudiannya disambungkan kepada satu sumber udara termampat yang dinamakan compressor.
"Apabila mesin dipasang, semburan halus dakwat pada kanvas akan terhasil. Teknik ini akan memberikan kesan tona dan alunan warna yang sesuai pada sesuatu lukisan," jelasnya.
Bagaimanapun, bagi yang belum mahir, mereka mungkin memerlukan masa kira-kira dua bulan untuk memahami dengan lebih lanjut berkaitan lukisan airbrush.
Lazimnya, pelukis memulakan hasil kerjanya dengan membuat lakaran kasar sebelum melukisnya dengan airbrush. Teknik tersebut perlu dipraktikkan supaya dia mendapat gambaran yang jelas apa yang ingin dilukisnya nanti.
Apabila gambaran sudah ada, ia akan memudahkan pelukis dan tidak membuat banyak kesalahan apabila teknik airbrush mula digunakan.
"Namun perlu diingatkan, bukan hanya compressor, pen dan warna sahaja yang diperlukan. Alat-alat lain seperti kertas lukisan, pisau dan pita pelekat juga sangat penting," katanya.
Pita pelekat berfungsi melindungi warna tidak diingini daripada terkena pada bahagian yang ingin diwarnakan.
Konsep sama dengan graffiti
Bagi salah seorang peserta bengkel berus angin, Mohd. Mahfuz Ab. Rashid, 21, dia tidak mahu melepaskan peluang menyertai bengkel tersebut yang disifatkannya cukup berharga.
"Sebenarnya, sudah lama saya menantikan peluang untuk mempelajari teknik penggunaan airbrush dalam lukisan. Mulanya, nampak macam mudah kerana sekadar sembur sahaja. Tetapi selepas mencubanya, barulah saya rasa ia cukup remeh.
"Konsepnya lebih kurang sama dengan lukisan graffiti. Cuma airbrush lebih susah terutamanya untuk mengawal setiap semburan," beritahunya.
Mahfuz yang memiliki asas lukisan graffiti dilihat begitu bersungguh-sungguh mengendalikan peralatan tersebut ketika membuat semburan di atas permukaan topi keledar.
Ditanya apakah perbezaan antara lukisan grafiti yang sering dihasilkannya berbanding lukisan airbrush, Mahfuz mengakui teknik lukisan ini mempunyai cabarannya tersendiri.
Walaupun kedua-duanya menerapkan teknik semburan, pelukis bukan sahaja perlu mengawal setiap semburan yang ingin dilepaskan, malah mesti banyak bersabar kerana mata pen airbrush sangat halus. Bagi yang pertama kali mencubanya, mereka pasti akan berasa kekok.
"Saya pernah cuba melukis menggunakan airbrush. Namun keinginan untuk memahirkan diri terbantut kerana tidak mempunyai peralatan yang lengkap.
"Jadi, lepas ini saya akan mendapatkan set peralatan airbrush untuk kegunaan sendiri," cerita Mahfuz yang tekun menyambung kerjanya.
Sementara itu, Teh Champ, 21, ingin mendalami teknik airbrush kerana ia mampu menjana pendapatan yang tinggi.
Malah permintaan daripada orang ramai juga boleh dikatakan cukup positif. Misalnya, peminat motosikal berkuasa tinggi sentiasa inginkan lukisan baru pada jentera masing-masing.
"Percaya atau tidak, peminat airbrush sanggup mengeluarkan belanja yang banyak semata-mata untuk mencantikkan aset mereka. Malah lukisan itu juga sentiasa bertukar-tukar," jelasnya yang baru hendak membiasakan diri dengan peralatan airbrush.
No comments:
Post a Comment