Tuesday, November 3, 2009

Suntikan DNA mewah

SAINGAN sengit segmen sedan sederhana mewah menyebabkan banyak pengeluar kenderaan menghasilkan kereta yang menepati selera orang ramai.


Pelancaran model New Camry baru-baru ini membolehkan ia bersaing dengan yakin selain perubahan kosmetik menjadikannya model lebih segar.

Peluang memandu uji model terbaru dari UMW Toyota ini memberi peluang penulis mengesahkan bahawa model Toyota Camry kini lebih baik berbanding beberapa model mewah dari Eropah.

Perubahan reka bentuk luaran, keselesaan dan kemewahan disediakan jurutera Toyota untuk Camry mampu menawarkan kepuasan kepada pemiliknya.

Sekilas pandang, tiada pembaharuan terhadap model ini tetapi sebaik memegang pembuka pintu, penulis mendapati ia menerima suntikan DNA model mewah Lexus.

Sistem tanpa kunci membolehkan pemandu membuka atau mengunci pintu dengan hanya menyentuh tombol pintu manakala enjin dihidupkan tanpa perlu memasukkan anak kunci pada slotnya.

Simpan kunci dalam kocek seluar dan pastikan alat kawalan jauh (remote) di sisi ketika menghidupkan enjin.

New Camry menerima perubahan fizikal termasuk rekaan gril hadapan terbaru dengan logo Toyota lebih besar.

Lampu hadapan turut direka semula dan padanan lampu utama HID menyerlahkan ciri kemewahan jentera itu.

Padanan krom di tombol pintu dan perumah lampu belakang dinaik taraf menjadikan New Camry hebat.

Jika model lama menampilkan lampu brek belakang bulat, model ini 'menyembunyikan' menerusi kaca merah berjalur.

Reka bentuk luaran memberikan impak visual kepada New Camry berbanding model lama.

Dengan rekaan garis tubuh mantap, jentera ini memang menawan serta kelihatan bergaya di jalan raya.

Jurutera reka bentuk Toyota memastikan semua aspek termasuk casis, reka bentuk luaran, kemasan dalaman, ciri utama dan aspek pemanduan diberikan perhatian.

Gaya eksklusif dalamannya direka penuh teliti terutama bahagian tempat duduk kulit dengan kawalan elektronik, papan pemuka dan sistem stereng berpusat.

Keselesaan dapat dinikmati apabila menyandarkan tubuh di bahagian tempat duduk selain kelegaan ruang kaki sepanjang perjalanan. Hiburan dalaman menggunakan sistem audio Toyota berkualiti tinggi dengan enam pembesar suara.

Unit utama membolehkan pemandu menyimpan enam cakera padat (CD) dalam format MP3 dan WMA (Windows Media Audio) termasuk AUX.

Papan pemuka kemas dengan paparan meter pelbagai (MID) pada ruang meter utama memudahkan pemandu.

Malah, sistem dua penyaman udara automatik dengan Plasmacluster untuk pemandu dan penumpang belakang menambah keselesaan perjalanan.

Bagi prestasi, model berkuasa 2.4L dibantu teknologi VVT-i empat silinder berupaya menghasilkan kuasa maksimum sehingga 167PS pada 6,000 rpm.

Bagaimanapun, kuasa tork 224Nm pada 4,000 rpm menjadikannya ia jentera yang menjimatkan bahan api.

Ketika menguji di Lebuh raya Karak termasuk laluan berbukit ke Genting Highlands, kuasa enjin sepanjang mendaki kaki Banjaran Titiwangsa memang hebat.

Teknologi VVT-i meningkatkan kuasa enjin, menjimat bahan api dan mengurang toksid dalam asap.

Varian dilengkapi transmisi lima kelajuan automatik Super ECT. Sistem suspensi topang MacPherson pada roda hadapan dan 'Dual Link Independent' di belakang bersama penstabil menjadikan model ini lebih stabil meratah selekoh.

Sistem Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) membantu mengawal jentera ini jika membuang selekoh secara keras.

Model ini menyediakan beg udara berkembar SRS, ABS, EBD, TC dan Bantuan Brek (BA).

Berharga RM174,990 termasuk insurans, New Camry mampu bersaing dengan model kelas sederhana mewah lain termasuk buatan Eropah.

SPESIFIKASI

Toyota New Camry 2.4V

ENJIN: 2,362cc Empat Silinder 16 injap DOHC dengan VVT-i

KUASA MAKSIMUM: 167PS pada 6,000 rpm

TORK MAKSIMUM: 224Nm pada 4,000 rpm

CIRI KESELAMATAN: Beg udara, ABS, EBD, BA, TC, kerangka GOA

HARGA:RM174,990 termasuk insurans

Tayar dicadangkan

ComfortContact-1

215/55R17 94V


No comments: