Sunday, August 9, 2009

Model Ikonik

Model ini telah memaksa pesaingnya membuat satu lagi model untuk memastikan pembeli meletakkan Civic pada posisi yang betul.



HONDA Civic, kereta yang anda tidak akan menyesal jika dibeli, sama ada baru atau model terpakai. Kereta ini menawarkan hampir segala-galanya apabila bercerita berkenaan pemilikan kereta segmen C di Malaysia.

Civic ada rupa, gaya, kuasa, prestasi selain praktikal dan ekonomikal. Ia sebuah kereta yang dicipta untuk disesuaikan apa jua karektor anda. Dari suri rumah kepada eksekutif pejabat, usahawan atau seorang pelajar yang gemar bergaya untuk dipandu ke kolej.

Sejak model pertamanya direka pada tahun 1972, Civic kini telah mengisi segmen C premium Honda, diposisikan di antara Jazz/City dan Accord. Kereta ini tidak lagi duduk sebumbung dengan generasi sebelumnya.


SEKALI pandang, sukar untuk melihat pembaharuan yang diterima oleh model Civic facelift ini.

Asasnya, model ini telah dinaik taraf menjadi lebih 'eksekutif'. Atau dengan kata mudahnya, lebih mahal daripada model beberapa generasi sebelumnya. Ia bukan lagi model sub RM100,000 di Malaysia.

Malah, sekurang-kurangnya pengenalan model ini telah memaksa pesaingnya membuat satu lagi model untuk memastikan pembeli meletakkan Civic pada posisi yang betul. Toyota menghasilkan Yaris dan Vios, Mitsubishi dengan Colt dan Nissan menerusi model Latio.


RUANG kabin dengan rekaan papan pemuka futuristik. Segala butang kawalannya juga menitikberatkan aspek ergonomik.




Apapun natijahnya, Civic tetap dominan di mata rakyat Malaysia. Ketika generasi kelapan ini dilancarkan, ia seolah-olah menghentikan seketika putaran cerita kereta baru.

Pada tangga harga RM113,800, ia sebuah kereta yang direka jauh lebih menarik daripada model ES generasi sebelumnya. Enjinnya juga dipertingkatkan kepada 1.8 liter.


LAMPU utama diletakkan dalam perumah berwarna hitam yang dipinjam daripada model berprestasi tinggi, Civic Type R.

Sedangkan Civic generasi ke-7 pernah mengalami proses facelift menerusi enjin bersesaran 2.0 liter dengan aplikasi kotak gear lima kelajuan automatik yang dikenali sebagai RS. Enjin ini juga dipuji oleh kebanyakan orang sebagai enjin model i-VTEC yang ekonomikal dan reliable.

Tiga tahun selepas pelancarannya, kereta ini masih mencatat jualan lebih baik berbanding pesaingnya (Mitsubishi Lancer, Nissan Sylphy dan Toyota Altis). Satu situasi yang agak aneh untuk kereta yang lebih awal diperkenalkan dalam kelasnya.


LAMPU belakang berbentuk oktagon tidak sekata menjadi indikator utama bahawa ini ialah varian Civic yang terbaru.



Anda harus ingat bahawa jenama Honda sebenarnya sudah lama berdiri teguh di hati rakyat Malaysia. Siapa lagi yang berani menawarkan jaminan sehingga 3 tahun, merangkumi hampir semua bahagian kereta? Saya juga berani bertaruh, harga jualan Civic terpakai lebih tinggi berbanding mana-mana kereta dalam kategorinya.

Kini, Civic telah disegarkan dengan penampilan baru. Saya pernah memandu uji kereta ini pada tahun 2006. Apa yang boleh dikatakan dari sudut pemanduan, kereta ini tidak banyak berubah. Setidak-tidaknya saya percaya tiada apa yang ditingkatkan pada enjin NP4 1.8 itu.


GRIL radiator krom ini dipadankan bersama bumper hadapan yang lebar.

Ia masih tidak mampu berentap dengan Type R, tapi bukan itu tujuan model ini dicipta. Anda hanya perlukan kereta yang boleh dipandu dari titik A ke B dengan pakej yang betul.

Bagaimanapun, suspensinya boleh saya katakan agak keras sedikit berbanding model sebelumnya. Benar, jika anda letakkan perbandingan bersebelahan pada mana-mana model Toyota atau Mitusbishi dalam kelas yang sama, Honda biasanya hadir bersama suspensi yang lebih keras.


TEMPAT duduk dimonopoli oleh warna coklat cerah atau beige.



Ujian terbaik di Kuala Lumpur ialah di lebuh raya MRR2. Jika anda berkesempatan ke Pantai Timur, Lebuh Raya Pantai Timur juga tidak kurang hebatnya. Boleh terkeluar isi perut kalau memandu kereta sport. Mahu rasa lebih lagi, cuba pandu di jalan hubungan baru Bentong - Raub, ibarat jalan Hiroshima selepas dibom. Gelombang jalannya dapat dirasai hampir di sepanjang laluan yang berturap.

Suspensinya mengingatkan saya pada Audi A4 atau Nissan March Impul. Sesetengah orang mungkin tidak selesa dengannya, tapi ia terpulang kepada kecenderungan anda.

Suspensi yang jitu lazimnya memberikan kestabilan yang tinggi, baik di laluan lurus atau selekoh. Kurangnya olengan badan bermakna anda tidak terhuyung-hayang ketika keluar dari selekoh.

Patutlah ketika memandu, saya hampir tidak sedar meter kelajuan perlahan-lahan mencecah 200km/j. Tahap NVHnya walaupun bagus, namun masih boleh diperbaiki. Pecutan enjinnya agak cepat walaupun dalam kereta dibebani oleh empat orang dewasa serta bagasi.

Apa yang sebenarnya facelift pada kereta ini? Saya sendiri pun tidak perasan pada peringkat awalnya. Tidak dinafikan, memang susah untuk mengubah muka sebuah model yang sedia cantik.


REKAAN rim aloi lima jejari ini sedikit membosankan.

Di pasaran Asia, hanya beberapa kemasan dikenakan. Secara kosmetiknya, lampu depan 'smoked' yang dipinjam dari Type R, grill radiator dengan jeriji lebih besar, lampu kabus baru serta lampu belakang yang dipasangkan dengan lensa berbentuk oktagon berbanding bulat pada model sebelumnya.

Dari segi segmentasinya pula, model Civic di Asia berkongsi kerangka dengan model yang dipasarkan di Amerika Syarikat. Jika diberi pilihan, secara peribadi saya lebih sukakan lampu belakang facelift spesifikasi Amerika dan lampu hadapan spesifikasi Asia. Lebih ketara perubahan bentuknya (oh ya, sekali imbas macam A4). Sekurang-kurangnya jiran anda sedar Civic yang anda beli semalam ialah model paling baru.

Jika saya diberi peluang untuk memberi pandangan tentang apa yang perlu diubah, mungkin skema warnanya. Lebih bagus lagi jika kereta-kereta facelift ini diperkenalkan dengan warna badan baru. Sama ada putih Angelic, British Racing Green atau mungkin merah. Jadi, barulah pembeli dapat membezakannya dari model terdahulu.

Bahagian kabin kereta ini berubah dari jenis fabriknya. Jahitannya lebih kasar namun warnanya tidak berubah. Masih dengan fabrik coklat terang (beige) yang mana amatlah tidak praktikal di Malaysia.

Sama ada jurutera terlepas pandang atau mungkin tidak sedar bahawa menjadi satu bebanan bagi pemilik yang terpaksa menjadi seorang yang sangat berhati-hati, hatta untuk meletakkan lengan di atas perehat tangan.

Tidak dinafikan, warna-warna sebegini hanya sesuai untuk permaidani rumah yang tiada kanak-kanak. Jika jurutera tiada jalan lain, masih mahukan warna sebegini supaya nampak luas, saya syorkan balut sahaja dengan kulit yang berkualiti.

Pada harga RM114,980 atas jalan lengkap dengan insurans, ia sukar untuk dibandingkan dengan mana-mana saingannya.

Pilihan lain ialah model 2.0 berharga RM129,980. Atau tambah lagi RM5,000 untuk mendapatkan aksesori dari Modulo (bersama kit badan). Model 2.0 mungkin telah begitu jauh dari jangkauan. Untuk RM130,000, saya tidak akan teragak-agak membeli Accord. Saiznya lebih besar dan dalaman yang super luas. Namun, ia masih terpulang pada kecenderungan individu.

Selepas empat hari memandu uji kereta ini dengan perjalanan sejauh 520 kilometer tercatat pada odometer, ia mengingatkan saya Accord (F20B) yang saya miliki beberapa tahun lalu.

Ekonomikal, tetapi tidak menghampakan dari segi kuasa, teknologi VTEC memang sangat membantu. Kuasa dihantar bila perlu. Suspensinya jitu. Akhir kata, tepuk dada, tengok slip gaji, kalau teringin, sila pandu uji. Jangan tunggu lagi!

No comments: