MINGGU ini sektor automotif tempatan tertumpu kepada kajian semula Dasar Automotif Nasional (DAN) yang diumumkan Rabu lalu. Sebagai antara orang yang terlibat secara langsung dalam industri, saya melihat DAN 2009 jauh lebih baik berbanding dasar sama yang diperkenalkan pada tahun 2006.
Lebih penting, ia menyeluruh, komprehensif dan melibatkan perbincangan dasar ke atas kepentingan alam sekitar. Saya percaya, tidak banyak negara-negara membangun dan dunia ketiga mengambilnya sebagai perkara asas terhadap industri automotif.
Secara keseluruhannya, DAN terbahagi kepada tujuh dasar pokok. Ia terdiri daripada Lesen Pengilang, Cukai Bernilai Tinggi, Teknologi Tinggi dan Hijau, Geran Pengeluar Alat Ganti, Standard-keselamatan, Sistem Lesen Import dan Dimensi Nasional-Strategi Proton.
Dasar baru ini memberi ruang kepada syarikat luar memiliki pegangan ekuiti 100 peratus di sini untuk mendirikan infrastruktur dan pengeluaran kenderaan. Larangan pembekuan lesen kereta mewah (1,800cc berharga RM150,000 ke atas) ditarik balik, insentif cukai kepada pengeksport alat ganti berkomponen tempatan, penghapusan AP terbuka menjelang 2015 dan 2020 untuk AP francais. DAN 2009 juga menggalakkan pembangunan teknologi hybrid dan elektrik dengan pelbagai insentif serta piawai baru bagi meningkatkan aspek keselamatan.
Seperti yang dicadangkan dalam polisi itu, DAN diharap dapat memacu kemajuan industri automotif tempatan di samping memberi peluang kepada industri berkembang dengan kemasukan pelabur asing.
Kali ini, isu keselamatan juga dibincangkan sebagai antara dasar terpenting. Namun begitu, dasar yang dibentangkan kali ini mempunyai beberapa kelemahan yang akan memberi impak untuk jangka masa panjang. Dalam ruang yang terhad ini, saya berminat untuk menyentuh tentang beberapa polisi di bawah.
I.Pembangunan Sepenuhnya Kemudahan Vehicle Type Approval (VTA)
"Di bawah DAN sedia ada, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah dipertanggungjawabkan bagi melaksanakan VTA yang kini masih belum dibangunkan sepenuhnya. Di bawah kajian semula DAN, Kementerian Pengangkutan akan memberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk memastikan penubuhan sepenuhnya kemudahan VTA bagi standard dan pengujian."
Ini menjadi satu aspek kritikal dan selari dengan perkembangan automotif semasa. Dengan kemajuan teknologi yang pantas, kewujudan sistem yang lebih kompleks pada kereta baru memerlukan peralatan canggih bagi memastikan kenderaan baru yang dijual menepati piawaian yang kita tetapkan.
Mungkin ramai tidak sedar bahawa ada kereta baru tidak menepati piawaian keselamatan yang telah dilaksanakan di negara-negara membangun yang lain. Kita perlu memulakan inisiatif itu sekarang demi memastikan regulasi dan ketetapan yang digariskan diikuti oleh pengeluar, baik pembuat kereta tempatan atau jenama luar pada masa akan datang.
Aspek keselamatan dan pemeriksaan itu juga perlu menyeluruh. Ini termasuklah pencemaran seperti indeks pengeluaran bahan cemar, karbon monoksida dan penggunaan bahan api pada piawai tertentu. VTA itu juga perlulah dikemaskini dari semasa ke semasa. Kita boleh melantik pakar atau perunding berpengalaman dari mana-mana firma NCAP (New Car Assesment Programme) untuk menyesuaikan spesifikasi dengan piawaian yang bakal kita tetapkan.
II.Pengenalan dan Penguatkuasaan Standard Mandatori Secara Berperingkat ke atas Komponen dan Alat Ganti
"Penguatkuasaan standard mandatori ke atas komponen dan alat ganti masih lemah memandangkan tiada agensi penguatkuasaan khusus yang bertanggungjawab dalam menguatkuasakan standard. Di bawah kajian semula DAN, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menyelaras dan mewujudkan pelan jangka panjang bagi memperkenal dan menguatkuasakan standard mandatori bagi semua produk automotif".
Poin ini berkait rapat dengan sub poin nombor III di bawah. Hari ini, pengimportan masuk komponen alat ganti seolah-olah tiada kawalan. Ia menyebabkan lambakan peralatan gantian tiruan dan berkualiti rendah. Bunyinya agak sukar dikawal. Memang benar, malah di Amerika Syarikat (AS) sekali pun, industri alat ganti tiruan sukar dibanteras.
Namun, piawai ke atas alat ganti standard perlu dilakukan. Sama ada suka atau tidak, kita memerlukan produk yang berkualiti dan selamat untuk digunakan. Contohnya produk yang diiktiraf oleh SIRIM atau JBE ke atas produk elektrik. Setidak-tidaknya pengguna mempunyai garis panduan memilih produk yang datang dengan sijil dan melalui ujian yang terbukti selamat.
III.Pemansuhan Secara Berperingkat Pengimportan Alat Ganti dan Komponen Terpakai
"Kesedaran terhadap keselamatan dan alam sekitar telah meningkat disebabkan pengimportan alat ganti dan komponen terpakai tanpa sebarang sekatan atau pemeriksaan wajib. Kajian semula DAN akan memperkenalkan satu mekanisme bagi larangan pengimportan alat ganti dan komponen terpakai berkuatkuasa Jun 2011"
Selepas dua hari memikirkan aspek ini, saya masih tidak nampak rasionalnya. Bagi sebuah negara yang kadar penggunaan kereta berdurasi lama, kereta baru yang mahal menyebabkan pembeli berhutang lebih lama. Anda yang memandu BMW dan membaiki kereta di Auto Bavaria mungkin tidak kisah untuk membayar bil pembaikan tinggi untuk alat ganti asli, tetapi tidak bagi saya yang hanya memandu Mazda berenjin V6 tahun 2000.
Lupakan sejenak kereta-kereta di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Kita mungkin biasa melihat Persona, Myvi, BMW dan Mercedes setiap hari. Tetapi bayangkan di Temerloh, Muar dan Teluk Intan. Apa akan jadi dengan pemilik Nissan Sunny, Toyota KE70, BMW E28 dan Nissan Vannette yang tidak mampu membeli alat ganti baru?
Adakah mereka terpaksa membeli kereta baru? Atau mereka perlu membayar RM1,500 untuk sebatang aci picu asli yang biasanya berharga RM150 di kedai alat ganti kereta terpakai? Atau mereka mungkin memesan peralatan gantian buatan China yang jelas diragui kualitinya?
Bagaimana pula dengan sektor insurans? Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa kebanyakan insurans kenderaan berusia lebih murah kerana pihak insurans melakukan pembaikan dengan kos yang minimum.
Alternatifnya ialah alat ganti terpakai yang jauh lebih murah berbanding peralatan baru asli. Malah ia 100 kali lebih baik berbanding peralatan baru bukan asli. Jika ia benar-benar menjadi realiti, apakah natijahnya terhadap premium insurans nanti? Mungkinkah pengguna terpaksa membayar lebihan amaun apabila tuntutan insurans (kemalangan contohnya) dan dibilkan semula kepada pengguna? Bukankah ini mengakibatkan rantaian kesan yang lebih rumit dan panjang?
Lihat pada gambaran yang lebih jelas, jika lambakan alat ganti terpakai dan kualitinya menjadi pertikaian, maka industri peralatan itu tidak akan maju pada hari ini. Sebelum dasar ini dikeluarkan, adakah wakil dari industri dijemput untuk memberi pandangan? Saya tidak pasti, namun saya percaya, hatta di negara maju sekalipun, industri alat ganti terpakai masih diperlukan.
Apa yang perlu dilakukan ialah memantau atau mengawal industri, bukan menghapuskannya secara total. Buat satu ketetapan yang jelas tentang apa yang boleh dan sebaliknya. Barulah seimbang dan akhirnya di laman-laman blog peminat kereta, isu ini tidak meletup!
IV.Pengenalan Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan
"Pada masa ini, terdapat 2.7 juta kenderaan penumpang berusia 10 tahun atau lebih berada di jalan raya. Berbanding negara lain, Malaysia mempunyai kadar pelupusan kenderaan lama yang rendah dan purata usia kenderaan yang tinggi.
"Sebagai langkah awal ke arah pelaksanaan sepenuhnya Dasar Tempoh Jangka Hayat (ELV), kajian semula DAN akan memperkenalkan pemeriksaan mandatori tahunan sebagai syarat bagi pembaharuan cukai jalan untuk semua kenderaan berusia 15 tahun atau lebih"
Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan sebenarnya adalah perkara pokok terhadap pembangunan industri ini secara keseluruhan. Jika dilihat kepada angka jualan yang berkisar pada 500,000 unit setiap tahun, kita boleh berbangga sebagai negara Asia Tenggara paling rancak dalam sektor penjualan domestik. Secara tidak langsung, membuktikan bahawa kuasa beli rakyat Malaysia adalah tinggi. Sedangkan kita lupa bahawa infrastruktur jalan raya akan sampai ke had maksimumnya.
Perlu ada satu dasar yang menghadkan usia kenderaan dengan mekanisme pelupusan yang lebih sempurna. Ia tidak akan berkesan dengan hanya memberi kelonggaran kepada jenama tempatan sahaja. Pelupusan harus menyeluruh kerana industri akan lebih berkembang sekiranya pertambahan kereta baru diseimbangkan dengan perlupusan kereta lama.
Kaedah perlupusan yang ada hari ini sebenarnya tidak memberi impak besar kerana golongan berpendapatan rendah dan menengah rendah tidak mendapat faedah secara langsung. Harga kereta baru yang tinggi dan nilai rebat yang kecil tidak seimbang dengan pasaran kenderaan terpakai semasa.
Kerajaan perlu memikirkan geran bantuan, sebagai contoh. Hadkan penggunaan kereta selama 10 tahun, kemudian berikan rebat RM5,000 seperti sekarang dan ditambah dengan geran rebet lagi RM10,000 hingga RM15,000 untuk pembeli membeli kereta baru dalam kelas tertentu.
Kereta lama yang sepatutnya dilupuskan itu boleh dilupuskan sebagai alat ganti atau dieksport ke negara-negara dunia ketiga yang lain. Secara tidak langsung, nisbah kereta baru dan kereta yang dilupuskan akan seimbang dan beban subsidi akan berkurangan.
Kereta-kereta melebihi 15 tahun yang akan diwajibkan menjalani pemeriksaan juga satu langkah yang positif. Namun seperti biasa, polisi selalunya berbunyi enak, tetapi apabila sampai ke tahap pelaksanaan, banyak lompong yang terdedah. Kalau benar pemeriksaan untuk kelulusan itu boleh dilakukan pada tahap paling telus, ia memang bagus.
No comments:
Post a Comment